Oleh Khalid Samad
Baru-baru
ini satu gambar pamplet yang bertajuk “Siapakah perosak sebenar PAS?”
tersebar melalui
media sosial WhatsApp. Di bawah tajuk itu tercatat pula
takrif perkataan ‘parasit’. Di dalam pamplet tersebut disenaraikan pula
8 pimpinan PAS yang digelar sebagai ‘parasit’ dengan urutan ranking
tertentu.
Nampak gaya seolah-olah satu atau dua gelaran tidak memadai dalam usaha
golongan ini menjatuhkan pemimpin. Sebaliknya mereka memanfaatkan
gelaran sebanyak mana yang mungkin demi mencapai matlamat mereka.
‘Jebon’, ‘Parasit’, ‘Anwarinas’, ‘anti-ulama’, ‘anti-hudud’, ‘liberal’,
‘sekular’ dan apa saja yang mungkin digunakan untuk menimbulkan
kebencian terhadap kumpulan pemimpin ini. Sama ada gelaran ini betul
atau pun tidak, benar ataupun fitnah, tidak langsung diendahkan. Yang
penting, berjaya ditanam kebencian terhadap mereka ini.
Golongan tukang label ini menggelar diri mereka sebagai ‘pro-ulama’
tetapi hakikatnya, perangai mereka lebih sesuai dengan gelaran ‘geng
juhala’. Ini kerana hanya yang jahil akan bersikap dan bertindak seperti
mereka. Kononnya mereka lakukan demi menyokong calon ‘ulama’ dalam
muktamar. Kalau benar, maka saya harap calon ulama ini bukan jenis yang
‘bisu’, tidak menegur kejahilan dan kejahatan penyokong.
Asal usul gelaran ‘parasit’
Setakat mana saya ingat, orang yang mula-mula gunakan gelaran ‘parasit’
ialah Datuk Dr Hassan Ali (DDHA). Bersama beberapa pengikut tegarnya,
DDHA menggunakan gelaran itu terhadap mereka yang menentang hajatnya
untuk PAS membentuk kerajaan bersama Umno/BN di Selangor pada 2008
dengan dirinya sendiri sebagai MB Selangor.
Tidak sangka masih ada yang
sanggup menjadi ‘tukang tiru’ kaedah DDHA dalam PAS! Berkemungkinan juga
mereka orang yang sama yang merupakan ‘tukang-tiru’ Zul Nordin (ZN)
pencipta gelaran ‘Anwarinas’!
Selepas ghaibnya DDHA dan ZN, budaya gelar menggelar dan label melabel
diteruskan ‘tukang tiru’ dengan turut tersebarnya gelaran baru yang
dicipta mereka!
Siapa parasit sebenar?
Parasit ditakrifkan oleh pengarang pamplet sebagai “menumpang pada
tubuh dan menghisap segala zat daripada tubuh itu. Parasit kenyang,
namun tubuh yang ditumpangi itu semakin rosak dan lunyai”.
Bagi pandangan saya, 8 pemimpin yang digelar sebagai ‘parasit’
(termasuk saya), tidak menepati takrif di atas. Malahan ia lebih sesuai
digunakan terhadap golongan ‘geng juhala’ yang baru muncul ini. Ini
adalah kerana 8 pemimpin yang digelar ‘parasit’ ini sebenarnya bersama
PAS sejak PAS parti lemah yang tidak mendapat sambutan, sama ada
daripada orang Islam atau bukan Islam.
Keterlibatan kami sejak 1980-an semasa PAS tidak mempunyai ahli
Parlimen ataupun Adun kecuali sedikit dan hanya di Pantai Timur. Dan
melalui maklum balas yang diterima, usaha kecil kami bersama ahli PAS
yang komited memperjuangkan Islam menyumbang kepada bertambah kuatnya
PAS dan bukan sebaliknya.
Atau adakah ada yang beranggapan PAS lebih kuat pada 1980-an berbanding 1998 hingga 2013?
‘Parasit’ datang pada tubuh yang kuat dan menjadikannya lemah (seperti
sekarang) dan bukan datang ke tubuh yang sedang ‘lemah’ dan membantu
mengukuhkannya. Kemanisan manfaat atau ‘zat’ yang dihisap tidak lain
daripada celaan berselang kutukan masyarakat pada ketika itu serta
ditahan di bawah ISA dan bermalaman di lokap!
Parasit mula datang... Tetapi sekarang, tubuh PAS sudah kuat dan kukuh.
Maka amat menarik bagi ‘parasit’ datang menghinggapi dan menghisap!
Maka inilah masanya dan bukan 20 tahun dulu!
Mereka muncul entah dari mana, muka baru yang melayari alam maya,
menaburkan fitnah dan adu domba. “Pemimpin ini Liberal, Sekular dan
Plural. Mereka anti-ulama, anti-hudud dan ingin jatuhkan DS Presiden”
kata mereka. Mereka menonjolkan diri, menggambarkan diri sebagai
penyokong PAS tegar tetapi dengan setiap kejayaan yang mengukuhkan
kedudukan mereka, PAS menjadi semakin berpecah dan semakin lemah.
Ukhuwah dalaman semakin parah, hubungan dengan PR semakin retak,
penerimaan masyarakat Islam dan bukan Islam semakin merosot. Sambil itu
mereka bertambah ‘kenyang’. Disanjung atas sebab dianggap ulama. Laluan
disediakan permaidani merah dan mereka inilah parasit sebenar.
Mereka hisap zat kekuatan PAS demi keuntungan peribadi. Mereka semakin kuat, PAS semakin lemah dan lunyai.
Duit datang dari mana? Ada juga yang bertanya, “buat pamplet ini banyak belanja. Mana datang duit?”
Adakah mustahil mereka ditaja? Oleh yang inginkan PAS dan PR berpecah untuk Umno kekal memerintah.
Nasihat ikhlas saya pada ‘tukang tiru’ DDHA dan ZN, sekiranya kamu
hendak gelar dengan gelaran menghina sekali pun, pilih-pilihlah.
Silap-silap terkena batang hidung sendiri. Sudahlah akhlak terkutuk,
nampak kebodohan lagi... bab duit, sila jawab sendiri. –
khalidsamad.com,
* Penulis ialah ahli Parlimen Shah Alam daripada PAS.
Gojek: Inikah janji 1 juta peluang pekerjaan?
-
*KEBELAKANGAN* ini, timbul isu hangat berkenaan gojek selepas cadangan yang
dikemukakan oleh Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq untuk
memperkenalkannya ...
5 years ago
0 comments:
Post a Comment