PASCA MUKTAMAR Get our latest posts by subscribing this site

Akhir yang berakhir ..

Oleh Hishamuddin Rais
Suasana politik Malaysia kini berkecamuk. Nilai ringgit jatuh mendadak. Semakin ramai warga hilang pekerjaan. Graduan menganggur semakin ramai. Jenayah ganas – bunuh dan tembak – semakin menjadi-jadi.

Pendatang haram semakin ramai menerobos masuk.  Harga bahan makanan makin naik. Nilai gaji semakin turun. Harga bahan bakar petrol naik lagi. GST sedang mencekik setiap warga Malaysia – tua dan muda.

Tiba-tiba, akhbar mingguan The Edge digantung permit selama tiga bulan. Tiba-tiba, The Edge Financial Daily digantung sama dan portal Sarawak Report dipadamkan dari alam maya.

Tetiba YB Rafizi dan YB Tony Pua dilarang keluar negara. Tiba-tiba YB Tian Chua juga dilarang keluar negara. Tetiba Ambiga, Maria Chin, Adam Adli dan Hishamuddin Rais dilarang keluar negara. Apa sudah jadi?

Dalam suasana kelam kabut ini Lebai Desas bin Haji Desus terus kencang berlabon. Mengikut surah Lebai Desas Desus: Najib Razak Perdana Menteri Malaysia keenam akan didakwa. Najib akan dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan pecah amanah.

Dilaporkan berbilion ringgit telah masuk ke dalam akaun peribadi Najib sendiri. Kes 1MDB jadi buah mulut setiap yang ada mulut. Betulkah berita ini? Apakah ini hanya sembang-sembang kosong?

Akhirnya – saya memikul tanggung jawab untuk memberi pencerahan tentang apa yang sedang berlaku. Saya akan cuba menerangkan semudah yang mungkin agar Mak Cik dan Pak Cik Felda akan dapat memahami apa yang sedang berlaku di hadapan mata kita semua.

Pertama, ada sosok-sosok politik dan jurufikir yang berpendapat menuntut Najib berundur adalah satu kesilapan politik. Menurut hujah ini – Najib  dan Rosmah adalah umpan terbaik untuk memancing kebencian pengundi dalam PRU14.

Rosmah yang kini dilihat sebagai ‘puaka hidup’ akan dijadikan modal kempen oleh gabungan baru pembangkang – Pakatan Rakyat Perjuangan (PRP) dalam PRU14.

Sekali imbas perkara ini dilihat masuk akal. Sekali baca dilihat hujah ini rasional. Tetapi politik dan kerja politik memiliki hukum dan syarat tersendiri.

Hakikatnya jika sosok-sosok penyokong Pakatan Rakyat Perjuangan sedar akan peranan ‘jahat’  Najib dan Rosmah, pasti  ramai lagi ahli dan kepimpinan United Malays National Organisation yang sedang melihat perkara yang sama.

Justeru, ahli parti Ketuanan Melayu boleh dianggap ‘bebal politik’ jika tidak menyedari hal ini. Mahathir Mohamad bekas presiden, dan Muhyiddin Yassin bekas timbalan presiden parti mereka telah menyuarakan pendapat yang sama.

Fakta yang disuarakan: Jika Najib terus memimpin Parti Ketuanan Melayu; jika Rosmah terus terkedek-kedek di TV maka jawabnya gerombolan Ketuanan Melayu dan kuncu-kuncunya akan dihumbankan oleh gerakan rakyat yang semakin ampuh.

Justeru sebelum rakyat bangun mengampuh, sebelum rakyat marah turun ke jalan raya, adalah lebih afdal untuk United Malays National Organistaion merehatkan Najib dan Rosmah dari sejarah Tanah Melayu ini.

'Merehatkan' adalah kata sopan. Dalam bahasa politik Najib dan Rosmah wajib ditangkap dan didakwa untuk kebaikan masa depan United Malays National Organisation.

Dalam surah orang Negeri Sembilan Najib dan Rosmah ini sedang mengabiskan boreh. Najib dan Rosmah bukan sahaja menghabiskan beras malah sedang membawa malapetaka. Kekalahan parti Ketuanan Melayu dalam PRU14 nanti akan menyediakan lokap dan penjara kepada ramai pemimpin Parti Ketuanan Melayu.

Sebelum semua ini berlaku lebih baik Najib dan Rosmah diterajang keluar. Ini akan dilihat oleh orang ramai dan bakal pengundi bahawa parti Ketuanan Melayu sedang mengambil langkah tepat yang positif. Ini sedang dan akan berlaku. Ini realpolitik. Tidak ada kuasa yang dapat menahan ombak realpolitik  ini.

Dari sini timbul persoalan yang menjadikan orang ramai tertanya-tanya: Apa kejadahnya perkara yang ditulis oleh akhbar Wall Street Journal (WSJ)? Apa yang menjadikan tulisan WSJ begitu hebat hinggakan menggoncangkan politik Malaysia?

Biar saya terangkan di sini bahawa adalah cakap-cakap bodoh yang mengatakan pembocoran laporan WSJ tentang RM2 bilion ringgit masuk ke akaun Najib WSJ adalah rancangan Yahudi. Adalah cakap-cakap bangang yang mengatakan bahawa WSJ ini ada agenda untuk menjatuhkan kerajaan Malaysia.  Adalah amat bangang bagi sesiapa sahaja yang percaya atau memiliki pandangan bahawa dokumen 1MDB yang dirujuk oleh WSJ itu telah diubah suai.

Siapa dan apa dia The Wall Street Journal ini?

Nama The Wall Street Journal itu sendiri menjelaskan bahawa harian ini mewakili kepentingan kaum pemodal antarabangsa. Wall Street di New York menempatkan pusat perniagan saham, komoditi dan insuran terbesar dalam dunia.

Ini bukan tempat perniagaan Ikan Bakar Sekinchan atau Nasi Lemak Mek Jah Ulu Berang atau jual beli saham Plus Highway.

Hakikatnya Wall Street ialah Kaabah Kapitalis. Akhbar WSJ ialah jurucakap rasmi dari Kaabah ini. Melalui WSJ para Imam dan Ayatolah wakil kaum pemodal  akan mengeluarkan fatwa fatwi tentang salah benar dan halal haram segala bentuk perniagaan yang sedang berjalan dalam dunia kapitalis. Hakikatnya WSJ ini mewakili kepentingan perniagaan kaum pemodal antarabangsa.

Lalu timbul persoalan – kenapa WSJ bocorkan maklumat tentang akaun bank Najib?

Untuk ini saya menjawab begini: WSJ tidak menulis tentang Kenya, tidak menulis tentang Uruguay, tidak menulis tentang Zimbabwe. Apakah negara-negara ini aman permai? Apakah tidak ada rasuah di negara ini?

Jawabnya tidak. WSJ tidak menulis tentang Zimbabwe, atau Kenya atau Uruguay atau negara lain kerana mereka tidak memiliki kepentingan berniaga dalam negara itu. Malaysia ialah rakan niaga Amerika yang kesepuluh. Malaysia memiliki ekonomi yang kukuh di Asean dan Wilayah Pasifik. Malaysia negara kapitalis penting dalam ekonomi kapitalis dunia.

WSJ menulis tentang Najib bukan kerana mahukan demokrasi berjalan di Malaysia. Bukan kerana hak asasi manusia atau kerana Anwar dalam penjara. WSJ menulis tentang akaun Najib bukan kerana mereka cintakan Orang Melayu Bumiputera atau sayangkan Islam. Bukan, bukan, bukan.

WSJ membocorkan berita itu untuk memberi tanda dan isyarat kepada kaum pemodal dunia bahawa Najib Razak bukan lagi sosok yang boleh dipercayai di Malaysia untuk mewakili dan menjaga kepentingan ekonomi mereka.

Justeru sebaik sahaja berita bank akaun Najib keluar dalam WSJ maka The Age Melbourne, Sydney Morning Herald, The New York Times, The Guardian, BBC, CNN, CNBC dan berpuluh akhbar dan tv dunia membuat laporan yang sama.

Maknanya, selesai sahaja Ayatollah memberi fatwa maka Imam, Bilal, Kadi dan Khatib di seluruh dunia menyuarakan perkara yang sama.

Amat jelas bahawa kaum pemodal antarabangsa telah menolak Najib Razak. Kaum pemodal antarabangsa merasakan jika Najib Razak terus berkuasa, pelaburan modal dan perniagaan mereka akan  merosot. Nilai ringgit yang sedang merosot ini bukan saja mengurang keuntungan mereka malah berpotensi menjadi wabak di Asean.

Jangan lupa akan ‘wabak Tom Yam’ pada tahun 1998 yang memporak perandakan ekonomi Asean dan menjadikan ekonomi global lebih parah.

Justeru, lebih awal Najib Razak disingkir lebih molek untuk kaum pemodal di Malaysia dan di Asia Tenggara dan di kawasan Pasifik.

Najib Razak sekarang dalam keadaan yang sama  saperti yang pernah dihadapi oleh Suharto dan Marcos. Di Filipina, Marcos berhadapan dengan gerakan rakyat kaum kiri. Di Jakarta, Suharto berhadapan dengan gerakan anak muda mahasiswa.

Pemodal ini mungkin melihat bahawa keadaan akan menjadi kacau bilau dan merugikan mereka. Maka dengan licik Amerika membawa pulang Senator Benigno Aquino dari Amerika. Maka dengan licik Paul Wolfowitz, Duta Amerika di Indonesia menyusun peralihan kuasa. Jika tidak, warga kiri Indonesia akan mara berkuasa.

Najib Razak kini berhadapan dengan ombak rakyat yang mahukan perubahan. Anak-anak muda makin gelisah dan resah. Untuk pertama kalinya Sarawak telah merayakan Hari Sarawak Merdeka. Semangat nasionalisme Dayak semakin memuncak. Di Sabah, suara menuntut Sabah Merdeka makin lantang.

Di seluruh Malaysia, sentimen untuk menghumban parti Ketuanan Melayu semakin membara. Dalam PRU13 jelas kelihatan 52 peratus warga telah memilih Pakatan Rakyat Perjuangan dan menolak United Malays National Organisation dan konco-konconya.

Mustahil ejen Amerika dari Jalan Tun Razak tidak tahu bagaimana kuasa mutlak terletak di tangan Rosmah Mansor. Keadaan ini amat-amat berbahaya.

Kaum pemodal antarabangsa telah melihat peranan Ibu Tien dan Imelda Marcos. Semua ‘first lady' ini menjadi ikon kebencian – yang mengumpul kemarahan rakyat untuk turun ke jalan raya. Ini membawa porak-peranda.

Hakikatnya – semua pergolakan politik Malaysia diperhatikan oleh kaum pemodal antarabangsa dengan teliti. Selain dari menerima laporan rasmi dari Pak Duta di Jalan Tun Razak, kaum pemodal juga memasang pelbagai  bentuk lembaga perisik dan ejen.

Ada ejen terbuka, ejen upahan, ejen tertanam, ejen menyamar sebagai akademia, ejen menyamar sebagai wartawan atau pun ejen sedang  membuat kajian di universiti. Semua ‘alat-alat’ ini memberi laporan untuk memastikan pelaburan mereka selamat dan terus mendapat keuntungan maksimum.

Justeru adalah silap besar apabila menuduh bahawa WSJ tidak tahu politik Malaysia. Adalah silap besar jika tidak sedar bahawa WSJ mengetahui terperinci hal dalaman politik United Malays National Organisation berbanding dengan pengetahuan ramai ketua-ketua bahagian gerombolan sendiri.

Akhirnya – adalah silap besar jika menganggap maklumat dari Xavier Andre Justo yang kini ditahan di Bangkok sebagai palsu.


ADMIN: BLOG INI AKAN DI TUTUP  DAN TERIMA KASIH DI ATAS SOKONGAN


Berhemah Dalam Menegur

Sememangnya dalam kehidupan ini, perbezaan pendapat dan mempunyai pandangan yang berlainan adalah sesuatu perkara yang lumrah justeru apabila ia berlaku jangan sesekali ada di antara kita dengan mudah membuat kesimpulan yang menjurus kepada prasangka kononnya ia bertujuan memburukkan sesiapa.

