PASCA MUKTAMAR Get our latest posts by subscribing this site

Muhyiddin dan Shafie lebih meyakinkan berbanding Najib dan Zahid.

Oleh Hasbie  Muda

Kalau tengok bahasa badan dan raut wajah, Muhyiddin dan Shafie lebih meyakinkan berbanding Najib dan Zahid.

Pemecatan mengejut mereka berdua serta Peguam Negara dan Pengarah Cawanga Khas Bukit Aman adalah bertujuan mencantas kudeta yang akan dibuat terhadap Najib. Tetapi persoalannya adakah ia selesai dengan hanya dengan rombakan kabinet?

Najib sedang membeli kepercayaan massa apabila memperbesarkan saiz kabinetnya. Jumlah Menteri di JPM ditambah. Beberapa muka lama dikitar semula. Tetapi adakah keyakinan dan kepercayaan massa UMNO berpihak kepada beliau?


Tumpuan saya kepada Khairy Jamaluddin. Beliau hanya dikekalkan menunjukkan bahawa Najib sendiri meragui pendirian sebenar KJ.

Walaupun kelihatan KJ agak sukar untuk berkerjasama dengan kem Mahathir, tetapi dalam politik, segala-galanya adalah mungkin.

ADMIN: BLOG INI AKAN DI TUTUP DAN TERIMA KASIH DI ATAS SOKONGAN 

Lakukan Sesuatu Jika Tidak PAS Bakal Kehilangan Sokongan Pengundi Melayu dan Cina Pada PRU 14.

1. Saya bukan lah nujum politik yang mampu membuat telahan tentang masa depan politik sesebuah parti apatah lagi membabitkan parti yang saya dukung iaitu parti PAS. Saya yakin sesuatu yang berkaitan masa depan ianya dalam Ilmu Allah. Cuma dalam politik pilihan raya kita boleh membuat analisa dan unjuran melalui "survey" dan cula undi. Inilah yang telah sebati dalam jentera gerakerja pilihan raya PAS sejak 13 kali menghadapi Pilihan Raya Umum dan berpuluh kali menghadapi Pilihan Raya Kecil.

2. Sejak berlarutan krisis dalam PR hingga kini boleh dikatakan banyak pihak menyatakan PAS akan menerima kesan kemerosotan pengundi bukan Islam dan bukan Melayu pada PRU 14 akan datang. Tidak perlu saya membariskan insiden-insiden yang telah berlaku membabitkan PAS dan rakan rakan PR yang mendorong menjadi penyumbang kepada kemerosotan undi tersebut.

3. Apa yang penting untuk dipersoalkan  ialah apakah langkah-langkah yang dilakukan oleh pimpinan PAS untuk memperbaiki keadaan dalam membendung kemerosotan undi bukan melayu khususnya pengundi cina pada PRU 14 akan datang. Sehingga sekarang saya masih belum nampak sesuatu telah dilakukan.  Malah apa yang saya lihat ialah beberapa tindakan dan kenyataan yang dibuat oleh Pimpinan PAS bakal mengundang kemerosotan sokongan pengundi Islam Melayu itu sendiri.

4. Respon PAS terhadap Gerakan Harapan Baru (HB) memperlihatkan kerisauan, kebimbangan dan ketakutan PAS terhadap kemunculan Gerakan tersebut. Kenyataan-kenyataan PAS yang mengecam Harapan Baru dan pimpinan Harapan Baru akan membuka ruang untuk ahli PAS memberikan respon yang baik terhadap Harapan Baru.  Ini akan menyebab berlakunya kemerosotan sokongan pengundi Melayu Islam khususnya dari kalangan pimpinan dan ahli PAS daripada pelbagai peringkat.

5. Kenyataan demi kenyataan dari kalangan pimpinan PAS yang disiarkan akhbar rasmi PAS iaitu Harakah yang menimbulkan isu kononnya ancaman yang merosakan PAS dari dalam adalah dari kalangan mereka yang pernah terlibat dengan IRC, JIM dan kini IKRAM akan menambahkan lagi kemerosotan sokongan undi Melayu Islam pada PAS. Kenyataan-kenyataan tersebut seperti mempersoalkan keikhlasan dari kalangan ahli-ahli PAS sendiri yang berlatar belakangkan fikrah IRC, JIM dan kini dinamakan IKRAM. Semua harus mengakui sedikit sebanyak kekuatan yang ada pada IKRAM yang mempunyai rangkaian di pelbagai peringkat akan menjejaskan kedudukan kekuatan PAS dari sudut politik pilihan raya. Mungkin dari sudut kekuatan PAS sebagai Gerakan Islam, PAS boleh rasa syok sendiri kerana tiada siapa lagi yang dianggap sebagai musuh dalam selimut PAS. Namun, dari sudut pilihan raya, PAS memerlukan sokongan dan undi daripada semua orang sama ada Islam atau pun bukan Islam.

6. Tindakan dan kenyataan sebegini sudah pasti akan mengguris dan melukakan pihak ahli-ahli IKRAM yang menyertai PAS mahupun yang mengundi PAS dalam setiap pilihan raya, kerana mereka telah digambarkan oleh PAS sebagai pengkhianat kepada Jemaah Islam PAS. Sikap yang ditunjukkan oleh PAS ini sudah pasti mengundang penarikan sokongan dan undi dari ahli-ahli dan pendokong IKRAM. Bukan saja IKRAM tetapi dia akan membabitkan padangan dari pihak kumpulan Islam yang lain juga akan merasai yang PAS tidak boleh menerima kelainan fikrah dari Jemaah yang bukan terhasil dari tarbiah PAS untuk bersama PAS.

7. Bayangkan, daripada senario yang saya berikan sepatutnya PAS perlu menumpu dan mengawal  pengundi terasnya iaitu Melayu Islam agar tidak kehilangan dan merosot sokongan pada PRU 14 nanti. Di samping berusaha memulihkan kepercayaan pengundi bukan Melayu Islam khususnya pengundi Cina. Tetapi apa yang berlaku kesan di sebalik setiap perkataan yang dihamburkan ialah ia seumpama cirit birit mulut yang perlu dicari ubat bagi segera menghentikannya.

8. Saya hanya melontarkan persoalan untuk direnungi oleh pimpinan dan ahli ahli PAS yang terlibat secara langsung dengan gerakerja pilihan raya. Jangan sekadar hanya menyatakan yang penting bukan hanya kemenangan tetapi keredhaan Allah yang dicari. Kalau begitu, tidak perlulah PAS menyertai pilihan raya yang hanya menghabiskan wang. Cukup sekadar dengan program dakwah dan tarbiah membangun ummah. Sedangkan, hakikatnya yang kita mahukan ialah politik kuasa yang redhai Allah.

9. Terserahlah pada pimpinan yang bijaksana untuk menerima atau menolak pandangan dan komentar saya ini. Sekadar pandangan 10 sen daripada saya yang tidak sebijak pimpinan yang ada kini.

Mohon maaf sejujurnya daripada saya untuk semua atas pandangan dan komentar ini.

Selamat Hari Raya 'Edilfitri.

DATO MAHFUZ OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena
25 Julai 2015

Hadi dan Najib sama-sama terdesak pagar diri

Oleh  Mohd Sayuti Omar
Serupa tetapi tidak sama bagi Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam usaha mengekalkan kedudukan serta menjaga wibawa parti mereka mengambil tindakan tergesa-gesa yang tidak popular. Najib yang terhimpit dengan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sudah terdesak sehingga sanggup menggunakan beberapa akta termasuk Akta Hasutan 1948 untuk menutup kebusukannya daripada terus berwap.

Dua akhbar The Edge dan The Edge Financial digantung permit penerbitan selama 3 bulan. Sebelum itu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bertindak menyekat portal Sarawak Report dan memberi ugutan kepada mana-mana pihak yang menyiarkan maklumat mengenai 1MDB akan dikenakan tindakan.

Beberapa orang (yang sebenarnya) dijadikan kambing hitam di sebalik pendedahan penyalahgunaan wang 1MDB juga ditangkap dan disiasat di bawah akta hasutan. Mereka juga dihalang untuk bergerak bebas ke dalam negeri dan luar negara. Antara yang disekat perjalanan ke luar negeri ialah Pengerusi DAP Selangor Tony Pua dan Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli.

Bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih awal disekat dengan cara lebih kejam lagi menerusi penjara selama 5 tahun.

Najib sudah mengguna semua para hulubalangnya bagi melindungi beliau dan menutup kebusukannya. Sebelum ini para hulubalangnya sekadar membela Najib menerusi air liur, tetapi kini sudah membuat tindakan fizikal apabila tindakan menerusi air liur tidak berkesan.

Datuk Ahmad Sabery Chik menerusi kuasa SKMM yang ada kepadanya manakala Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN). Kedua mereka ini bolehlah dianggap sebagai “Malik Zabaniah” dan “Riduan” yang menjaga pintu-pintu kekuasaan Najib.

Zahid pula kelihatan lebih serius membela Najib. Ini berikutan ada ura-ura yang beliau akan diletak di bawah kementerian lain dalam satu rombakan Kabinet yang bakal dilakukan Najib. Mungkin bagi menyelamatkan kedudukannya, Zahid mula menunjukkan taring dan pembelaan kepada Najib. Ertinya, perang saraf Najib untuk menukar Zahid ke portfolio lain dalam satu rombakan Kabinet berjaya.

Bagi mempamerkan lagi kesungguhan membela Najib, tidak mustahil Zahid bertindak lebih jauh lagi dengan mengarah polis atau badan-badan keselamatan di bawah kawalannya bertindak lebih rakus, seperti tangkapan dan sebagainya.

Mengenai persamaan Najib dengan Hadi tadi, kalau Najib menggunakan beberapa akta untuk mengukuhkan kedudukannya, maka berlain pula dengan Hadi yang menggunakan ayat-ayat al-Quran, petikan hadis dan sebagainya untuk mengekang ahli PAS agar tidak meninggalkan parti itu daripada berhijrah kepada Gerakan Harapan Baru (GHB).

Isu baiah yakni ikrar politik dilakukan sesetengah calon PAS dijadikan modal mengekang ahlinya daripada meninggal parti berkenaan. GHB rupanya menyerabutkan Hadi.

