PASCA MUKTAMAR Get our latest posts by subscribing this site

Lima agenda selamatkan PAS

Oleh DR DZULKEFLY AHMAD 

SETELAH menerbitkan “PAS mengundang kegagalannya se kali lagi?”, penulis ingin memenuhi
janji untuk berkongsi pengamatan seterusnya dengan judul “Agenda Selamatkan PAS.”

Sebagai sebuah gerakan Islam yang memilih jalan Muwajahah Silmiyah atau Persaingan Aman secara demokrasi, Parti Islam Se- Malaysia, PAS sangat berhajatkan kemenangan bagi melunaskan impian dan cita-cita murninya.

Benar kemenangan bukan segala-galanya, namun tidak siapa pun dapat menyangkal bahawa “segala- galanya menantikan ke menangan untuk kita mampu laksanakan citacita perjuangan.”

Bagi sebuah gerakan Islam yang sejak penubuhannya mengambil pendekatan sebuah parti politik, PAS sentiasa menghitung sokongan dan prestasinya dalam setiap pilihan raya. Keputusan dalam pilihan raya ditanggapi se bagai kayu ukur menilai penerimaan dakwahnya dan tawaran dasar-dasar siasah atau politiknya, serta visi cadangan pembangunannya untuk rakyat dan negara.

Bagi PAS, dengan kemenangan, terbentang luas segala ruang untuk kita lak sanakan ibadah dan ubudiy yah serta amal-amal taat kepada Allah, dalam se luruh pentadbiran tatakelola negeri dan tadbirurus negara. Sekali gus dengan kemenangan, ruang mencari reda Allah terbuka luas buat kita, bukan sahaja terbatas dalam aspek-aspek ibadah khusus dalam rukun- rukun Islam.

Justeru agenda memelihara parti dan perjuang an, dengan segala sifat cemburu atau ghirahnya, adalah lambang dan cermin an sa yang dan kasihnya pemimpin, aktivis serta pendukung kepada jemaah, parti dan perjuangannya.

Pada renungan dan bacaan politik penulis, PAS sebenarnya berdepan dengan lima cabaran besar sekali gus menjadikan PAS wajar diselamatkan dari kelimalima gugatan ini.
Dalam penulisan lalu, telah dipertegaskan andainya kepimpinan gagal mem pastikan PAS terus dikemudi dengan baik dan bijak, maka PAS bakal kembali ke tahap prestasinya, pada paras atau baseline PRU ke-11 (2004).

Dengan kata lain juga, ahli boleh membayangkan suasana suram dan muram, sekiranya PAS berada di takuk pencapaian itu.

Contohnya, di Dewan Undang an Negeri (Dun) Selangor, Perak, Johor, Negeri Sem bilan dan Melaka, PAS akan tidak punya wakil rakyatnya.

Di Parlimen, PAS punya hanya 6 wakil rakyat yang hampir keseluruhannya datang dari negerinegeri Pantai Timur dan Utara.

Lakaran atau gambaran senario itu adalah sangat menakutkan sebagai sebuah parti politik yang telah bertindak dengan baik dan berkesan dalam dua sesi parlimen ke-12 dan ke-13 dan sebelum sesi parlimen ke-10. Telah juga dirakamkan penulis bahawa PAS dalam keluk meraih dan menempah tambahan 13 kerusi parlimen, serentak menjadikan kerusi parlimen PAS berjumlah 34 seluruhnya dalam PRU ke-14 akan datang, dengan izin Allah jua.

Ini bakal dimenangi PAS, seandainya parti Islam ini terus memperkukuhkan kedudukannya dalam kesepaduan muafakat politik Pakatan Rakyat.

Maka, apakah yang bakal mengancam PAS dan menghampakan cita-cita yang disasarkan dalam waktu jangka pertengahan dalam perjuangannya? Penulis mengenal pasti lima cabaran sekali gus tunggak ancaman buat PAS.

PAS mesti diselamatkan dari terjebak dalam kancah kemusnahan ini.
Dinamika luaran dan dalaman parti adalah sangat berbeza kini dan sangat kom pleks, serta tidak semudah untuk diurus dan ditangani.

Sangat mustahak supaya ia diperhatikan dengan cermat, matang dan rasa penuh tangungjawab.

Pertama: Selamatkan PAS dari penularan fitnah dan perseteruan sehingga wujud keberantakan akibat permusuhan dalam saf di semua peringkat kepimpinan sehingga ke akar umbi.
Ingat pesanan Rasulullah s.a.w.: “Akan menimpa ke atas kamu penyakit yang telah memusnah kaum terdahulu kamu... hasad dan perseteruan.”

Kedua: Selamatkan PAS dari menjadikan institusi Ke pimpinan Ulama sebagai sumber permasalahan parti dan polemik tidak berkesudahan sehingga ia dil ihat menjadi liabiliti kepada PAS. Umumnya sangat menyanjungi kepimpinan ulama PAS apabila terserlah kebolehan ilmu dan hujah mereka. Tegasnya, institusi Kepimpinan Ulama mesti se gera dikembalikan peranan dan autoriti sebenarnya seperti termaktub dalam peruntukan perlembagaan parti.

Ketiga: Selamatkan PAS daripada fenomena mengalami penghakisan sokongan undi baru non-tradisi dari kalangan orang Melayu- Islam di bandar-bandar dan pinggir bandar, serta bukan Melayu (Cina dan India khususnya) di seluruh pelosok negara, khasnya Pan tai Barat dan mempastikan sokongan tradisi atau tegar Melayu-Islam, terus mendukungi perjuangan parti Islam ini.

