Kejayaan cemerlang PAS dalam pilihan raya umum ke-12
pada 2008 telah meletakkan PAS sebagai sebuah parti pembangkang utama
yang dilihat oleh rakyat berupaya mengambil alih pemerintahan negara.
Semenjak 1990, PAS telah melangkah maju daripada sebuah parti
pembangkang yang dianggap "ekstrem" menjadi sebuah parti pemerintah yang
moderat dalam melaksanakan cita-cita Islamnya bermula di Kelantan
semenjak 1990, kemudian ke Terengganu pada 1999 hingga 2004, dan kini
PAS mendapat kepercayaan rakyat di Kedah, Perak dan Selangor. Di
Parlimen juga, PAS telah bangkit dan menguasai 10 peratus daripada
kerusi Parlimen atau 25 peratus daripada keseluruhan kerusi pembangkang.
Perkembangan ini meletakkan PAS dalam perhatian peminat politik,
pengkaji dan juga penyelidik.
Sebenarnya, kemunculan PAS dalam sejarah politik
tanah air telah bermula semenjak 23 Ogos 1951 apabila para ulamak yang
bersidang di Kuala Lumpur bersetuju menubuhkan sebuah persatuan yang
dinamakan Persatuan Ulamak Se-Malaya. Nama persatuan ini kemudiannya
diubah menjadi Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) pada 24 November 1951,
dalam satu persidangan ulamak Malaya di Bagan Tuan Kecil (Butterworth),
Seberang Prai. Itulah sekelumit permulaan sejarah PAS yang diasaskan
oleh para ulamak yang kemudiannya berkembang menjadi sebuah pertubuhan
politico-dakwah yang penting di negara ini. Penglibatan dan sumbangan
PAS dala politik negara bermula sebaik sahaja ia ditubuhkan walaupun
ramai pengkaji mengatakan PAS hanya menyertai politik menjelang pilihan
raya 1955.
Kemunculan PAS ini dikatakan hasil daripada silang
pengaruh yang berlaku antara beberapa gerakan Islam yang lebih awal
seperti Ikhwanul Muslimun di Mesir, Masyumi di Indonesia dan Jamaat
Islami di Pakistan. Ketiga-tiga pengaruh ini telah menyerap masuk ke
Tanah Melayu melalui para ulamak yang belajar di Mesir, Mekah, India dan
Indonesia. Ksedaran yang awal ialah para ulamak atau umat Islam
memerlukan sebuah pertubuhan atau badan yang boleh mewakili mereka dalam
semua aspek kehidupan terutama dalam keadaan Tanah Melayu sedang
dijajah oleh British ketika itu. Longgokan ksedaran ini kemudiannya
menghasilkan Majlis Tertinggi Agama Malaya (MATA) pada 1947 diikuti oleh
Hizbul Muslimin pada 1948 kesan daripada usaha gigih Dr Burhanuddin
al-Helmy dan Ustaz Abu Bakar al-Baqir. Walau bagaimanapun, gerakan Islam
yang berpusat di Gunung Semanggol ini terkubur ekoran penguatkuasaan
Ordinan Darurat pada Jun 1948.
Para ulamak mengambil beberapa sikap selepas tragedi
darurat ini. Ada yang "tawakuf" daripada politik kepartian tetapi
menggerakkan kesedaran rakyat melalui institusi pendidikan atau media
massa. Dalam fraksi yang lain, para ulamak telah mengambil sikap untuk
menyertai parti nasionalis Umno bagi membolehkan isu-isu umat Islam
diperkatakan. Beberapa tokoh Hizbul Muslimin seperti Tuan Haji Ahmad
Fuad Hassan, seorang lepasan Maahad Il Ihya Assyariff, Gunung Semanggol
telah menyertai Umno pada 1950 dan dilantik mengetuai Bahagian Agama dan
Pelajaran Umno. Bahagian ini kemudiannya mengaturkan beberapa
persidangan untuk membolehkan ulamak menubuhkankan persatuan. Dalam
tulisannya, 'Ulamak Malaya Belum Bersatu dan Belum Punya Persatuan,
Haji Ahmad Fuad menyifatkan kedudukan ulamak ketika itu umpama sampah
yang tidak dihargai kerana tiada kekuatan. Lebih-lebih lagi ketika itu
ulamak telah muak dengan sikap Umno yang mengabaikan isu pemurtadan
Natrah, pengajuran judi loteri, fun fair, kaberat dan lain-lain. Dalam
satu persidangan ulamak yang dipimpin oleh Sheikh Abdullah Fahim, Mufti
Pulau Pinang di Seberang Perai pada 1951, mereka telah mengeluarkan
fatwa mengharamkan judi loteri anjuran Umno.
