PASCA MUKTAMAR Get our latest posts by subscribing this site

Akhir yang berakhir ..

Oleh Hishamuddin Rais
Suasana politik Malaysia kini berkecamuk. Nilai ringgit jatuh mendadak. Semakin ramai warga hilang pekerjaan. Graduan menganggur semakin ramai. Jenayah ganas – bunuh dan tembak – semakin menjadi-jadi.

Pendatang haram semakin ramai menerobos masuk.  Harga bahan makanan makin naik. Nilai gaji semakin turun. Harga bahan bakar petrol naik lagi. GST sedang mencekik setiap warga Malaysia – tua dan muda.

Tiba-tiba, akhbar mingguan The Edge digantung permit selama tiga bulan. Tiba-tiba, The Edge Financial Daily digantung sama dan portal Sarawak Report dipadamkan dari alam maya.

Tetiba YB Rafizi dan YB Tony Pua dilarang keluar negara. Tiba-tiba YB Tian Chua juga dilarang keluar negara. Tetiba Ambiga, Maria Chin, Adam Adli dan Hishamuddin Rais dilarang keluar negara. Apa sudah jadi?

Dalam suasana kelam kabut ini Lebai Desas bin Haji Desus terus kencang berlabon. Mengikut surah Lebai Desas Desus: Najib Razak Perdana Menteri Malaysia keenam akan didakwa. Najib akan dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan pecah amanah.

Dilaporkan berbilion ringgit telah masuk ke dalam akaun peribadi Najib sendiri. Kes 1MDB jadi buah mulut setiap yang ada mulut. Betulkah berita ini? Apakah ini hanya sembang-sembang kosong?

Akhirnya – saya memikul tanggung jawab untuk memberi pencerahan tentang apa yang sedang berlaku. Saya akan cuba menerangkan semudah yang mungkin agar Mak Cik dan Pak Cik Felda akan dapat memahami apa yang sedang berlaku di hadapan mata kita semua.

Pertama, ada sosok-sosok politik dan jurufikir yang berpendapat menuntut Najib berundur adalah satu kesilapan politik. Menurut hujah ini – Najib  dan Rosmah adalah umpan terbaik untuk memancing kebencian pengundi dalam PRU14.

Rosmah yang kini dilihat sebagai ‘puaka hidup’ akan dijadikan modal kempen oleh gabungan baru pembangkang – Pakatan Rakyat Perjuangan (PRP) dalam PRU14.

Sekali imbas perkara ini dilihat masuk akal. Sekali baca dilihat hujah ini rasional. Tetapi politik dan kerja politik memiliki hukum dan syarat tersendiri.

Hakikatnya jika sosok-sosok penyokong Pakatan Rakyat Perjuangan sedar akan peranan ‘jahat’  Najib dan Rosmah, pasti  ramai lagi ahli dan kepimpinan United Malays National Organisation yang sedang melihat perkara yang sama.

Justeru, ahli parti Ketuanan Melayu boleh dianggap ‘bebal politik’ jika tidak menyedari hal ini. Mahathir Mohamad bekas presiden, dan Muhyiddin Yassin bekas timbalan presiden parti mereka telah menyuarakan pendapat yang sama.

Fakta yang disuarakan: Jika Najib terus memimpin Parti Ketuanan Melayu; jika Rosmah terus terkedek-kedek di TV maka jawabnya gerombolan Ketuanan Melayu dan kuncu-kuncunya akan dihumbankan oleh gerakan rakyat yang semakin ampuh.

Justeru sebelum rakyat bangun mengampuh, sebelum rakyat marah turun ke jalan raya, adalah lebih afdal untuk United Malays National Organistaion merehatkan Najib dan Rosmah dari sejarah Tanah Melayu ini.

'Merehatkan' adalah kata sopan. Dalam bahasa politik Najib dan Rosmah wajib ditangkap dan didakwa untuk kebaikan masa depan United Malays National Organisation.

Dalam surah orang Negeri Sembilan Najib dan Rosmah ini sedang mengabiskan boreh. Najib dan Rosmah bukan sahaja menghabiskan beras malah sedang membawa malapetaka. Kekalahan parti Ketuanan Melayu dalam PRU14 nanti akan menyediakan lokap dan penjara kepada ramai pemimpin Parti Ketuanan Melayu.

Sebelum semua ini berlaku lebih baik Najib dan Rosmah diterajang keluar. Ini akan dilihat oleh orang ramai dan bakal pengundi bahawa parti Ketuanan Melayu sedang mengambil langkah tepat yang positif. Ini sedang dan akan berlaku. Ini realpolitik. Tidak ada kuasa yang dapat menahan ombak realpolitik  ini.

Dari sini timbul persoalan yang menjadikan orang ramai tertanya-tanya: Apa kejadahnya perkara yang ditulis oleh akhbar Wall Street Journal (WSJ)? Apa yang menjadikan tulisan WSJ begitu hebat hinggakan menggoncangkan politik Malaysia?

Biar saya terangkan di sini bahawa adalah cakap-cakap bodoh yang mengatakan pembocoran laporan WSJ tentang RM2 bilion ringgit masuk ke akaun Najib WSJ adalah rancangan Yahudi. Adalah cakap-cakap bangang yang mengatakan bahawa WSJ ini ada agenda untuk menjatuhkan kerajaan Malaysia.  Adalah amat bangang bagi sesiapa sahaja yang percaya atau memiliki pandangan bahawa dokumen 1MDB yang dirujuk oleh WSJ itu telah diubah suai.

