PASCA MUKTAMAR Get our latest posts by subscribing this site

Agenda Bertindak Pemuda PAS (6-10)

Oleh Suhaizan Kaiat
(Halatuju Siri 4 - 28hb Mei 2015)

6. PROJEK RUMAH BUDIMAN (PRB)

Mengikut maklumat sehingga 14 Mei 2015 terdapat 1,821 unit rumah yang musnah dalam banjir besar di Kelantan pada Disember 2014. Kawasan yang terlibat adalah Gua Musang, Kuala Krai, Tanah Merah, Machang, Tumpat, Kota Baharu dan Pasir Mas.

Tanggungawab Kerajaan Negeri adalah membina 600 unit dan telah menyiapkan 48 buah rumah. Tanggungjawab Kerajaan Persekutuan adalah membina 1,221 buah rumah. Malangnya setakat ini hanya berjaya menyiapkan 6 buah rumah sahaja iaitu 0.5% sahaja.

Pemuda PAS telah menyiapkan 5 buah Rumah Budiman yang telah didiami di Manik Urai. Jika perbandingan dibuat di antara prestasi sebuah kerajaan dan sebuah sayap parti maka prestasi pemuda PAS lebih baik daripada Kerajaan Persekutuan.

Rakyat yang kehilangan rumah sebahagian besarnya adalah masyarakat yang berpendapatan rendah. Tanpa rumah kekal, mereka berada di khemah-khemah sementara, menyewa dan menumpang di rumah saudara mara.

Jika mangsa banjir tidak mendapat rumah sehingga Pilihan Raya Umum ke-14 maka isu rumah boleh menggugat Kerajaan Negeri Kelantan.

UMNO dan Barisan Nasional akan melambat-lambatkan pembinaan rumah mangsa dan akan menggunakan isu kegagalan Kerajaan Negeri Kelantan menyediakan rumah magsa banjir. Justeru Pemuda PAS mestilah terus berusaha mendapatkan dana bagi membina Rumah Budiman sebagai usaha membantu meringankan beban Kerajaan Negeri Kelantan.

7. MENGARUS-PERDANAKAN PENYELIDIKAN DALAM GERAK KERJA PEMUDA

Untuk menjadi satu sayap parti yang berkesan, Pemuda mestilah menerapkan budaya kerja berkualiti dalam setiap program yang kita laksanakan. Kita tidak mahu hanya berbangga dengan kuantiti tetapi soal kualiti terabai. Kita tidak mahu apa juga program yang dilakukan, ia dibuat secara adhoc semata-mata. Perancangan mestilah dibuat setiap awal sesi agar perancangan yang lebih rapi dapat dilakukan.

Kita akui bahawa kajian lapangan memerlukan kos yang tinggi. Untuk berbelanja sekitar ratusan ribu ringgit untuk sesuatu kajian yang terperinci dan tepat bukan dalam keupayaan kita pada masa ini.
Apa yang boleh dilakukan oleh Pemuda pada masa ini adalah mengambil manfaat daripada kajian-kajian ilmiah dari menara gading dan pelbagai badan pemikir luar dan diwacanakan di peringkat akar umbi baik di peringkat pusat, negeri, kawasan mahupun cawangan.

Untuk pembudayaan penyelidikan yang tidak memerlukan kos yang tinggi, saya menyarakan agar organisasi Pemuda di peringkat negeri dan kawasan agar mula menggiatkan usaha penyelidikan dan penerbitan buku agar ia dapat dimanfaatkan oleh ahli-ahli Pemuda yang lain.

Misalnya Pemuda PAS Selangor boleh menerbitkan 5 buah buku setahun mengenai analisis politik dan ekonomi di Selangor atau apa jua isu yang melingkari masyarakat khususnya anak muda Melayu agar mereka lebih memahami isu-isu sekitar mereka dengan kaca mata yang lebih luas dan matang. Pemuda adakan menganjurkan beberapa bengkel penulisan agar penulis-penulis muda dapat dilahirkan oleh Pemuda PAS Malaysia.