Allah telah mengingatkan kita dalam surah Yunus ayat 36 dengan menegaskan, ‘‘Prasangka itu tidak mendatangkan kebenaran apa pun.” Oleh itu jika tercetus sesuatu isu antara kita dan terwujudnya perbezaan pendapat atau terbentuk sesuatu teguran ia seharusnya ditangani dengan sebijak-bijaknya.

Janganlah kita terlalu gopoh ke hadapan dengan membuat andaian yang bukan-bukan atau berhujah dengan penuh emosi sehingga terwujud cabar-mencabar. Sebaliknya teguran atau sesuatu pandangan itu perlu diteliti dan dihalusi sertai dikaji kebenarannya. Ini kerana perbuatan menegur orang yang melakukan kesalahan merupakan tindakan yang amat diperintah oleh Allah.

Firman Allah dalam surah An-Nahl ayat 125 bermaksud:
“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang lebih baik.”
Namun begitu sejak kebelakangan ini kita melihat semakin banyak pihak yang tidak boleh ditegur biarpun apa yang dinyatakan oleh seseorang itu mempunyai kebenarannya.

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah mengingatkan bahawa sesuatu kebenaran itu perlu dinyatakan biarpun pahit dan baginda juga menegaskan,
‘‘Siapa sahaja di antara kalian yang melihat kemungkaran, maka tegurlah dengan tangannya (kekuasaannya). Jika tidak mampu, maka tegurlah dengan lisannya. Jika tidak mampu juga, maka tegurlah dengan hati. Namun, ini adalah keimanan paling lemah.”

Islam telah menggariskan dalam membuat teguran, kita haruslah berhati-hati apatah lagi jika kita cuba bertindak sebagai ‘orang perantaraan’ bagi menjelaskan sesuatu perkara.

Tiga faktor yang digariskan oleh Islam boleh menjayakan sesuatu teguran itu ialah, pertama, tidak merendahkan ego orang yang ditegur, kedua mencari waktu yang tepat dan ketiga memahami kedudukan orang yang ditegur.

Hakikatnya, Islam memberi panduan yang jelas dalam kita memberi teguran dan bagaimana sikap kita apabila ditegur. Kita tidak harus melatah apatah lagi terlalu emosional sehingga menyebabkan kita melafazkan kata-kata yang tidak sepatutnya.

Semua itu tidak akan menyelesaikan masalah sebaliknya hanya akan mengeruhkan lagi keadaan, tidak kira sama ada kita pemimpin atau tidak tetapi apa yang kita perkatakan pasti akan dinilai oleh manusia dan diperhitungkan oleh Allah.

Kegagalan untuk mengawal perasaan kita berhujah akan menyebabkan berlaku tuduh-menuduh yang kesudahannya akan mencetus permusuhan antara kita.

Tindakan ini sudah tentulah bertentangan dengan firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 103 yang mengingatkan,
‘‘Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai-berai dan ingatkan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu bermusuh-musuhan, maka Allah menjinakkan hati kamu lalu jadikan kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang yang bersaudara, pada hal dahulunya kamu telah berada di jurang neraka, maka Dia menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan kepadamu ayat-ayat agar kamu mendapat petunjuk.”

Hakikatnya, Islam tidak hanya mengajar etika menegur umat seagama tetapi Islam juga mengajar kita bagaimana cara menegur yang betul kepada umat daripada agama lain, tidak kita seburuk apa pun kesalahannya.

Ia terkandung dalam al-Quran melalui perintah Allah kepada Nabi Musa dan Nabi Harun untuk berkata lembut kepada Firaun seperti mana firman-Nya dalam surah Thaha ayat 44 yang bermaksud;

‘‘Berbicaralah kalian berdua kepadanya (Firaun) dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut.”

Jika dengan Firaun pun Allah perintahkan para nabi bercakap dengan lemah lembut, apatah lagi kita sesama Islam. Ertinya Allah tidak suka jika kita bercakap atau berhujah mengikut perasaan semata-mata.

Rasulullah s.a.w bersabda,
‘‘Percakapan orang yang berakal muncul dari balik hati nuraninya. Maka ketika hendak berbicara, terlebih dahulu ia kembali pada nuraninya. Apabila ada manfaat baginya, dia harus bercakap dan apabila ia boleh mendatangkan keburukan, maka dia hendaklah tidak melafazkannya. Sesungguhnya hati orang yang bodoh berada di mulut, ia berbicara sesuai apa sahaja yang dia mahukan’’.

Seperkara lagi dalam kita berhujah atau mempertahankan sesuatu elakkan daripada memalsukan fakta apatah lagi membuat pujian yang bukan-bukan kepada seseorang ini.

Ia disebabkan pujian yang melampau itu adalah bencana lidah (min afat al lisan) yang sangat berbahaya.
Dalam buku Ihya ‘Ulum al-Din, Imam Ghazali menyatakan enam bahaya (keburukan) yang mungkin timbul daripada budaya memuji tersebut iaitu empat keburukan kembali kepada orang yang memberikan pujian dan dua keburukan lainnya kembali kepada orang yang dipuji.

Bagi pihak yang memuji, keburukan yang akan diperoleh ialah melakukan pujian secara berlebihan sehingga menjerumus ke dalam dusta, dia memuji dengan berpura-pura menunjukkan rasa cinta dan simpati yang tinggi sedangkan dalam hatinya adalah sebaliknya, ia menyatakan sesuatu yang tidak disokong oleh fakta sebaliknya pembohongan semata-mata dan dia telah menggembirakan orang yang dipuji padahal orang itu melakukan kesalahan.

Dua keburukan yang menanti orang yang dipuji pula ialah dia akan merasa sombong (kibr) dan bangga diri (ujub) – kedua-dua adalah penyakit yang boleh ‘mematikan’ hati seseorang dan keburukan kedua, orang yang dipuji akan merasa hebat, tidak perlu bersusah payah dan bekerja kuat.

Kesimpulannya, dalam apa juga yang kita lakukan berkaitan dengan lidah yang melahirkan kata-kata kita harus berhati-hati, tidak kiralah sama ada ia teguran, pujian, kenyataan atau berhujah.Ini kerana setiap apa yang diperkatakan akan diperhitungkan di akhirat kelak apatah lagi jika ia berkaitan dengan soal kebenaran dan kebatilan.

Justeru jadikanlah firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 104 dan 105 sebagai pegangan, maksudnya;

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang mengajak kepada kebajikan dan menyuruh kepada makruf dan mencegah dari kemungkaran dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.

“Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang bercerai-berai dan berselisih sesudah datang keterangan yang jelas kepada mereka dan mereka itulah orang-orang yang akan mendapat azab yang berat.




Langkah seiring Pas dan Umno

Oleh : AMNI JAGAT

Bermula 27 Julai 2015, maklumat berkenaan ruangan sastera akhbar Harakah telah diberhentikan serta merta. Selepas 24 jam penutupan ruangan tersebut, penulis veteran akhbar Harakah Shukur Haron pula telah ditamatkan penulisannya di akhbar rasmi milik parti Pas itu.

Dalam kekalutan yang dilakukan oleh Pas, sisi pihak pemerintah pula dikejutkan dengan pemecatan Timbalan Perdana Menteri (Muhyiddin Yassin) dari jawatan kedua tertinggi itu. Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno itu telah diberitakan tempatnya telah diganti dengan Timbalan Perdana Menteri yang baru.

Berkesudahan dengan itu, langkah kedua-dua parti yakni Pas dan Umno dilihat seiring dalam menyusun langkah pembersihan golongan yang tidak setia pada kepimpinan masing-masing.

Lanjutan dari perkara yang berlaku, kemungkinan kedua-dua parti terbesar bangsa melayu itu bakal menjadi parti golongan ‘Pak turut'.

Kesinambungan dalam dua trajedi antara isu penutupan ruangan sastera di Harakah dan pemecatan Timbalan Perdana Menteri ini dilihat mungkin ada suatu agenda yang tersembunyi sedang dirancang untuk membina gagasan matlamat masa depan kedua-dua parti itu.

Bagi sisi pas, parti itu setakat ini sedang mengalami krisis pergeseran ahli dan masalah dalamannya yang masih berlarutan.

Sehinggakan parti itu telah membuat keputusan memutuskan hubungan dengan parti rakan mereka yakni DAP.

Apa yang difikirkan Pas kini adalah berkenaan dengan masa depan parti dalam karier politiknya.
Keputusan yang dibuat Harakah berkenaan dengan penutupan ruangan sastera serta pemberhentian penulis veteran Shukur Haron ini adalah langkah menyingkirkan golongan yang tidak sebulu dengan kepimpinan parti.

Shukur haron dan beberapa penulis di ruangan sastera adalah golongan yang bertindak banyak mengkritik kepimpinan dari segi penulisan mahupun lisan.

Sekarang dapatlah dipastikan parti Pas sudah dibersihkan hampir keseluruhannya dari golongan pengkritik dalam parti itu.

Untuk parti pemerintah seperti Umno pula, langkah pemecatan serta penyingkiran Timbalan Perdana Menteri ini juga sebagai suatu langkah menyingkirkan golongan pengkritik kepimpinan dalam parti berkenaan.

Umum mengetahui Muhyiddin Yassin sebelum ini kuat menentang kepimpinan Perdana Menteri dalam isu salah laku dari sudut pengurusan ekonomi dan sosial masyarakat di Malaysia. Tindakan Muhyiddin sebelum ini dilihat mengundang risiko yang besar dalam karier politiknya.

Akhirnya sangkaan itu dijelaskan dengan pemecatan dari jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Parti Umno memang dikenali sebagai parti yang mengamalkan sistem setia pada kepimpinan parti justeru siapa yang mengkritik kepimpinan parti akan dikenakan tindakan kebiasaannya.

Di sini jika melihat tindakan kedua-dua parti (Pas dan Umno) adalah sama serta seiring dengan membangunkan institusi ahli yang setia atau kata lainnya ‘Pak turut'.

Sebelum ini Pas juga turut mengambil pendekatan menyingkirkan Timbalan Presidennya dalam gerakan yang boleh digelar sebagai gerakan ‘anti profesional'.

Nasib kedua parti ini pada masa depan akan mengalami suatu laluan terkebelakang kerana tanpa pengkritik yang sihat, pembinaan, kemajuan dan percambahan dalam gerak kerja tidak akan berlaku.

Sifat autokratik yang diamalkan ini bukanlah sebuah budaya sihat yang mampu membina semangat kesedaran yang tinggi.

Akhirnya masyarakat dan rakyat yang akan menjadi mangsa kerana sifat kurang kesedaran ini akan terus timbul tanpa dibendung.

Bisik-bisik kini kuat menyatakan adakah kepimpinan autokratik ini akan membuahkan hasil pertautan di antara kedua-dua parti melayu itu?

Andai kedua-dua parti itu mengambil langkah pertautan, mereka tidak perlu risau kerana yang tinggal dalam kedua-dua parti itu hanya ‘Pak turut' yang direka maka tiada halangan lagi untuk agenda itu dilaksanakan- 

ADMIN: BLOG INI AKAN DI TUTUP DAN TERIMA KASIH DI ATAS SOKONGAN ANDA SEMUA.

Kisah Ah Beh dan Nalli

Oleh Muhaimin Sulam 


Bila Ah Beh, Nalli dan rakan-rakannya dalam DHPP mengistiharkan menyertai Gerakan Harapan Baru (GHB) di Ipoh, secara tiba-tiba DHPP menjadi semakin kua...t.