Siapa dan apa dia The Wall Street Journal ini?

Nama The Wall Street Journal itu sendiri menjelaskan bahawa harian ini mewakili kepentingan kaum pemodal antarabangsa. Wall Street di New York menempatkan pusat perniagan saham, komoditi dan insuran terbesar dalam dunia.

Ini bukan tempat perniagaan Ikan Bakar Sekinchan atau Nasi Lemak Mek Jah Ulu Berang atau jual beli saham Plus Highway.

Hakikatnya Wall Street ialah Kaabah Kapitalis. Akhbar WSJ ialah jurucakap rasmi dari Kaabah ini. Melalui WSJ para Imam dan Ayatolah wakil kaum pemodal  akan mengeluarkan fatwa fatwi tentang salah benar dan halal haram segala bentuk perniagaan yang sedang berjalan dalam dunia kapitalis. Hakikatnya WSJ ini mewakili kepentingan perniagaan kaum pemodal antarabangsa.

Lalu timbul persoalan – kenapa WSJ bocorkan maklumat tentang akaun bank Najib?

Untuk ini saya menjawab begini: WSJ tidak menulis tentang Kenya, tidak menulis tentang Uruguay, tidak menulis tentang Zimbabwe. Apakah negara-negara ini aman permai? Apakah tidak ada rasuah di negara ini?

Jawabnya tidak. WSJ tidak menulis tentang Zimbabwe, atau Kenya atau Uruguay atau negara lain kerana mereka tidak memiliki kepentingan berniaga dalam negara itu. Malaysia ialah rakan niaga Amerika yang kesepuluh. Malaysia memiliki ekonomi yang kukuh di Asean dan Wilayah Pasifik. Malaysia negara kapitalis penting dalam ekonomi kapitalis dunia.

WSJ menulis tentang Najib bukan kerana mahukan demokrasi berjalan di Malaysia. Bukan kerana hak asasi manusia atau kerana Anwar dalam penjara. WSJ menulis tentang akaun Najib bukan kerana mereka cintakan Orang Melayu Bumiputera atau sayangkan Islam. Bukan, bukan, bukan.

WSJ membocorkan berita itu untuk memberi tanda dan isyarat kepada kaum pemodal dunia bahawa Najib Razak bukan lagi sosok yang boleh dipercayai di Malaysia untuk mewakili dan menjaga kepentingan ekonomi mereka.

Justeru sebaik sahaja berita bank akaun Najib keluar dalam WSJ maka The Age Melbourne, Sydney Morning Herald, The New York Times, The Guardian, BBC, CNN, CNBC dan berpuluh akhbar dan tv dunia membuat laporan yang sama.

Maknanya, selesai sahaja Ayatollah memberi fatwa maka Imam, Bilal, Kadi dan Khatib di seluruh dunia menyuarakan perkara yang sama.

Amat jelas bahawa kaum pemodal antarabangsa telah menolak Najib Razak. Kaum pemodal antarabangsa merasakan jika Najib Razak terus berkuasa, pelaburan modal dan perniagaan mereka akan  merosot. Nilai ringgit yang sedang merosot ini bukan saja mengurang keuntungan mereka malah berpotensi menjadi wabak di Asean.

Jangan lupa akan ‘wabak Tom Yam’ pada tahun 1998 yang memporak perandakan ekonomi Asean dan menjadikan ekonomi global lebih parah.

Justeru, lebih awal Najib Razak disingkir lebih molek untuk kaum pemodal di Malaysia dan di Asia Tenggara dan di kawasan Pasifik.

Najib Razak sekarang dalam keadaan yang sama  saperti yang pernah dihadapi oleh Suharto dan Marcos. Di Filipina, Marcos berhadapan dengan gerakan rakyat kaum kiri. Di Jakarta, Suharto berhadapan dengan gerakan anak muda mahasiswa.

Pemodal ini mungkin melihat bahawa keadaan akan menjadi kacau bilau dan merugikan mereka. Maka dengan licik Amerika membawa pulang Senator Benigno Aquino dari Amerika. Maka dengan licik Paul Wolfowitz, Duta Amerika di Indonesia menyusun peralihan kuasa. Jika tidak, warga kiri Indonesia akan mara berkuasa.

Najib Razak kini berhadapan dengan ombak rakyat yang mahukan perubahan. Anak-anak muda makin gelisah dan resah. Untuk pertama kalinya Sarawak telah merayakan Hari Sarawak Merdeka. Semangat nasionalisme Dayak semakin memuncak. Di Sabah, suara menuntut Sabah Merdeka makin lantang.

Di seluruh Malaysia, sentimen untuk menghumban parti Ketuanan Melayu semakin membara. Dalam PRU13 jelas kelihatan 52 peratus warga telah memilih Pakatan Rakyat Perjuangan dan menolak United Malays National Organisation dan konco-konconya.

Mustahil ejen Amerika dari Jalan Tun Razak tidak tahu bagaimana kuasa mutlak terletak di tangan Rosmah Mansor. Keadaan ini amat-amat berbahaya.

Kaum pemodal antarabangsa telah melihat peranan Ibu Tien dan Imelda Marcos. Semua ‘first lady' ini menjadi ikon kebencian – yang mengumpul kemarahan rakyat untuk turun ke jalan raya. Ini membawa porak-peranda.