Keempat: Selamatkan PAS dari segala tipu-daya dan makar jahat Umno-BN dengan pelbagai pendekatan dan tawaran serta janji mereka. Sementara kita ber sedia untuk berurusan dengan pendekatan G to G, atau melunaskan perhubungan antara kerajaan Persekutuan-Negeri, PAS wa jar mengamalkan tuntutan hazar (berwaspada) yang diingatkan oleh Allah SWT dalam al-Quran dan pesanan Rasulullah s.a.w. supaya tidak dipatuk ular, dua kali dari satu lubang.

Kelima: Selamatkan PAS dari terhindar mendapatkan maslahah dan manfaat pendekatan At-Tahaaluf As-Siayasi sebagai satu pendekatan siasah yang bijak diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. dengan tidak pula per lu PAS mengorbankan prinsip-prinsip perjuangannya.

Penulisan seterusnya akan menghuraikan ba gaimana, seandainya PAS terperangkap dalam suasana ghairah merebut kuasa dan jawatan dalam parti, sehingga membelakangkan perhitungan besar perjuang an seperti tertera dalam lima ancaman dan tunggak penting di atas tadi, maka PAS bakal menempah kejatuhannya serta kemusnahannya.

Penulis mengingatkan dirinya, sememangnya telah nyata persaingan paling sengit sedang berlaku, yang dikatakan tidak pernah terjadi dalam pemilihan parti ini, kecuali zaman tribulasi kepimpinan Dato’ Asri.

Walau apa pun kesudahan dan keputusan selepas muk tamar nanti, umum ber harap kepimpinan merapatkan saf dalam se mangat ukhuwah yang sebenar nya. Seumpama peribahasa “carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga.”

Ataukah kali ini, ia tidak akan berakhir begitu? Berpandukan rentetan per golakan dalam parti, sejak sedari berakhirnya Muk tamar ke-60 di Batu Pa hat tahun lalu, riak-riak perte lingkahan lantas menjadi ribut dan sehingga kini menjadi semacam taufan yang bisa sahaja memusnahkan keutuhan dan kesepaduan tanzim serta organisasi meskipun siapa atau kelompok mana yang menang.

Apakah itu yang dimaksudkan kata-kata pujangga “menang jadi arang dan kalah jadi abu”?

Apakah kita bakal menyaksikan kesudahan seperti itu di penghujung muktamar nanti?

Ataukah masih ada kewarasan dan kebijaksanaan di kalangan kepimpinan dan perwakilan di semua peringkat dan ahli akar-umbi, untuk tidak mengizinkan perpecahan atau penyingkiran seluruh lawan dalam satu cleansing pihak yang berbeza pandangan.

Di sini letak penentuan kematangan parti yang bakal bermuktamar untuk kali ke-61. Jangan sampai terjadi seperti peribahasa “menang sorak kampung tergadai.”

Sangat sukar untuk meramalkan senario yang ter paling buruk ini dalam persaingan yang semakin panas ini dan sukar diduga dinamikanya.

Penulis akan terus merungkaikan perincian setiap lima tunggak ancaman ini dalam edisi akan datang.
>> Dr Dzulkefly Ahmad ialah Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS Pusat.

"Kenapa saya calonkan Ahmad Awang Presiden PAS"

Oleh KHALID SAMAD 


Semenjak berita berhubung mesyuarat agung tahunan PAS Kawasan Shah Alam tersebar di alam maya, ramai telah menghubungi saya untuk mendapatkan penjelasan mengenai proses pemilihan pi
mpinan pusat yang telah berlaku

Mereka hairan dengan keputusan pencalonan Presiden di mana TGHH telah dipilih tetapi dengan majoriti hanya 6 undi. Mereka yang berhubung dan bertanya boleh dikatakan berakhlak berbanding dengan yang tidak berhubung untuk bertanya tetapi tetap menyerang saya mengenainya!

Bermacam macam andaian telah dikemukakan dalam alam maya mengenainya dan hampir kesemuanya adalah tidak benar. Kadang-kadang saya rasakan mereka yang berani membuat andaian dan menyebar luas andaian-andaian ini, tanpa mengetahui hujung pangkal, bagaikan manusia yang tidak takut pada dosa. Walaupun nama mereka disangkutkan gelaran ‘ustaz’ di depannya.

Itulah bezanya di antara orang berilmu dan orang yang menghayati ilmunya. Sekadar tahu dosa memfitnah, tidak bererti tidak menaburkan fitnah. Kerana mereka sekadar tahu, tetapi tidak menghayatinya. Jauh berbeza sifat mereka dengan golongan ustaz tahun 80an yang menyebabkan saya tertarik untuk menyertai PAS.

STATUS SAYA DAN PAS KAWASAN SHAH ALAM 

Pada mulanya, perlu saya sebutkan, saya tidak lagi merupakan YDP PAS Kawasan Shah Alam. Pada pemilihan 2013 saya tidak bertanding kerana saya telah menjawat jawatan YDP Shah Alam sejak 1997, iaitu selama 16 tahun! Sudah tiba masa saya beri laluan kepada mereka yang telah saya pimpin selama ini untuk mengambil alih.

Pada 2011, jawatan kuasa PAS Kawasan dianggotai 3 mantan Ketua Pemuda Kawasan. Giliran mereka pula untuk menggalas cabaran sebagai YDP PAS Kawasan Shah Alam. Lagi pun saya telah dipilih kembali sebagai AJK PAS Pusat pada tahun 2011 setelah meninggalkan PAS Pusat pada 1993. Saya telah huraikan sebelum ini dengan lanjut di dalam tulisan saya yang bertajuk YDP Shah Alam: Mengapa Tidak Dipertahankan?