8. KOPERASI PEMUDA PAS MALAYSIA (KOMUDA)

Penubuhan Jabatan Pembangunan Usahawan atau Usahawan IMPAK adalah suatu yang sangat membanggakan Pemuda. Ini kerana, sambutan yang diberikan oleh anak muda untuk setiap program IMPAK adalah cukup baik. Tetapi kita perlu akui bahawa ia masih di peringkat permulaan untuk suatu agenda yang lebih besar.

Kita harus mengakui bahawa sebagai sebuah sayap penting parti politik, Pemuda PAS perlu mempunyai dana dan aset yang teguh dan kukuh. Kita perlu berusaha untuk menubuhkan sebuah koperasi atau konsortium perniagaan yang mampu menjana pendapatan sekurang-kurangnya RM1 juta setahun.

Walaupun PAS pernah dilihat kurang berjaya dengan beberapa projek ekonomi terdahulu, tetapi kita perlu belajar dari sejarah dan bersedia untuk memperbaikinya semula. Justeru, Pemuda PAS Malaysia perlu memulakan langkah ke arah menubuhkan sebuah koperasi yang melibatkan Pemuda PAS seluruh negara iaitu Koperasi Pemuda PAS Malaysia (KOMUDA).

Dengan modal saham serendah RM50.00 seumur hidup, KOMUDA dijangka mampu mengumpulkan sejumlah RM500,000.00 sebagai dana permulaan. Kita akan memulakan perniagaan dalam beberapa bidang perniagaan yang strategik dan tidak melibatkan risiko yang tinggi.

9. MENYEGARKAN SEMULA WACANA NEGARA BERKEBAJIKAN

Sebagaimana yang kita tahu, dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-12 iaitu pada tahun 2008 yang lalu, PAS dengan beraninya telah menggagaskan agenda Negara Berkebajikan sebagai suatu penjenamaan baru terhadap agenda negara Islam yang kita laungkan sejak dahulu lagi.

Prinsip-prinsip dalam Negara Berkebajikan telah didokumenkan dalam Buku Hijau Negara Berkebajikan PAS. Walau bagaimanapun, usaha memperjuangkan Negara Berkebajikan seakan-akan terhenti dan senyap tanpa ada usaha yang bersepadu untuk meneruskannya.

Justeru, Pemuda akan meneruskan langkah Negara Berkebajikan PAS dengan memperincikan setiap perkara yang telah digariskan dalam dokumen tersebut dengan mengambil-kira aspirasi masyarakat khususnya anak muda. Adalah penting untuk kita mendagingkan setiap rangka yang telah diwujudkan agar rakyat lebih jelas agenda yang kita ingin perjuangkan.

Institut Kajian Polisi (IKP), Jabatan Pendidikan Politik dan beberapa lagi jabatan berkaitan akan ditugaskan untuk tujuan tersebut. Hasilnya, kita mahu satu dokumen yang lebih lengkap dan menyeluruh dapat diterbitkan sebagai rujukan utama pada masa akan datang.

10. PENDIDIKAN ISLAM YANG MENYELURUH

Sebagai kesinambungan pendidikan awal kanak-kanak yang telah digerakkan oleh PASTI jayanya, Pemuda berpendapat bahawa penubuhan sekolah rendah kendalian Pemuda hendaklah digerakkan secara bersungguh-sungguh di kawasan masing-masing menjelang 2016.

Pemuda melalui Jabatan Pembangunan Sekolah Rendah (JPSR) telah menyediakan kurikulum sekolah rendah yang bersifat islamik untuk digunakan oleh semua sekolah rendah kendalian Pemuda. Pada masa ini sebanyak 7 buah sekolah telah menggunakan kurikulum JPSR. Kita yakin, sekolah-sekolah rendah milik Pemuda ini akan berkembang dan berjaya sebagaimana PASTI pada hari ini.
www.suhaizan.net

1.Mempersiap Generasi Kemenangan

2.Membina Generasi Al-Helmy

3Agenda Bertindak Pemuda PAS Malaysia (1-5)

 

 

Agenda Bertindak Pemuda PAS Malaysia (1-5)

Oleh Suhaizan Kaiat
(Halatuju Siri 3 – 27hb Mei 2015)


Pemuda PAS Malaysia telah mengariskan enam agenda yang sedang dan telah dilaksanakan pada waktu ini. Berikut adalah enam agenda tersebut

(a) Mencetus dan menjuarai isu rakyat secara konsisten, sistematik dan berkesan.