Hakikatnya – semua pergolakan politik Malaysia diperhatikan oleh kaum pemodal antarabangsa dengan teliti. Selain dari menerima laporan rasmi dari Pak Duta di Jalan Tun Razak, kaum pemodal juga memasang pelbagai  bentuk lembaga perisik dan ejen.

Ada ejen terbuka, ejen upahan, ejen tertanam, ejen menyamar sebagai akademia, ejen menyamar sebagai wartawan atau pun ejen sedang  membuat kajian di universiti. Semua ‘alat-alat’ ini memberi laporan untuk memastikan pelaburan mereka selamat dan terus mendapat keuntungan maksimum.

Justeru adalah silap besar apabila menuduh bahawa WSJ tidak tahu politik Malaysia. Adalah silap besar jika tidak sedar bahawa WSJ mengetahui terperinci hal dalaman politik United Malays National Organisation berbanding dengan pengetahuan ramai ketua-ketua bahagian gerombolan sendiri.

Akhirnya – adalah silap besar jika menganggap maklumat dari Xavier Andre Justo yang kini ditahan di Bangkok sebagai palsu.


ADMIN: BLOG INI AKAN DI TUTUP  DAN TERIMA KASIH DI ATAS SOKONGAN


Muhyiddin dan Shafie lebih meyakinkan berbanding Najib dan Zahid.

Oleh Hasbie  Muda

Kalau tengok bahasa badan dan raut wajah, Muhyiddin dan Shafie lebih meyakinkan berbanding Najib dan Zahid.

Pemecatan mengejut mereka berdua serta Peguam Negara dan Pengarah Cawanga Khas Bukit Aman adalah bertujuan mencantas kudeta yang akan dibuat terhadap Najib. Tetapi persoalannya adakah ia selesai dengan hanya dengan rombakan kabinet?

Najib sedang membeli kepercayaan massa apabila memperbesarkan saiz kabinetnya. Jumlah Menteri di JPM ditambah. Beberapa muka lama dikitar semula. Tetapi adakah keyakinan dan kepercayaan massa UMNO berpihak kepada beliau?


Tumpuan saya kepada Khairy Jamaluddin. Beliau hanya dikekalkan menunjukkan bahawa Najib sendiri meragui pendirian sebenar KJ.

Walaupun kelihatan KJ agak sukar untuk berkerjasama dengan kem Mahathir, tetapi dalam politik, segala-galanya adalah mungkin.

ADMIN: BLOG INI AKAN DI TUTUP DAN TERIMA KASIH DI ATAS SOKONGAN 

Berhemah Dalam Menegur

Sememangnya dalam kehidupan ini, perbezaan pendapat dan mempunyai pandangan yang berlainan adalah sesuatu perkara yang lumrah justeru apabila ia berlaku jangan sesekali ada di antara kita dengan mudah membuat kesimpulan yang menjurus kepada prasangka kononnya ia bertujuan memburukkan sesiapa.

Allah telah mengingatkan kita dalam surah Yunus ayat 36 dengan menegaskan, ‘‘Prasangka itu tidak mendatangkan kebenaran apa pun.” Oleh itu jika tercetus sesuatu isu antara kita dan terwujudnya perbezaan pendapat atau terbentuk sesuatu teguran ia seharusnya ditangani dengan sebijak-bijaknya.

Janganlah kita terlalu gopoh ke hadapan dengan membuat andaian yang bukan-bukan atau berhujah dengan penuh emosi sehingga terwujud cabar-mencabar. Sebaliknya teguran atau sesuatu pandangan itu perlu diteliti dan dihalusi sertai dikaji kebenarannya. Ini kerana perbuatan menegur orang yang melakukan kesalahan merupakan tindakan yang amat diperintah oleh Allah.

Firman Allah dalam surah An-Nahl ayat 125 bermaksud:
“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang lebih baik.”
Namun begitu sejak kebelakangan ini kita melihat semakin banyak pihak yang tidak boleh ditegur biarpun apa yang dinyatakan oleh seseorang itu mempunyai kebenarannya.

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah mengingatkan bahawa sesuatu kebenaran itu perlu dinyatakan biarpun pahit dan baginda juga menegaskan,
‘‘Siapa sahaja di antara kalian yang melihat kemungkaran, maka tegurlah dengan tangannya (kekuasaannya). Jika tidak mampu, maka tegurlah dengan lisannya. Jika tidak mampu juga, maka tegurlah dengan hati. Namun, ini adalah keimanan paling lemah.”

Islam telah menggariskan dalam membuat teguran, kita haruslah berhati-hati apatah lagi jika kita cuba bertindak sebagai ‘orang perantaraan’ bagi menjelaskan sesuatu perkara.

Tiga faktor yang digariskan oleh Islam boleh menjayakan sesuatu teguran itu ialah, pertama, tidak merendahkan ego orang yang ditegur, kedua mencari waktu yang tepat dan ketiga memahami kedudukan orang yang ditegur.

Hakikatnya, Islam memberi panduan yang jelas dalam kita memberi teguran dan bagaimana sikap kita apabila ditegur. Kita tidak harus melatah apatah lagi terlalu emosional sehingga menyebabkan kita melafazkan kata-kata yang tidak sepatutnya.

Semua itu tidak akan menyelesaikan masalah sebaliknya hanya akan mengeruhkan lagi keadaan, tidak kira sama ada kita pemimpin atau tidak tetapi apa yang kita perkatakan pasti akan dinilai oleh manusia dan diperhitungkan oleh Allah.