Saya pernah mengisi jawatan AJK PAS Pusat pada 1987 hingga 1993. Saya tidak bertanding pada pemilihan 1993 atas sebab ingin memberi tumpuan kepada anak saya yang OKU dan prestasi syarikat kejuruteraan milik saya yang agak merudum kerana tiada tumpuan. Tetapi itu cerita lain yang akan saya ceritakan pada satu masa kelak, bukan sekarang.

Maka sejak 2013, setelah saya tidak lagi memikul amanah sebagai YDP PAS Kawasan Shah Alam, saya hanya hadir mesyuarat bulanan PAS Kawasan atas tiket ex-officio selaku Ahli Parlimen Shah Alam. Ada kalanya saya hadir dan banyak juga ketikanya saya tidak. Oleh itu saya tidak begitu mengambil tahu apa yang berlaku menjelang Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Shah Alam tahun ini.

Semasa Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Shah Alam, saya telah dijemput hadir sebagai salah seorang VIP. Saya hadir untuk program perasmiannya dan telah meninggalkan dewan di IDCC Shah Alam selepas itu. Saya bukan perwakilan. Saya tidak hadir semasa agenda pemilihan/pencalonan pimpinan Pusat diadakan dan keputusannya memeranjatkan saya sepertimana ianya memeranjatkan ramai di seluruh Negara.

SAYA MERANCANG MENJATUHKAN DS PRESIDEN? 

Ada yang menuduh saya merancang untuk menjatuhkan DS Presiden dan perancangan saya telah berjaya digagalkan. Kalau saya ingin merancang sesuatu dalam pemilihan AJK PAS Pusat pada muktamar akan datang, tidakkah dilihat pelik bahawa saya melepaskan jawatan sebagai YDP PAS Kawasan?

Biasanya yang ingin merancang sesuatu ‘pengambil alihan kuasa’ akan tentukan dirinya berjawatan sepertimana juga rakan-rakan dan penyokong-penyokongnya. Ini kita lihat sedang diusahakan oleh beberapa orang tertentu yang menyusun strategi di peringkat cawangan dan Kawasan.
Alhamdulillah saya tidak seperti mereka.

Maka selepas selesainya mesyuarat agung tahunan PAS Kawasan Shah Alam dan diketahui keputusan pencalonannya, saya telah bertemu dengan beberapa perwakilan veteran dan bertanya mereka mengenai pilihan yang mereka buat. Apabila diberitahu mereka menyokong pencalonan Ustaz Ahmad Awang dan tidak TGHH, saya bertanya kepada mereka mengapa?

Di sini saya kemukakan jawapan mereka kepada soalan saya dan penghujjahan balas saya. Perbualan saya seperti di bawah adalah secara ringkasan dan bukan secara verbatim.
Tuan-tuan pembaca yang budiman sekalian, nilaikan sendiri.

PERBUALAN ANTARA SAYA DAN SALAH SEORANG VETERAN PAS DI SHAH ALAM 

KS: Salaam Tuan Haji. Tuan Haji calonkan siapa? TGHH atau Ahmad Awang?

Tuan Haji: Saya calonkan Ahmad Awang.

KS: Kenapa tidak dicadangkan sahaja TGHH sebagai Presiden? Tidakkah Tuan Haji iktiraf ketokohannya beliau sebagai seorang ulama’ bertaraf dunia?

Tuan Haji: Saya akui ketokohannya sebagai ulama’ bertaraf dunia tetapi jawatan Presiden bukan memerlukan seorang yang fakeh. Fakeh adalah keperluan untuk jawatan MSU khususnya mursyidul ‘am. Jawatan Presiden memerlukan seorang yang pakar dalam bidang strategi dan perlaksanaan, tajam bacaan politik. Oleh itu saya lebih setuju TGHH menjadi Mursyidul ‘Am dan Ust Ahmad Awang sebagai Presiden.

KS: Eh, kenapa pula? TGHH juga mempunyai kepakaran dalam soal strategi dan perlaksanaan. Lagi pun, TGHH lebih berpengalaman berbanding Ust Ahmad Awang. Di mana kegagalan TGHH mengikut pandangan Tuan Haji?

Tuan Haji: Kebelakangan ini saya lihat banyak kelemahan TGHH dari sudut kepimpinannya sebagai seorang Presiden. Ini ingin ditutup oleh golongan asatizah tertentu dengan dijaja konsep wala’. Saya orang lama, YB. Tidak payahlah cuba menipu saya dengan menutup kelemahan melalui pendekatan sebegitu. Dulu tiada pun dijaja konsep wala’ sebegini, tetapi semua ahli bersatu dan berdisiplin menyokong Presiden.

KS: Apa dia sebenarnya kelemahan TGHH yang Tuan Haji maksudkan?

Tuan Haji: Perbalahan dalaman PAS. Perbalahan dalaman PR. Ini semua hasil dari ketidak berkesanan kepimpinan TGHH. YB sendiri tahu kan, PAS bagaikan berpecah dua dengan budaya fitnah memfitnah, label melabel.

 TGHH tidak dilihat membuat apa-apa. Seolah-olahnya TGHH mahukan perpecahan berlaku. Malang sangatlah kalau TGHH dipengaruhi si Zuhdi tu. Pemimpin mesti mampu menyatukan ahli-ahli di bawah kepimpinannya, bukan redha supaya ahli berpecah macam sikap Zuhdi. Di sini saya berani sebut, kalau zaman Almarhum Ust Fadhil, sudah pasti beliau akan bertindak memintas perpecahan ini dan menyatukan kembali; dan itulah bukti kepimpinan bagi saya.