(b) Memantapkan hubungan(Engagement) dengan komponen Pakatan Rakyat, Gerakan Masyarakat Madani, NGO Islam, Media, Anak Muda dan organisasi luar negara.

(c) Mengerakan agenda bersepadu untuk mengusai sokongan pengundi melayu muda.

(d) Menerokai pendekatan dakwah yang lebih kreatif dan berkesan.

(e) Memperkukuhkan pengurusan tarbiyah dan perkaderan dengan lebih dinamik.

(f) Memperkasa sistem pengurusan dan komunikasi dalam organisasi.

Bagi memenuhi agenda diatas, saya mencadangkan 10 agenda bertindak untuk dilaksanakan oleh bakal exco Pemuda PAS pada sessi akan datang iaitu:

1. MEMBANGUN GENERASI AL-HELMY
 (Telah dinyatakan dalam halatuju siri 2 – 26hb Mei 2015)

2. MEMPERTAHANKAN AMANAH & HARAPAN RAKYAT

Berdasarkan kepada statistik PRU yang lalu, adalah sangat jelas bahawa rakyat majoriti telah memberian harapan yang sangat tinggi kepada Pakatan Rakyat. 5,623,984 pengundi 50.87 peratus yang telah memilih Pakatan Rakyat adalah satu angka yang sangat tinggi dan tidak pernah dicapai oleh mana-mana gabungan parti pembangkang sebelum ini.

Jika kita mengambil ringan atau bertindak mengkhianati harapan rakyat ini, maka dibimbangi rakyat akan menghukum kita dalam pilihan raya yang akan datang. Justeru adalah amat penting untuk kita pertahankan Pakatan Rakyat.

Mungkin ada dalam kalangan pemuda yang percaya bahawa berjuang sendirian adalah jalan yang terbaik. Tetapi lupakah kita dengan pencapaian sewaktu kita sendirian dahulu?

Lupakah kita sewaktu PAS hanya menang 1 kerusi parlimen dalam pilihan raya umum 1986 walaupun kita bertanding di 98 buah kerusi parlimen? Adakah kita mahu mengulangi saat kita lemah dan tertindas dahulu?

Juster Pemuda perlu mempertahankan muafakat yang telah dibina. Pemuda perlu bertegas dengan suara-suara yang berpotensi untuk membawa kepada perpecahan Pakatan Rakyat.
Jangan sesekali membenarkan muafakat yang dibina oleh pemimpin kita terdahulu termasuk oleh Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Almarhum Ustaz Fadzil Noor ini dimusnahkan oleh nafsu amarah dan kecuaian kita semata-mata.

3. POLITIK SEDERHANA

Politik Budiman yang telah digagaskan dalam muktamar yang lepas adalah politik yang berbudi, berakal dan bijaksana. Ia merupakan satu pendekatan politik yang sederhana. Pendekatan sederhana adalah latarbelakang kepada politik dalam negara ini.

Islam datang ke negara ini melalui saluran dakwah bukannya melalui jalan perperangan. Tanah Melayu mendapat kemerdekaan adalah melalui perjanjian dengan penjajah British bukannya melalui pertumpahan darah. Tidak pernah berlaku revolusi dalam negara tercinta ini.

Realitinya rakyat negara menolak politik yang keras dan ekstrem. Mana-mana parti politik yang dapat digambarkan sebagai ganas dan melampau akan ditolak oleh rakyat. Setakat ini tiada pendekatan politik yang keras dapat menawan hati rakyat negara ini.

Rakyat berbilang agama dan bangsa tidak suka bermusuhan antara satu sama lain. Mereka mahu hidup harmoni, aman dan damai. Pemuda sewajarnya mewajahkan PAS dengan pendekatan yang sederhana melalui pendekatan politik budiman. Rasulullah S.A.W bersabda “ Sebaik-baik perkara adalah sederhana” Riwayat Tarmizi

4. AKTIVIS MAHASISWA CALON PIPIHANRAYA KE-14

Pemuda PAS Malaysia wajar mengangkat suara mahasiswa pada kedudukan yang tinggi dan strategik iaitu dengan mencadangkan kepada PAS dan PR seorang calon kerusi parlimen kepada aktivis Mahasiswa sama ada mahasiswa yang sedang menuntut ataupun yang masih berada dalam tempoh 3 tahun selepas bergraduasi.