Kegagalan untuk mengawal perasaan kita berhujah akan menyebabkan berlaku tuduh-menuduh yang kesudahannya akan mencetus permusuhan antara kita.

Tindakan ini sudah tentulah bertentangan dengan firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 103 yang mengingatkan,
‘‘Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai-berai dan ingatkan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu bermusuh-musuhan, maka Allah menjinakkan hati kamu lalu jadikan kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang yang bersaudara, pada hal dahulunya kamu telah berada di jurang neraka, maka Dia menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan kepadamu ayat-ayat agar kamu mendapat petunjuk.”

Hakikatnya, Islam tidak hanya mengajar etika menegur umat seagama tetapi Islam juga mengajar kita bagaimana cara menegur yang betul kepada umat daripada agama lain, tidak kita seburuk apa pun kesalahannya.

Ia terkandung dalam al-Quran melalui perintah Allah kepada Nabi Musa dan Nabi Harun untuk berkata lembut kepada Firaun seperti mana firman-Nya dalam surah Thaha ayat 44 yang bermaksud;

‘‘Berbicaralah kalian berdua kepadanya (Firaun) dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut.”

Jika dengan Firaun pun Allah perintahkan para nabi bercakap dengan lemah lembut, apatah lagi kita sesama Islam. Ertinya Allah tidak suka jika kita bercakap atau berhujah mengikut perasaan semata-mata.

Rasulullah s.a.w bersabda,
‘‘Percakapan orang yang berakal muncul dari balik hati nuraninya. Maka ketika hendak berbicara, terlebih dahulu ia kembali pada nuraninya. Apabila ada manfaat baginya, dia harus bercakap dan apabila ia boleh mendatangkan keburukan, maka dia hendaklah tidak melafazkannya. Sesungguhnya hati orang yang bodoh berada di mulut, ia berbicara sesuai apa sahaja yang dia mahukan’’.

Seperkara lagi dalam kita berhujah atau mempertahankan sesuatu elakkan daripada memalsukan fakta apatah lagi membuat pujian yang bukan-bukan kepada seseorang ini.

Ia disebabkan pujian yang melampau itu adalah bencana lidah (min afat al lisan) yang sangat berbahaya.
Dalam buku Ihya ‘Ulum al-Din, Imam Ghazali menyatakan enam bahaya (keburukan) yang mungkin timbul daripada budaya memuji tersebut iaitu empat keburukan kembali kepada orang yang memberikan pujian dan dua keburukan lainnya kembali kepada orang yang dipuji.

Bagi pihak yang memuji, keburukan yang akan diperoleh ialah melakukan pujian secara berlebihan sehingga menjerumus ke dalam dusta, dia memuji dengan berpura-pura menunjukkan rasa cinta dan simpati yang tinggi sedangkan dalam hatinya adalah sebaliknya, ia menyatakan sesuatu yang tidak disokong oleh fakta sebaliknya pembohongan semata-mata dan dia telah menggembirakan orang yang dipuji padahal orang itu melakukan kesalahan.

Dua keburukan yang menanti orang yang dipuji pula ialah dia akan merasa sombong (kibr) dan bangga diri (ujub) – kedua-dua adalah penyakit yang boleh ‘mematikan’ hati seseorang dan keburukan kedua, orang yang dipuji akan merasa hebat, tidak perlu bersusah payah dan bekerja kuat.

Kesimpulannya, dalam apa juga yang kita lakukan berkaitan dengan lidah yang melahirkan kata-kata kita harus berhati-hati, tidak kiralah sama ada ia teguran, pujian, kenyataan atau berhujah.Ini kerana setiap apa yang diperkatakan akan diperhitungkan di akhirat kelak apatah lagi jika ia berkaitan dengan soal kebenaran dan kebatilan.

Justeru jadikanlah firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 104 dan 105 sebagai pegangan, maksudnya;

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang mengajak kepada kebajikan dan menyuruh kepada makruf dan mencegah dari kemungkaran dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.

“Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang bercerai-berai dan berselisih sesudah datang keterangan yang jelas kepada mereka dan mereka itulah orang-orang yang akan mendapat azab yang berat.




Langkah seiring Pas dan Umno

Oleh : AMNI JAGAT

Bermula 27 Julai 2015, maklumat berkenaan ruangan sastera akhbar Harakah telah diberhentikan serta merta. Selepas 24 jam penutupan ruangan tersebut, penulis veteran akhbar Harakah Shukur Haron pula telah ditamatkan penulisannya di akhbar rasmi milik parti Pas itu.

Dalam kekalutan yang dilakukan oleh Pas, sisi pihak pemerintah pula dikejutkan dengan pemecatan Timbalan Perdana Menteri (Muhyiddin Yassin) dari jawatan kedua tertinggi itu. Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno itu telah diberitakan tempatnya telah diganti dengan Timbalan Perdana Menteri yang baru.

Berkesudahan dengan itu, langkah kedua-dua parti yakni Pas dan Umno dilihat seiring dalam menyusun langkah pembersihan golongan yang tidak setia pada kepimpinan masing-masing.

Lanjutan dari perkara yang berlaku, kemungkinan kedua-dua parti terbesar bangsa melayu itu bakal menjadi parti golongan ‘Pak turut'.