Sebagai mengenangkan kisah silam kami, elok aku ceritakan 'Ah Chong' dan 'Ramasamy' ini dalam PAS.
Ah Beh berasal dari Bagan Serai, kerja sebagai pemandu lori. Bijak berpantun. Dalam mesyuarat, bila nak sampaikan pandangan, dia berdiri. Sebagai pengerusi DHPP Perak yang pertama, susuk dia adalah DHPP begitu sebaliknya. Dia membahasakan DHPP sebagai 'adik bongsu',

Setiausahanya, Nalli setia ke mana bos dia pergi. Pada awal tahun ini, Nalli menang jawatan pengerusi DHPP melalui proses pengundian. Sekaligus mencatat sejarah kepimpinan sayap parti bukan melalui pelantikan. Dan Perak menjadi satu-satunya kepimpinan DHPP Negeri dibuat dalam pengundian. Nalli selalu menghubungi aku tentang kegusarannya `isu dalaman yang sangat sensitif'. Kadangkala penat mendengar keluhannya. Aku cuba menjadi pendengar yang setia dan prihatin. Hakikatnya akupun buntu. Akhirnya aku sebut, sabarlah.

Ah Beh bertanding Timbalan Pengerusi DHPP dan menang. Walaupun sudah bertahun-tahun dia ketuai DHPP, dia sanggup turun pangkat dan berketuakan bekas Setiausahanya. Ah Beh kalau bercakap tak ada tapis. Dia bagi sebiji sebiji.

Turut mengistiharkan menyertai GHB ialah Bala, Setiausaha DHPP dibawah kepimpinan Nalli. Seorang lulusan undang-undang dan sangat minat dalam memahami Islam. Berasal dari Tanjung Malim. Sudah banyak kali dia datang rumah aku. Suatu hari dia ziarah rumah aku dan membelek-belek buku aku. Dia kata, kalau lama dia duduk kat rumah aku, dia mungkin jadi komunis.

Dia sempat berbincang panjang dengan TG presiden. Adalah dosa dia selama ini akan terhapus bila dia memeluk Islam. Tentu sekali, TG presiden jawab.

Seorang lagi ahli DHPP yang ikut menyertai GHB ialah Richard Wong. Dia orang pekan Langkap, satu kawasan dengan aku. Dia fasih berbahasa Melayu dan sebab itu dia dijemput berceramah di merata tempat. Aku pun tak pernah terima jemputan macam dia.

Ceramah dia kadangkala kasar. Aku pesan kat dia, jangan ajar orang Umno tentang Islam. Kadangkala siap dia bawa kitab untuk tunjukkan bukti Umno salah. Aku kata sensitif. Sejak tu, dia cerita tentang politik walaupun sekali-sekala terlajak ajar Islam pada orang Islam.

Apabila PAS Melaka menawarkan dia bertanding pada PRU 2013 di Asahan, dia pergi jumpa aku. "Macamana ni Doktor? Saya mana ada duit...." Susah hati menerima tawaran itu. Siapa yang nak tolong? Kadangkala naik pening juga aku melayannya. Akhirnya dia setuju bertanding. Sejak hari pembubaran parlimen dan hari mengundi dia berkampong di Asahan dan rasa macam dia tak nak balik ke Pasir Salak.
Hoi Richard.... balik sini! Minum ke pekan Langkap.

Itulah sejemput kisah aku dan dia. Elok dibaca pada pukul 10 malam dalam Rancangan 'Aku dan Kenangan'. Lagu yang menjadi pilihan adalah nyanyian Mayang Sari. 'Tiada Lagi'.

Dinamika politik harapan baharu

Oleh Abd Shukur Harun

Politik bukan sebuah dunia angan-angan dan khayalan atau sebuah mimpi indah untuk mendapatkan kuasa tetapi politik ialah sebuah dunia yang sangat dinamik, hamparan realiti dan pragmatik sifatnya.

Sebab itulah mereka yang mahu melibatkan diri dalam politik mestilah bersedia untuk menghadapi dunia realiti, menerima hakikat bahawa politik itu – yang tentunya mengenai kuasa – bukan boleh dirancang hanya berdasarkan khayalan dan jangkaan menurut emosi serta khyalan.

Maka itu mereka yang menjadi pemimpin politik atau aktivisnya perlu bersikap realistik, menerima hakikat bahawa politik itu sangat dinamik, berubah mengikut keadaan.

Bertahun-tahun Nellson Mandela sebagai tahanan politik di Afrika Selatan kerana perjuangan aparthednya, kemudian ia dibebaskan dan menjadi presiden negaranya.

Di tanah air kita, sejak merdeka, parti politik dan pemimpinnya datang dan pergi silih berganti, menang dan kalah atas kehendak masa dan keadaan. Sebab itu Winston Churchill, bekas perdana menteri Britain yang terkenal itu pernah berkata:

“Politics is almost as exciting as war and quite as dangerous. In war you can only be killed once, but in politics many times.”

(Politik adalah hampir menyenangkan seperti perang dan cukup berbahaya. Dalam perang, anda hanya boleh dibunuh sekali, tetapi dalam politik banyak kali.)

Oleh itu dalam politik, parti dan pemimpin serta pendukungnya boleh kalah dan menang, kalah lagi dan menang lagi, begitu seterusnya.

Dalam hubungan inilah, saya kira pemimpin dan pendukung Gerakan Harapan Baru (GHB), yang akan menjadi parti politik tidak lama lagi sangat memahami realiti dan dinamika politik ini dengan segala risikonya.
Kalau tidak masakan pendukung GHB ini (nama sementara), dengan penuh tekad hendak menubuhkan badan politik baru.

Bukan semata-mata kerana dikalahkan dalam pemilihan di muktamar PAS Jun lalu, tetapi lebih jauh dari itu kerana didorong oleh kesedaran mereka bahawa sebuah badan politik baru yang progresif, dinamik, terbuka dan peduli rakyat sangat perlu ditubuhkan untuk mendepani cabaran yang ada.

Langkah ini sebagai respons kepada kehendak majoriti rakyat negara ini yang sudah sangat kecewa dengan situasi politik kuno yang ada sekarang yang sangat melemaskan.

Dengan dasar Islamnya yang membawa pendekatan sebagai agama Rahmatan Lil Alamin, wadah baharu ini sangat peduli rakyat, bukan saja kepada umat Islam, tetapi juga kepada bukan Islam.

Ia benar-benar berusaha memahami masalah rakyat dan berusaha menyelesaikannya menurut pendekatan Islam yang berpaksikan keadilan.

Inilah hasrat pemimpin wadah baharu ini dengan sikap keterbukaan mereka.

Saya amat kenal dengan para penggerak GHB ini. Mereka pernah menang dan kalah dalam pelbagai pertandingan parti dan pilihan raya negara sebelum ini, tetapi ketika itu mereka belum terpanggil untuk menubuhkan parti politik baru disebabkan ketika itu masih melihat ada harapan untuk perubahan.

Tetapi dengan apa yang berlaku sekarang ini, menyebabkan para tokoh progresif ini mengambil  keputusan menubuhkan parti baru justeru tidak ada pilihan lain kerana tiada lagi harapan berubah dari keadaan yang wujud sekarang.

Secara kebetulan, Pakatan Rakyat menghadapi krisis hingga berakhir hayatnya dengan penuh duka.
Maka itu menguatkan lagi keazaman para tokoh progresif ini untuk menubuhkan parti politik baharu yang sangat dinantikan oleh rakyat.

Kehadiran mereka di tengah pentas politik negara menghamparkan harapan kepada masyarakat sivil dan golongan anak muda serta golongan prihatin lain untuk menyaksikan suatu perubahan dari politik beku seperti yang wujud sekarang kepada wadah politik peduli rakyat.

Di sinilah politik harapan baharu kelihatan menjanjikan suasana ini.

Adapun ahli parti lama, kiranya mereka berhasrat menyertai GHB ini terpulang kepada mereka. Jika mereka mahu menyertainya dialu-alukan.

Tidak ada pujuk rayu dengan linangan air mata, justeru semua itu hak demokrasi mereka untuk memilih.

Bahtera baharu ini  bukan lampu ajaib yang boleh menyelesaikan semua masalah. Tetapi sekadar mengambil bahagian penting dalam usaha menyelesaikan masalah negara, sesuai dengan tuntutan Islam yang menyeru umatnya kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar.

Bahtera baharu ini sangat sedar akan cabaran besar yang dihadapinya dari segenap penjuru.
Oleh itu saya yakin pendukung GHB ini mampu untuk menghadapi semua cabaran ini.

Pengalaman mereka yang selama ini berjuang dalam politik dengan penuh integriti, keintelektualan dan prestasi yang cemerlang serta konsistensi mereka memperjuangkan sebuah cita-cita besar, Insya Allah, memungkinkan mereka terus berjuang melalui wadah baharu ini.

Saya amat kenal dengan mereka ini, antaranya Mohamad Sabu, Salahuddin Ayub, Dr Dzulkefly Ahmad, Mohamed Hanifah Maidin, Khalid Samad, Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa, Suhaizan Kayat, Izham Hashim, Dr Siti Mariah Mahmud, Asmuni Awi, Datuk Seri Nizar Jamaludin dan Aiman Athirah al-Jundi dalam senarai yang panjang. Mereka adalah tokoh emas tempawan yang tinggi nilainya.

Saya yakin di tangan mereka ini wadah baru ini akan berkembang subur dengan sokongan pelbagai pihak.
Sementara itu, penyokong  parti politik baru ini nampaknya gembira dengan sikap pemimpin mereka yang ‘tidak membalas serangan dengan serangan’ dari pihak yang menentangnya.

Mereka kelihatan terus tabah, sabar dan tenang kerana yakin kepada kebenaran yang mereka miliki.
Justeru mereka yang memiliki kebenaran, seperi kata Ibnu Khaldun, mampu berdiri teguh kerana kebenaran itu sendiri adalah sebuah kekuatan luar biasa.

Lebih-lebih lagi mengingat pesan pemimpin Ikhwanul Muslimin, Almarhum Imam Hasan Al Banna: “Kamu sebagai pejuang Islam hendaklah mempunyai sifat seperti pohon yang berbuah. Orang melemparnya dengan batu, ia membalasnya dengan buah yang ranum.”

Maka itu, masa-masa mendatang cabaran akan lebih pahit, panas dan tajam. Inilah tanda bahawa kehadiran Gerakan Harapan Baru itu sudah dirasakan oleh masyarakat.

Kini pendukung wadah baru ini perlulah segera menyusun rancangan yang benar-benar menggambarkan peduli rakyat kerana rakyat  sungguh-sungguh sedang memerhatikan mereka.

Inklusif ...

Oleh Hasbie Muda

1. Inklusif atau keterangkuman adalah ciri-ciri paling penting bagi sebuah parti politik yang mahu menjadi kerajaan sesebuah negara ataupun negeri. Lawan inklusif adalah eksklusif atau 'rangkuman terhad' atau 'tidak dikongsi dengan pihak lain'.

2. Inklusif mudah disebut tetapi hakikatnya sukar diamalkan. Inklusif bukan sekadar mampu bergaul dengan orang kampung dengan berpelikat atau mesra bersuapan dengan rakan bukan Melayu di rumah terbuka, tetapi ertinya jauh lebih luas daripada itu.

3. Kunci utama kejayaan UMNO terus memerintah Malaysia sehingga ke saat ini adalah kerana UMNO berjaya menjadikan partinya inklusif untuk hampir semua entiti Melayu yang wujud.

Kewujudan UMNO adalah hasil muafakat 41 buah persatuan yang bergabung pada tahun 1946.

Kejayaan UMNO menguruskan permuafakatan entiti-entiti yang bergabung membentuk UMNO adalah suatu kunci yang menentukan sejauh mana ia mampu bertahan. Walaupun ada beberapa entiti yang kemudiannya menarik diri seperti PKMM namun ia hanyalah kes yang terpencil.

4. Begitu juga apabila UMNO menerajui Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional. Formula itu yang diguna pakai.