Ada seorang pemimpin tertinggi PAS mengeluarkan fatwa haram bagi wakil rakyat PAS menerima dan menikmati elaun dan gaji sekiranya wakil rakyat itu menyertai GHB. Entah berdasarkan nas mana pemimpin berkenaan membuat fatwa berkenaan. Saya sudah katakan, dalam politik sekular, ayat-ayat al-Quran dan hadis tidak terpakai.

Ia hanya terpakai kepada politik jemaah sahaja.

Fatwa yang dikeluarkan itu hanya untuk mengekang wakil rakyat berkenaan daripada meninggalkan PAS dan sikap pemimpin itu menunjukkan beliau sudah terdesak dan panas dengan sambutan yang diberikan kepada GHB.

Berhubung baiah itu ingin juga ditanya, macam mana dengan calon PAS bertanding dan angkat ikrar tetapi tewas, apakah talak mereka juga jatuh apabila mereka meninggalkan PAS? Kalau mengikut fatwa pemimpin tertinggi PAS itu yang ingin sangat dikenal sebagai spiritual leader bekas calon itu juga tertakluk dengan ikrar berkenaan. Jika ia tidak jatuh dan hanya jatuh kepada yang menang maka jelas ikrar baiah suatu bidaah besar.

Bukankah perbuatan baiah itu hanya berlaku pada 2004 dan terbatas di beberapa buah negeri sahaja. Macam mana dengan keadaan PAS pada tahun-tahun sebelumnya termasuk di Kelantan. Apakah waktu itu sudah ada ikrar berkenaan atau hanya baru terfikir pada 2004?

Kalau begitu ertinya soal baiah jatuh talak itu bukan perkara yang wajib dalam PAS melainkan ia hanya satu teknik sahaja bagi menyelamatkan PAS apabila ahli yang mungkir. Tidakkah ini adalah helah politik dan bukan hukum mutlak daripada Allah?

Dan kalaulah benar baiah itu menyebabkan talak itu jatuh bererti PAS menjadi agen tidak rasmi di negara ini menggalakkan berlakunya perceraian dan talak itu bertantangan dengan sunah Rasulullah sendiri yang membenci kepada perceraian. Talak itu juga tidak pernah dibuat pada zamannya dan hanya direka oleh agamawan yang lebih termakan palet agama di zaman muasir ini sahaja.

Kesimpulannya, baik Najib dan Hadi, kedua-dua terdesak dengan apa yang menimpa diri mereka dan parti mereka, sehingga terpaksa menggunakan akta dan al-Quran untuk dijadikan pagar melindungi mereka. Ayat-ayat jampi tidak akan menambah undi. –

Gerakan Harapan Baru mempunyai potensi untuk berkembang

Oleh Kamarudin Musa

Usaha penubuhan Gerakan Harapan Baru (GHB) nampaknya telah mendapat reaksi yang pelbagai dan telah mencetuskan satu rangsangan politik sosial yang begitu kuat.

Terdapat pelbagai ulasan dalam pelbagai dimensi, pro dan kontra berhubung dengan usaha untuk menzahirkan GHB, keadaan ini menunjukkan bahawa GHB mempunyai impak ke atas usaha untuk membentuk landskap politik Malaysia berpaksikan tindak balas terhadap keperluan perubahan sosial, pemikiran, ideologi dan matlamat politik sejajar dengan dengan perubahan persekitraran global.

GHB mempunyai potensi untuk berkembang dan seterusnya mempengaruhi perjalanan politik Malaysia sejajar dengan tuntutan pembentukan dimensi politik baru.

 Soal penubuhan gerakan sosial baru dan parti politik baru bukan merupakan sesuatu yang pelik dan tidak perlu ditanggapi secara negatif, kerana ia merupakan proses demokrasi.

 Soal kelangsungan jangka hayat, bukan merupakan sesuatu yang mutlak, biarpun dalam konteks penubuhan GHB sebagai landasan penzahiran sebuah parti baru, telah muncul pelbagai ramalan, dan secara umumnya terdapat ramai pihak yang skeptis dan berpandangan penuh curiga.

Namun apa pun keadaannya, inisiatif kepada kelahiran sebuah parti baru merupakan sesuatu positif dalam konteks memperkukuh demokrasi dan pada masa yang sama membawa “worldview” dalam konteks tingkah laku politik, persepsi politik dan pendekatan politik bersesuaian dengan peningkatan kesedaran politik baru dalam kalangan masyrakat. Potensi untuk GHB terus berkembang dan seterusnya berperanan aktif dalam landskap politik Malaysia khususnya, bergantung sepenuhnya kepada keupayaan dan kemampuan GHB untuk bertindak balas terhadap soalan-soalan berikut;

1. Apakah justifikasi praktis yang mewajarkan penubuhan GHB dalam konteks perjuangan politik Islam dan keterlibatan dalam usaha untuk membentuk senario politik baru?

2. Bagaimana GHB dapat membuktikan bahawa GHB benar-benar organisasi yang relevan dalam menggerakkan perubahan politik berpaksikan politik Islam?

3. Apakah asas praktikal pemikiran dan ideologi politik yang menjadi taruhan GHB yang membezakan GHB dengan PAS?

4. Apakah pendekatan yang akan diambil oleh GHB untuk berhadapan dengan “serangan serta adu domba” daripada kalangan para pengikut PAS dan meyakinkan bakal-bakal ahli bahawaGHB lebih profesional dalam menangani setiap isu dan cabaran yang dicetuskan oleh pihak luar khususnya PAS sebagai pesaing utama?

5. Bagaimanakah GHB boleh berfungsi dengan berkesan dalam menyuarakan isu-isu dan kepentingan rakyat serta menjadi juara membela rakyat daripada dasar-dasar UMNO-BN yang tidak mesra rakyat?

6. Bagaimanakah GHB dapat meyakinkan masyarakat umum bahawa dasar, visi, misi, ideologi dan pemikiran Islam GHB bukan sahaja bersesuaian dengan tuntutan politik Islam tetapi menepati keperluan pemantapan aqidah, akhlak, syariah dan muamalat?

7. Bagaimanakah GHB boleh membebaskan diri daripada persepsi umum (khususnya dalam kalangan PAS), bahawa GHB merupakan gerakan yang tercetus hasil daripada “kekecewaan politik”?

8. Apakah landasan tindakan dan gerak kerja yang boleh dieksploit oleh GHB untuk membezakan GHB dengan PAS, bagi membolehkan GBH benar-benar dikenali dengan jenamanya yang tersendiri?

9. Apakah dasar dan tindakan praktis GHB untuk membolehkan GHB diterima dalam konteks masyarakat pelbagai budaya untuk membolehkan Islam dilihat sebagai faktor penyatu?

10. Bagaimana GHB boleh meyakin masyarakat umum bahawa GHB mempunyai keupayaan untuk mencetuskan fenomena politik masa depan, dengan mengambil kira perubahan sosial, ekonomi, persekitaran global dan juga keperluan setempat?

11. Bagaimanakah GHB dapat meyakinkan bukan muslim bahawa mereka mempunyai peluang yang lebih terbuka dan luas untuk terlibat dalam lingkungan penyertaan politik, bukan sahaja sebagai ahli tetapi juga dalam menentukan dasar-dasar praktis GHB berteraskan politik Islam?

12. Bagaimanakah GHB boleh meyakinkan dalam kalangan masyarakat Islam bahaw GHB mempunyai perjuangan Islam yang tuntas dan tidak akan berkompromi dengan prinsip dan dasar Islam, khususnya dalam berhadapan dengan pemikiran dan ideologi anti Islam?

13. Apakah pendekatan yang akan diambil kira oleh GHB untuk menggabungkan parti-parti politik, pertubuhan-pertubuhan sosial dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang bukan Islam untuk berada dalam satu barisan tanpa mengorbankan dasar perjuangan Islam?

14. Bagaimana GHB boleh berperanan secara aktif dalam mendefinisi persekitaran politik Malaysia dengan mengambil kira kewujudan masyarakat pelbagai bangsa dan dalam konteks kewujudan PAS itu sendiri samada sebagai pesaing atau pencabar kepada GHB?

15. Apakah pendekatan, kaedah dan strategi yang boleh diambil kira dan dilaksanakan dalam usaha untuk membentuk pakatan baru (pakatan 2.0), sedangkan pada masa yang sama PAS masih tetap mendakwa bahawa mereka masih kekal bersama Pakatan Rakyat?

Bai'ah - Sumpah - Mengkhianati Parti Atau Mengkhianti Pengundi


Oleh Zulhasmi Sharif

Heboh bercakap hal "bai'ah" atau "sumpah" wakil-wakil rakyat yang menang atas tiket parti dan kemudian memilih haluan sendiri membelakangkan parti. Ada yang berkata tindakan itu suatu pengkhianatan kepada parti sehingga ada mengatakan telah gelincir dari perjuangan.

Setiap calon yang bertanding di dalam pilihanraya mewakili parti itu (faham maksud parti itu merujuk kepada parti apa) diminta berbai'ah sebagai calon parti itu. Tidak semua calon yang berbai'ah tetapi majoritinya berbai'ah menyatakan taat setia kepada parti yang diwakili.

Bai'ah itu adalah antara mereka (calon) dengan parti.

Apabila calon-calon memenangi pilihanraya khususnya kerusi Parlimen, sebelum mereka layak digelar Ahli Parlimen (Ahli Dewan Rakyat), mereka juga berbai'ah kepada Parlimen, kepada Negara dan khususnya kepada pengundi serta masyarakat yang mereka wakili.

Perkara 59 (1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa setiap ahli sebelum mengambil kerusinya di Parlimen hendaklah mengangkat sumpah (bai'ah) seperti yang dinyatakan di Jadual Ke-6

Lafaz sumpahnya seperti berikut :-
"Saya,................................................, setelah dipilih (atau dilantik) sebagai seorang ahli Dewan Rakyat (atau Dewan Negara) dengan sesungguhnya bersumpah (atau berikrar) bahawa saya akan dengan jujur menunaikan kewajipan-kewajipan saya sebagai yang demikian dengan segalaupaya saya, bahawa saya akan menumpahkan taat setia yang sebenar kepada Malaysia, dan akan memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaannya."