Kesinambungan dalam dua trajedi antara isu penutupan ruangan sastera di Harakah dan pemecatan Timbalan Perdana Menteri ini dilihat mungkin ada suatu agenda yang tersembunyi sedang dirancang untuk membina gagasan matlamat masa depan kedua-dua parti itu.

Bagi sisi pas, parti itu setakat ini sedang mengalami krisis pergeseran ahli dan masalah dalamannya yang masih berlarutan.

Sehinggakan parti itu telah membuat keputusan memutuskan hubungan dengan parti rakan mereka yakni DAP.

Apa yang difikirkan Pas kini adalah berkenaan dengan masa depan parti dalam karier politiknya.
Keputusan yang dibuat Harakah berkenaan dengan penutupan ruangan sastera serta pemberhentian penulis veteran Shukur Haron ini adalah langkah menyingkirkan golongan yang tidak sebulu dengan kepimpinan parti.

Shukur haron dan beberapa penulis di ruangan sastera adalah golongan yang bertindak banyak mengkritik kepimpinan dari segi penulisan mahupun lisan.

Sekarang dapatlah dipastikan parti Pas sudah dibersihkan hampir keseluruhannya dari golongan pengkritik dalam parti itu.

Untuk parti pemerintah seperti Umno pula, langkah pemecatan serta penyingkiran Timbalan Perdana Menteri ini juga sebagai suatu langkah menyingkirkan golongan pengkritik kepimpinan dalam parti berkenaan.

Umum mengetahui Muhyiddin Yassin sebelum ini kuat menentang kepimpinan Perdana Menteri dalam isu salah laku dari sudut pengurusan ekonomi dan sosial masyarakat di Malaysia. Tindakan Muhyiddin sebelum ini dilihat mengundang risiko yang besar dalam karier politiknya.

Akhirnya sangkaan itu dijelaskan dengan pemecatan dari jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Parti Umno memang dikenali sebagai parti yang mengamalkan sistem setia pada kepimpinan parti justeru siapa yang mengkritik kepimpinan parti akan dikenakan tindakan kebiasaannya.

Di sini jika melihat tindakan kedua-dua parti (Pas dan Umno) adalah sama serta seiring dengan membangunkan institusi ahli yang setia atau kata lainnya ‘Pak turut'.

Sebelum ini Pas juga turut mengambil pendekatan menyingkirkan Timbalan Presidennya dalam gerakan yang boleh digelar sebagai gerakan ‘anti profesional'.

Nasib kedua parti ini pada masa depan akan mengalami suatu laluan terkebelakang kerana tanpa pengkritik yang sihat, pembinaan, kemajuan dan percambahan dalam gerak kerja tidak akan berlaku.

Sifat autokratik yang diamalkan ini bukanlah sebuah budaya sihat yang mampu membina semangat kesedaran yang tinggi.

Akhirnya masyarakat dan rakyat yang akan menjadi mangsa kerana sifat kurang kesedaran ini akan terus timbul tanpa dibendung.

Bisik-bisik kini kuat menyatakan adakah kepimpinan autokratik ini akan membuahkan hasil pertautan di antara kedua-dua parti melayu itu?

Andai kedua-dua parti itu mengambil langkah pertautan, mereka tidak perlu risau kerana yang tinggal dalam kedua-dua parti itu hanya ‘Pak turut' yang direka maka tiada halangan lagi untuk agenda itu dilaksanakan- 

ADMIN: BLOG INI AKAN DI TUTUP DAN TERIMA KASIH DI ATAS SOKONGAN ANDA SEMUA.

Kisah Ah Beh dan Nalli

Oleh Muhaimin Sulam 


Bila Ah Beh, Nalli dan rakan-rakannya dalam DHPP mengistiharkan menyertai Gerakan Harapan Baru (GHB) di Ipoh, secara tiba-tiba DHPP menjadi semakin kua...t.

Sebagai mengenangkan kisah silam kami, elok aku ceritakan 'Ah Chong' dan 'Ramasamy' ini dalam PAS.
Ah Beh berasal dari Bagan Serai, kerja sebagai pemandu lori. Bijak berpantun. Dalam mesyuarat, bila nak sampaikan pandangan, dia berdiri. Sebagai pengerusi DHPP Perak yang pertama, susuk dia adalah DHPP begitu sebaliknya. Dia membahasakan DHPP sebagai 'adik bongsu',

Setiausahanya, Nalli setia ke mana bos dia pergi. Pada awal tahun ini, Nalli menang jawatan pengerusi DHPP melalui proses pengundian. Sekaligus mencatat sejarah kepimpinan sayap parti bukan melalui pelantikan. Dan Perak menjadi satu-satunya kepimpinan DHPP Negeri dibuat dalam pengundian. Nalli selalu menghubungi aku tentang kegusarannya `isu dalaman yang sangat sensitif'. Kadangkala penat mendengar keluhannya. Aku cuba menjadi pendengar yang setia dan prihatin. Hakikatnya akupun buntu. Akhirnya aku sebut, sabarlah.

Ah Beh bertanding Timbalan Pengerusi DHPP dan menang. Walaupun sudah bertahun-tahun dia ketuai DHPP, dia sanggup turun pangkat dan berketuakan bekas Setiausahanya. Ah Beh kalau bercakap tak ada tapis. Dia bagi sebiji sebiji.