KS: Ya lah Tuan Haji, tetapi itu bukan mudah. Ahli-ahli PAS pun bukan semua ikut sahaja arahan TGHH. Sudah lama TGHH minta agar diberhentikan kerja fitnah dan melabel ini, tetapi ada ahli yang tidak mahu ikut.

Tuan Haji: Ya ke TGHH suruh berhenti? Tak dengar pun. Yang saya nampak kerja ini dibuat oleh asatizah muda, datang ke Surau pun depa masih tabur fitnah. YB pun kena! Malu saya dengan orang UMNO yang ada di Surau bersama. Tersengih sahaja mereka, mendengar kata-kata para ustaz ini. Sepatutnya TGHH sedar apa yang sedang berlaku di peringkat akar umbi dan menangani masalah ini sebelum menjadi parah seperti sekarang.

KS: Tidak mengapalah Tuan Haji. Jika benar mereka fitnah saya, pahala bagi saya. Maka tidak patut disalahkan TGHH pula.

Tuan Haji: Saya tidak kata TGHH yang buat atau suruh buat. Saya sebut TGHH tidak berkesan dalam menangani masalah ini.

KS: Oklah Haji. Selain tu? Yang Tuan Haji sebut bab PR. Takkan mahu TGHH ikut sahaja kehendak PKR dan DAP?

Tuan Haji: Dalam soal PR, TGHH bagi saya telah tersilap langkah semasa isu MB Selangor. Saya tidak faham mengapa TGHH sanggup pertahankan TSKI habis-habisan. Sehingga sanggup memberi kesempatan untuk UMNO memasuki perbalahan itu dan turut memberi sokongan tanpa syarat kepada TSKI. Dan untuk beberapa hari, PAS dan UMNO bersama dengan TSKI. Mahu jadi seperti senario 1 si Zuhdi kah? Bertegang kita dengan PR kerana TSKI! Apa punya strategi ini? Sepatutnya kukuhkan PR tetapi tidak. TSKI tu pun bukan bagus mana. Dulu pun PAS Selangor pun sudah minta tukar.

TGHH tidak hadir mesyuarat majlis Presiden, tidak dengar penjelasan dari DAP dan PKR, tetapi boleh batalkan keputusan dan persetujuan bersama begitu sahaja. Susah kalau bersikap sebegini. Mahu ikut kehendaknya semata-mata tanpa mendengar penjelasan dari 9 wakil PAS yang hadir apabila keputusan dibuat. Maaf YB, bagi saya, terbayang-bayang cara Dato’ Asri.

Oleh kerana kita sudah dalam satu Pakatan, walau pun kapal asing-asing, perlu koordinasi supaya tidak belaga di tengah laut. Lebih-lebih lagi pada waktu malam dan laut bergelora. Tidak boleh buat ikut suka. Pentingkan syura. Inilah sifat kepimpinan yang baik. Saya tidak nampak TGHH berbuat sedemikian.

Dan malang lagi ianya berakhir dengan TGHH mengkritik secara terbuka DSWA. Orang kritik TGHH kita marah. Tapi TGHH kritik DSWA sebegitu rupa kita boleh terima? Maaflah YB. Sebenarnya ramai sependapat macam saya tetapi apa boleh kata, ‘terpaksa’ wala’? Kalau tidak akan dikutuk.

KS: Alaa Tuan Haji, perkara begitu, biasalah. Dalam perkahwinan pun suami isteri bergaduh. Apa perpatah Melayu...“sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula suami isteri”.

Tuan Haji: Huh, awak ni asyik bela TGHH sahaja. Tetapi saya tahu, YB pun boleh nampak kelemahan yang sama. YB kena lebih berani bercakap benar. Adakah YB boleh terima ungkapan “barua dan broker” yang dilemparkan kepada ahli dan pimpinan PAS lain? Saya minta maaf lagi, saya hingga hari ini tidak boleh terima. Sudahlah tu, bukti pun tidak ada. Tetapi main tuduh begitu. Terbuka pula. Bila saya balik dari muktamar, kawan saya dari UMNO tanya saya, kamu ni barua ke broker? Geramnya saya. Ni yang membuatkan saya lebih tidak yakin TGHH inginkan masalah dalaman PAS diselesaikan dengan baik. Malahan dia sendiri puncanya dengan kata-kata begitu.

KS: Ok lah Tuan Haji, cukuplah dengan isu TGHH. Yang Ust Ahmad Awang pula bagaimana? Kenapa Tuan Haji anggap beliau mampu membawa kepimpinan yang lebih berkesan?

Tuan Haji: Dia menyelamatkan PAS semasa PRU 2008 dahulu. Kalau tidak kerana ketegasan Ust Ahmad Awang, PAS Perak mungkin sudah bersatu dengan UMNO di Perak untuk membentuk kerajaan. Dia mampu menyatu padukan ahli dan PAS bersama PR. Kita patut berikan dia peluang.

KS: Tapi Tuan Haji, tu cerita lama. Tidak bererti TGHH bersetuju untuk membenarkan PAS bersama UMNO pada ketika itu. Tidak boleh lah Tuan mengandaikan bahawa TGHH bersetuju penyatuan UMNO dan PAS. TGHH dah sebut berkali-kali ianya tidak boleh.