5. Inklusif adalah seni. Bukan mudah untuk memastikan bahawa setiap entiti dalam kepemimpinan kita mampu berpuas hati dengan sesebuah kepemimpinan. Agihan kerusi menteri mengikut negeri, jawatan utama dalam GLC, institusi-institusi kerajaan, senator, duta dan pelbagai lagi dibuat dengan teliti agar tidak ada pihak yang merasa tersisih ataupun tidak dihargai. Setiap isu yang wujud dalam setiap entiti diselesaikan. Peranan mereka diiktiraf manakala suara mereka mestilah didengari.

6. UMNO ada kelemahan yang banyak bertimbun tetapi fokus UMNO pada nilai inklusif kekal hingga ke hari ini. Motto UMNO ' Bersatu, Bersetia, Berkhidmat' serta motto pada jata negara iaitu 'Bersekutu Bertambah Mutu' memberikan pentunjuk yang jelas bahawa nilai iklusif, kesatuan, sinergi menjadi elemen penting perjuangan parti Melayu ini dan ia wajar dicontohi.

7. Individu yang eksklusif memang akan menimbulkan rasa meluat tetapi jika suatu parti yang eksklusif, ia akan ditolak oleh rakyat. UMNO sedang menuju ke arah itu.

8. Cabaran utama Gerakan Harapan Baru (GHB) adalah bagaimana menjadikannya inklusif untuk semua. Setiap elemen yang boleh membantunya mencapai matlamatnya perlu diraikan dan diuruskan dengan sebaik mungkin untuk membuahkan kemenangan.

9. GHB perlu mengumpulkan sebanyak mungkin elemen yang boleh membantunya meraih kemenangan. Jangan remehkan golongan mahasiswa yang membentuk setengah juta rakyat negara ini. Kelompok orang muda, bukan Melayu, agamawan, profesional, penganggur, artis, karyawan, usahawan, peniaga kecil, penjaja, wanita, penjawat awam serta semuanya perlu disantuni dan dirangkumkan dalam perjuangan.

10. Tempoh awal penubuhan PKR (ketika itu PKN) kelihatan malap dan kurang sambutan kerana ia kelihatan tertumpu untuk membela Anwar. Lingkaran kepemimpinan juga seolah-olah terhad kepada bekas pimpinan UMNO serta beberapa NGO Islam semata-mata. Tetapi apabila Anwar dibebaskan dan PKR memfokuskan perjuangannya bukan lagi untuk Anwar sebaliknya untuk rakyat, maka ia mendapat sokongan yang meluas daripada rakyat. Pemimpin muda boleh diangkat menjadi exco dan pemimpin utama parti dan kerajaan negeri manakala tidak ada budaya label-melabel yang ketara menjadikan ia sebuah parti yang popular khususnya untuk anak muda.

11. Era awal kepemimpinan Dato' Asri Muda juga cemerlang kerana gaya kepemimpinannya ketika itu inklusif. Menamakan Ustaz Nik Aziz sebagai calon PRK Kelantan Hilir pada 1967 walaupun ditentang ulama' tradisional, pemilihan tenaga muda seperti Cikgu Pa dan Zahari Awang sebagai calon PRU 1974 selain pelawaan kepada pemimpin muda ABIM menyertai PAS menjadikan PAS segar dan popular di mata rakyat. Apabila beliau mula dilihat eksklusif dengan mengutamakan rakan-rakan rapat untuk dilantik memegang jawatan Setiausaha Agong, Bendahari dan Ketua Penerangan, beliau mula ditolak secara meluas oleh pimpinan PAS yang lain. Klimaksnya, keputusan beliau mengetepikan Pesuruhjaya PAS Kelantan (TGNA) dalam soal pelantikan calon PRU 1982 menjadikan beliau terperosok ke penjuru penolakan paling kuat dalam parti.

12. Mudah-mudahan GHB menekuni setiap lekuk sejarah lampau untuk dijadikan iktibar.

13. Mudah-mudahan GHB bersungguh-sungguh dalam menjadikannya sebuah parti yang inklusif untuk semua.

Model politik UMNO/BN lebih baik untuk Islam ?

Oleh Ahmad Sabki Yusof

Hari ini, saya bercadang untuk menulis lanjut tentang krisis organisasi PAS dan memberi cadangan. Kali ini mengenai kepimpinan.Tapi oleh kerana ramai yang memberikan komen-komen dalam tulisan pagi semalam, saya kemukakan beberapa maklum balas sebelum terus menulis dan memberi cadangan kepada PAS.

Pertamanya, saya tidak lagi memegang apa-apa jawatan di dalam PAS, hanya ahli biasa. Jadi tak salah rasanya mencadang di dinding FB ini. Sehingga semalam, FB ini pun sudah lama tidak dikemaskini, mungkin lebih dari 7 tahun.

Seterusnya terima kasih kepada yang memberikan komen – samada menyokong atau menolak, itu hak tuan-tuan sebagai pembaca. Jazakallahu khair.

Pernyataan saya yang menarik respon ramai dalam tulisan tersebut mungkin diambil dari para: “Mereka yang percaya model politik UMNO/BN lebih baik untuk Islam dan Melayu mula menunjuk sikap tidak mesra Pakatan Rakyat dan apa yang berlaku selepas itu adalah sejarah yang kita semua tahu”.

Ada yang mengadakan saya terpengaruh dengan cybetroopers, ada yang kata itu fitnah dan tohmahan dan ada yang mengatakan itu falasi.

Bila saya menulis perkara tersebut, bukan saya membuat tuduhan, jauh sekali saya mencetuskan fitnah, tapi ini adalah pemerhatian saya sepanjang berada di lingkaran kepimpinan pusat sejak 2003 hingga 2013 (dalam Dewan Pemuda PAS Pusat dan Jawatankuasa PAS Pusat).

Ada juga komen minta saya menyalahkan DAP. Saya belum sampai ke situ. Tunggulah dalam penulisan yang lain.

Sebelum saya pergi lebih lanjut, saya perhatikan ramai di kalangan ahli PAS yang cukup fobia dan melenting apabila bercakap soal kerjasama politik bersama UMNO/BN – seolah-olah menimbangkan kerjasama politik bersama UMNO/BN adalah satu dosa yang mutlak dalam apa jua keadaan. Pada saya ini adalah pandangan politik yang cetek.

PAS bebas menimbangkan apa jua strategi dan pendekatan dalam politik selagi mana ianya boleh membantu PAS mencapai matlamatnya dan ianya tidak bercanggah dengan shari’ah – termasuk dalam soal membina hubungan dengan UMNO. Maka mempertimbangkannya tidak menjadi satu dosa. Apa yang penting ia perlu melalui proses membuat keputusan mengikut sistem yang sedia ada di dalam parti, untuk melihat dari sudut keuntungan politik dan juga samada ianya bertentangan dengan shari’ah.

Proses ini berlaku selepas PAS memenangi kerusi dan berpeluang menubuhkan beberapa kerajaan negeri selepas PRU-12. Penilaian rasmi parti telah dibuat, dan akhirnya PAS memutuskan untuk bersama PKR dan DAP dan menubuhkan Pakatan Rakyat.

Tapi untuk mereka yang terlibat dalam operasi dan kepimpinan politik, mereka tidak boleh mengelak dari terus membuat penilaian demi penilaian. Malah pimpinan mesti membuat penilaian. Ya, kerana ijtihad politik boleh berubah dari masa ke masa.

Dan tentunya, walau berapa kalipun Presiden PAS pertegas bahawa PAS memilih Pakatan Rakyat dan komited dengan Pakatan Rakyat, tetap ada yang menilai dan mempunyai pandangan peribadi yang berbeza – terutama sekali setelah melalui isu-isu sukar dalam pentadbiran negeri bersama PKR dan DAP terutamanya di Selangor dan apabila berpolemik melibatkan prinsip agama seperti hudud, kalimah Allah dan sebagainya.

Pada saya tidak ada salahnya kalau mana-mana pimpinan berpandangan model politik UMNO/BN lebih selamat untuk Islam dan Melayu, selagi mana ianya pandangan peribadi dan mereka masih patuh pada keputusan parti. Apa yang salah apabila tindakan dan sikap politik yang diambil bertentangan dengan keputusan rasmi parti pada waktu tersebut.

Ya, ada pemimpin PAS yang memegang pandangan model kolisi politik UMNO/BN lebih baik untuk Islam dan Melayu berbanding model Pakatan Rakyat. Dan tidak kurang juga kalangan pimpinan PAS yang berpandangan Pakatan Rakyat tidak lagi sesuai untuk PAS tapi tidak pula menerima model kolisi politik UMNO/BN. Kedua-dua kecenderungan ini mempengaruhi tindakan politik yang tidak mesra Pakatan Rakyat.

Anda tanya, mana buktinya ada kumpulan pimpinan yang berpandangan begitu?

Oleh kerana saya berada bersama kepimpinan pusat, bukti-bukti itu berlegar di keliling saya, dari 2008 hingga sekarang. Sebahagiannya saya kutip dari pergaulan dengan rakan-rakan pimpinan (saya mengenali dekat semua pimpinan PAS Pusat – melainkan seorang dua yang baru menduduki JK PAS Pusat untuk kali pertama tahun ini), sebahagiannya saya kutip melalui perbahasan dalam mesyuarat dan sebahagian lagi melalui pengalaman sendiri dalam peristiwa-peristiwa signifikan sejak 2008.
Sudah banyak yang terdedah dan didedahkan. Anda sendiri mampu mencarinya.

Saya tidak berminat untuk bercakap tentang individu dan peristiwa, saya hanya ingin bercakap tentang idea.

Cukup jelas dan meyakinkan saya, tapi saya tak perlu memaksa tuan-tuan mempercayainya. Tuan-tuan boleh terus dengan apa yang tuan-tuan percaya, dan saya teruskan dengan apa yang saya tahu.

Cadangan saya tetap sama - PAS perlu segera nyatakan halatuju politiknya, yang logikal dan praktikal.

Jumpa lagi di hari Sabtu, minggu depan. InshaAllah.

Petikan dari FB Ahmad Sabki Yusof
26 Julai 2015

PRU14 mungkin lebih awal, sangat penting duduk semeja

Oleh SALAHUDDIN HJ AYUB

1. Gerakan Harapan Baru (HB) bersedia untuk   mengadakan perbincangan  dengan semua pihak dalam usaha mendepani isu-isu kepentingan rakyat dan negara.

2. Situasi politik, ekonomi dan sosial negara sekarang ini sangat kritikal dan memerlukan komitmen semua pihak untuk menyelamatkan rakyat yang semakin terkesan kehidupan seharian mereka.

3. HB telah dan akan terus menemui NGOs, parti-parti politik serta individu-individu berpengaruh serta institusi-institusi penting dalam masyarakat bagi memperkukuhkan lagi iltizam bersama memperjuangkan isu-isu rakyat.

4. Berdasarkan senario terkini politik tanah air, HB tidak menolak kemungkinan akan berlakunya ketidakpastian politik, sekaligus membawa kepada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lebih awal.

5. Adalah sangat penting bagi semua pihak bersedia untuk duduk semeja pada saat yang cukup kritikal ini.

6. HB sentiasa bersedia memberikan apa saja sumbangan yang terbaik untuk memastikan hasrat dan cita-cita perjuangan rakyat dapat dilaksanakan dengan seutuhnya.

SALAHUDDIN HJ AYUB
Timbalan Pengerusi
Harapan Baru (HB)

Perlu Jujur Jika Ingin Berbicara tentang Baiah.

OLEH MOHAMED HANIPA MAIDIN


Bagi menjamin para wakil rakyatnya terus taat setia kepada Pas, Pas menyediakan satu akujanji taat setia kepada perjuangan parti untuk diikrarkan oleh mana mana calon yang bertanding pilihanraya . Ia bertujuan memastikan mana mana wakik rakyat yang dipilih atas tiket Pas akan terus bersama Pas selepas mereka memenangi pilihanraya.

Sudah tentu baiah untuk terus bersama sama Pas dibuat atas premis segala tindakan yang dibuat oleh Pas selari dengan ajaran dan prinsip Islam. Jika tidak , sudah tentu ia termasuk dalam baiah yang boleh dipertikaikan kesahihannya.