Pentingnya mahasiswa dilantik sebagai ahli parlimen adalah supaya setiap isu yang melibatkan mahasiswa dapat diangkat di Dewan Rakyat. Selepas lebih 5 dekad mahasiswa diperbudakkan melalui akta AUKU, Pemuda mahu membebaskan mahasiswa dengan satu langkah berani agar mahasiswa tidak terus rasa kerdil dan mudah dipergunakan.

5. PROJEK ANJUNG BUDIMAN

Anak muda adalah pelanggan utama Pemuda PAS Malaysia dalam konteks untuk disantuni dan diperjuangkan agenda mereka. Kita sedar bahawa mutakhir ini, isu utama yang membelenggu anak muda adalah soal kerjaya dan kos sara hidup yang semakin tinggi. Ditambah dengan sistem pendidikan negara yang semakin merosot, kualiti graduan kita acapkali dipersoalkan.

Justeru, Pemuda PAS perlu memartabatkan anak muda dengan beberapa pelan tindakan yang konstruktif. Pemerkasaan jati diri anak muda Malaysia perlu dibuat secara berstruktur dan berpusat.
Anak muda perlukan bimbingan dalam kerjaya mereka contohnya dalam bidang keusahawanan. Mereka perlukan rakan berbincang, kursus kemahiran, perkongsian pengalaman, bimbingan agama, khidmat kaunseling dan lain-lain lagi.

Projek Anjung Budiman adalah satu projek menempatkan sekumpulan anak muda dalam satu kumpulan di mana mereka mendapat bimbingan untuk maju ke hadapan.

Pemuda PAS bukan pemberi modal atau menyediakan peluang pekerjaan. Pemuda PAS hanya menyediakan tempat penginapan untuk disewa dan menyediakan modul pembangunan motivasi yang islamik untuk membimbing mereka sehingga berjaya.

Peserta yang terpilih akan mengikuti aktiviti secara berkala semaada pada setiap hujung minggu atau setiap hujung bulan.

(Agenda bertindak pemuda ke6 hingga 10 akan disambung dalam halatuju siri 4) ‪#‎MoveForward‬

Membina Generasi Al-Helmy

Oleh Suhaizan Kaiat
(Halatuju Siri 2 - 26hb Mei 2015)

1
. Pemuda Al-Helmi mempunyai elemen rabbani pada jiwanya, faqih akal fikirannya dan haraki pada tindakannya adalah bersumber daripada firman Allah S.W.T dalam surah Al-Kahfi Ayat 13 dan 14 yang bermaksud :

Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk. Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka berdiri (menegaskan tauhid) lalu berkata: "Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran." 

2. Dalam ayat di atas Allah telah nyatakan:

(a) Pertama: [amanu birabbihim] bermaksud “mereka pemuda yang beriman” sebagai tanda RABBANI.

(b) Kedua : [zidnahum huda] bermaksud “Dan Kami tambahkan hidayah petunjuk” sebagai tanda FAQIH di mana Allah telah memberi petunjuk agar Ashabul Kahfi boleh menggunakan hujah yang terbaik di depan pemerintah pada hari perayaan.

(c) Ketiga: [iz qaamuuu faqaluu] bermaksud “Ketika berdiri lalu berkata” sebagai tanda HARAKI. Asy Syahid Syed Qutub menyatakan Haraki itu adalah meninggalkan “duduk” dalam zon selesa kepada “berdiri” dalam zon mencabar.