Tuan Haji: Tidak apalah YB, mesyuarat agung tahunan kawasan pun sudah selesai. Pandangan saya begitu. Bagi saya, PAS perlukan Presiden yang lebih bijak merancang dan mengatur strategi, pandai berkawan dan jujur dalam persahabatan.

Tapi yang lebih penting lagi, sebagai ketua eksekutif, seseorang Presiden mesti bersedia untuk dikritik dan ditegur. Tidak dianggap ‘berdosa’ menyanggah pandangannya dan tidak salah membetulkan kesilapannya sekiranya tersilap. Ini bila kita sudah hilang Terengganu dan Kedah, tetapi tiada yang sanggup mengakui kelemahan yang menyebabkan kekalahan itu. Semua mahu disalahkan orang lain. Kalau kata, “oh, kita pun tersilap, sepatutnya Presiden buat ini dan itu”, kita akan diserang bagaikan melakukan dosa besar!

Saya lihat ada para ustaz yang beranggapan kita kena pertahankan Presiden sepertimana para sahabat pertahan Nabi (SAW). Ini tidak betul!

Ini seolah sudah seperti mendewa-dewakan pemimpin. Perumpamaan yang digunakan adalah silap dan salah. Kalau ya pun, biarlah kita katakan kita perlu pertahankan Presiden sepertimana para sahabat pertahankan Saidina Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali (Radhi Allahu anhum). Itu pun dah lebih dari yang patut. Mereka siapa, kita siapa? YB tahukan, Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali tetap ditegur dan dikritik dan berhujjah untuk pertahankan tindakan mereka. Bukan sekadar dijaja dengan wala’ semata.

Macam seperti perang terhadap golongan murtaddiin, Abu Bakar bukan sekadar kata “perang” dan semua ikut. Tidak. Berhujjah dan berbahas sehingga Abu Bakar bacakan ayat 5 dan 11 surah At-Taubah baru sahabat lain akur. Kerana ada dalil dan nas, bukan sekadar wala’ sahaja.

Kes Umar dengan Jubahnya pun begitu masyhur. Kes Uthman dan pengkritiknya yang begitu ramai yang mengkritik perlantikan ahli keluarganya ke jawatan penting. Semua ditanganinya dengan cara sebaik mungkin, berhujjah dan menjelaskan. Termasuk juga kisah Ali dengan Muawiyyah serta golongan Khawarij. Semua terpaksa ditangani dengan berhujjah. Bukan dituduh tidak wala’ dan khianat dan sebagainya.

Dan inilah suasana dan pemikiran yang wujud di kalangan golongan lama di Shah Alam. Yang muda-muda memang mudah untuk menerima konsep wala’ tetapi veteran yang sudah lama dalam PAS tidak begitu. Mereka menganggap ianya hak mereka untuk memilih Presiden dan menukar Presiden sekiranya tidak puas hati dengan prestasinya. Veteran sebegini bukan mudah sesiapa ‘peralatkan’, termasuk saya.

Konsep kepimpinan Ulama’ bagi mereka tercapai dengan pembentukan MSU yang memantau perjalanan PAS supaya tidak menyeleweng dari dasar Islamnya. Presiden tidak semestinya seorang ulama’ tetapi semestinya berilmu dan kommitted dengan perjuangan Islam serta bijak berstrategi dan menyusun gerak kerja politik untuk mencapai matlamat parti.

Maka, DS Presiden sebagai seorang ulama tersohor semestinya mempunyai kelebihan dan di atas sebab itulah beliau telah dipilih oleh perwakilan pada setiap muktamar tahun demi tahun. Oleh itu, saya memohon agar mereka yang menuduh saya ingin menjatuhkan DS Presiden agar tidak menuduh sebarangan tetapi membantu saya menjawab golongan seperti Tuan Haji ini dengan hujjah balas dan bukan sekadar meminta beliau agar terus wala’.

WaLlahu 'Alam
http://www.khalidsamad.com/

Misi, Dasar dan Seruan

Dasar PAS ialah ISLAM

Seruan PAS ialah ALLAHUAKBAR

Tujuan PAS ialah :
  • Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya bilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah.
  • Mempertahankan Kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.

Usaha-usaha PAS :
  1. Menyeru umat manusia kepada Syari'at Allah dan Sunnah RasulNya melalui dakwah secara lisan, tulisan dan amalan.
  2. Memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syari'ah serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan nilai-nilai ke Islaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan di segenap bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran, ekonomi dan sosial serta pelajaran dan pendidikan.
  3. Memupuk dan memperkukuhkan dan memperkuatkan ukhuwah Islamiyah dan menyuburkan rasa perpaduan di kalangan rakyat bagi memelihara kehidupan politik dan masyarakat yang sihat dan berkebajikan.
  4. Mengajak dan menggalakkan badan-badan, pertubuhan-pertubuhan dan orang-orang perseorangan bagi mengenali dan memehami serta memperjuangkan konsep dan pandangan hidup Islam.
  5. Menyediakan rencana-rencana dan bertindak bagi memperbaiki susunan serta institusi-institusi masyarakat, bentuk politik, keadilan ekonomi dan negara, untuk membela kepentingan umat Islam dan rakyat seluruhnya.
  6. Menyertai dan bekerjasama dengan badan-badan, persatuan-persatuan atau pertubuhan-pertubuhan yang tidak berlawanan tujuannya dengan PAS bilamana dan selama mana ianya mujstahak dan sesuai serta tidak bercanggah dengan undang-undang negara.
  7. Mempertahankan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi negara yang tunggal dalam amalannya disamping berusaha mengembangkan bahasa al-Qura'an.
  8. Memperjuangkan wujudnya kebudayaan negara berasaskan nilai-nilai yang tidak bercanggah dengan ajaran-ajaran Islam.
  9. Memperjuangkan hak dan kepentingan umat Islam di negara ini tanpa mengabaikan tanggungjawab melaksanakan keadilan terhadap seluruh rakyat Malaysia dan tanggungjawab mewujudkan keharmonian antara kaum di dalam negara ini.
  10. Menyertai dan bekerjasama dengan Bangsa-Bangsa Bersatu dan badan-badan lain yang sah bagi mengekalkan keamanan dan menjalinkan hak-hak asasi manusia serta menghapuskan segala macam kezaliman, kepalsuan, perhambaan dan penindasan di kalangan umat manusia.
  11. Melakukan apa-apa jua usaha dan tindakan dalam batas-batas Perlembagaan dan Undang-Undang negara bagi mencapai semua tujuan-tujuan PAS ke dalam dan ke luar.