Dari segi moral politik, baiah atau akujanji taat setia itu suatu yang baik bagi memastikan mana mana wakil rakyat yang dipilih tidak mengkhiananti amanah yang diberikan oleh rakyat dalam pilihanraya tersebut.

Sebagai parti yang menjadikan Islam sebagai dasar perjuangannya sudah tentu Pas bukan sahaja megharapkan mana mana wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat atas tiket Pas akan terus menjalankan amanah yang diberikan oleh rakyat melalui undi mereka kepada calon calon Pas tersebut malahan wakil rakyat Pas juga bertanggungjawab memastikan Pas juga dalam masa yang sama tidak sama sekali mengkhianati sokongan rakyat yang diberikan kepada Pas.

Sudah tentu , menurut hemat saya,bila kita berbicara mengenai akujanji taat setia kepada perjuangan Islam yang dibawa oleh Pas itu , ia merangkumi aspek tidak mengkhianati sokongan rakyat yang diberikan kepada calon calon Pas tersebut. Dengan lain perkataan ,wakil rakyat Pas bukan sahaja perlu bersama dengan perjuangan Islam tapi wakil rakyat Pas juga perlu memastikan Pas juga , dalam apa apa keputusan dan tindakan yang dilakukan oleh parti tersebut, tidak dalam apa keadaan meremehkan jauh sekali mengkhianati sokongan rakyat yang diberikan kepada Pas melalui calon Pas tersebut.

Sudah tentu misalnya apabila rakyat memilih calon Pas sebagai Ahli Parlimen mereka mengharapkan Ahli Parlimen itu bukan sahaja turun ke kawasan Parlimen yang beliau tandingi tersebut dan mengambil tahu dan cuba menyelesaikan masalah rakyat malahan rakyat juga mahukan Ahli Parlimen tersebut juga turut hadir dalam mana mana persidangan Parlimen dan turut sama mengambik bahagian dalam perbahasan di Parlimen. Jika itu tidak dilakukan sudah tentu ia boleh ditafsirkan sebagai meremehkan sokongan rakyat dan dikhuatiri ia juga boleh tergolong kepada pengkhianatan sokongan rakyat kepada calon Pas tersebut.
Oleh itu jika kita berbicara tentang baiah ia harus dilihat secara holistik dan tidak seharusnya disempitkan kepada aspek tertentu sahaja.

Dalam pilihanraya umum yang lepas ada beberapa realiti politik yang perlu diambil kira jika kita serius ingin bercakap tentang isu baiah.

Saya perhatikan, dalam perbincangan mengenai isu baiah setakat ini , mereka yang lantang menuduh para Ahli Parlimen dan Adun Pas yang menyokong Harapan Baru telah melanggar baiah, nampaknya, atas alasan yang hanya mereka sahaja tahu, telah gagal sama sekali mengambil kira realiti tersebut sekaligus amat mudah dan cepat mereka menjatuhkan hukuman ke atas ahli ahli Parlimen dan adun adun tersebut.

Antara realiti politik yang wujud dalam pilihanraya umum yang lalu adalah seperti berikut.

Pertamanya Pas telah mengadakan tahaluf politik dengan Dap dan Pkr atas nama Pakatan Rakyat ( PR ) dan Pas menyertai pilihanraya tersebut atas nama Pakatan Rakyat meskipun ketiga tiga parti tersebut menggunakan lambang atau simbul masing masing.

Keduanya, kerana wujudnnya PR itu, boleh dikatakan hampir seluruh kerusi Parlimen dan Dun yang ditandingi oleh calon calon Pas tidak menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Pas dengan sama ada calon calon Dap atau Pkr kecuali dibeberapa tempat sahaja antaranya Dun Kota Damansara. Dalam isu Kota Damnasara wujudnya "penyeludupan" baiah melalui cara yang saya berani katakan amat tidak bertanggungjawab oleh pihak tertentu kepada calon Pas di Dun tersebut. Kesannya calon PR ( Pas dan Pkr ) kalah dan calon BN yang menang !!!

Ketiganya, calon calon Pas yang bertanding atas platform PR menghadapi musuh bersama iaitu Barisan Nasional ( BN ) dan apabila rakyat menyokong calon calon Pas mereka mengambil kira faktor tersebut.
Keempatnya , dengan wujudnya PR calon calon Pas mendapat manfaat yang amat besar sehingga beberapa kerusi yang ditandingi tersebut menyaksikan calon calon Pas menang ( termasuk ada yang menang dengan majoriti yang amat besar ) kerana mendapat sokongan pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama. Kerusi kerusi yang menang itu bukanlah kerusi tradisi Pas.

Kelimanya, sokongan rakyat ke atan calon calon Pas bukan hanya datang daripada ahli ahli Pas sahaja sebaliknya ia melangkaui ahli ahli Pas. Malahan di kawasan yang tinggi peratusan pengundi bukan Islam calon Pas berjaya menang. Sebagai contoh di Dun Putri Wangsa, Negeri Johor, YB Abdullah Hussien yang pada masa itu memegang Ketua Dewan Ulama Pas Johor berjaya menang bila peratus pengundi bukan Islam di situ sebanyak 47 peratus.

Keenamnya, hasil sokongan pelbagai kaum , bangsa dan agama atas calon Pas , Pkr dan Dap maka kita berjaya memerintah Selangor atas nama PR maka bagaimanakah sokongan rakyat yang membawa Pas turut sama dalam Kerajaan PR tiba tiba Pas tidak rasa apa apa bila tindakannya mengkhianati sokongah rakyat tersebut.

Sebagai contoh , semua orang tahu bagaimana Pas, dalam isu MB Selangor , telah memberikan kepada pihak Istana tiga nama calon MB Selangor yang kesemuanya daripada Pas tanpa perbincangan dengan Dap, Pkr malahan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat sendiri. Tidakkah ini satu tindakan pengkhianatan ? Saya tidak pasti Islam yang mana membenarkan pengkhianatan seperti ini ?

Isunya adakah dalam kita berbicara mengenai isu baiah, realiti realiti politik di atas wajar diremehkan begitu sahaja dan kita menghadkan isu baiah itu kepada satu sudut perbincangan sahaja dan melupakan sama sekali aspek aspek lain yang wajar diambil kira.

Ahli Ahli Parlimen dan Adun-Adun Pas , khususnya yang kalah dalam pemilihan AJK Pusat yang lalu, adalah mereka yang istiqamah memastikan Pas terus bersama sama PR dan atas dasar itu mereka telah menerima pelbagai gelaran dan ejekan. Mereka istiqamah mahukan Pas tidak mengkhianati sokongan rakyat kepada Pas melalui PR. Mereka yakin tindakan Pas yang bertentangan dengan permuafakatan bersama PR sekaligus meranapkan PR adalah satu pengkhianatan kepada sokongan rakyat dan ia tidak selari dengan ajaran dan prinsip Islam. Harapan Baru wujud antara lain atas kesedaran hal tersebut.

Oleh itu jika kita ingin berbicara isu baiah , permintaan kecil saya, paling kurang biarlah kita jujur dalam perbicaraan itu. Janganlah berbicara baiah yang terpilih.
Wallahu 'alam.

GHB Sarawak bersikap lunak dengan PAS

Oleh Andri Zulkarnaen Hamden 


GHB Sarawak akan melantik Jawatankuasa dalam masa terdekat. Setakat ini kami telah mengenalpastikan figura-figura yang berpotensi dan berpengalaman bagi menerajui GHB Sarawak.

Kami yakin GHB akan diterima oleh rakyat Sarawak berdasarkan kepada maklum balas yang kami terima setakat ini. Rakyat Sarawak akan menerima kehadiran GHB kerana kami mengamalkan prinsip terbuka, inklusif, progressif dan tidak jumud dan tertutup kepada  semangat perkauman, melampau dan sempit.

Seperti yang diumumkan oleh GHB pusat bahawa setakat ini GHB bergerak atas kapasiti sebuah NGO dan bukannya sebuah parti politik sehinggalah sebuah parti politik yang sah ditubuhkan. Ianya dijangka akan ditubuhkan secara rasmi pada 16 September 2015.

GHB Sarawak akan menumpukan gerakerja memperkemaskan jawatankuasa, mendaftarkan ahli di kalangan rakyat Sarawak tidak kira ianya berparti atau belum berparti. Kami mengamalkan sikap terbuka di mana sesiapa sahaja boleh menganggotai GHB tanpa mengira kaum dan agama.

GHB Sarawak seperti juga GHB Pusat tetap bersikap lunak dengan PAS kerana musuh sebenar kami bukannya PAS tetapi BN yang terus meneruskan mengamalkan pemerintahan yang korup dan menindas rakyat. Kami sedia bekerjasama dengan sesiapa sahaja dalam usaha menubuhkan kerajaan baru di Sarawak dan Malaysia.

Kami yakin DAP dan PKR Sarawak bersedia untuk bekerjasama dengan kami sebagaimana pendirian DAP dan PKR di peringkat pusat yang secara terbuka telah menyatakan sokongan padu kepada penubuhan GHB dan parti politik baru nanti. Kami sedia bertemu dan berbincang dengan DAP dan PKR Sarawak pada bila-bila masa.

GHB Sarawak juga bersedia untuk meletakkan calon pada Pilihanraya Negeri Sarawak akan datang ini. Samada kami bertanding atas tiket parti baru, parti lain atau bebas ianya belum diputuskan lagi.
GHB Sarawak bersedia untuk mendengar pandangan dan kritikan dari sesiapa sahaja bagi memantapkan GHB Sarawak bagi melengkapkan diri kami untuk berkhidmat kepada rakyat Sarawak dan Malaysia amnya.

Sekian

Andri Zulkarnaen Hamden @hud abusiraj
Jurucakap GHB Sarawak

Isu Baia'h : Satu Penjelasan

MUQADDIMAH

Kertas ini merujuk kepada tulisan asal Dr Zaharudin Abdul Rahman dari Murshid yang bersusah payah menyediakan pencerahan bagi isu Baiah dan yang bersangkutan dengannya. Kertas bertajuk Kefahaman Erti Jamaah
dari Hadis & Isu Bai'ah cuba dirungkaikan permasalhannya dalam konteks lafaz taat setia semua calon pilihanraya dan khusunya yang menjadi MP dan Adun dari PAS.

Saya merakamkan ucapan terimakasih kepada Al Fadhil Dr Zaharudin Abdul Rahman dan telah meringkaskan dengan sedikit penambahan untuk tujuan pembenatangan kepada MP dan Adun PAS yang inginkan penjelasan.

RINGKASAN TAJUK -TAJUK

Asas perbincangan isu Bai'ah ialah untuk menjawab beberapa persoalan

1. Pengertian Baia'h dan aplikasinya pada Jamaah PAS

2. Lafaz Baia'h dan Bersumpah dalam PAS

3. Pelanggaran sumpah dan cara menebusnya

BAIA'H

Perkataan bai'ah adalah dari bahasa Arab ب ا ع  بيعة yang bermakna menghulurkan tangan untuk menerima sesuatu janji kerana orang Arab akan membuat sesuatu janji dengan menghulur tangan masing-masing sebagai tanda setia kepada janji yang dibuat.

Dari sudut istilah ia adalah persetujuan antara umat dan pemerintahan Islam yang mempunyai implikasi timbal balik antara keduanya dari sudut hak. Baia'h ada berbagai bentuk antaranya

1. Baiah masuk Islam
جاء الناس الكبار و الصغار و الرجال و النساء فبايعهم على الاسلام والشهادة
 (riwayat Al Baghawi dan Hakim)

keluarnya dari baiah  shahadah ini bermakna murtad

2. Baia'h kepimpinan utama Khalifah Islam berpandukan hadis
من مات و ليس في عنقه بيعة مات ميتة جاهلية (رواه مسلم)

Baia'h ini hari ini dirujuk kepada kepimpinan negara Islam yang ada kuasa legaslatif dan eksekutif serta bertungsi sebagai kerajaan yang sah mengikut undang-undang di negara masing-masing. Kesetiaan kepada kepimpinan terikat dengan perlembagaan negara dengan hak untuk menegur
kerajaan malah boleh ditukar kerajaan yang lebih baik dengan cara yang sah.