Sumpah ini adalah ikatan janji bahawa setiap orang yang melafazkannya hendaklah menunaikan tanggungjawab mereka setelah mereka dipilih oleh pengundi atau dilantik oleh institusi.

Sumpah sebagai Ahli Dewan adalah lebih besar berbanding sumpah ketaatan kepada parti kerana menjadi wakil rakyat melibatkan hak pengundi dan masyarakat. Gaji dan segala elaun diperolehi dari sumber yang datang dari rakyat dan negara. Sumpah kepada parti hanya melibatkan parti. Jika parti sudah jauh melencong dari tujuan asalnya maka mufaraqah dari bai'ah bukan suatu pengkhianatan.

Mengangkat sumpah sebagai wakil rakyat tetapi tidak menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat di Dewan Rakyat untuk rakyat yang membayar gaji dan elaun adalah suatu pengkhianatan terbesar bagi wakil rakyat.

Untuk menjadi wakil rakyat tidak memerlukan parti tapi memerlukan rakyat. Amanah rakyat lebih besar daripada amanah parti.

Harapan Baru Saya

Oleh Mat Kuantum

1. Kekecewaan dengan PAS sebenarnya sudah lama. Sejak isu Unity Government yang didedahkan oleh Pak Lah lagi. Itu satu hal. Hal yang lain pula PAS memang pasif dalam mendepani isu-isu nasional seperti ekonomi (GST, TPPA), dasar pendidikan yang caca merba, isu alam sekitar (Lynas, Cyanide Raub), isu sains dan teknologi (solar cell, renewable energy) dan macam-macam lagi. Lihat saja Hansard Parliament (boleh download dan baca). Kegagalan PAS inilah menyebabkan NGO tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan untuk menyelesaikan isu-isu nasional seperti TFTN (pendidikan), Hijau (Lynas), The Kitchen Soup (kemiskinan dan gelandangan).

2. Kemuncak kekecewaan ialah apabila PAS hilang identiti dan akhlaq Islam dengan membiarkan perkara munkar dan fasad bermaharajalela seperti bahasa kesat, fitnah dan label buruk kepada pimpinan progressive itu sendiri. Bagaimana sebuah gerakan Islam tidak melaksanakan nahi munkar?

3. Dalam Pakatan Rakyat, PAS terlepas banyak peluang untuk membimbing. DAP dan PKR lebih terkehadapan dalam isu isu nasional. Ini mungkin berpunca dari kelalaian PAS dalam mengkaji isu-isu tersebut. PKR ada research centre sendiri seperti Institut Kajian Dasar dan Institut Rakyat, DAP mempunyai Penang Institut untuk merancang dasar-dasar dan polisi berkenaan politik, ekonomi dan pendidikan. PAS mungkin ada, tetapi publisitinya sangat kurang.

4. Harapan Baru mungkin gagal jika mereka masih amalkan budaya reaktif dan responsif seperti PAS - timbul isu baru ada respon, tiada isu maka tiada respon. Yang memang bersungguh-sungguh mahu Harapan Baru maju wajib mempelajari dan menguasai satu bidang seperti pendidikan, ekonomi, pertahanan negara, hubungan luar atau alam sekitar. Kemudian tulis cadangan penambah-baikan untuk diberikan kepada pimpinan Harapan Baru.

5. Budaya huduh seperti troll, bahasa kesat, fitnah, label buruk, sarkastik sepatutnya dilarang oleh Harapan Baru untuk mengekalkan akhlaq Islam.

6. Intelektual, budayawan, sasterawan, seniman harus menyuburkan budaya pendidikan untuk membina generasi bertamadun dan berintelek. Wacana, forum, dialog wajar dianjurkan untuk merapatkan hubungan dan membentuk kefahaman.

7. Akhir sekali, andaikata Harapan Baru kalah PRU14, sekurang-kurangnya mereka dapat membentuk masyarakat progresif, budiman, harmoni dan berintelek.

Berbaiklah dan bekeriasama dalam berbuat kebaikan.

Oleh Ustaz Fauwaz Fadzil 

 Sebagai pemerhati diluar, berpandangan daripada duk bergaduh dgn kawan kawan datam yang sama parti dulu, biarlah mereka nak tubuh parti baru dan doakan mereka.

 Janganlah tuduh pengkhianat ka apa apa yang berbau istilah mencela. Sempena raya simpanlah siku dan tutut dulu.  Perkara ini tidak melibatkan akidah atau pembatalan iman.

 Imam Tahawi pernah bermazhab Syafie kemudian berpindah kepada mazhab Hanafi dan berjaya datam kerjaya beliau. 

Berbaiklah dan bekeriasama dalam berbuat kebaikan. 

Sayang semua muslim 

Harapan Baru sama pegangan dengan saya

Oleh Husam Musa

 
ۘ وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ 

 Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya [al-Mâidah/5;2] Saya dijemput untuk hadhir dalam perjumpaan Hari Raya pada malam ini. Saya memang bercadang untuk hadhir, sekalipun penganjurnya atas nama Gerakan Harapan Baru, satu nama bagi gerakan masih di alam rahim. Atas dua sebab,

 Pertama : Idil fitri itu sendiri adalah untuk menyambung silaturrahim.Apa salahnya kita memperkukuh silaturrahim sesama ummat?

 Kedua : Saya melihat Harapan Baru sama pegangan dengan saya, juga rasanya sama pegangan dengan guru kita semua - al Marhum Tok Guru Nik Aziz - meneruskan agenda Islah bernegara dan berkerajaan dengan keyakinan kerajaan sedia ada perlu dan wajib di gantikan secara total dengan pasukan baru yang mempunyai komitmen tinggi, idealisma murni, cita cita politik luhur dan azam membawa perubahan bagi rahmat untuk seluruh rakyat Malaysia.

 Ini adalah satu usaha al 'birri' dan agama kita menganjurkan kita tolong menolong atas kebaikan.

 Apa lagi ada pepatah, musuh kepada musuh kita seharusnya menjadi kawan kita, kecuali kita mencari sebab menjadikan mereka musuh kita. 

Sekalipun saya adalah pemimpin kecil Pas, saya melihat telur GHB ini perlu di santuni untuk membawa kebaikan kepada perjuangan bersama yang kita tekuni sejak sekian lama, kecuali kuasa yang dulu di anggap taghut sudah di harap menjadi kawan.

 Malangnya, saya masih belum sembuh sepenuhnya sehingga saya terhalang untuk bersama.

 Hasrat teramai rakyat Malaysia khususnya anak anak muda untuk melihat perubahan bagi mengakhiri segala keangkuhan kuasa, penindasan dan beban ke atas rakyat jelata hasil salah guna kuasa dan hilangnya pedoman, dan segala macam kemungkaran politik, ekonomi, agama dll, tidak harus dikecewakan. Derita rakyat adalah derita kita bersama. 

Harapan rakyat adalah harapan kita bersama. 

 Saya mendoakan sebuah gerakan untuk membantu meneruskan agenda rakyat belayar di alam nyata politik Malaysia menjadi kenyataan. 'Berlumba lah kamu untuk melaksanakan kebaikan kebaikan....

' Sekian. Husam Musa

Ahli, pimpinan PAS tak perlu bimbang dan marah

Penubuhan wadah baru sudah tidak dapat dielakkan. Ianya merupakan natijah daripada kemelut dalaman PAS yang tidak diurus dan ditangani secara bertanggungjawab.

Tiada siapa boleh memusing jarum jam untuk kembali ke masa yang telah berlalu.

Kepada yang kekal dalam Pas, anggaplah parti anda berada dalam keadaan selamat sekarang. Tiada lagi ancaman pengaruh fikrah luar yang mengganggu asholah perjuangan Pas. Tiada lagi pengkhianat. Tiada lagi golongan tak jelas fikrah. Parti anda sangat suci dan bersih sekarang. Bergembiralah dan bersyukurlah.

Anda tidak perlu bimbang dan marah. Presiden anda sangat pasti, wadah baru hanya boleh bertahan paling lama 2 tahun. Tempoh itu tidak lama. Anda tidak perlu risau apa-apa. Yakinlah dengan telahan Presiden anda. Dia tidak buat sebarang salah dan silap sebelum ini. Semuanya benar belaka.

Bagi yang memilih wadah baru, ketahuilah anda telah memilih jalan yang sangat sukar. Maka, pilihlah dengan ilmu dan kesedaran. Bukan kerana marah. Bukan kerana kecewa. Anda perlu memilih jalan ini kerana keyakinan dan harapan yang tinggi. Anda perlu memilih jalan ini kerana anda yakin anda benar. Jangan ada sebab lain.

Peluang untuk berjaya ada, tetapi laluannya tidak mudah. Kalau anda sudah biasa berkorban sebelum ini, ada perlu lebih banyak berkorban kali ini.

Kalau anda biasa dengan celaan dan kata nista sebelum ini, anda akan mendengar lebih banyak lagi kali ini. Pertingkatkan kesabaran kalian.

Kalau anda biasa bangun malam bermunajat kepada Allah sebelum ini, anda perlu lebih banyak mendekatkan diri dengan Allah kali ini.

Ujiannya pasti lebih getir. Celaan pasti lebih pedih. Kepayahan pasti lebih sukar.

Selamat berjuang. Seeru alaa barakatillah.

Abu Mubarak
Bandar Tasik Kesuma

Ikram ingatkan usah cemburu dengan Harapan Baru

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) konsisten menyokong kepelbagaian parti-parti politik yang bakal hadir ke Parlimen Malaysia dari masa ke masa. Konsep dwiparti yang mewujudkan semak dan imbang  akan benar-benar menguntungkan negara dan rakyat Malaysia.

IKRAM merasakan semua NGO yang diwujudkan, selagimana memelihara dan menghormati Perlembagaan Malaysia, Rukun Negara dan Perjanjian Malaysia dengan objektif dan aktiviti  yang tersendiri, tentunya sedikit sebanyak boleh memberikan keuntungan yang sama.

IKRAM akan kekal mengadakan ‘engagement” dengan pelbagai pihak termasuk PAS, UMNO, PKR, DAP dan pelbagai parti politik dan NGO lain.