3. Secara kesimpulannya Pemuda Al-Helmy memiliki sifat dan kualiti yang berikut:

(a) Menguasai asas-asas ilmu Islam dengan mantap. Mereka juga ghairah mendampingi para ulama’ dan intelektual Islam untuk terus menghadam nas-nas syara’ dengan method yang sahih;

(b) Tajam dan objektif dalam memahami realiti dakwah dan siasah tanah air yang begitu rencam. Juga tinggi kesedaran dan pemahaman terhadap realiti Ummah di peringkat global;

(c) Ikhlas dan istiqamah dalam Ibadah;

Memiliki akhlak yang mulia dan beradab tinggi sesama sahabat mahupun musuh. Matang dan bijaksana dalam menangani ikhtilaf(perbezaan);

(d) Semangat KEKITAAN yang tinggi dan bukannya keakuan atau kepuakan;

Prihatin dan tangkas dalam menyantuni keperitan rakyat;

(e) Berkeupayaan tinggi dan memiliki kepakaran dalam lapangan-lapangan tertentu sama ada dalam aspek ekonomi, pendidikan, sains & teknologi, sastera & budaya, pengurusan organisasi, agama dan sebagainya; dan

(f) Berwawasan besar dan optimistik terhadap kemenangan Islam.

4. Pemuda PAS bertanggungjawab membangunkan generasi kemenangan mengikut acuanya yang tersendiri. Generasi kemenangan adalah generasi yang akan mengisi kemenangan dalam pilihanraya ke-14 akan datang.

5. Pembangunan generasi kemenangan ini akan dipacu oleh sistem tarbiyah yang dinamik. Agensi-agensi Pemuda PAS yang akan berperanan membangunkan generasi Al-Helmy adalah Lujnah Tarbiyah, Akademi Kepimpinan Pemuda(AKP), Jabatan Pembangunan Mahasiswa(JPM), Jabatan Pembangunan Graduan(JPG) dan Akademi Kepimpinan Remaja(AKR). Agensi-agensi ini perlu membangunkan module yang berkesan untuk melahirkan generasi harapan rakyat Malaysia.

6. Pembangunan generasi Al-Helmy bakal menghadapi cabaran yang besar untuk dijayakan. Agenda ini berada ditengah-tengah kehangatan ikhtilaf (perbezaan) yang berlaku dalam PAS.

7. Justeru agenda ini perlu dipimpin oleh kumpulan mereka yang amanah, berilmu, berani, cerdas mindnya dan kuat semangatnya. Cabaran ini sangat bersesuaian dengan persiapan memegang amanah menguasai Putrajaya pada masa akan datang. Insya Allah.

"Mempersiap Generasi Kemenangan, Membangun Generasi AL-HELMY"

www.suhaizan.net

Mempersiap Generasi Kemenangan


Oleh Suhaizan Bin Kaiat
(Halatuju Siri 1 - 25 Mei 2015)


1. Ramai yang bertanya apakah halatuju saya untuk membawa Pemuda PAS dalam sessi akan datang. Saya ingin jelaskan bahawa halatuju saya adalah mempersiapkan Pemuda PAS Malaysia sebagai generasi kemenangan bagi menghadapi pilihanraya ke-14 akan datang.

2. Perkembangan politik negara pada masa ini menunjukkan desakan yang semakin kuat ke arah perubahan dalam menggantikan regim UMNO Barisan Nasional yang telah sekian lama berkuasa. Regim yang berleluasa memerah hasil bumi negara ini sehingga ke paras hutang negara dan isirumah yang menjerut leher serta keruntuhan akhlak dan moral rakyat ke tahap yang terendah dan sangat menakutkan.

3. Parti pemerintah UMNO pada masa ini menghadapi masalah dalaman yang cukup rumit. Pertembungan antara Dato Sri Najib dan Tun Dr Mahathir sudah sampai di kemuncaknya. Sama ada Dato Sri Najib menang atau Tun Dr Mahathir yang menang, UMNO tetap akan tercedera untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14. Rakyat akan terus menolak BN dalam pilihanraya akan datang. InsyaAllah Pakatan Rakyat akan menjadi pilihan rakyat Malaysia dalam pilihan raya akan datang.

4. Adalah menjadi kewajipan bagi kita untuk memastikan bahawa Pemuda PAS bukan sekadar menjadi penumpang atau tempelan kepada perubahan yang diinginkan, sebaliknya menjadi teraju utama, perencana agenda dan pemain terpenting yang tidak mungkin dikesampingkan. Justeru generasi kemenangan ini mesti dipersiapkan di setiap jiwa para pemuda PAS untuk menghadapi kemenangan dalam tempoh tidak sampai 3 tahun daripada sekarang. Inilah yang sepatutnya diberi fokus Pemuda PAS pada sessi akan datang.