3. Baia'h untuk kerja Islam dalam suasana tiadanya Khalifah dan umat Islam berpecah kepada negara bangsa di mana wujudnya Jamaah-jamaah Islam samada politik mahupun kebajikan ataupun dakwah. Bezanya baiah ini ialah pelanggarannya tidak membawa kepada kekufuran, murtad mahupun mati jahiliyah. Jamaah ini tidak boleh mendakwa Imamah sehingga semua orang menerimanya sedangkan ia hanyalah satu Jamaah dari berbagai Jamaah Muslimin yang beroperasi di negaranya mahupun yang berselerak di seluruh dunia.

ابو عبد الله (الامام احمد) سئل عن حديث النبي :من مات و ليس له امام
الخ...ما معناه؟ قال تدري ما الامام؟ الامام الذي يجمع المسلمون عليه
كلهم يقول هذا امام( نقل من fatwa Islamweb.net 111159)

RUMUSAN BAIA'H

Jelaslah bahawa Baia'ah dengan Pas termasuk dalam kategori ke 3, iaitu
untuk kerja Islam dalam bidang Siyasah dan Dakwah dan pelanggarannya atas apa juga sebab tidak membawa kepada pembatalan syahadah atau mati Jahiliyah sebagaimana terpakai kepada Baia'h Syahadah atau Baia'h
Khalifah.

LAFAZ BAI'AH BERSUMPAH

Baia'ah pada asalnya ialah persetujuan taat setia dengan memenuhi hak
dari yang memberi dan yang menerima Baia'ah. Ia timbal balik antara keduanya dan bukanlah satu cek kosong. Lafaz Baia'h bagi calon Pas yang bertanding dalam pilihanraya mewajibkan bersumpah bahawa ia tidak
mengkhianati Parti. Jika berlaku pengkhianatan ancaman laknat akan
terkena pada yang mengangkat sumpah.

Mengkhususkan laknat Allah malaikah dan pelaknat memerlukan dalil khusus. Hanya Allah yang berhak melaknati seseorang atas perbuatan
tertentu dan bukan lafaz umum dalam sumpah taat setia. Yang khusus hanyalah untuk

1. Orang kafir Al Baqarah 161
2. Menyembunyikan kebenaran Al Baqarah 159
3. Penipu dalam Mubahalah Ali Imaran 61 dll (rujuk kertas Kefahaman
Erti Jamaah dari Hadis dan Isu Baiah oleh Dr Zaharudin Abdul Rahman)

PERSOALANNYA

Apakah makna mengkhianati? Bagaimana kalau ahli dikhianati dengan
fitnah dan pelabelan untuk menjatuhkan mereka apakah reaksi kepada ini
semua dianggap khianat?

Apakah khianat itu lari dari perjuangan Islam ataukah hanya pandangan berbeza yang diizinkan dalam Islam?

Pengkhianatan tidak boleh dipermudahkan untuk mewajarkan ancaman sumpah yang dibuat apatah lagi sumpah laknat.

Imam Abdul Qahir Ibn Tahir Al Asfarainiy (mngal 429 H) menyebut dalam kitab Al Farqu Baina Al Firaq dalam komentarnya tentang hadis berpecahnya umat Islam Muhammad kepada 73 golongan bahawa:

فصح تاءويل الحديث المروى في افتراق الامة ...الى هذا النوع من الاختلاف،
دون الانواع التي اختلفت فيها اءئمته الفقه من فروع الاحكام في ابواب
الحلال و الحرام و ليس فيما بينهم تكفير ولا تضليل فيما اختلفو فيه من
احكام الفروع
( ms 13, darul taufiqiyah lil turath 2010)

"Maka tepatlah hadith yg diriwayatkan dalam hal berpecahnya umat...bermaksud bentuk sebegini (keluar dari Islam) dan bukan jenis yang para pemuka fuqaha berbeza pandangan dalam soal furu' hukum hakam
dalam bab halal dan haram dan tidak ada dalam perbezaan ini hak untuk
mentakfirkan atau menyesatkan mereka dalam hukum hakam furu'"

Bagaimana pula sesetengah negeri bersumpah lafaz talak 3 isteri jika 'khianati' parti dan perjuangan parti?

1. sekali lagi istilah 'khianat' terlalu umum untuk dijadikan alasan kepada terkena sumpah yang dibuat.

2. Apakah hukum lafaz menceraikan isteri talak 3 jika mengkhianati?

Lafaz cerai talak 3 dalam sumpah yang diangkat dengan sebab 'khianat'
yang kurang jelas melanggar satu rukun penting kehidupan iaitu
berumahtangga. Allah menjadikan ianya sebagai tanda kebesaran Allah dalam surah al Rum. Ruang untuk cerai juga dilakukan dengan begitu berhati-hati supaya kerukunan rumah tangga terpelihara.

Memenuhi sesuatu yang melanggar perintah Allah adalah perbuatan sia-sia walaupun dengan tujuan yang baik. Di qiyaskan dengan hukum bernazar Nabi s.a.w bersabda dari Aisyah bahawa:

من نذر ان يطع الله فليطعه ومن نذر ان يعصيه فلا يعصيه (روا ه بخاري و غيره)

Seolah ianya perbuatan sia-sia sedangkan hukum lafaz baiah itu sudah cukup dengan mengatakan janji setia dengan kitabullah dan sunnah Nabinya tanpa perlu menambah lafaz ta'liq sumpah dalam baiah itu.


PELANGGARAN SUMPAH

Dalam Al Maidah 89 ada menyebut tentang Yamin atau Aiman yang diberi
ruang untuk menebusnya jika berlaku pelanggaran. Hukumnya ialah

1. Berikan makan untuk 10 miskin dari apa yang kita makan

2. Bebaskan hamba (tiada hari ini)

3. Puasa 3 hari

Dari sudut janji yang kita buat ia tetap dianggap satu dosa kerana melanggar janji dan kerana itu Kaffarah adalah untuk denda dan
selebihnya bertaubat dan istighfar atas pelanggaran janji. Namun Nabi bersabda ;

فقد روى الإمام مسلم في صحيحه من حديث أبي هريرة رضي الله عنه أن رسول
الله صلى الله عليه وسلم قال: " من حلف على يمين فرأى غيرها خيراً منها
فليأت الذي هو خير وليكفر عن يمينه"

'Barang siapa yang berjanji bersumpah sesuatu lalu ia melihat ada yang lebih baik dari janjinya yang diangkat maka datangilah yang lebih baik itu dan hendaklah ia membayar denda kaffarah'

PENUTUP

Diharapkan kertas ringkas ini boleh dijadikan bahan untuk perbincangan dalam menggarap persoalan baiah yang menghantui MP dan Adun PAS kerana telah berbuat janji dengan parti yang diwakilinya.

MUJAHID YUSOF RAWA

Harapan Baru Mengalu-alukan Penubuhan Pakatan Rakyat 2.0

1. HARAPAN BARU mengalu-alukan kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang berhubung penubuhan permuafakatan politik baru seperti yang dilaporkan hari ini. Kenyataan kedua-dua pemimpin itu selari dengan hasrat HARAPAN BARU yang mahu menghidupkan semula gerakan kerjasama parti-parti politik, NGO dan rakyat dengan lebih utuh selepas Pakatan Rakyat terkubur.

2. Seperti yang ditegaskan HARAPAN BARU pada majlis pelancaran 13 Julai lalu, negara berada dalam kedudukan yang sangat meresahkan. Dengan skandal kewangan yang begitu menjengkelkan dan kenaikan harga barang akibat cukai GST serta krisis nilai ringgit terus menekan dan menghimpit kehidupan rakyat.

Pada masa yang sama kedudukan ekonomi dunia yang tidak menentu, ketepuan daya-saing negara serta ramalan harga minyak mentah yang terus menjunam bakal mengancam penarafan negara sekaligus menjadikan Malaysia tidak berdaya-saing sebagai destinasi pelaburan.

3. Maka, bagi HARAPAN BARU, pembentukan muafakat baru seperti yang dinyatakan, sangat kritikal pada waktu ini, untuk memimpin kebangkitan rakyat dan anak muda dalam misi "Menyelamatkan Malaysia" dari bencana kemusnahan hasil dari kegagalan pentadbiran Umno / BN.

5. Pada masa sama, HARAPAN BARU juga mahu meyeru kepada seluruh rakyat negara ini, tanpa mengira perbezaan bangsa dan agama, untuk bergerak bersama kami dan muafakat baru ini bagi menyelamatkan negara ini.

Sekian.
Wassalam.

MOHAMAD BIN SABU
Pengerusi Gerakan Harapan Baru
23 Julai 2015
07 Syawal 1436H

Dakwaan Haram Menubuhkan Parti Islam Selain PAS Adalah Palsu

Dr Yusof Al-Qadhawi dalam bukunya yang bertajuk "Min Fiqh Ad-Daulah Fil Islam", Terbitan Dar As-Syuruq, Cetakan Tahun 1997, muka surat 151-154 menjelaskan seperti berikut:

1. Adalah harus menubuhkan pelbagai parti Islam dalam sesebuah negara islam, yang setiap satunya memiliki ciri-ciri pemikiran, metodologi dan pendekatan politik yang berbeza-beza. Setiap parti islam mestilah disokong dengan hujjah-hujjah dan riwayat-riwayat yang sahih dalam tindakan mereka. Oleh itu sesiapa sahaja boleh menyokong mana-mana parti islam yang telah ditubuhkan mengikut keyakinan mereka masing-masing. Sesiapa pun boleh menolak jika didapati ada parti lain yang lebih baik.

2. Pelbagai parti dalam bidang politik adalah sama seperti pelbagainya mazhab dalam bidang fekah. Perbezaan pelbagai mazhab tidak boleh dielak disebabkan setiap madrasah pemikirannya memiliki dasar-dasarnya yang khusus di dalam memahami syariat dan mempunyai perbezaan cara mengeluarkan hukum daripada dalil-dalilnya yang komprehensif. Oleh kerana parti politik islam juga mengambil hukum dan nas daripada pelbagai mazhab yang berbeza aliran pemikirannya ini, maka cara, pendekatan dan metodologi politiknya juga tidak sama. Maka wajar berlakunya kepelbagian parti politik.

3. Terdapatnya parti politik yang berpendapat bahawa Syura itu bersifat mulzimah (wajib dipatuhi keputusannya) dan terdapat juga yang berpendapat Syura itu hanya sekadar Mu'limah(hanya sekadar memaklumkan pendapat masing-masing dan ketua tidak wajib mengikut) . Sudah pasti pertembungan ini memberikan keputusan yang berbeza dalam mengambil tindakan politik.

RUMUSAN

1. PAS dan GHB memiliki perbezaan itu. Antara yang terbesar ialah PAS mahu mendahulukan perlaksanaan hukum syariah terutamnya hudud dalam negara sebagai indikator penting menepati ciri-ciri parti islam mengikut keyakinan dan kefahamannya. Mereka ada hujjah dan riwayat-riwayat yang jelas mengenai pendirian tersebut. Manakala GHB pula juga mahu melaksanakan syariat dalam konteks yg lebih luas iaitu mahu mendahulukan isu-isu kebajikan, memberikan kehidupan selesa kpd rakyat, membentuk kerajaan yg amanah dgn membenteras rasuah, penyelewengan dana negara serta yang berkaitan isu rakyat dan orang awam, barulah melaksanakan hukum Qanun Jenayah tersebut setelah mengambil kira pelbagai aspek. Sementelah ayat yg berkaitan perlaksanaan jenayah syariah adalah merupakan ayat terakhir yg diturunkan kepada baginda S.A.W. GHB berpendapat, bahawa isu kebajikan dan menentang penyelewengan (amar makruf nahi mungkar) itu merupakan asas penting bagi menjadikan sebuah jemaah yg terbaik yg menjadi model kepada umat yg lain. Mereka juga memiliki hujjah yang konkrit dan bukannya sebarangan meskipun hujjah itu tidak popular di kalangan PAS.