IKRAM bersama ahli-ahlinya yang terlatih dan berpengalaman, serta berbekalkan dengan ilmu Islam dan  ilmu-ilmu lainnya akan cuba mengurus sebarang perbezaan ketika berinteraksi dengan mereka.

Maka, IKRAM dengan ini mengalu-alukan kelahiran GERAKAN HARAPAN BARU; sebuah NGO yang mendukungi Islam yang syumul dengan pendekatan yang inklusif, progresif dan peduli kepada rakyat.

IKRAM ingin mengingatkan pelbagai pihak agar tidak perlu cemburu, sempit fikiran, sebak dada dan merasakan HARAPAN BARU sebagai pesaing mereka, kerana mereka adalah satu lagi suara gelombang rakyat yang muncul dengan membawa pemikiran yang bakal menguntungkan negara dan ummah.

Ustaz Haji Hasanuddin Mohd Yunus

Timbalan Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia

ULAMA' MUDA DALAM PAS LEBIH SUDU DARI KUAH

Berikut merupakan keluhan seorang veteran PAS, Dr Fauzi Zakaria mengenai perkembangan PAS hari ini...

Para ex-activists Pemuda sejak awal 1980an seperti Mad Sabu, Khalid Samad dan Husam Musa tlh terbukti pengorbanan dan kecintaan mereka kpd Jamaah (PAS). Berjuang sejak drp zaman kelam. Menginfaqkan tenaga, masa muda dan harta yg tak seberapa.

 Tetapi mereka inilah yg berjuang sejak zaman kelam, sejak umum Masyarakat Malaysia tak faham sangat apa itu Islam. Sejak zaman masyarakat umum Islam tak mengenali taraf Ulama melainkan hanya sebagai tukang2 baca Doa selamat.Para ex-aktivist PEMUDA inilah yg berjuang menegakan politik Islam,mereka inilah yg memperjuangkan kedudukan Ulama sehingga kepimpinan Ulama diterima sebagai kepimpinan tertinggi dlm Jamaah. Kini nama2 mereka ini di jaja oleh sekumpulan Ulama muda pendatang baru dlm Jamaah, sebagai munafiq Jamaah.

 Apakah saudara ahli2 PAS boleh melabel sahabat dgn label begitu?

Ana sezaman dgn Husam zaman tidur-bangun di Pej PAS Jln Dato Pati. Husam baru grad UM (1984). Ana pelajar UM Nilam Puri. Kami pernah sama2 menerbitkan GEMA PEMUDA sebelum adanya akhbar Harakah. Setelah zaman berlalu (sejak era 2000 berlalu) Sejak 2003-2008 kami sekeluarga dijemput Allah menjadi jiran-Nya di Mekkah/Madinah.

 Sebagai "org Mekkah" ana mendapat maklumat sebebasnya mengenai perkembangan Politik-Jamaah di Malaysia hatta dpt berbincang dgn sebebasnya dgn bekas pimpinan UMNO.

 Ana mendengar kenaikan Maqam Husam di dlm Jamaah.

 Di Satu Majlis Hariraya di Konsulat Malaysia Jeddah,saya berbicara dgn Tan Sri Sanusi Joned pasal masa depan politik Malaysia sampai subuh. ( 3.00 pg waktu Saudi).

 Beliau nampak potensi pimpinan masa dpn politik Melayu Islam dlm barisan muda PAS. Antara yg kerap di sebutnya, Husam Musa.Sepulang saya ke Malaysia 2008, saya join semula dunia akademik di UM. Sejak itu saya lbh jadi pemerhati akademik. Sekali sekala jumpa (Dato) Husam di majlis2 akademik di kampus2.

 Memang zaman semesra sama2 melepak di Pej PAS Jln Dato Pati dulu sukar sudah nak wujudkan kembali. Sukar saya nak panggil dia Dato' sukarnya dia nak panggil saya Doktor....

 Namun jauh di sudut hati barangkali kami saling mendoakan kejayaan sahabat2 lama ini. Sebagai org akademik yg tidak ada kepentingan politik, melihatkan karismanya..hati saya semacam mengesahkan apa yg pernah di sebut oleh Tan Sri Sanusi Joned 2008 di Jeddah dulu..

 Namun org akademik berhadapan dgn realiti hanya blh berharap dan mengimpikan.Apabila ada perwakilan suruh keluar Pas dlm muktamar.....

Tidak ada sapa2 berhak menghalau sapa2 dari Jamaah ini. Allah dan Rasulnya yg meminta umat ini bersatu dlm Jamaah. Maka sesiapa berjamaah kerana Allah sesungguhnya dia telah menyahut seruan ALLAH.Siapa kita yg boleh berasa org lain blh berambus dr jamaah yg kita syangi bersama.

 Kenapa sehari dua ni pimpinan Ulama kita menggesa ahli2 bawahan menghormati Ulama. Rasanya ada sesuatu yg Allah swt nak tegur ni.Ana dan Pimpinan Tarbiyyah kampus UM memang pernah menangguhkan Wala' kpd Mad Sabu yg menaiki TK DPPP. Kami bantah kerana kempennya menaikkan Allahyarham Ust Dato Abu Bakar Chik dgn menjatuhkan kepimpinan Ust Ab Halim Arsyad.

 Kami satu rombongan dtg ke Rusila menemui Timb Presiden (TGHH) menyatakan stand kami. TGHH menasihatkan kami bersabar dan tidak menentang Jamaah. Kami terima.

Bila program Tarbiyyah kami hanya jemput pimpinan Ulama seperti alMarhum Ust Haron dan Ust Yahya Uthman. Memang kami tak jemput Mad Sabu dan Pimpinan Pemuda bagi pengisian.Selama ni sejak lbh setengah abad PAS meredah Perjuangan Siyaasah Islamiyyah. Pendokong bawahan sememangnya mendokong dan menjunjung tinggi kedudukan Ulama tanpa dipinta2.

 Masa tu rasanya tak ada anak menantu pimpinan Ulama turut nak membolot persada kuasa. Namun kini setelah adanya fitnah penglibatan anak menantu bersama. Rakyat dan ahli bawahan berhak utk berkata-kata. Kepatuhan membuta tuli atas apa2 nama yg agak rasmi blh diminta. Namun Penghormatan yg hakiki tidak boleh di paksa2Namun apabila Mat Sabu bertanding di Kelantan PRU 1991 kami buat kerja bagi nak mati memenangkanya.

 Puas hati dgn prestasi nya sebagai ahli Parlimen. Sebagai wakil rakyat PAS beliau beraksi bagaikan Singa di Parlimen. Beliau menjadi kebanggaan Jamaah.

Beliau hidup sederhana, sepanjang 2 penggal sebagai Ahli Parlimen beliau tidak beli walaupun sebuah kereta buruk. Elaun ahli parlimen memang dihabiskan bersama petugas Jamaah di Kelantan. Kehidupan keluarganya di Shah Alam di pikul sepenuhnya oleh isterinya Puan Normah. Masuk ISA berkali2 kerana perjuangan.Begitu hebat pengorbanannya dlm perjuangan. Saya cabar adik2 baru dlm Pemuda yg duk kutuk Mat Sabu. Kamu yg hidup dgn imej kehidupan mewah dgn kereta2 mewah, sanggup kamu kutuk org yg tidak pernah berkereta sepanjang jadi Ahli Parlimen, Kamu diangkat ke pentas2 ceramah/kuliah berbayar RM Ratusan sejam, sanggup kamu kutuk org yg berceramah dgn dibayar dgn harga ISA.

 Silakah berMUHASABAH.

Masalah bermula bila ustaz jumud dilindungi profesional bengap

Oleh Ustaz Hasrizal Abd Jamil

Bismillah.Saya bukan ahli politik. Pembabitan saya di dalam PAS banyak berkisar di daerah perkaderan. Saya memilih untuk berada di ruang perkaderan kerana saya suka dengan anak muda. Bagi saya, untuk melihat perubahan, ia boleh dibuat di semua peringkat, tetapi mengusahakannya di peringkat anak muda adalah yang terbaik. Namun usaha ini kena sabar sebab hasilnya perlu menunggu mungkin sekitar 5 ke 10 tahun. Saya memilih untuk berada di perkaderan supaya kedudukan saya di dalam PAS tidak terlalu bawah sehingga pendapat saya tidak berharga, dan tidak naik ke atas sehingga saya perlu berpolitik. Saya tiada bakat politik, dan sentiasa mengelak daripada sampai ke daerah PAS sebagai parti politik. Namun itu tidak bermakna saya naif dengan politik.

Dalam urusan perkaderan, subjek paling berharga ialah (i) pemikiran (ii) karakter (iii) wacana bersifat futuristik

Ketika memegang jawatan kecil di dalam sebuah unit di bawah DPPP bermula daripada sekitar tahun 2005, agenda saya dan rakan-rakan ketika itu adalah menyuntik perubahan kepada pemikiran dan pendekatan dakwah PAS, khususnya di peringkat kampus. Dari segi pemikiran, agenda ketika itu ialah menautkan kembali Sunnatullah dan Syariatullah. Ia akan menyentuh tentang sinergi antara sains dan agama, 'profesional' dan agamawan, kepentingan asbab dan ketinggian tawakkal dan doa, yang menjadikan siapa sahaja di dalam PAS sama penting kerana saling lengkap melengkapkan. Wacana "Apa Erti Saya Menganut Islam" versi 'segar' digerakkan di seluruh negara, malah di luar negara juga. Hasratnya, adalah supaya aktivis PAS mempunyai minda yang dinamik, boleh melakukan integrasi disiplin ilmu tanpa sebarang sumbatan kognitif disebabkan oleh 'sekularisme versi ambil sains tolak agama', mahu pun 'sekularisme versi ambil agama tolak sains'.