Turut mengistiharkan menyertai GHB ialah Bala, Setiausaha DHPP dibawah kepimpinan Nalli. Seorang lulusan undang-undang dan sangat minat dalam memahami Islam. Berasal dari Tanjung Malim. Sudah banyak kali dia datang rumah aku. Suatu hari dia ziarah rumah aku dan membelek-belek buku aku. Dia kata, kalau lama dia duduk kat rumah aku, dia mungkin jadi komunis.

Dia sempat berbincang panjang dengan TG presiden. Adalah dosa dia selama ini akan terhapus bila dia memeluk Islam. Tentu sekali, TG presiden jawab.

Seorang lagi ahli DHPP yang ikut menyertai GHB ialah Richard Wong. Dia orang pekan Langkap, satu kawasan dengan aku. Dia fasih berbahasa Melayu dan sebab itu dia dijemput berceramah di merata tempat. Aku pun tak pernah terima jemputan macam dia.

Ceramah dia kadangkala kasar. Aku pesan kat dia, jangan ajar orang Umno tentang Islam. Kadangkala siap dia bawa kitab untuk tunjukkan bukti Umno salah. Aku kata sensitif. Sejak tu, dia cerita tentang politik walaupun sekali-sekala terlajak ajar Islam pada orang Islam.

Apabila PAS Melaka menawarkan dia bertanding pada PRU 2013 di Asahan, dia pergi jumpa aku. "Macamana ni Doktor? Saya mana ada duit...." Susah hati menerima tawaran itu. Siapa yang nak tolong? Kadangkala naik pening juga aku melayannya. Akhirnya dia setuju bertanding. Sejak hari pembubaran parlimen dan hari mengundi dia berkampong di Asahan dan rasa macam dia tak nak balik ke Pasir Salak.
Hoi Richard.... balik sini! Minum ke pekan Langkap.

Itulah sejemput kisah aku dan dia. Elok dibaca pada pukul 10 malam dalam Rancangan 'Aku dan Kenangan'. Lagu yang menjadi pilihan adalah nyanyian Mayang Sari. 'Tiada Lagi'.

Dinamika politik harapan baharu

Oleh Abd Shukur Harun

Politik bukan sebuah dunia angan-angan dan khayalan atau sebuah mimpi indah untuk mendapatkan kuasa tetapi politik ialah sebuah dunia yang sangat dinamik, hamparan realiti dan pragmatik sifatnya.

Sebab itulah mereka yang mahu melibatkan diri dalam politik mestilah bersedia untuk menghadapi dunia realiti, menerima hakikat bahawa politik itu – yang tentunya mengenai kuasa – bukan boleh dirancang hanya berdasarkan khayalan dan jangkaan menurut emosi serta khyalan.

Maka itu mereka yang menjadi pemimpin politik atau aktivisnya perlu bersikap realistik, menerima hakikat bahawa politik itu sangat dinamik, berubah mengikut keadaan.

Bertahun-tahun Nellson Mandela sebagai tahanan politik di Afrika Selatan kerana perjuangan aparthednya, kemudian ia dibebaskan dan menjadi presiden negaranya.

Di tanah air kita, sejak merdeka, parti politik dan pemimpinnya datang dan pergi silih berganti, menang dan kalah atas kehendak masa dan keadaan. Sebab itu Winston Churchill, bekas perdana menteri Britain yang terkenal itu pernah berkata:

“Politics is almost as exciting as war and quite as dangerous. In war you can only be killed once, but in politics many times.”

(Politik adalah hampir menyenangkan seperti perang dan cukup berbahaya. Dalam perang, anda hanya boleh dibunuh sekali, tetapi dalam politik banyak kali.)

Oleh itu dalam politik, parti dan pemimpin serta pendukungnya boleh kalah dan menang, kalah lagi dan menang lagi, begitu seterusnya.

Dalam hubungan inilah, saya kira pemimpin dan pendukung Gerakan Harapan Baru (GHB), yang akan menjadi parti politik tidak lama lagi sangat memahami realiti dan dinamika politik ini dengan segala risikonya.
Kalau tidak masakan pendukung GHB ini (nama sementara), dengan penuh tekad hendak menubuhkan badan politik baru.

Bukan semata-mata kerana dikalahkan dalam pemilihan di muktamar PAS Jun lalu, tetapi lebih jauh dari itu kerana didorong oleh kesedaran mereka bahawa sebuah badan politik baru yang progresif, dinamik, terbuka dan peduli rakyat sangat perlu ditubuhkan untuk mendepani cabaran yang ada.

Langkah ini sebagai respons kepada kehendak majoriti rakyat negara ini yang sudah sangat kecewa dengan situasi politik kuno yang ada sekarang yang sangat melemaskan.

Dengan dasar Islamnya yang membawa pendekatan sebagai agama Rahmatan Lil Alamin, wadah baharu ini sangat peduli rakyat, bukan saja kepada umat Islam, tetapi juga kepada bukan Islam.

Ia benar-benar berusaha memahami masalah rakyat dan berusaha menyelesaikannya menurut pendekatan Islam yang berpaksikan keadilan.

Inilah hasrat pemimpin wadah baharu ini dengan sikap keterbukaan mereka.

Saya amat kenal dengan para penggerak GHB ini. Mereka pernah menang dan kalah dalam pelbagai pertandingan parti dan pilihan raya negara sebelum ini, tetapi ketika itu mereka belum terpanggil untuk menubuhkan parti politik baru disebabkan ketika itu masih melihat ada harapan untuk perubahan.