5. 18 bulan yang yang telah dilalui dalam sessi 2013-2015 adalah terlalu pendek. Pemuda PAS Malaysia telah melaluinya dengan penuh cabaran ditengah-tengah masalah dalaman dan kegelisahan rakyat terhadap halatuju PAS waktu ini. Dalam tempoh 18 bulan Pemuda PAS Malaysia hanya boleh bergerak dengan berkesan pada 9 bulan kedua selepas rombakan kecil exco Pemuda PAS Malaysia sejurus muktamar yang lepas. Rombakan terhadap jawatan Setiausaha dan Ketua Penerangan Pemuda PAS telah banyak membantu pergerakan pemuda berbanding sebelum muktamar yang lepas.

6. Hasilnya Pemuda PAS dapat mencetuskan dan melaksanakan idea Projek Rumah Budiman. Ini adalah projek rumah mangsa banjir di Kelantan. Setakat ini Pemuda PAS telah mengutip dana lebih daripada setengah juta ringgit Malaysia. 5 buah rumah telah siap dibina dan 10 buah lagi dalam proses pembinaan. Kerajaan Persekutuan baru menyiapkan 6 buah rumah sahaja setakat ini. Jika perbandingan dibuat di antara prestasi sebuah kerajaan dan sebuah sayap parti maka prestasi pemuda PAS lebih baik daripada Kerajaan Persekutuan.

7. Pemuda PAS juga telah menjadi sekretariat Himpunan Hari Pekerja ‪#‎batalGST‬ pada 1hb Mei 2015 yang lepas. Parti politik dan NGO telah bersama dalam penganjuran himpunan ini. Ribuan rakyat Malaysia tidak kira agama mahupun bangsa telah hadir membantah GST. Mereka berarak dan berkumpul di hadapan KLCC. Kerajaan BN rasa tergugat dengan himpunan ini telah membuat tangkapan terhadap pimpinan utama NGO dan Pakatan Rakyat. Inilah sedikit sumbangan Pemuda PAS Malaysia untuk membantu rakyat Malaysia yang tertindas.

8. Pusat Asuhan Tunas-tunas Islam (PASTI) dibawah Pemuda PAS Malaysia telahmenjadi kebangaan semua apabila telah memiliki lebih 100 ribu pelajarnya pada tahun ini. PASTI telah menjadi pusat asuhan kanak-kanak pra-sekolah swasta yang terbesar dalam negara ini. Pemuda PAS telah dan sedang mengembangkan pendidikan diperingkat sekolah rendah pada waktu ini.

9. Dalam meredakan kehangatan politik dalaman PAS mutakhir ini. Pemuda PAS Malaysia telah mengangkat idea Presiden PAS Dato Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dengan menganjurkan Nadwah Fiqh Ikhtilaf(Seminar Perbezaan Pendapat). Seminar ini mendedahkan kepada peserta berkenaan adab-adab dalam menguruskan perbezaan pendapat. Kehadiran peserta seluruh negara yang sangat membanggakan memberi isyarat adanya cahaya dihujung trowong yang mahukan pendekatan politik budiman iaitu satu pendekatan politik sederhana dalam PAS.

10. Prestasi Pemuda PAS Malaysia dalam sessi lepas telah menjadi bukti kesungguhan pemuda untuk menjadi pengisi kepada kemenangan selepas pilihanraya ke-14 akan datang. Soalnya apakah rekabantuk generasi kemenangan ini?

11. Generasi kemenangan yang diimpikan oleh Pemuda PAS Malaysia adalah mereka yang memiliki tarbiyah harakiyah Islamiyah yang bersifat KAFFAH iaitu menyeluruh. Saya ingin mengagasan Pemuda Al-Helmy sebagai gagasan pemuda kemenangan. Pemuda Al-Helmy adalah Pemuda yang memiliki pakej Rabbani, Faqih dan Haraki.