Pada masa itu juga, saya tekankan bahawa gerakan Islam mempunyai dua agenda. Agenda pertamanya adalah untuk bertindak balas terhadap kehilangan kuasa politik pasca kejatuhan Dawlah Uthmaniyyah 1924. Manakala agenda keduanya pula adalah untuk bertindak belas terhadap Barat. Mahasiswa dan mahasiswi yang mengikuti wacana saya di blog saifulislam.com ketika itu tentu tidak lupa, bagaimana banyaknya saya tekankan, pentingnya bagi amilin gerakan Islam belajar tentang sejarah Eropah Moden, agar mereka menguasai latar belakang kepada ideologi dan sistem semasa, yang akar umbinya adalah di dalam sejarah era tersebut.
Tetapi pada masa itu, saya dan tim di dalam unit berkenaan perlu banyak bersabar sebab mahasiswa mahasiswi pro PAS ramai yang lemah dari segi pembacaan, malas dan banyak beralasan, tidak kurang yang lemah akademik dan karenah-karenah itu banyak yang mengesahkan dakwaan Fathi Aris Omar dalam wacana Di Bawah Mendung Usrah, bahawa usrah adalah agenda pembodohan. Memang ia berlaku, sebab yang datang usrah malas baca buku, malas berfikir, namun berkeinginan tinggi untuk bercakap benda-benda besar. Semua itu tidak kami nafikan, tetapi kami mengambilnya sebagai tugas untuk membetulkan keadaan.

Agenda memperbaiki PAS dan membawa gelombang pemikiran baru di kalangan anak muda berjalan lancar. Kemuncaknya ialah apabila Ustaz Nasruddin Tantawi dan Ustaz Nik Abduh menjemput saya dan beberapa rakan untuk hadir ke sebuah mesyuarat dengan agenda menyemak Tarbiah, tetapi pada masa yang sama, mengusulkan pembentukan Ulama Pelapis PAS! Jika tidak silap saya, mesyuarat itu adalah sekitar Disember 2007. Wah, ini sudah luar biasa. Saya hanya berharap agar anak muda yang berubah. Tetapi jika ulama pun mahu berubah, ia seperti pucuk dicita ulam mendatang.

Tetapi perubahannya terjadi bermula pada sekitar tahun 2008. Kepulangan ustaz-ustaz muda dari luar negara, membawa idea yang berbeza. Saya mengambil beban kesalahan kerana pada sekitar tahun itu saya amat sibuk dengan kerja, dan dengan rela hati mengundurkan dari daripada unit yang didiami selama ini. Laluan diberikan kepada ustaz-ustaz muda ini tanpa sebarang prasangka.

Akan tetapi sedikit demi sedikit, saya semakin tidak berkenan dengan wacana yang dibawa. Kupasan saya tentang konsep Kepimpinan Ulama dibalas dengan sanggahan yang membimbangkan. Tidak mengapa jika pandangan saya tidak ditanggap dengan tepat lalu saya dituduh cuba menyamakan ulama Islam dengan paderi gereja zaman gelap Eropah. Tetapi yang lebih saya khuatirkan ialah apabila logik yang dibawa untuk mempertahankan Kepimpinan Ulama ketika itu ialah, "jika ulama memimpin, ulama merujuk kepada Allah dan Rasul, dan kepimpinannya Allah bantu. Tetapi jika profesional memimpin, mereka hanya menggunakan logik akal. Justeru kamu mahu kepimpinan yang bagaimana?"
Soalan ini sangat berbahaya.
Saya bertengkar dengan rakan-rakan profesional kerana mereka 'buy' idea ini. Saya dukacita sebab graduan-graduan UK yang pro PAS, mereka ini di kaca mata negara adalah aset. Tetapi apabila mereka berada di dalam PAS, mereka berada di kedudukan yang mensesiakan kepintaran dan profesionalisme masing. Pada masa itu, di dalam pertengkaran saya dengan golongan profesional ini, saya yang sedang marah menyebut, "jika dahulu, ana rasa masalah dalam PAS ini adalah ustaz-ustaz yang jumud. Tetapi sekarang ini ana tambah di hujungnya bahawa masalah dalam PAS ialah ustaz-ustaz jumud yang dilindungi oleh para profesional yang bengap!" Kenyataan saya ini dibalas oleh S/U MSU bahawa bai'ah saya terbatal sebab saya menyanggah keputusan syura. Saya berkeras bahawa bai'ah saya bukan dengan 'ustaz', tetapi dengan Allah dan Rasul.

Saya mewacanakan idea Kepimpinan Ulama bukan kerana saya ada apa-apa kepentingan tentang siapa yang nak memimpin PAS. Saya tiada masalah dengan siapa nak jadi pemimpin. Sejak awal pembabitan saya dengan PAS, saya sentiasa jauh daripada hal ehwal kepimpinan di atas, apatah lagi untuk berpihak kepada mana-mana kem, di zaman yang ada kem-kem tertentu. Tetapi saya menyanggah idea Kepimpinan Ulama ini sebab ia merosakkan kognitif anak muda melalui wacana yang pelik. Semenjak 2008 ke 2010, saya sudah sangat khuatir kerana di peringkat perkaderan, yang dominan adalah pembulian pemikiran, dengan jargon-jargon wala, bai'ah, tsiqah tidak tsiqah.

Apabila saya hadir ke kampus-kampus untuk berceramah tentang cinta, selepas habis program, ada ahli Jemaah Islam Kampus meminta bertemu dengan saya di tengah malam untuk meluahkan rasa bimbang dan sedih mereka tentang pembulian fikrah, label melabel, dan penyenaraian hitam ustaz yang berfikrah seperti saya. Saya hanya mengangguk, memberi semangat, namun menyalahkan mahasiswa itu sendiri. Sebabnya, di zaman saya, kalau ada ustaz ceramah merepek, kami akan tanya, bantah, tegur, dan sesekali melawan. Tetapi kalian hanya mengeluh di belakang. Maka saya hulurkan rasa faham, tetapi saya tidak simpati. Jika kalian nampak masalah ini, kalian wajib menyuarakannya. Sok sek di belakang, ia tidak ke mana.

Bagi sahabat-sahabat yang akrab, mereka tahu yang saya sudah pun hilang kepercayaan tentang keupayaan PAS untuk berubah, seawal 2008. Biar pun ketika itu politik PAS berada di tahap yang amat memberangsangkan, namun di peringkat perkaderan ia penuh kebimbangan. Desakan demi desakan yang diajukan kepada pimpinan Pusat bahawa mahasiswa mahasiswi pro PAS ada banyak masalah tidak diendahkan mereka. Apa yang penting bagi pimpinan ketika itu ialah meminta laporan setakat mana mahasiswa pro PAS atau tidak. Apabila masalah di kalangan mahasiswa dan mahasiswi ini dibiarkan, saya menjangkakan masa depan PAS akan ada banyak masalah.

Menuju usia 40, saya tidak mahu hidup saya dibelenggu konflik dan masalah. Biar pun sudah tiada apa-apa jawatan di dalam PAS, saya tidaklah pula mengisi hari dengan aktiviti jahiliah atau tak tahu nak buat apa. Malah kehidupan selepas tiada jawatan di dalam PAS adalah lebih sibuk. Sesekali ada kawan menjenguk ke rumah, bertanya khabar. Semuanya saya raikan. Namun di hujung pertemuan, mereka akur bahawa saya sudah hilang keyakinan terhadap keupayaan PAS untuk berubah. Politik itu seperti buih. Ia boleh ditiup menjadi besar dan cantik. Tetapi perkaderan itu 'real'. Jika perkaderan sudah dimakan anai-anai, rumah yang teguh menunggu rebah.
Kemuncaknya, apabila Muktamar PAS 2014 berlangsung di Johor , saya sudah membulatkan hati. Sepanjang muktamar, dunia menyaksikan sebuah parti Islam bersorak sorai, boo, label melabel, dari atas hingga ke bawah, dan doa dipakai untuk menyindir sesama ahli. PAS sudah tidak lagi komited dengan identiti Islam. Pada tahun itu, saya koyak sijil keahlian PAS seumur hidup saya dan saya hanya simpan cebisan bertulis Bismillah, ayat 7 Surah Muhammad dan tandatangan al-Marhum Ustaz Fadzil Noor kerana itu sahaja yang bagi saya masih berharga untuk disimpan, dan dikenang dalam kesedihan.

Saya menyokong penubuhan Gerakan Harapan Baru, bukan kerana saya mahu menjadi aktivisnya. Saya hanya berharap agar dengan adanya parti baru itu, pimpinan-pimpinan yang tersingkir itu tidak membuang masa bertikam lidah, duduk dalam dilema, dan mensesiakan ilmu, pengalaman dan bakat kepimpinan mereka. Mereka tersingkir bukan atas kapasiti individu. Sebaliknya mereka tersingkir hasil strategi terancang, bukan sekadar di peringkat mesyuarat bahagian memilih perwakilan, tetapi lama sebelumnya melalui aktiviti melabel, memburuk-burukkan, menyenarai hitam, di luar bayangan saya ia boleh berlaku kepada sebuah gerakan Islam.

Mengundurkan diri daripada PAS terjadi dalam keadaan yang sangat perit dan melukakan hati sendiri. Biar pun netizens secara semberono melabel jebon, ular daun, penjilat DAP, dan terkini Dr. Zuhdi menuduh golongan 'progresif' ini mahu membawa Islam Amerika yang direstui oleh Sister in Islam, Lawyer for Liberty, Comango, pendukung LGBT dan DAP, semua itu jika ditimbang dengan neraca dunia, ia bagai tanah yang menambus jasad di dalam kubur. Sempit dada dibuat.Tetapi dengan mengembalikan semuanya kepada Allah dan Rasul SAW, iman kepada Akhirat dan pautan kepada rahmat-Nya, saya yakin, Gerakan Harapan Baru itu biar pun akan bermula dengan seribu satu keperitan, Allah tidak akan mensesiakan keikhlasan hati untuk membantu agama-Nya.
Sudah lama suara Islam berhenti daripada bercakap tentang masalah masyarakat Malaysia, susah payah mereka, dan sibuk dengan politik rumahtangga. Yang kekal dalam PAS teruskan beramal, kerana kelompok bermasalah sudah tersingkir. Yang memilih untuk bersama GHB, berhati-hati mengatur langkah. Fokus kepada kerja, jauhi perangkap sengketa.