Dalam konflik pelbagai yang dihadapi oleh para ulamak
dan situasi politik semasa yang masih tidak menuju kepada jalan Allah
itu, maka para ulamak membuat pendirian untuk menubuhkan PAS. Haji Ahmad
Badawi, seorang ulamak di Seberang Perai telah mengeluarkan satu
manifesto yang dinamakan "Manifesto al-Badawi" dengan tema "Ulamak ke
Jalan Allah" bagi menyambut persidangan untuk menubuhkan PAS pada 24
November 1951. Mereka memutuskan supaya PAS menjadi sebuah pertubuhan
politik Islam yang memperjuangkan kemerdekaan melalui landasan demokrasi
ke arah membentuk sebuah negara yang diredhai Alah. Para ulamak menolak
bentukbentuk perjuangan yang diasaskan berdasarkan ideologi ciptaan
manusia yang dibawa masuk oleh penjajah.
Semenjak itulah, PAS muncul sebagai sebuah pertubuhan
politik Islam yang memperjuangkan kemerdekaan negara, kemudian
menyertai pilihan raya demi pilihan raya. PAS juga menggunakan pelbagai
saluran untuk menyampaikan mesej dakwahnya termasuk membentuk beberapa
kerjasama politik dengan orang bukan Islam semenjak 1953. Di bawah
kepemimpin Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan dan Dr Haji Abbas Alias, PAS
bercakap soal kemerdekaan yang boleh ditegakkan hukum Islam. PAS
menolak kerakyatan jus soli yang merugikan peribumi dan PAS mendesak
supaya Islam dijadikan dasar negara yang merdeka. Apabila Dr Burhanuddin
al-Helmy mengambil alih kepemimpinan PAS pada akhir 1956, PAS mula
memperincikan sikapnya terhadap kemerdekaan yang hendak dicapai yang
dianggap masih kosong dari matlamat sebenar kerana mengabaikan kebangsaan Melayu dan ketuanan Islam1. Hal ini tergambar daripada hasrat Dr Burhanuddin,
"Dalam perjuangan kita (PAS) bagi mencapai
kemerdekaan, kita telah dan terusmenerus memperjuangkan Melayu itu
sebagai kebangsaan bagi negara Tanah Melayu ini dengan bertapak di atas
asas ideologi Islam yang maha suci".
Penyertaan PAS dalam pilihan raya 1959 telah
memberikan kejayaan besar apabila Terengganu dan Kelantan berjaya
dikuasai. PAS membentuk kerajaan yang dipimpin oleh Mohd Daud Abdul
Samad di Terengganu dan Ustaz Ishak Lotfi Omar di Kelantan sebagai
Menteri Besar. PAS memulakan langkah sebagai kerajaan di dua negeri
Pantai Timur untuk menterjemahkan ideologi perjuangannya yang berasaskan
al-Quran dan Sunnah. Namun begitu, kerajaan PAS di Terengganu telah
dijatuhkan pada Oktober 1961 hasil permainan politik kotor Perikatan. Di
Kelantan, PAS berjaya bertahan sehingga BN mendaruratkan Kelantan pada
akhir 1977. Dalam konteks ini, PAS-lah satu-satunya pembangkang yang
diberikan kepercayaan oleh rakyat untuk memerintah kerajaan negeri di
negara ini.
Selepas kejatuhan Terengganu pada hujung 1961, PAS
mulai menerima tekanan-tekanan politik seperti penyalahgunaan ISA,
penahanan Dr Burhanuddin al-Helmy diikuti oleh sekatan politik,
keganasan Pemuda Tahan Lasak Umno dan beberapa siri pembunuhan politik.