12. RABBANI merujuk kepada pengukuhan tarbiah ruhiyyah yang mantap sehingga melahirkan nafsiah muslimah iatu jiwa yang mantap dengan tazkiyatun nafs yang konsisten dan bersungguh-sungguh. Keutuhan ruh inilah yang akan meniupkan daya juang untuk terus konsisten. Pemuda RABBANI juga adalah pemuda yang memelihara ukhuwwah Islamiyah dan menyantuni para muslimin khususnya kepada sahabat-sahabat seperjuangannya. Proses tazkiyatun nafs ini juga melahirkan para pemuda yang tawadhuk dan mudah berlapang dada dalam menyantuni ikhtilaf di kalangan para aktivis pemuda. Pemuda RABBANI bijak menangkis anak panah fitnah yang beracun sama ada daripada menembusi tubuh saudaranya atau tubuhnya sendiri.

13. FAQIH merujuk kepada sifat aqliyah muslimah iaitu minda yang mantap dengan fikrah dan kefahaman Islam yang sahih dan syumul. Sheikh Dr Yusuf al Qaradhawi menyebutkan bahawa rijal al taghyir (generasi perubahan) hendaklah berusaha menguasai dua peringkat fiqh yang penting iaitu Fiqh al Shar’i atau Fiqh al Nusus dan Fiqh al Waqi’. Fi al Nusus bermaksud memahami nas-nas syarak dan maqasid di sebalik nas-nas tersebut. Fiqh al Waqi’ pula bermaksud memahami realiti semasa berdasarkan maklumat-maklumat yang mendalam dan tepat. Justeru Pemuda PAS harus melipatkan usaha untuk memantapkan pemahaman terhadap nas –nas Al Quran dan Al Sunnah melalui pelbagai platform majlis ilmu termasuklah usrah, kuliah, tamrin dan sebagainya. Pemahaman terhadap nas mesti berjalan seiring dengan pemahaman terhadap realiti semasa supaya perlaksanaan nas tidak kelihatan canggung lantaran kecelaruan dalam menekuni realiti.

14. HARAKI bermaksud pemuda yang sentiasa bergerak dalam pelbagai lapangan amal Islam dengan penuh kompeten sehingga memberi manfaat kepada Ummah dan kejayaan kepada Islam. Kunci kata kepada ciri HARAKI ini adalah AMAL dan KOMPETENSI. Kita tidak mahu pemuda yang hanya berteori, berkuliah dan berwacana tetapi tidak turun ke lapangan untuk merealisasikan amal Islami dan menjadi khadam kepada rakyat. Amal biarpun ikhlas, tanpa kompetensi akan menyebabkan amal tersebut tidak efisen dan berimpak tinggi. Justeru Pemuda haruslah terus berusaha menajamkan kemahiran dan keupayaan dan membina kepakaran dalam pelbagai bidang kerana kemahiran ini akan memaknakan sumbangan kita kepada Ummah.

15. Nama Al-Helmy diambil adalah daripada nama Yang Dipertua Agung PAS ketiga iaitu Dr Burhanuddin Al-Helmy. Beliau yang mempunyai ciri-ciri rabbani, faqih dan haraki telah berjaya meletakkan PAS dalam arus perdana gelanggang politik Malaysia. PAS di bawah kepemimpinannya berjaya melonjakkan jumlah kerusi parlimen daripada 1 kerusi dalam pilihan raya 1955 kepada 13 kerusi dalam pilihan raya 1959 selainberjaya menawan negeri Kelantan dan Terengganu dalam pilihan raya 1959. Ciri rabbaninya telah memberi ketahanan pada jiwanya yang ditahan beberapa kali dalam penjara. Ciri Faqihnya dalam ilmu Fiqh al Nusus dan Fiqh al Waqi’ telah meletakkan beliau setanding dengan pimpinan sezaman dengannya seperti Tunku Abdul Rahman, Dato Onn Jaafar, Ahmad Boestamam dan lain-lain. Ciri harakinya telah membawa beliau terjun ke tengah-tengah masyarakat dengan membawa idea-idea Islamik yang mampu dicerna dan diterima oleh masyarakat.

My Blog List

Blog Archive

.