Tetapi dengan apa yang berlaku sekarang ini, menyebabkan para tokoh progresif ini mengambil  keputusan menubuhkan parti baru justeru tidak ada pilihan lain kerana tiada lagi harapan berubah dari keadaan yang wujud sekarang.

Secara kebetulan, Pakatan Rakyat menghadapi krisis hingga berakhir hayatnya dengan penuh duka.
Maka itu menguatkan lagi keazaman para tokoh progresif ini untuk menubuhkan parti politik baharu yang sangat dinantikan oleh rakyat.

Kehadiran mereka di tengah pentas politik negara menghamparkan harapan kepada masyarakat sivil dan golongan anak muda serta golongan prihatin lain untuk menyaksikan suatu perubahan dari politik beku seperti yang wujud sekarang kepada wadah politik peduli rakyat.

Di sinilah politik harapan baharu kelihatan menjanjikan suasana ini.

Adapun ahli parti lama, kiranya mereka berhasrat menyertai GHB ini terpulang kepada mereka. Jika mereka mahu menyertainya dialu-alukan.

Tidak ada pujuk rayu dengan linangan air mata, justeru semua itu hak demokrasi mereka untuk memilih.

Bahtera baharu ini  bukan lampu ajaib yang boleh menyelesaikan semua masalah. Tetapi sekadar mengambil bahagian penting dalam usaha menyelesaikan masalah negara, sesuai dengan tuntutan Islam yang menyeru umatnya kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar.

Bahtera baharu ini sangat sedar akan cabaran besar yang dihadapinya dari segenap penjuru.
Oleh itu saya yakin pendukung GHB ini mampu untuk menghadapi semua cabaran ini.

Pengalaman mereka yang selama ini berjuang dalam politik dengan penuh integriti, keintelektualan dan prestasi yang cemerlang serta konsistensi mereka memperjuangkan sebuah cita-cita besar, Insya Allah, memungkinkan mereka terus berjuang melalui wadah baharu ini.

Saya amat kenal dengan mereka ini, antaranya Mohamad Sabu, Salahuddin Ayub, Dr Dzulkefly Ahmad, Mohamed Hanifah Maidin, Khalid Samad, Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa, Suhaizan Kayat, Izham Hashim, Dr Siti Mariah Mahmud, Asmuni Awi, Datuk Seri Nizar Jamaludin dan Aiman Athirah al-Jundi dalam senarai yang panjang. Mereka adalah tokoh emas tempawan yang tinggi nilainya.

Saya yakin di tangan mereka ini wadah baru ini akan berkembang subur dengan sokongan pelbagai pihak.
Sementara itu, penyokong  parti politik baru ini nampaknya gembira dengan sikap pemimpin mereka yang ‘tidak membalas serangan dengan serangan’ dari pihak yang menentangnya.

Mereka kelihatan terus tabah, sabar dan tenang kerana yakin kepada kebenaran yang mereka miliki.
Justeru mereka yang memiliki kebenaran, seperi kata Ibnu Khaldun, mampu berdiri teguh kerana kebenaran itu sendiri adalah sebuah kekuatan luar biasa.

Lebih-lebih lagi mengingat pesan pemimpin Ikhwanul Muslimin, Almarhum Imam Hasan Al Banna: “Kamu sebagai pejuang Islam hendaklah mempunyai sifat seperti pohon yang berbuah. Orang melemparnya dengan batu, ia membalasnya dengan buah yang ranum.”

Maka itu, masa-masa mendatang cabaran akan lebih pahit, panas dan tajam. Inilah tanda bahawa kehadiran Gerakan Harapan Baru itu sudah dirasakan oleh masyarakat.

Kini pendukung wadah baru ini perlulah segera menyusun rancangan yang benar-benar menggambarkan peduli rakyat kerana rakyat  sungguh-sungguh sedang memerhatikan mereka.

Inklusif ...

Oleh Hasbie Muda

1. Inklusif atau keterangkuman adalah ciri-ciri paling penting bagi sebuah parti politik yang mahu menjadi kerajaan sesebuah negara ataupun negeri. Lawan inklusif adalah eksklusif atau 'rangkuman terhad' atau 'tidak dikongsi dengan pihak lain'.

2. Inklusif mudah disebut tetapi hakikatnya sukar diamalkan. Inklusif bukan sekadar mampu bergaul dengan orang kampung dengan berpelikat atau mesra bersuapan dengan rakan bukan Melayu di rumah terbuka, tetapi ertinya jauh lebih luas daripada itu.

3. Kunci utama kejayaan UMNO terus memerintah Malaysia sehingga ke saat ini adalah kerana UMNO berjaya menjadikan partinya inklusif untuk hampir semua entiti Melayu yang wujud.

Kewujudan UMNO adalah hasil muafakat 41 buah persatuan yang bergabung pada tahun 1946.

Kejayaan UMNO menguruskan permuafakatan entiti-entiti yang bergabung membentuk UMNO adalah suatu kunci yang menentukan sejauh mana ia mampu bertahan. Walaupun ada beberapa entiti yang kemudiannya menarik diri seperti PKMM namun ia hanyalah kes yang terpencil.

4. Begitu juga apabila UMNO menerajui Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional. Formula itu yang diguna pakai.