Perjuangan PAS untuk memartabatkan kebangsaan Melayu Raya berasaskan
Islam telah dijadikan kambing hitam dalam Konfrantasi Indonesia pada
1963. PAS menolak pembentukan Malaysia kerana mahukan sebuah negara
Melayu yang lebih besar meliputi seluruh alam Melayu dibentuk. Dalam
masa yang sama Umno mencanangkan isu-isu perkauman yang akhirnya membawa
kepada beberapa siri perbalahan kaum di Pulau Pinang, Perak dan
Singapura antara 1964 hingga 1969, dan kemuncaknnya tercetus Tragedi 13
Mei 1969 yang mengubah landskap politik negara. Selepas tragedi ini,
Datuk Mohd Asri Muda yang memangku jawatan Yang Dipertua Agung PAS
semenjak 1965 telah dilantik sebagai Yang Dipertua Agung PAS pada 1971.
PAS memasuki era baru dalam politik negara apabila
PAS mula meneroka kerjasama dengan Umno bagi menjamin kestabilan politik
negara, mengekalkan ketuanan Melayu dan menyerapkan Islam dalam
pemerintahan. PAS menyertai beberapa parti lain telah membentuk Kerajaan
Campuran PAS-Perikatan pada 1973, kemudian sama-sama mengasaskan
Barisan Nasional (BN) pada 1974. BN mencapai kejayaan besar dalam
pilihan raya 1974 dan PAS sendiri telah berjaya menembusi ruang-ruang
yang baru sehingga membolehkan Islam di sampaikan ke corong telinga
rakyat dengan lebih berkesan. Walau bagaimanapun, keterbukaan PAS dalam
membentuk kestabilan politik negara telah disalahgunakan oleh
musuh-musuh politiknya dengan melaga-lagakan pimpinan PAS sehingga
terjadi krisis politik Kelantan pada 1977. Akibatnya, PAS telah menolak
Akta Darurat (Kelantan) 1977 yang menyebabkan PAS bukan sahaja
disingkirkan dari BN, tetapi turut kehilangan Kelantan.
Setelah melalui tempoh yang mencabar antara 1978
hingga 1982 di mana PAS terpaksa berhadapan dengan perpecahan,
kehilangan kuasa pemerintahan, tekanan ISA dan krisis kepemimpinan,
akhirnya PAS telah mengasaskan kepemimpinan ulamak pada Oktober 1982.
Tuan Haji Yusof Rawa telah diangkat untuk memimpin PAS bagi menggantikan
Datuk Mohd Asri yang meletakkan jawatan. Permulaan era kepemimpinan
ulamak memperlihatkan PAS kembali kepada asas perjuangannya untuk
mendaulatkan Islam dan memberikan penekanan terhadap kwajipan tersebut.
Gerakan dakwah PAS berkembang dengan lebih tersusun melalui pendekatan
haraki dan dalam masa yang sama PAS terus membina jambatan dakwah dengan
non-Muslim sehingga terbentuk Majlis Perundingan Cina (CCC). Di sudut
yang lain, pendekatan PAS telah disambut oleh kerajaan dengan
melaksanakan juzuk tertentu daripada Islam seperti Dasar Penerapan
Nilai-nilai Islam, Dasar Bersih, Cekap dan Amanah serta penubuhan Bank
Islam, Universiti Islam Antarabangsa dan lain-lain.
Paling mencabar pada era kepemimpinan ulamak ialah
beberapa siri penyalahgunaan ISA yang berlaku pada 1984, 1987 dan 1989,
ketimbang dengan desakan PAS untuk diadakan Debat Terbuka PAS-Umno pada
1984. Dalam kemelut ini, tercetus pula tragedi Memali pada November 1985
yang mengorbankan 14 orang ahli PAS. Tetapi, pada 1987, Umno pula
menghadapi krisis kepemimpinan sehingga parti tersebut diharamkan. Yang
Dipertua Agung PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor memanfaatkan kesempatan ini
dengan mewujudkan kerjasama politik dengan serpihan Umno, Semangat 46
yang membolehkan PAS berkuasa semula di Kelantan. Ketua Dewan Ulamak PAS
(kemudian Mursyidul Am PAS), Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat
diberikan kepercayaan untuk memimpin kerajaan Kelantan semenjak 1990.
Dengan dasar "Membangun Bersama Islam", PAS berjaya melaksanakan
tanggungjawabnya untuk menegakkan hukum Allah yang berada dalam bidang
kuasana.