Sejarah Parti Islam Semalaysia (PAS)

Kejayaan cemerlang PAS dalam pilihan raya umum ke-12 pada 2008 telah meletakkan PAS sebagai sebuah parti pembangkang utama yang dilihat oleh rakyat berupaya mengambil alih pemerintahan negara. 

 Semenjak 1990, PAS telah melangkah maju daripada sebuah parti pembangkang yang dianggap "ekstrem" menjadi sebuah parti pemerintah yang moderat dalam melaksanakan cita-cita Islamnya bermula di Kelantan semenjak 1990, kemudian ke Terengganu pada 1999 hingga 2004, dan kini PAS mendapat kepercayaan rakyat di Kedah, Perak dan Selangor. Di Parlimen juga, PAS telah bangkit dan menguasai 10 peratus daripada kerusi Parlimen atau 25 peratus daripada keseluruhan kerusi pembangkang. Perkembangan ini meletakkan PAS dalam perhatian peminat politik, pengkaji dan juga penyelidik.

Sebenarnya, kemunculan PAS dalam sejarah politik tanah air telah bermula semenjak 23 Ogos 1951 apabila para ulamak yang bersidang di Kuala Lumpur bersetuju menubuhkan sebuah persatuan yang dinamakan Persatuan Ulamak Se-Malaya. Nama persatuan ini kemudiannya diubah menjadi Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) pada 24 November 1951, dalam satu persidangan ulamak Malaya di Bagan Tuan Kecil (Butterworth), Seberang Prai. Itulah sekelumit permulaan sejarah PAS yang diasaskan oleh para ulamak yang kemudiannya berkembang menjadi sebuah pertubuhan politico-dakwah yang penting di negara ini. Penglibatan dan sumbangan PAS dala politik negara bermula sebaik sahaja ia ditubuhkan walaupun ramai pengkaji mengatakan PAS hanya menyertai politik menjelang pilihan raya 1955.

Kemunculan PAS ini dikatakan hasil daripada silang pengaruh yang berlaku antara beberapa gerakan Islam yang lebih awal seperti Ikhwanul Muslimun di Mesir, Masyumi di Indonesia dan Jamaat Islami di Pakistan. Ketiga-tiga pengaruh ini telah menyerap masuk ke Tanah Melayu melalui para ulamak yang belajar di Mesir, Mekah, India dan Indonesia. Ksedaran yang awal ialah para ulamak atau umat Islam memerlukan sebuah pertubuhan atau badan yang boleh mewakili mereka dalam semua aspek kehidupan terutama dalam keadaan Tanah Melayu sedang dijajah oleh British ketika itu. Longgokan ksedaran ini kemudiannya menghasilkan Majlis Tertinggi Agama Malaya (MATA) pada 1947 diikuti oleh Hizbul Muslimin pada 1948 kesan daripada usaha gigih Dr Burhanuddin al-Helmy dan Ustaz Abu Bakar al-Baqir. Walau bagaimanapun, gerakan Islam yang berpusat di Gunung Semanggol ini terkubur ekoran penguatkuasaan Ordinan Darurat pada Jun 1948.

Para ulamak mengambil beberapa sikap selepas tragedi darurat ini. Ada yang "tawakuf" daripada politik kepartian tetapi menggerakkan kesedaran rakyat melalui institusi pendidikan atau media massa. Dalam fraksi yang lain, para ulamak telah mengambil sikap untuk menyertai parti nasionalis Umno bagi membolehkan isu-isu umat Islam diperkatakan. Beberapa tokoh Hizbul Muslimin seperti Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan, seorang lepasan Maahad Il Ihya Assyariff, Gunung Semanggol telah menyertai Umno pada 1950 dan dilantik mengetuai Bahagian Agama dan Pelajaran Umno. Bahagian ini kemudiannya mengaturkan beberapa persidangan untuk membolehkan ulamak menubuhkankan persatuan. Dalam tulisannya, 'Ulamak Malaya Belum Bersatu dan Belum Punya Persatuan, Haji Ahmad Fuad menyifatkan kedudukan ulamak ketika itu umpama sampah yang tidak dihargai kerana tiada kekuatan. Lebih-lebih lagi ketika itu ulamak telah muak dengan sikap Umno yang mengabaikan isu pemurtadan Natrah, pengajuran judi loteri, fun fair, kaberat dan lain-lain. Dalam satu persidangan ulamak yang dipimpin oleh Sheikh Abdullah Fahim, Mufti Pulau Pinang di Seberang Perai pada 1951, mereka telah mengeluarkan fatwa mengharamkan judi loteri anjuran Umno.