وقل اعملوا فسيرى الله عملكم ورسوله والمؤمنون وستردون إلى عالم الغيب والشهادة فينبئكم بما كنتم تعملون
Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramalah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan". [al-Tawbah 9: 105]

Dalam hening malam-malam akhir Ramadan ini, semoga Allah ampunkan kekurangan saya, membantu saya untuk melihat yang benar itu sebagai benar, dan direzekikan untuk menurutinya. Tiada yang kupinta, melainkan kaki kekal melangkah di sirat mustaqim, menagih husn al-khatimah, diredhai Allah dan didamaikan di Syurga bersama Anbiya', Siddiqin, Syuhada' dan Solihin.

http://www.pas.org.my/artikel-umum/5238-parti-baru-mendukung-gagasan-muslim-progresif

"Gerakan Islam" Boleh Khianati Janji .....?

Oleh Ahmad Sayuti Bashiron

Berpuluh, atau mungkin dah ratusan kali Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dah sebut, "Tak pernah dlm sejarah Islam, dalam kerjasama Islam dan bukan Islam, berlakunya khianat atau mungkir janji bermula dari kumpulan Islam". Tak pernah. Sebab dlm semua perjanjian, Islam lah pihak yg paling banyak menerima keuntungan dakwah dan keuntungan politiknya. Selama mana tak langgar dasar² (thawabit) perjuangan Islam, selama itulah kekal Islam berpegang janji itu.
Mari renung sebentar dalam kesegaran otak subuh 25 Ramadhan ini;

[1] Stand DAP/PKR pasal hudud sama. Kekal sejak sekian lama. Siap kenyataan bertulis dgn hujjah. PAS tetap nak kawan dgn DAP. Tujuh tahun tidor sebantal, siang malam puji dan peluk. Macam² manfaat dikongsi. Harta sepencarian pun dah berlambak. Lebih 5000 penjawatan politik dari kecil hingga Exco.

[2] Ramai sebut, putus sebab DAP dah tak hormat PAS. Katanya DAP putus hubungan dgn PAS di Sabah dan Sarawak. Masa tu isu MB dan isu hudud tengah hangat

Tapi jom lihat sekejap FAKTA SEBENAR berikut;

(a) Oktober 2014, di Sarawak. DAP Sarawak putuskan "komunikasi" dgn PKR dan PAS Sarawak, keduanya sekali. Tapi PR Sarawak tetap dikekalkan.

(b) Mac 2015, di Sabah, PKR Sabah dan DAP Sabah, (keduanya sekali secara bersama) putuskan hubungan dgn PAS Sabah.

Apa pula "PERISTIWA BARU" yg berlaku?

[3] Apa yg baru adalah, kali pertama dlm sejarah PAS, Presiden PAS salah gunakan kuasa (yg tak pernah wujud dalam perlembagaan), untuk "veto" dan batalkan keputusan mesyuarat PAS. Veto dgn hantar nama lain dari keputusan Mesyuarat PAS 17 Ogos 2014, yg TGHA sendiri cadangkan pengganti MB Selangor adalah Wan Azizah atau Azmin sahaja.

[4] Apa yg baru juga adalah, PAS mula dikenali masyarakat sbg kumpulan Islam dunia yg mungkir janji. Khianat perjanjian tahaaluf. Khasnya lepas Kajang Move, disusuli MB Move. Pelakunya pula (dengan maaf ikhwah...) adalah TG Presiden PAS sendiri, seorang ulamak taraf dunia, antaranya;

(a) Khianat janji bertulis mesyuarat Majlis Pakatan Rakyat 17/8/2014 yg sebulat suara calonkan Wan Azizah sbg calon MB Selangor. TGHA calonkan nama lain, bukan pun nama Azmin Ali dan Wan Azizah yg PAS sendiri cadangkan.

(b) Khianat janji yg diucap selama ini, apabila calonkan nama² Exco PAS pula diserahkan ke istana sbg calon MB. Walhal selama ini TGHA sebut, PAS setuju utk Selangor, MB adalah dari PKR.

(c) Juga khianati janji Majlis Presiden PR dalam Februari lepas utk bentangkan dan bincang dgn PKR/DAP terlebih dahulu Rang Undang-Undang Persendirian Hudud yg TGHA mahu bawa ke Parlimen setelah dipelawa oleh UMNO. Tahu² sahaja, terus diserah ke parlimen. Tanpa bincang pun dgn AJK PAS Pusat, tanpa minta pun pandangan Dato' Setiauasa Agung PAS, atau pandangan pakar dari peguam PAS yg terlibat dalam JK Teknikal Hudud Kelantan. Siapa penasihat Presiden?

[5] Apa lagi yg baru lagi adalah, kemuncak dari segala pergeseran isu Selangor dan isu hudud yg cukup mencemarkan nama PAS itu, Mac 2015 baru ini DAP ambil keputusan putuskan hubungan dgn Presiden PAS dgn dua sebab diberikan.

Saya terus bertanya, walau tak ada yg berikan jawapan..;

[6] Apa FAKTOR sebenar PAS mahu putuskan hubungan dgn DAP? Apa perlanggaran dasar Islam (thawabit) yg telah dilakukan oleh PAS hasil kerjasama dgn DAP itu?

Lihat hingga kini, tak ada pun sesiapa yg mampu berikan jawapan balas pada saya? Semua menyebut "wajib taat, wajib walak, walak, walak..."

Tapi antara response yg diterima adalah makian, labelan buruk dan fitnah. Pecat dia dari PAS..

[7] Ironinya rakyat yg waras di luar sana juga menilai;

Sepatutnya PAS putuskanlah hubungan dgn PKR, bukan DAP. Sebab bagi Presiden PAS, Anwar Ibrahim dan PKR itulah punca segala-galanyanya masalah dalaman PR dan konflik di Selangor.

Presiden PAS pun dah sebut, dosa Anwar Ibrahim dlm UMNO selama 16 tahun itulah yg membawa kepada segala masalah sekarang...
Ini tidak...

[8] Lepas sahaja Muktamar PAS 2015 yg secara muktamad putuskan hubungan dgn DAP, yg bererti secara rasminya membatalkan juga kontrak perjanjian tiga-parti dlm Pakatan Rakyat (PR 1.0), sejak Muktamar itu jugalah tak henti2 ketua PAS Selangor Iskandar Abdul Samad dan Kepimpinan AJK "chai" PAS Pusat dan pentaksub mereka dok meratib pula pelbagai pujian buat PKR dalam ceramah siang dan malam pula. Huh pelik sungguh dunia ini.

Saraf aqal saya masih belum mampu berinteraksi memikirkannya.
Lepas subuh ini pula, saya terfikir lagi...

[9] Rupanya sudah tercatatlah dalam sirah dunia Islam, bahawa PAS sudah memahat kisah sbg satu-satunya kumpulan Islam yg "pertama" mengkhianati janji dgn bukan Islam, dan mambatalkan tahaaluf siyasi TANPA SATU SEBAB yg dibenarkan syarak.

Zuriat saya kelak pasti akan terus mengkaji perlakuan PAS dalam sejarah hari ini..
W'alam

Allahul musta'aan.

Razman mahu bantu BN Perak menang mudah?

Oleh V Sivakumar

Kenyataan yang dibuat oleh Pesuruhjaya PAS Perak Tuan Haji Razman dalam laman Facebook beliau  kira-kira jam 1.00 pagi pada 11 Julai 2015 adalah amat melucukan. Beliau menyatakan bahawa “Mungkin PAS Perak akan bertanding 59 kerusi dalam PRU14.  Meneruskan perjuangan Nabi Saw”. Walaupun kenyataan ini tidak mempunyai asas tetapi rata-rata membuktikan niat buruk pemimpin ini untuk menghancurkan kekuatan parti pembangkang DAP dan PKR dalam PRU14.

Kenyataan yang dibuat oleh Pesuruhjaya PAS dianggap sebagai kenyataan yang dikeluarkan oleh parti PAS itu sendiri. Jadi, kita tidak boleh mentafsirkan ini sebagai kenyataan peribadi yang tidak ada sangkut-paut dengan parti. Kenyataan ini juga menguatkan lagi perasaan syak wasangsa rakyat Perak bahawa ada hubungan sulit di antara parti PAS dan UMNO Barisan Nasional.

Kenyataan Haji Razman seolah-olah membuka jalan dan memberi ruangan kepada parti-parti Barisan Nasional untuk bernafas semula di negeri Perak. Beliau berniat  mewujudkan perang 3 penjuru di semua kerusi DUN Perak. Sudah pasti ini akan membawa keuntungan besar kepada Barisan Nasional. Parti-parti pembangkang boleh mengalami kekalahan akibat perpecahan undi hasil daripada pertandingan 3 penjuru ini. Saya pasti beliau juga sedar tentang perkara ini.

Pada pandangan saya kenyatan Pesuruhjaya PAS Perak itu adalah berniat memenangkan Barisan Nasional di Perak dalam PRU14. Saya tidak nampak semangat perjuangan yang sebenar untuk menumbangkan Barisan Nasional yang zalim di negeri Perak.

Saya sangat menghormati rakan-rakan PAS yang masih meneruskan perjuangan menentang rejim Barisan Nasional yang telah membawa banyak kecelakaan dan kesengasaraan kepada rakyat. Tetapi, saya tidak boleh menghormati mana-mana pemimpin yang telah terkeluar daripada landasan perjuangan yang sebenar. Saya juga menganggap tindakan ini sebagai satu pembelotan yang tidak akan dimaafkan oleh rakyat Perak yang ingin melihat perubahan dalam pilihanraya yang akan datang.

Rakyat Perak sedang menanti dengan penuh harapan bahawa pemimpin-pemimpin parti pembangkang akan  mengambil alih kerajaan Perak untuk membebaskan mereka daripada belenggu kezaliman kerajaan Barisan Nasional. Tetapi, aspirasi dan harapan rakyat negeri Perak dihancurkan oleh pemimpin seperti Haji Razman yang tamak dan berniat jahat. Rakyat juga tidak akan mempercayai pemimpin-pemimpin seperti ini.

Saya tidak tahu samada kenyataan yang dibuat oleh beliau itu adalah setelah berunding dengan PAS Pusat. Walau bagaimanapun, saya juga terpanggil untuk menyentuh tentang keputusan Mesyuarat Majlis Syura Ulama di dalam isu hubungan dengan DAP. Dalam mesyuarat yang diadakan pada 10 Julai 2015, Majlis Syura Ulama telah memutuskan bahawa hubungan tahaluf siasi dengan DAP terbatal. Dalam masa yang sama, PAS mahu mengekalkan tahaluf siasi bersama PKR.