2. PAS lebih mesra dakwahnya kepada orang melayu dan non-muslim (masyarakat india) yang dimainkan peranannya oleh Dewan Himpunan Penyokong Pas. GHB pula mesra kepada orang melayu dan orang cina, berusaha merapatkan jurang di kalangan pelbagai bangsa dan warna kulit dan sedia bekerjasama dengan sesiapa yang berlainan ideologi dalam penolakan terhadap kezaliman. Oleh itu PAS dan GHB boleh fokus dalam bidang masing-masing disebabkan setiap mereka mahu melaksanakan islam. PAS fokus kepada negeri-negeri Pantai Timur manakala GHB di negeri-negeri pantai barat. Dakwah non-muslim PAS kepada bangsa India manakala GHB kepada bangsa cina dan suku kaum lain Sabah Dan Sarawak.

3. Perbezaan yang ada akan menjadi pelengkap satu sama lain. Apa yang tiada pada GHB ditampung oleh PAS dan apa yang tiada pada PAS ditampung oleh GHB. Hentikan kutukan-kutukan dan hentakan-hentakan yg sering ganggu emosi dan kerja di kalangan kita sesama umat islam.

Ustaz Zul Hilmei Mohamad Rohani,
Naib Ketua Pemuda Pas Johor
Ketua Urusan Ulamak
Pas Kaw. Batu Pahat.
www.zulhilmei.com
www.facebook.com/ustzul

Berkenaan Isu Cerai Secara Taklik Sumpah Dalam PAS

Oleh Ustaz Che Ibrahim Mohamed

Adakah jatuh talak seorang suami yg bersumpah jika dia melakukan sesuatu perbuatan spt keluar parti atau melompat ke parti lain, maka tertalak atau tercerailah isterinya dgn tiga talak?

1. Imam Abu Hanifah, Malik, al Shafie dan Ahmad berpendapat jatuh talak.
2. Mazhab al Zhohiriah, syiah dan al imamiah berpendapat tidak jatuh talak.
3. Imam ibn Taimiah dan Ibn Qayyim berpendapat:
   i ) jika dibuat dlm bentuk sumpah spt katanya kalau aku buat begitu atau begini, maka tercerailah isteri aku, maka talak tidak jatuh dan dikenakan kafarah/denda sumpah.
   ii) jika dibuat dlm bentuk syarat spt kalau kamu bayar kpd aku rn10,000, maka kamu tercerai, maka jatuh talak.

Pakar2 perundangan kekeluargaan Islam hampir sepakat mengatakan mana2  taklik cerai yg dilafazkan bukan dgn tujuan utk menjatuhkan talak ke atas isterinya spt utk mendidik, mengugut atau seumpamanya, maka tidak jatuh talaknya. Pandangan ini telah menjadi amalan di kebanyakan negara2 islam skrg.

Fasal 25, Bab II, Undang-undang Keluarga Islam Mesir, 1929 menyebut;

" لا يقع الطلاق غير المنجز اذا قصد به الحمل علی فعل شيء او تركه لا غير "
(tidak jatuh talak yg ditaklikkan apabila ianya dimaksudkan kpd sesuatu perbuatan yg ianya akan atau tidak lakukan).

Peruntukkan ini adalah berdasarkan kpd pendapat Ali bin Abi Tholib, Qadhi Syuraih dan Daud al Zhahiri serta pengikutnya.

Memandangkan Bai'ah dan Sumpah yg dikatakan dilafaz oleh calon2 Pas hanya tujuan utk menghalang ahli2 Yang Berhormat melompat parti, bukan bertujuan utk mencerai isteri, saya berpegang kpd pendapat sumpah ini tidak menjatuhkan talak dan boleh dibatalkan secara membayar kafarah sumpah.

Pihak2 yg berkenaan boleh mengemukakan satu permohonan beserta afidavit dari pasangan masing2  utk memohon perintah mahkamah membatalkan sumpah taklik yg pernah mereka lafazkan kerana ianya jelas bertentangan dgn semangat perkahwinan yg mereka ijabkabulkan....wallahua'lam

Ustaz Che Ibrahim Mohamed

WALA KEPADA TANZIM (ORGANISASI) TIDAK SAMA DENGAN WALA KEPADA AMIRUL MUKMININ, DEDAH SYEIKH SAID HAWWA DLM KITABNYA JUNDULLAH THAQAFATAN -


Oleh Dr Maza

Ramai yang bertanya saya; benarkah sesiapa yang masuk ke dalam organisasi tertentu maka dia wajib taat kepada kepimpinannya sama seperti taat kepada Ulul Amri? Apakah dia sentiasa wajib memberi wala ketaatan yang tiada berbelah bahagi kepada pimpinannya seperti seorang khalifah? Apakah mereka tidak boleh melanggar sumpah setia mereka?

Di sini saya suka menukilkan teks dari tokoh gerakan Islam yang ternama iaitu al-Syeikh Said Hawwa r.h dalam bukunya JundulLah Takhtitan.

Saya nukilkan teks Said Hawwa sebab beliau sangat terkenal di peringkat awal memperjuang kesetiaan kepada jamaah. Dalam konteks beliau ialah al-Ikhwan al-Muslimun. Hal ini dapat kita lihat dalam buku awalnya JundulLah Thaqafatan wa akhlaqan.

Namun apabila pengalaman dan ilmu meningkat, dalam tulisan beliau yang lebih kemudian termasuk JundulLah Takhtitan ini beliau memberikan ulasan yang lebih ilmiah dan matang.

Berikut teks beliau yang saya terjemahkan:

“Sebahagian golongan Islamist telah dikuasai oleh kefahaman-kefahaman jahiliyah, di mana mereka telah memberikan kemaksuman kepada tanzim (organisasi) sekalipun telah nyata kesalahan organisasi tersebut di sudut syarak, ataupun di sudut maslahah. Di kesempatan ini, semestinya dijelaskan pemikiran bahawa ketaatan kepada tanzim (organisasi) bukanlah seperti ketaatan kepada Amirul Mukminin (khalifah).

"Adapun amirul mukminin apabila memerintahkan sesuatu yang harus untuk sesuatu kemaslahatan maka ia menjadi wajib (ditaati). Pun begitu, para ulama telah mengecualikan jika beliau (khalifah) memerintahkan sesuatu yang berbeza dengan sunnah ataupun yang berbeza dengan mazhab seseorang tokoh fikah.

"Adapun ‘Ali bin Abi Talib –telah sabit daripadanya- bahawa dia telah berbeza dengan perintah (Khalifah) Uthman (bin ‘Affan) apabila dia melihat ‘Uthman berbeza dengan sunnah. Al-Alusi dalam tafsirnya (Ruh al-Ma’ani) telah menulis bahawa harus (dibolehkan) untuk seseorang insan mengelak dari mentaati ulul amri jika berbeza dengan mazhab fekah (yang diyakini) oleh seseorang. Justeru itu, ketaatan kepada tanzim adalah bergantung kepada kaedah dan syarat yang disepakati oleh ahli tanzim. Demikian juga ia bergantung sejauh mana ia tidak menyanggahi keyakinan seseorang di sudut syarak.

"Aku telah berfatwa dan telah bersetuju denganku tentang hal ini orang yang aku percayai di sudut ilmunya dari kalangan ahli fatwa, yang mana aku dapati hal ini dalam kitab fekah; sesiapa yang memberikan janji kepada mana-mana badan islami maka janji itu antara harus dan wajib untuk ditaati berdasarkan kepada teks perjanjian.

"Sesiapa yang berjanji untuk taat maka dia wajib untuk menunaikannya dalam perkara yang tidak maksiat dan tiada mudarat. Namun, jika dia melihat berdasarkan pertimbangan syarak bahawa selain apa yang dia berjanji itu lebih baik daripada apa yang dia telah berjanji, maka hukum perjanjian dalam keadaan tersebut sama seperti hukum yamin (sumpah) di sisi Mazhab Hanafi, dia boleh rongkaikan dan membayar kifarah sumpah. Al-Baghawi telah memetik hal ini dalam Syarh al-Sunnah daripada Mazhab Hanafi. Difahami dari fuqaha Mazhab Syafii bahawa mereka tidak menganggap sesiapa yang menyebut (علي عهد الله) “ke atas aku janji Allah” sebagai sumpah.

"Berdasarkan Qawaid Fiqhiyyah bahawa sesiapa yang menyanggahi janjinya disebabkan penilaian di sudut syarak, ataupun di sudut maslahah dalam situasi semasa kita, maka pada mazhab Syafii (yang dikenakan kepadanya) hendaklah dia beristighfar.

"Sesungguhnya yang menyebabkan kami (penulis iaitu al-Syeikh Said Hawwa) terpanggil untuk mendetilkan hal ini kerana sebahagian pimpinan gerakan Islam mengandaikan bahawa mereka mempunyai hak untuk ditaati secara mutlak padahal mereka tidak memiliki kuasa pemerintahan seperti seorang khalifah rasyid, ataupun sultan yang rasyid lantas mereka tidak memperdulikan penegakan ihsan dalam kepimpinan sedangkan Allah berfirman kepada Yahudi إن أحسنتم أحسنتم لأنفسكم وإن أسأتم فلها (Jika kamu berbuat baik (bererti) kamu berbuat baik bagi dirimu sendiri dan jika kamu berbuat jahat, maka (kejahatan) itu menimpa diri kamu sendiri) (Surah al-Isra ayat 7)"

■ Oleh Dr Maza
■ Sila rujuk: Said Hawwa: JundulLah Takhtitan, ms 81. Beirut: Dar 'Ammar

Cukuplah sebuah parti politik yang jujur

Oleh Zin Mahmud

Aku tidak memerlukan parti politik yang mempunyai ideologi yang indah, apatah lagi yang menampilkan diri sebagai suci.

Cukuplah sebuah parti politik yang jujur dan cerdek dalam mengambil hati pengundi dan seterusnya mempunyai buah fikiran yang baik dalam menyelesaikan masalah masalah yang dihadapi oleh penduduk negara ini serta berpandangan jauh bagi kesejahteraan generasi akan datang.

 Itu sahaja harapan aku terhadap mana mana parti politik.

Siapa lebih santun berbahasa , PAS atau Harapan Baru

Oleh K Pragalath

Kesantunan bahasa yang digunakan oleh PAS dan GHB boleh digunakan sebagai penanda aras untukmengukur tahap kefahaman mereka terhadap Islam

Syawal menjelma dan Muslimin seluruh  dunia menyambut Aidilfitri.Bagi penulis, Ramadan 1436 memang membawa pengertian besar dalam perkembangan siasah Islam.
 
Satu kumpulan pimpinan ulama dalam aktiviti siasah bertembung dengan  kumpulan bukan ulama dengan pendekatan Islam syumul.
 
Perkara yang menarik perhatian penulis ialah bahasa yang digunakan oleh kedua-dua pemimpin kumpulan ini. Ya, bicara hari ialah berkenaan  kepimpinan PAS dan kumpulan bukan kerajaan, Gerakan Harapan Baru (GHB).
 
Kepimpinan PAS melemparkan pelbagai tuduhan terhadap GHB tanpa sedikitpun mempedulikan kesucian bulan Ramadan dan Islam.
 
Para pemimpin GHB mempertahankan pendirian dengan kata-kata yang lebih manis.
 
Penyokong tegar boleh menyatakan bahawa kumpulan GHB ialah kumpulan yang kalah dalam pemilihan muktamar. Persoalannya, bagaimanakah kumpulan ulama menghalalkan penggunaan senarai cai?  
 
Dan mengapakah jawatankuasa disiplin tidak mengambil tindakan terhadap pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang menjalankan kempen memburukkan calon menerusi protes di depan ibu pejabat agung PAS dan kempen fitnah di dalam ruang siber?
 