Dalam konflik pelbagai yang dihadapi oleh para ulamak dan situasi politik semasa yang masih tidak menuju kepada jalan Allah itu, maka para ulamak membuat pendirian untuk menubuhkan PAS. Haji Ahmad Badawi, seorang ulamak di Seberang Perai telah mengeluarkan satu manifesto yang dinamakan "Manifesto al-Badawi" dengan tema "Ulamak ke Jalan Allah" bagi menyambut persidangan untuk menubuhkan PAS pada 24 November 1951. Mereka memutuskan supaya PAS menjadi sebuah pertubuhan politik Islam yang memperjuangkan kemerdekaan melalui landasan demokrasi ke arah membentuk sebuah negara yang diredhai Alah. Para ulamak menolak bentukbentuk perjuangan yang diasaskan berdasarkan ideologi ciptaan manusia yang dibawa masuk oleh penjajah.

Semenjak itulah, PAS muncul sebagai sebuah pertubuhan politik Islam yang memperjuangkan kemerdekaan negara, kemudian menyertai pilihan raya demi pilihan raya. PAS juga menggunakan pelbagai saluran untuk menyampaikan mesej dakwahnya termasuk membentuk beberapa kerjasama politik dengan orang bukan Islam semenjak 1953. Di bawah kepemimpin Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan dan Dr Haji Abbas Alias, PAS bercakap soal kemerdekaan yang boleh ditegakkan hukum Islam. PAS menolak kerakyatan jus soli yang merugikan peribumi dan PAS mendesak supaya Islam dijadikan dasar negara yang merdeka. Apabila Dr Burhanuddin al-Helmy mengambil alih kepemimpinan PAS pada akhir 1956, PAS mula memperincikan sikapnya terhadap kemerdekaan yang hendak dicapai yang dianggap masih kosong dari matlamat sebenar kerana mengabaikan kebangsaan Melayu dan ketuanan Islam1. Hal ini tergambar daripada hasrat Dr Burhanuddin,

"Dalam perjuangan kita (PAS) bagi mencapai kemerdekaan, kita telah dan terusmenerus memperjuangkan Melayu itu sebagai kebangsaan bagi negara Tanah Melayu ini dengan bertapak di atas asas ideologi Islam yang maha suci".

Penyertaan PAS dalam pilihan raya 1959 telah memberikan kejayaan besar apabila Terengganu dan Kelantan berjaya dikuasai. PAS membentuk kerajaan yang dipimpin oleh Mohd Daud Abdul Samad di Terengganu dan Ustaz Ishak Lotfi Omar di Kelantan sebagai Menteri Besar. PAS memulakan langkah sebagai kerajaan di dua negeri Pantai Timur untuk menterjemahkan ideologi perjuangannya yang berasaskan al-Quran dan Sunnah. Namun begitu, kerajaan PAS di Terengganu telah dijatuhkan pada Oktober 1961 hasil permainan politik kotor Perikatan. Di Kelantan, PAS berjaya bertahan sehingga BN mendaruratkan Kelantan pada akhir 1977. Dalam konteks ini, PAS-lah satu-satunya pembangkang yang diberikan kepercayaan oleh rakyat untuk memerintah kerajaan negeri di negara ini.

Selepas kejatuhan Terengganu pada hujung 1961, PAS mulai menerima tekanan-tekanan politik seperti penyalahgunaan ISA, penahanan Dr Burhanuddin al-Helmy diikuti oleh sekatan politik, keganasan Pemuda Tahan Lasak Umno dan beberapa siri pembunuhan politik. Perjuangan PAS untuk memartabatkan kebangsaan Melayu Raya berasaskan Islam telah dijadikan kambing hitam dalam Konfrantasi Indonesia pada 1963. PAS menolak pembentukan Malaysia kerana mahukan sebuah negara Melayu yang lebih besar meliputi seluruh alam Melayu dibentuk. Dalam masa yang sama Umno mencanangkan isu-isu perkauman yang akhirnya membawa kepada beberapa siri perbalahan kaum di Pulau Pinang, Perak dan Singapura antara 1964 hingga 1969, dan kemuncaknnya tercetus Tragedi 13 Mei 1969 yang mengubah landskap politik negara. Selepas tragedi ini, Datuk Mohd Asri Muda yang memangku jawatan Yang Dipertua Agung PAS semenjak 1965 telah dilantik sebagai Yang Dipertua Agung PAS pada 1971.

PAS memasuki era baru dalam politik negara apabila PAS mula meneroka kerjasama dengan Umno bagi menjamin kestabilan politik negara, mengekalkan ketuanan Melayu dan menyerapkan Islam dalam pemerintahan. PAS menyertai beberapa parti lain telah membentuk Kerajaan Campuran PAS-Perikatan pada 1973, kemudian sama-sama mengasaskan Barisan Nasional (BN) pada 1974. BN mencapai kejayaan besar dalam pilihan raya 1974 dan PAS sendiri telah berjaya menembusi ruang-ruang yang baru sehingga membolehkan Islam di sampaikan ke corong telinga rakyat dengan lebih berkesan. Walau bagaimanapun, keterbukaan PAS dalam membentuk kestabilan politik negara telah disalahgunakan oleh musuh-musuh politiknya dengan melaga-lagakan pimpinan PAS sehingga terjadi krisis politik Kelantan pada 1977. Akibatnya, PAS telah menolak Akta Darurat (Kelantan) 1977 yang menyebabkan PAS bukan sahaja disingkirkan dari BN, tetapi turut kehilangan Kelantan.