Kenyataan Haji Razman untuk PAS bertanding di 59 kerusi DUN Perak juga melibatkan kerusi-kerusi yang ditandingi oleh parti PKR. Jadi, bagaimana pula PAS boleh megekalkan hubungan tahaluf siasi dengan PKR?

Saya juga ingin mengimbas kembali keputusan PRU12 dan PRU13 untuk renungan bersama. Dalam PRU12, PAS Perak bertanding 20 kerusi tetapi hanya memenangi 6 kerusi. Manakala dalam PRU13 pula PAS bertanding 22 kerusi tetapi hanya mampu memenangi 5 kerusi. Tetapi, dalam PRU14, PAS berniat bertanding 59 kerusi tanpa bantuan DAP dan PKR. PAS juga perlu sedar bahawa kekuatan mereka juga telah berkurangan akibat persengketaan dalamannya. Pada hemat saya, PAS akan menghadapi kesulitan dalam mempertahankan kerusi-kerusi yang dimenanginya di bawah pucuk pimpinan yang sedia ada dan persekitaran politik yang telah berubah.

PAS akan mengalami kekalahan teruk dalam PRU14 jika terlalu tamak dan berniat untuk menghancurkan pihak pembangkang di negeri Perak. Rakyat juga lebih arif membaca niat tersirat PAS untuk bertanding 59 kerusi DUN semata-mata untuk membantu UMNO Barisan Nasional menubuhkan kerajaaan sekali lagi di Perak.


Perlantikan Jawatankuasa PAS Negeri Melaka Tak Sah

Oleh Sofi Wahab 

Saya sebagai Yang Dipertua PAS Kawasan Bukit Katil ingin menegaskan bahawa perlantikan AJK Badan Perhubungan Negeri Melaka yang disiarkan dalam media beberapa hari lepas adalah tidak sah dan bertentangan dengan perlembagaan PAS sendiri. 

1. Di dalam perlembagaan PAS dengan jelas dinyatakan iaitu Fasal 40 ceraian (5) iaitu :
"Pesuruhjaya PAS Negeri di dalam dan dengan persetujuan mesyuarat Perhubungan PAS Negeri hendaklah melantik Timbalan-timbalannya, Setiausaha, Penolong-penolong Setiausaha, Bendahari, Ketua Penerangan, Pengarah Pilihan Raya dan tujuh orang Ahli Perhubungan PAS Negeri menurut Ceraian (3)(b), (c), (d), (e), (f), (g) dan (m) dalam Fasal ini daripada ahli-ahli PAS dalam negeri itu.".
Untuk makluman sehingga saya sebagai Yang Dipertua PAS Kawasan Bukit Katil dan Setiausaha PAS Kawasan Bukit Katil tidak pernah menghadiri mana-mana mesyuarat Perhubungan Negeri sebelum ini.

Sepatutnya Pesuruhjaya PAS Negeri mesti memanggil mesyuarat pertama perhubungan dengan kehadiran semua Yang Dipertua dan Setiausaha PAS Kawasan-kawasan serta Ketua dan Setiausaha Dewan-Dewan bagi membincang perlantikan AJK seperti dalam Fasal 40 ceraian 5 tersebut.
Setelah dibincang dan dipersetujui oleh semua Ahli Badan Perhubungan Negeri barulah perlantikan itu sah dan boleh diumumkan.

Apa yang menghairankan bagaimana Pesuruhjaya PAS Negeri boleh membelakangkan Yang Dipertua PAS Kawasan, Ketua-Ketua Dewan dan Setiausaha masing-masing dalam hal perlantikan ini.
Malah sehingga hari ini saya dan Setiausaha PAS Kawasan Bukit Katil tidak pernah dijemput secara rasmi untuk menghadiri mesyuarat perhubungan sedangkan di dalam perlembagaan PAS Fasal 40 ceraian 3 dengan jelas dinyatakan bahawa Yang Dipertua PAS Kawasan dan Setiausaha PAS Kawasan adalah ahli badan perhubungan negeri.

Saya telah menghubungi beliau beberapa hari lalu dengan menyatakan isu ini tetapi sehingga hari ini beliau tidak membuat sebarang tindakan untuk menyelesaikannya.

Oleh itu saya mencadangkan kepada Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka supaya menarik balik kenyataan akhbar tentang perlantikan tersebut serta memohon maaf kepada semua Yang Dipertua PAS dan Setiausaha PAS Kawasan serta Ketua dan Setiausaha Dewan-dewan yang dibelakangkan.
Di harapkan kenyataan saya ini akan menyelesaikan masalah perlantikan ahli badan perhubungan PAS Negeri yang diragui keabsahannya.

Mohd Sofi Abdul Wahab
Yang Dipertua PAS Kawasan Bukit Katil

Maksud kerajaan perpaduan cadangan PKR

Oleh William Leong Jee Keen

Saya ingin menjelaskan bahawa kerajaan perpaduan saya disebut dalam sidang akhbar semalam, 8 Julai 2015 adalah sebuah kerajaan sementara bi-partisan untuk maksud memastikan pilihan raya yang bebas dan adil yang akan diadakan secepat mungkin.

Saya ingin menegaskan sekali lagi berdasarkan fakta-fakta yang dinyatakan di dalam Wall Street Journal bahawa dana yang didepositkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri Dato Seri Najib Tun Razak sebelum Pilihan Raya Umum ke-13, kenyataan Perdana Menteri itu yang telah sejak berulang, wang bukan untuk kegunaan peribadi, hanya kesimpulan yang munasabah yang boleh diambil adalah wang yang digunakan oleh Barisan Nasional untuk pilihan raya.

Akibatnya, perkara itu bukan sahaja Perdana Menteri, ia juga memberi kesan kepada kesahihan Kerajaan Barisan Nasional. Isu kekurangan kesahihan Kerajaan sekarang tidak dapat dibetulkan dengan memanggil Najib Tun Razak meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan melantik Timbalan Perdana Menteri untuk mengambil alih.

Oleh itu, saya menyeru kepada Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong untuk menjalankan kuasanya sebagai raja berperlembagaan untuk melantik kerajaan sementara bi-partisan:
1) Untuk membersihkan peranan pilihan raya;

2) Untuk memastikan persempadanan yang adil dan yang sepatutnya bagi kawasan pilihan raya; dan
3) Untuk melantik sebuah badan bebas untuk menggantikan Suruhanjaya Pilihan Raya untuk menjalankan pilihan raya itu;
Kita perlu kembali Kerajaan Malaysia untuk rakyat Malaysia.
William Leong Jee Keen

Segerakan Penubuhan Parti Baru..!!!

Oleh Zul Fadhli


Disebalik kekalutan krisis PM, saya rasa kita tidak harus lupa kepada krisis dalam PAS dengan Pakatan Rakyat yang masih belum selesai...

Saya amat berharap selepas Aidil Fitri ini akan ada sebuah parti baru yang ditunjangi Profesional Muslim ditubuhkan... Saya berpandangan bahawa penubuhan parti baru bukan bermakna lari dari jamaah Islam atau terkeluar daripada Islam.. Parti adalah medan mengembangkan fikrah dan prinsip tertentu.. jika berada dalam parti yang silap maka amat sukar untuk kita perjuangkan fikrah.. 

Saya cadangkan :

1. Parti PAS : dianggotai oleh Alim Ulama sahaja.. Matlamat mereka hendaklah memperjuangkan undang-undang Islam sehingga terlaksana

2. Parti UMNO : dianggotai oleh orang nasionalis .. Matlamat untuk memperjuangkan melayu

3. Parti PKR : dianggotai oleh multiracial... Matlamat perjuangkan keadilan sejagat

4. Parti Baru.. (Dicadang nama parti sebagai Parti Kemajuan Islam) dianggotai oleh ahli profesionalisme Muslim.. Matlamat membantu rakyat membangunkan ekonomi dan kebajikan rakyat..

Saya berpandangan dengan penubuhan parti baru ia akan mengukuhkan lagi pakatan rakyat..

 Jangan dilihat kepada unsur perpecahan seperti mana yang diutarakan oleh sesetengah pimpinan PAS.

. Saya berpegang kepada satu prinsip.. Keluar PAS bukan bermakna kita keluar Islam..

 Kita cuma keluar untuk memperjuangkan Islam dalam wadah yang sesuai dengan masyarakat di Malaysia.

Sekian. Harapan baru rakyat dan pemuda Malaysia.


Dipetik dr FB Zul Fadhli

Pas sudah jauh ke kanan, tidak banyak beda dengan Umno

Oleh Eekmal Ahmad

Baiklah Najib Razak harus berhenti. Jadi apa? Digantikan Muhyidin?

Ini yang membuatkan saya kecewa dengan PR. Mereka menari mengikut rentak Mahathir. Sedangkan dari awal, isu GST dan 1MDB boleh diangkat sebagai pemangkin mendesak pilihanraya umum yang baru. Sewajarnya suara yang lebih besar mendesak pilihanraya umum baru bukannya terperangkap dengan jaringan intrik "deal" demi "deal" antara Mahathir vs Najib Razak.

Ada yang berhujah dengan saya jika PRU belum tentu PR menang. Baiklah, apa jika Muhyidin menggantikan Najib, di waktu Mahathir diangkat sebagai wirawan, PR akan menang? Malahan PR akan kalah teruk sepertimana era Pak Lah pada PRU 2004 dahulu. Jadi kenapa teragak mendesak dengan suara yang lebih garang menuntut PRU segera diadakan, inilah waktunya menggugat UMNO-BN ketika mereka sedang tergugat.

Sementara itu saya ada membaca bahawa akan ada PR baharu yang lebih kuat selepas Aidilfitri. Jujurnya saya tidak tahu hala tuju PKR dengan PR baharu ini. Adakah ia merangkumi parti Islamis baharu? Atau ia bersama PAS?