Pada 1996, PAS mula berkrisis dengan Parti Melayu
Semangat 46 (PMS46) yang menyebabkan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang
dibentuk pada 1989 berpecah. Dua tahun kemudian, Umno sekali lagi
menghadapi perpecahan ekoran pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang
menyebabkan wujudnya gerakan Reformasi. PAS telah memimpin Majlis
Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) bagi menuntut keadilan kepada
rakyat, kemudian menubuhkan Barisan Alternatif (BA) pada 1999. Melalui
BA, PAS berjaya merampas semula Terengganu. Timbalan Presiden PAS, Datuk
Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang diamanahkan untuk mengetuai
kerajaan Terengganu sehingga 2004. Selepas pencapaian lemah PAS pada
2004 kerana momentum Perdana Menteri baru, PAS bangkit semula pada 2008
dengan mengetuai tiga kerajaan negeri dan turut serta dalam kerajaan di
Selangor. Kini, PAS dilihat sebagai pencabar utama Umno dalam menguasai
politik orang Melayu Islam.
Sepanjang tempoh 1951-2008 ini, PAS
telah dipimpin oleh tujuh orang Yang Dipertua Agung/Presiden iaitu Tuan
Guru Haji Ahmad Fuad Hassan (1951-1953), Dr Haji Abbas Alias
(1953-1956), Profesor Dr Burhanuddin al-Helmy (1956-1969), Datuk Mohd
Asri Muda (1969-1982), Tuan Haji Yusof Rawa (1982-1988), Dato' Fadzil
Mohd Noor (1988-2002) dan Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
(2002 hingga sekarang). Para pengkaji yang menganalisis perkembangan PAS
ini mengatakan PAS telah mengalami empat jenis kepemimpinan iaitu
kepemimpinan ulamak tradisi (1951-1956), kepemimpinan nasionalis kiri
(1956-1969), kepemimpinan nasionalis kanan (1969-1982) dan kepemimpinan
ulamak haraki (1982-sekarang)3. Dalam pada itu juga, mereka
mengatakan PAS telah melalui empat tahap perkembangan iaitu tahap
kemunculan (1951-1959), tahap kebangkitan (1959-1973), tahap kemuncak
(1973-1977), tahap kejatuhan (1977-1990) dan tahap kebangkitan semula
(1990-sekarang)4. Dari sudut pembinaan ideologi perjuangan
PAS, dikatakan berlaku tiga fasa iaitu fasa penubuhan dan pembentukan
ideologi (1951-1958), fasa pencernaan ideologi (1958-1982) dan fasa
pengukuhan idelogi (1982-1995)5.
------------------------------------
1 Burhanuddin al-Helmy (1957), Panduan Jiwa Pergerakan, dlm. Suara Islam, Thn. 2, Bil. 1, Disember.
2 Burhanuddin al-Helmy (1960), Sambutan Kemerdekaan Kali Ketiga, Utusan Melayu, 31 Ogos.
3 Mohd Fadli Ghani (2003), Dewan Pemuda PAS: Suatu Kajian Terhadap Tahap-tahap Perkembangan Organisasi
Dalam Era Bertindak, 1975-2003, Tesis Sarjana Sastera, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi UKM, h. 27.
4 Wan Abdul Rahman Latif (1992), Parti-parti Politik di Malaysia: Asas Perjuangan dan Penerimaan Masyarakat,
dlm. Dunia Islam, Feb., h. 35.
5 Zambry Abd Kadir (1995), Religion and Politics: The Search for Political Legitimacy of The Pan-Islamic Party of
Malaysia, Tesis PhD, Temple University, h. 25-28.
2 Burhanuddin al-Helmy (1960), Sambutan Kemerdekaan Kali Ketiga, Utusan Melayu, 31 Ogos.
3 Mohd Fadli Ghani (2003), Dewan Pemuda PAS: Suatu Kajian Terhadap Tahap-tahap Perkembangan Organisasi
Dalam Era Bertindak, 1975-2003, Tesis Sarjana Sastera, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi UKM, h. 27.
4 Wan Abdul Rahman Latif (1992), Parti-parti Politik di Malaysia: Asas Perjuangan dan Penerimaan Masyarakat,
dlm. Dunia Islam, Feb., h. 35.
5 Zambry Abd Kadir (1995), Religion and Politics: The Search for Political Legitimacy of The Pan-Islamic Party of
Malaysia, Tesis PhD, Temple University, h. 25-28.
0 comments:
Post a Comment