Setelah melalui tempoh yang mencabar antara 1978 hingga 1982 di mana PAS terpaksa berhadapan dengan perpecahan, kehilangan kuasa pemerintahan, tekanan ISA dan krisis kepemimpinan, akhirnya PAS telah mengasaskan kepemimpinan ulamak pada Oktober 1982. Tuan Haji Yusof Rawa telah diangkat untuk memimpin PAS bagi menggantikan Datuk Mohd Asri yang meletakkan jawatan. Permulaan era kepemimpinan ulamak memperlihatkan PAS kembali kepada asas perjuangannya untuk mendaulatkan Islam dan memberikan penekanan terhadap kwajipan tersebut. Gerakan dakwah PAS berkembang dengan lebih tersusun melalui pendekatan haraki dan dalam masa yang sama PAS terus membina jambatan dakwah dengan non-Muslim sehingga terbentuk Majlis Perundingan Cina (CCC). Di sudut yang lain, pendekatan PAS telah disambut oleh kerajaan dengan melaksanakan juzuk tertentu daripada Islam seperti Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam, Dasar Bersih, Cekap dan Amanah serta penubuhan Bank Islam, Universiti Islam Antarabangsa dan lain-lain.

Paling mencabar pada era kepemimpinan ulamak ialah beberapa siri penyalahgunaan ISA yang berlaku pada 1984, 1987 dan 1989, ketimbang dengan desakan PAS untuk diadakan Debat Terbuka PAS-Umno pada 1984. Dalam kemelut ini, tercetus pula tragedi Memali pada November 1985 yang mengorbankan 14 orang ahli PAS. Tetapi, pada 1987, Umno pula menghadapi krisis kepemimpinan sehingga parti tersebut diharamkan. Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor memanfaatkan kesempatan ini dengan mewujudkan kerjasama politik dengan serpihan Umno, Semangat 46 yang membolehkan PAS berkuasa semula di Kelantan. Ketua Dewan Ulamak PAS (kemudian Mursyidul Am PAS), Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat diberikan kepercayaan untuk memimpin kerajaan Kelantan semenjak 1990. Dengan dasar "Membangun Bersama Islam", PAS berjaya melaksanakan tanggungjawabnya untuk menegakkan hukum Allah yang berada dalam bidang kuasana.

Pada 1996, PAS mula berkrisis dengan Parti Melayu Semangat 46 (PMS46) yang menyebabkan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang dibentuk pada 1989 berpecah. Dua tahun kemudian, Umno sekali lagi menghadapi perpecahan ekoran pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyebabkan wujudnya gerakan Reformasi. PAS telah memimpin Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) bagi menuntut keadilan kepada rakyat, kemudian menubuhkan Barisan Alternatif (BA) pada 1999. Melalui BA, PAS berjaya merampas semula Terengganu. Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang diamanahkan untuk mengetuai kerajaan Terengganu sehingga 2004. Selepas pencapaian lemah PAS pada 2004 kerana momentum Perdana Menteri baru, PAS bangkit semula pada 2008 dengan mengetuai tiga kerajaan negeri dan turut serta dalam kerajaan di Selangor. Kini, PAS dilihat sebagai pencabar utama Umno dalam menguasai politik orang Melayu Islam.

Sepanjang tempoh 1951-2008 ini, PAS telah dipimpin oleh tujuh orang Yang Dipertua Agung/Presiden iaitu Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan (1951-1953), Dr Haji Abbas Alias (1953-1956), Profesor Dr Burhanuddin al-Helmy (1956-1969), Datuk Mohd Asri Muda (1969-1982), Tuan Haji Yusof Rawa (1982-1988), Dato' Fadzil Mohd Noor (1988-2002) dan Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (2002 hingga sekarang). Para pengkaji yang menganalisis perkembangan PAS ini mengatakan PAS telah mengalami empat jenis kepemimpinan iaitu kepemimpinan ulamak tradisi (1951-1956), kepemimpinan nasionalis kiri (1956-1969), kepemimpinan nasionalis kanan (1969-1982) dan kepemimpinan ulamak haraki (1982-sekarang)3. Dalam pada itu juga, mereka mengatakan PAS telah melalui empat tahap perkembangan iaitu tahap kemunculan (1951-1959), tahap kebangkitan (1959-1973), tahap kemuncak (1973-1977), tahap kejatuhan (1977-1990) dan tahap kebangkitan semula (1990-sekarang)4. Dari sudut pembinaan ideologi perjuangan PAS, dikatakan berlaku tiga fasa iaitu fasa penubuhan dan pembentukan ideologi (1951-1958), fasa pencernaan ideologi (1958-1982) dan fasa pengukuhan idelogi (1982-1995)5.
------------------------------------
1 Burhanuddin al-Helmy (1957), Panduan Jiwa Pergerakan, dlm. Suara Islam, Thn. 2, Bil. 1, Disember.
2 Burhanuddin al-Helmy (1960), Sambutan Kemerdekaan Kali Ketiga, Utusan Melayu, 31 Ogos.
3 Mohd Fadli Ghani (2003), Dewan Pemuda PAS: Suatu Kajian Terhadap Tahap-tahap Perkembangan Organisasi
Dalam Era Bertindak, 1975-2003, Tesis Sarjana Sastera, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi UKM, h. 27.
4 Wan Abdul Rahman Latif (1992), Parti-parti Politik di Malaysia: Asas Perjuangan dan Penerimaan Masyarakat,
dlm. Dunia Islam, Feb., h. 35.
5 Zambry Abd Kadir (1995), Religion and Politics: The Search for Political Legitimacy of The Pan-Islamic Party of
Malaysia, Tesis PhD, Temple University, h. 25-28.

My Blog List

Blog Archive

.