Oleh Suhaizan Kaiat
(Halatuju Siri 3 – 27hb Mei 2015)
Pemuda PAS Malaysia telah mengariskan enam agenda yang sedang dan telah
dilaksanakan pada waktu ini. Berikut adalah enam agenda tersebut
(a) Mencetus dan menjuarai isu rakyat secara konsisten, sistematik dan berkesan.
(b) Memantapkan hubungan(Engagement) dengan komponen Pakatan Rakyat,
Gerakan Masyarakat Madani, NGO Islam, Media, Anak Muda dan organisasi
luar negara.
(c) Mengerakan agenda bersepadu untuk mengusai sokongan pengundi melayu muda.
(d) Menerokai pendekatan dakwah yang lebih kreatif dan berkesan.
(e) Memperkukuhkan pengurusan tarbiyah dan perkaderan dengan lebih dinamik.
(f) Memperkasa sistem pengurusan dan komunikasi dalam organisasi.
Bagi memenuhi agenda diatas, saya mencadangkan 10 agenda bertindak
untuk dilaksanakan oleh bakal exco Pemuda PAS pada sessi akan datang
iaitu:
1. MEMBANGUN GENERASI AL-HELMY
(Telah dinyatakan dalam halatuju siri 2 – 26hb Mei 2015)
2. MEMPERTAHANKAN AMANAH & HARAPAN RAKYAT
Berdasarkan kepada statistik PRU yang lalu, adalah sangat jelas bahawa
rakyat majoriti telah memberian harapan yang sangat tinggi kepada
Pakatan Rakyat. 5,623,984 pengundi 50.87 peratus yang telah memilih
Pakatan Rakyat adalah satu angka yang sangat tinggi dan tidak pernah
dicapai oleh mana-mana gabungan parti pembangkang sebelum ini.
Jika kita mengambil ringan atau bertindak mengkhianati harapan rakyat
ini, maka dibimbangi rakyat akan menghukum kita dalam pilihan raya yang
akan datang. Justeru adalah amat penting untuk kita pertahankan Pakatan
Rakyat.
Mungkin ada dalam kalangan pemuda yang percaya bahawa
berjuang sendirian adalah jalan yang terbaik. Tetapi lupakah kita dengan
pencapaian sewaktu kita sendirian dahulu?
Lupakah kita sewaktu PAS
hanya menang 1 kerusi parlimen dalam pilihan raya umum 1986 walaupun
kita bertanding di 98 buah kerusi parlimen? Adakah kita mahu mengulangi
saat kita lemah dan tertindas dahulu?
Juster Pemuda perlu
mempertahankan muafakat yang telah dibina. Pemuda perlu bertegas dengan
suara-suara yang berpotensi untuk membawa kepada perpecahan Pakatan
Rakyat.
Jangan sesekali membenarkan muafakat yang dibina oleh
pemimpin kita terdahulu termasuk oleh Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz
Nik Mat dan Almarhum Ustaz Fadzil Noor ini dimusnahkan oleh nafsu amarah
dan kecuaian kita semata-mata.
3. POLITIK SEDERHANA
Politik Budiman yang telah digagaskan dalam muktamar yang lepas adalah
politik yang berbudi, berakal dan bijaksana. Ia merupakan satu
pendekatan politik yang sederhana. Pendekatan sederhana adalah
latarbelakang kepada politik dalam negara ini.
Islam datang ke
negara ini melalui saluran dakwah bukannya melalui jalan perperangan.
Tanah Melayu mendapat kemerdekaan adalah melalui perjanjian dengan
penjajah British bukannya melalui pertumpahan darah. Tidak pernah
berlaku revolusi dalam negara tercinta ini.
Realitinya rakyat
negara menolak politik yang keras dan ekstrem. Mana-mana parti politik
yang dapat digambarkan sebagai ganas dan melampau akan ditolak oleh
rakyat. Setakat ini tiada pendekatan politik yang keras dapat menawan
hati rakyat negara ini.
Rakyat berbilang agama dan bangsa tidak
suka bermusuhan antara satu sama lain. Mereka mahu hidup harmoni, aman
dan damai. Pemuda sewajarnya mewajahkan PAS dengan pendekatan yang
sederhana melalui pendekatan politik budiman. Rasulullah S.A.W bersabda “
Sebaik-baik perkara adalah sederhana” Riwayat Tarmizi
4. AKTIVIS MAHASISWA CALON PIPIHANRAYA KE-14
Pemuda PAS Malaysia wajar mengangkat suara mahasiswa pada kedudukan
yang tinggi dan strategik iaitu dengan mencadangkan kepada PAS dan PR
seorang calon kerusi parlimen kepada aktivis Mahasiswa sama ada
mahasiswa yang sedang menuntut ataupun yang masih berada dalam tempoh 3
tahun selepas bergraduasi.
Pentingnya mahasiswa dilantik sebagai
ahli parlimen adalah supaya setiap isu yang melibatkan mahasiswa dapat
diangkat di Dewan Rakyat. Selepas lebih 5 dekad mahasiswa diperbudakkan
melalui akta AUKU, Pemuda mahu membebaskan mahasiswa dengan satu langkah
berani agar mahasiswa tidak terus rasa kerdil dan mudah dipergunakan.
5. PROJEK ANJUNG BUDIMAN
Anak muda adalah pelanggan utama Pemuda PAS Malaysia dalam konteks
untuk disantuni dan diperjuangkan agenda mereka. Kita sedar bahawa
mutakhir ini, isu utama yang membelenggu anak muda adalah soal kerjaya
dan kos sara hidup yang semakin tinggi. Ditambah dengan sistem
pendidikan negara yang semakin merosot, kualiti graduan kita acapkali
dipersoalkan.
Justeru, Pemuda PAS perlu memartabatkan anak muda
dengan beberapa pelan tindakan yang konstruktif. Pemerkasaan jati diri
anak muda Malaysia perlu dibuat secara berstruktur dan berpusat.
Anak muda perlukan bimbingan dalam kerjaya mereka contohnya dalam
bidang keusahawanan. Mereka perlukan rakan berbincang, kursus kemahiran,
perkongsian pengalaman, bimbingan agama, khidmat kaunseling dan
lain-lain lagi.
Projek Anjung Budiman adalah satu projek
menempatkan sekumpulan anak muda dalam satu kumpulan di mana mereka
mendapat bimbingan untuk maju ke hadapan.
Pemuda PAS bukan
pemberi modal atau menyediakan peluang pekerjaan. Pemuda PAS hanya
menyediakan tempat penginapan untuk disewa dan menyediakan modul
pembangunan motivasi yang islamik untuk membimbing mereka sehingga
berjaya.
Peserta yang terpilih akan mengikuti aktiviti secara berkala semaada pada setiap hujung minggu atau setiap hujung bulan.
(Agenda bertindak pemuda ke6 hingga 10 akan disambung dalam halatuju siri 4) #MoveForward
Gojek: Inikah janji 1 juta peluang pekerjaan?
-
*KEBELAKANGAN* ini, timbul isu hangat berkenaan gojek selepas cadangan yang
dikemukakan oleh Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq untuk
memperkenalkannya ...
5 years ago
0 comments:
Post a Comment