Saya merasa lucu melihat prejudis yang dalam terhadap DAP kononnya mereka "menekan" PKR untuk menyingkirkan PAS. Adakah DAP menekan atau PKR yang tertekan perasaan? Sebelum muktamar sememangnya saya menaruh harapan agar PAS untuk terus kekal dalam PR, dan seterusnya mengimbangkan politiknya dengan cita-cita politik "tengah." Akan tetapi proses sepanjang kempen dan pasca muktamar mengubah fikiran saya. PKR dan DAP wajib singkirkan PAS dari pakatan baharu.

Sememangnya DAP ini parti agresif dan mendesak, akan tetapi kita hormati rakan yang agresif atau kita mahu menuruti rakan yang khianat!

Ada yang menyimpulkan seluruh insiden mendesak menyingkirkan PAS ini bermula dengan Langkah Kajang. Saya tidak bersetuju. Sebenarnya semua bermula dengan pra pilihanraya umum 2013 dan juga pilihanraya itu sendiri. Lagipun jika PAS menyebut Langkah Kajang sebagai asbab mereka marah, kenapa mereka selesa pula bila mengiktiraf pentadbiran sekarang? Bukankah pentadbiran Selangor sekarang hasil dari Langkah Kajang, jika tidak bersetuju, jangan iktirafnya dan letak jawatan!

Kembali kepada hujah saya bahawa PAS telah mula mengkhianati PR ketika pra dan PRU 2013. Tidakkah kita ahli PKR tertanya-tanya bolehkah kita mempercayai pimpinan PAS yang ada sekarang selepas mereka:

1) mengkhianati PR dengan menarik balik sokongan terhadap Anwar Ibrahim sebagai PM.

2) Bagaimana mereka sabotaj PKR di Kota Damansara dan Sg. Aceh.

3) Perbincangan untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan dengan UMNO!

Telah sekian lama Tuan Guru Ustaz Hadi tidak ambil peduli akan Pakatan Rakyat. Akan tetapi baru baru ini beliau beria-ia mendokong PR.

 Baik jika benar beliau komited dengan PR, saya mahu beliau membuat pengakuan terbuka menyokong Anwar Ibrahim atau sebagai calon PM untuk PRU akan datang. Kita juga mahu beliau memberikan jaminan akan akur dengan Dasar Bersama Pakatan Rakyat serta menafikan segala kemungkinan bersama dengan UMNO. Jika beliau tidak memberi jaminan akan perkara di atas apa guna sekadar umumkan sokongan terhadap PR. Orang awam akan melihat PAS sekadar berhelah mahu kekalkan laba politik di Negeri Selangor semata-mata.

Ada juga yang kaitkan DAP ini oportunis dan cukup cepat menyambar kerusi rakan dari PKR. Saya tidak nafikan DAP begitu teruja dengan kerusi, tetapi parti mana yang tidak? Semenjak dulu lagi saya dengar kisah dari pimpinan kanan, bagaimana Lim Kit Siang begitu gigih mahukan kerusi Gelang Patah.

Malah, menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika memberi saya watikah bertanding di Bakar Bata, pimpinan kanan DAP masih memujuk mahukan kerusi Bakar Bata! Pasti saya pun geram.

Akan tetapi itu lumrah negosiasi kerusi sewaktu pilihanraya. Kita berdepan dengan mereka yang mahukan kerusi untuk menang.

 Saya hanya mahu mengajak pembaca pertimbangkan ini:

"anda mahu satu rakan yang jujur membincangkan kemahuan kerusi atau satu rakan yang akan menikam anda ketika bertanding di pilihanraya umum nanti?"

Berkaitan parti baharu pula, saya amat berharap cita cita ini terlaksana. Harapan saya adalah, jika benar PAS dapat disingkirkan dari pakatan baharu ataupun PAS memilih bersama UMNO, parti baharu ini adalah suara baru dalam politik Islam/Muslim. Pastinya dengan syarat parti Islam baharu ini berasaskan idea politik Rachid Ghanoushi, Jasser Auda dan sebagainya. Ada yang bertanya apa nilai tambah parti baharu ini. Jawapan saya adalah:

1) parti baharu akan menangkal konservatisme PAS dengan mengemukakan "brand" Islamisme yang lebih inklusif, nasional serta merangka kebijakan-kebijakan yang terkait dengan kebajikan rakyat.
2) parti baharu akan lebih ampuh sebagai wadah Islamis yang lebih muda. Pastinya dengan kerja keras.

3) DAP dan PKR sudah tidak perlu berdepan head on dengan PAS ataupun yang sejenis dengannya kerana kewujudan parti baharu sebagai suara yang lebih segar.

Walaubagaimanapun satu kenyataan yang kita tidak boleh nafikan adalah jika PKR masih mahu bersama PAS, ada kemungkinan pretasi PKR juga merudum. PKR mesti ambil iktibar PRU 2004. Selain faktor feel good Pak Lah, jenama politik PAS tidak pun memukau orang Melayu. Ada yang mengatakan PKR perlukan PAS untuk undi Melayu. Saya tidak bersetuju. Jika benar jenama PAS penting meraih undi Melayu kenapa selama ini PAS tidak pernah berjaya menyaingi UMNO? Hanya PRU 99 Melayu bersama pembangkang, itupun kerana desakan-desakan politik serta isu bersifat nasional dan kes fitnah terhadap DSAI serta keluarga. Ianya tidak ada kena mengena dengan politik PAS.

Saya harap benar kawan kawan saya dalam PAS tidak tersinggung dengan kritikan saya.

Namun saya melihat PAS sudah jauh ke kanan. Sudah sukar bezakan PAS dan UMNO.

 Selain itu menyelinapnya agenda ISIS-isme dalam AJK PAS Pusat amat membimbangkan saya.

 Saya tertanya tanya bagaimana teman-teman PAS boleh membenarkan sosok seperti Mahfuz, Mat Sabu, Salahudin Ayob, Husam, Mujahid, Khalid Samad, Dr Dzul dan ramai lagi diketepikan demi sosok yang membawa retorika ala ISIS-isme.

Mengapa orang benci "geng Hadi"?

Oleh Lim Hong Siang

Kita bukan benci geng ulamak dalam PAS. Selama ini kita okay aje, walaupun memahami ada perbezaan pandangan yang agak ketara, dalam isu-isu tertentu.

Malah dalam PRU13, saya masih menyatakan sokongan kepada Nasurudin Tantawi di akhirnya, yang ketika itu menyembunyikan siku dan lutut dalam jubah - di Temerloh, berdepan dengan Saifuddin Abdullah, yang mana imejnya lebih disenangi masyarakat Tionghua.

Perasaan berbaur apabila sekumpulan anak muda tampil menyeru penubuhan gabungan politik baru semalam. Gembira kerana akhirnya kumpulan dari masyarakat NGO - bukan parti politik - bersuara. 

Sedih kerana padahal kita kini berada di kedudukan terbaik untuk menyerang UMNO-BN. Rakyat merana kerana kenaikan harga minyak dan GST. Wang berbilion ringgit pula hilang, terang-terang disapu begitu sahaja. Namun sekarang kita perlu bermula dari titik permulaan - sekali lagi, 
sungguhpun kita sudah ada pasukan yang mantap - dibina sejak tujuh tahun yang lalu.

Andaikan muktamar PAS tidak berakhir dengan sedemikian - di mana golongan pemimpin seperti Husam Musa, Mohamad Sabu, Dzulkefly Ahmad dll tidak dicantas, sudah tentu situasi memihak kepada kita.

Tokoh-tokoh ini akan berada di pentas forum, sementara ada yang menyusun gerak kerja di akar umbi - mengerah untuk demonstrasi besar-besaran - dengan mekanisme PAS.

Tetapi apa jadi sekarang? Apakah PAS dengan barisan pimpinan sekarang mampu memanfaatkan mekanismenya semaksima mungkin, untuk menyerang kerajaan BN, membela hak rakyat dan menuntut perubahan? Semestinya tidak. Kerana perangai siku lutut inilah, jentera PAS disia-siakan.

 Mereka sibuk mematahkan usaha penubuhan parti baru. Golongan yang tewas pula terpaksa berhempas-pulas untuk mencari wadah baru.

DAP dan Keadilan sibuk mempertimbangkan kemungkinan gabungan baru pada masa depan.

Anak muda pula perlu buat sidang akhbar untuk menyeru parti pembangkang bergabung! Kalau bukan kerana geng Hadi ini, sudah tentu rakyat telah berada di jalan raya sekarang- sama ada membantah kenaikan harga minyak mahupun menuntut Najib letak jawatan.

So, dah faham mengapa orang benci geng Hadi sekarang?

Berpolitik lebih - lebih tak selesai masalah

Oleh Dinsman

Kita di Malaysia berpolitik berlebih-lebih, atau keterlaluan. Sudah lama saya menyatakan ini. Kita terlalu percaya pad apolitik, seolah-olah politik itulah penyelesai segala masalah. Padahal telah terbukti berkali-kali bahawa politik selalu menjadi punca masalah.

Lihatlah situasinya sekarang. Krisis demi krisis dlm parti- parti politik  hingga sampai ke tahap berpecah dan bermusuhan sesama sendiri. Apa puncanya kalau bukan kerana berpolitik berlebih-lebih?

Dan sekarang mereka yg terpinggir/kalah dlm muktamar Pas baru2 ini sedang sibuk nak cepat2 tubuh parti baru, takut ramai yg lari masuk DAP.

Mereka tanya saya, saya kata: relekslah. Kenapa nak terburu-buru?

 Kalau demi perjuangan utk ummah, tak perlu terburu-buru. Yg kalah teruk dlm muktamar baru2 ini bukannya geng progresif. Tapi yg kalah teruk sebenarnya ialah Islam.

Sekarang siapa yg nak angkat semula Islam yg telah jatuh itu?
Parti baru yg nak ditubuhkan itu nak angkat? Hah! Nak selesaikan masalah politik mereka pun tak tahu lagi macamana!

Jadi, relekslah dulu. Berapa ramai orang yg tak berjawatan dlm parti pun boleh berjuang dan berbakti kp masyarakat dan ummah. Janganlah bila kalah dlm parti dah tengok dunia semuanya gelap.

Cubalah tengok pada seni-budaya sekejap! Dunia dan hidup ini bukanlah semata2 berpolitik saja. Ada banyak lagi sisi-sisi lain yg tak kurang pentingnya. 'Kan?!...

My Blog List

Blog Archive

.