Berbalik kepada isu bahasa, berikut adalah di antara petikan ayat dan kata-kata yang digunakan oleh kedua-dua PAS dan GHB.
 
Jelas sekali parti baru yang bakal ditubuhkan ini tidak berteraskan ajaran Islam yang sebenar tetapi ajaran yang selari dengan gagasan Muslim progresif. 
 
Dengan gagasan pemikiran yang didukung itu, parti baru ini akan disenangi oleh Sisters in Islam, Lawyers for Liberty, Comango, pendukung LGBT dan DAP sendiri.
 
Petikan di atas ialah kata-kata Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Mohd Zuhdi Marzuki. Zuhdi turut membuat tuduhan bahawa GHB akan memperjuangkan 'Islam ala Amerika'.
 
Pengarah pilihanraya PAS, Mustafa Ali pula menuduh GHB sebagai 'proksi' DAP.
 
Ketua Penerangan PAS Nasrudin Tantawi pula melabel penyokong GHB 'melakukan pengkhianatan' kepada PAS.Ahli jawatankuasa PAS pusat Zaharudin Mohamad pula menyifatkan sokongan setiausaha agung PKR Rafizi Ramli terhadap GHB  sebagai kurang ajar.
 
"Rafizi jangan campur urusan PAS. Nampak Rafizi ini gelojoh seperti orang terkencing sebelum sampai tandas.
 
"Selagi GHB belum keluar PAS dan belum bercerai rasmi, maka  kenyataan Rafizi saya anggap campur tangan dan kurang ajar.
 
"Dr Mujahid Yusof Rawa, ahli parlimen Parit Buntar dan ahli jawatankuasa GHB membalas secara bersahaja.
 
"Sekiranya mereka tidak melihat kami sebagai ancaman, maka mereka tidak perlu memberi kenyataan atau bertindak balas terhadap GHB. Saya tidak faham apa itu Islam ala Amerika dan apa yang dimaksudkan dengan menyokong LGBT.
 
"Saya tidak boleh memberi komen terhadap imaginasinya."Para pembaca boleh melihat kesantunan bahasa kedua-dua kumpulan.Penulis yakin semua agama melarang keceluparan seperti  mana yang ditonjolkan ini.
 
Tepuk dada, tanyalah selera siapa yang sewajarnya menjadi wakil agama Islam.

TRANSKRIPSI SOAL JAWAB MEDIA DENGAN YB KHALID ABDUL SAMAD SELEPAS MAJLIS PELANCARAN GERAKAN HARAPAN BARU KELANTAN PADA 19/7/15

16 September?


That is the end of 100 days, which is 14 September, so 16 September adalah hari yang paling sesuai untuk membuat konvensyen ataupun AGM yang pertama. Tetapi itu semua bergantunglah, ini hanya perancangan dan akhirnya kita lihat bagaimana perkembangan politik dan yang terpenting adalah sambutan daripada rakyat jelata. Kalau rakyat jelata bersetuju bahawa diperlukan satu harapan baharu untuk memainkan peranan membentuk gabungan yang baharu untuk mengalahkan Barisan Nasional dalam PRU akan datang, maka bila kita pergi jelajah seluruh negara, kita dapat sambutan sepertimana yang malam ini, maka ia adalah satu indikator yang jelas bahawa itulah kehendak rakyat.

Malam ini bermula di Kelantan dan Perlis, so setakat ini macam mana penerimaan?

Setakat ini alhamdulillah, yang pertama di Bakri, Johor, dan di situlah dicetuskan idea untuk menubuhkan parti baharu kerana di situlah majlis jasamu dikenang pada asalnya, tetapi bila kita berucap orang kat bawah tu duk melaungkan "tubuh parti baharu", "tubuh parti baharu" kerana mereka tak puas hati dengan apa yang mereka lihat, yang telah berlaku semasa muktamar dan ucapan-ucapan yang memang bertujuan untuk menimbulkan perpecahan dalam Pakatan Rakyat. So itulah yang mendatangkan idea ataupun kesedaran bahawa kita tak boleh sekadar menerima keputusan itu dan duduk diam, tetapi atas ahli-ahli sendiri yang meminta supaya parti baharu ini dibentuk supaya kerja-kerja yang selama ini kita buat itu diteruskan.
Datuk Ahmad Yaakob kata berundur secara terhormat daripada PAS kerana terlibat dalam gerakan ini?

Insya'Allah kita akan berundur secara terhormat bila parti baharu itu telah pun ditubuhkan dan kita akan sendirinya, bila kita menyertai parti baharu itu maka kita secara automatik tidak lagi menjadi ahli PAS kerana dalam Perlembagaan PAS begitu, kita tak boleh menjadi ahli kepada dua parti.
Selepas 100 hari kepimpinan PAS gagal?

Maknanya gagal dari segi nak kembalikan PAS itu kepada landasan yang diikuti selama ini, yang telah mencapai kejayaan, dan inilah yang kita boleh rasa sebagai satu benda yang cukup pelik. Pakatan Rakyat itu mencapai kejayaan tetapi nak ditamatkan, itu yg pelik. Dia kalau dia gagal, dia tak dapat capai kemenangan, undi Melayu merosot dan sebagainya, itu satu hal tetapi ia adalah sebaliknya. Bukan sekadar undi Melayu bertambah, kita nak banding dengan 2004, tetapi undi yang bukan Melayu (juga) bertambah sebagaimana yang tak pernah dialami sebelum ini, lalu ia merupakan satu kejayaan, tetapi kita tak faham kenapa bila dah berjaya nak ditimbulkan perbalahan dan menimbulkan perpecahan.

Tadi YB sebut DAP bukan punca Pakatan berpecah, siapa punca sebenar?

Itu orang kena kaji baliklah, tapi bagi saya, mungkin bukan satu parti sahaja sebagai punca. Memanglah DAP pun ada sedikit sebanyak menyumbang kepada itu, tetapi pada hakikatnya PAS sendiri pun ada banyak kesilapan yang kita telah tegur di dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat. Sebagai contoh, pertandingan tiga penjuru di Kota Damansara pada 2013, kita dah tegur. Dan isu pil kuda, kita tegur juga. Tetapi nampak macam seolah-olah sejak 2013 ini ada satu usaha yang tidak begitu jujur terhadap pakatan bersama ini. Kalau kita ingat telah diadakan Multaqa Ulama' pada 2013, selepas PRU, di mana (ada) resolusi untuk kaji balik tahaluf siyasi dengan PKR pada 2013.

Pada 2015 pula usulnya kaji balik tahaluf siyasi khususnya dengan DAP. Lalu nampak macam seolah-olah sentiasa nak cari masalah dan perbalahan dan nak cari alasan untuk tidak bersama. Inilah yang saya rasa ahli-ahli PAS sendiri kena kaji, kena teliti dan menilai sendiri peristiwa-peristiwa yang telah berlaku yang menyebabkan Pakatan Rakyat itu menjadi bermasalah.

Malam ini difahamkan YB Zaki datang, YB Datuk Husam, YB Rozi, tapi kenapa mereka tak datang?
Itu kena tanya merekalah. Tapi bagi saya di negeri Kelantan ini memang ia merupakan satu suasana yg uniklah di mana polarisasi di antara PAS dan UMNO sudah begitu tinggi dan apa-apa usaha ke arah pembentukan parti baharu, kalau ADUN-ADUN ini terlibat ia akan menimbulkan masalahlah. Lalu apa yang dilakukan oleh Datuk Husam Musa dan yang lain-lain utk menyatakan sokongan terhadap usaha yang dilakukan itu pun, bagi saya sudah memadai.

Datuk Husam nyatakan sokongan?

Saya rasa apa yang disampaikan oleh Datuk Husam Musa adalah jelas. Yang lain-lain itu pun pada awalnya mereka nyatakan nak hadir, tetapi akhirnya atas teguran yang diberi maka mereka telah berfikir bahawa mereka tak hadir kerana ia boleh menimbulkan masalah bagi Kerajaan Negeri Kelantan itu sendiri.
Kalau ditubuhkan parti baharu, GHB sendiri itu macam mana?

Harapan Baharu itu akan terus kekal sebagai satu kebangkitan rakyat, macam reformasi dululah, sekarang ini bukan reformasi tetapi harapan baharu dan mungkin ia akan dimanfaatkan oleh semua parti dan NGO yang bersama. Maknanya dalam Harapan Baharu itu akan ada parti baharu, akan ada DAP, akan ada PKR, akan ada NGO-NGO dan nama Harapan Baharu itu akan jadi bagaikan GERAK, bagaikan reformasi dan sebagainya, tapi ia bagaikan kita punya 'battle cry' untuk membawa perubahan dalam negara.

Nama parti?

Nama parti belum diputuskan tapi ia adalah parti Islam.

Agenda hudud akan dibawa?

Hudud adalah sebahagian daripada islam itu memang kita tak boleh nafikan tapi, sebagaimana disebutkan oleh Dr Hamzah Jaafar tadi, dari segi prioritinya, ini pun Ustaz Hadi sendiri pun dahulu sebut bahawa hudud bukan prioriti kita, bahawa ia adalah 0.001 percent of the syariah dan nak kena ada economic justice, social justice, dahulu sebelum hudud dilaksanakan. So benda itu semua kita setuju. Kita faham dan kita pegang kepada itu. Dalam soal Kelantan ini ialah kita bergantung kepada UMNO untuk melihat ianya dilaksanakan,
dan di situlah kita juga telah menegur pimpinan dalam mesyuarat bahawa tak wajar kita bergantung kepada UMNO, dan bila bergantung kepada UMNO pula kita sanggup memutuskan hubungan dengan Pakatan Rakyat kerana kenyataan-kenyataan pimpinan kita hudud itu lebih penting daripada Pakatan Rakyat, kita tak kisah kalau DAP, PKR nak keluar.

Lalu keadaan-keadaan yang sebegitu rupa menimbulkan masalah kepada PAS. Bagi kami, bila UMNO tawarkan, kita sambut tawaran dia, tapi kita sepatutnya bincang dengan rakan-rakan kita dan kita tanganinya bersama. Jangan kita jadi apa yang dikatakan pepatah Melayu, "mendengar guruh di langit, air di tempayan dicurahkan", itulah kesilapan yg dilakukan. Itu pandangan kami terhadap pimpinan.

Rafizi sambut baik Gerakan Harapan Baru

MUAFAKAT BARU MENUMBANGKAN UMNO/BARISAN NASIONAL

Saya menyambut baik pengumuman dan pelancaran Gerakan Harapan Baru yang mengumpulkan ahli-ahli Parlimen, ADUN dan aktivis yang mempunyai rekod teruji menentang Umno/Barisan Nasional. Gerakan yang diketuai oleh YBhg Tuan Haji Mohamad Sabu dan dipimpin oleh tokoh-tokoh yang telah lama berjuang menentang Umno/Barisan Nasional ini adalah satu perkembangan baik pada kala rakyat mencari-cari jawapan kepada pelbagai kemelut politik, ekonomi dan sosial yang melanda negara sekarang.

Saya kenal rapat dengan tokoh-tokoh ini dan telah bersama-sama mereka memperjuangkan isu rakyat selama ini. Malah, rekod mereka berjuang untuk membawa perubahan di dalam negara adalah berkali ganda lebih lama dari saya dan pimpinan muda yang lain.

Oleh itu, saya mengalu-alukan iltizam mereka untuk terus berjuang menentang Umno/Barisan Nasional. Saya akan memberi sepenuh sokongan dan kerjasama kepada mereka untuk menjana gelombang rakyat menumpaskan Umno/Barisan Nasional menjelang Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14). Saya akan menyertai jelajah yang dianjurkan oleh Gerakan Harapan Baru selepas Aidilfitri.

Saya yakin pelancaran Gerakan Harapan Baru ini akan merintis kepada satu muafakat baru yang menyatukan semua pihak yang mahukan perubahan untuk menumpaskan Umno/Barisan Nasional menjelang PRU14.


RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

My Blog List

Blog Archive

.