5. Inklusif adalah seni. Bukan mudah untuk memastikan bahawa setiap entiti dalam kepemimpinan kita mampu berpuas hati dengan sesebuah kepemimpinan. Agihan kerusi menteri mengikut negeri, jawatan utama dalam GLC, institusi-institusi kerajaan, senator, duta dan pelbagai lagi dibuat dengan teliti agar tidak ada pihak yang merasa tersisih ataupun tidak dihargai. Setiap isu yang wujud dalam setiap entiti diselesaikan. Peranan mereka diiktiraf manakala suara mereka mestilah didengari.

6. UMNO ada kelemahan yang banyak bertimbun tetapi fokus UMNO pada nilai inklusif kekal hingga ke hari ini. Motto UMNO ' Bersatu, Bersetia, Berkhidmat' serta motto pada jata negara iaitu 'Bersekutu Bertambah Mutu' memberikan pentunjuk yang jelas bahawa nilai iklusif, kesatuan, sinergi menjadi elemen penting perjuangan parti Melayu ini dan ia wajar dicontohi.

7. Individu yang eksklusif memang akan menimbulkan rasa meluat tetapi jika suatu parti yang eksklusif, ia akan ditolak oleh rakyat. UMNO sedang menuju ke arah itu.

8. Cabaran utama Gerakan Harapan Baru (GHB) adalah bagaimana menjadikannya inklusif untuk semua. Setiap elemen yang boleh membantunya mencapai matlamatnya perlu diraikan dan diuruskan dengan sebaik mungkin untuk membuahkan kemenangan.

9. GHB perlu mengumpulkan sebanyak mungkin elemen yang boleh membantunya meraih kemenangan. Jangan remehkan golongan mahasiswa yang membentuk setengah juta rakyat negara ini. Kelompok orang muda, bukan Melayu, agamawan, profesional, penganggur, artis, karyawan, usahawan, peniaga kecil, penjaja, wanita, penjawat awam serta semuanya perlu disantuni dan dirangkumkan dalam perjuangan.

10. Tempoh awal penubuhan PKR (ketika itu PKN) kelihatan malap dan kurang sambutan kerana ia kelihatan tertumpu untuk membela Anwar. Lingkaran kepemimpinan juga seolah-olah terhad kepada bekas pimpinan UMNO serta beberapa NGO Islam semata-mata. Tetapi apabila Anwar dibebaskan dan PKR memfokuskan perjuangannya bukan lagi untuk Anwar sebaliknya untuk rakyat, maka ia mendapat sokongan yang meluas daripada rakyat. Pemimpin muda boleh diangkat menjadi exco dan pemimpin utama parti dan kerajaan negeri manakala tidak ada budaya label-melabel yang ketara menjadikan ia sebuah parti yang popular khususnya untuk anak muda.

11. Era awal kepemimpinan Dato' Asri Muda juga cemerlang kerana gaya kepemimpinannya ketika itu inklusif. Menamakan Ustaz Nik Aziz sebagai calon PRK Kelantan Hilir pada 1967 walaupun ditentang ulama' tradisional, pemilihan tenaga muda seperti Cikgu Pa dan Zahari Awang sebagai calon PRU 1974 selain pelawaan kepada pemimpin muda ABIM menyertai PAS menjadikan PAS segar dan popular di mata rakyat. Apabila beliau mula dilihat eksklusif dengan mengutamakan rakan-rakan rapat untuk dilantik memegang jawatan Setiausaha Agong, Bendahari dan Ketua Penerangan, beliau mula ditolak secara meluas oleh pimpinan PAS yang lain. Klimaksnya, keputusan beliau mengetepikan Pesuruhjaya PAS Kelantan (TGNA) dalam soal pelantikan calon PRU 1982 menjadikan beliau terperosok ke penjuru penolakan paling kuat dalam parti.

12. Mudah-mudahan GHB menekuni setiap lekuk sejarah lampau untuk dijadikan iktibar.

13. Mudah-mudahan GHB bersungguh-sungguh dalam menjadikannya sebuah parti yang inklusif untuk semua.

Model politik UMNO/BN lebih baik untuk Islam ?

Oleh Ahmad Sabki Yusof

Hari ini, saya bercadang untuk menulis lanjut tentang krisis organisasi PAS dan memberi cadangan. Kali ini mengenai kepimpinan.Tapi oleh kerana ramai yang memberikan komen-komen dalam tulisan pagi semalam, saya kemukakan beberapa maklum balas sebelum terus menulis dan memberi cadangan kepada PAS.

Pertamanya, saya tidak lagi memegang apa-apa jawatan di dalam PAS, hanya ahli biasa. Jadi tak salah rasanya mencadang di dinding FB ini. Sehingga semalam, FB ini pun sudah lama tidak dikemaskini, mungkin lebih dari 7 tahun.

Seterusnya terima kasih kepada yang memberikan komen – samada menyokong atau menolak, itu hak tuan-tuan sebagai pembaca. Jazakallahu khair.

Pernyataan saya yang menarik respon ramai dalam tulisan tersebut mungkin diambil dari para: “Mereka yang percaya model politik UMNO/BN lebih baik untuk Islam dan Melayu mula menunjuk sikap tidak mesra Pakatan Rakyat dan apa yang berlaku selepas itu adalah sejarah yang kita semua tahu”.

Ada yang mengadakan saya terpengaruh dengan cybetroopers, ada yang kata itu fitnah dan tohmahan dan ada yang mengatakan itu falasi.

Bila saya menulis perkara tersebut, bukan saya membuat tuduhan, jauh sekali saya mencetuskan fitnah, tapi ini adalah pemerhatian saya sepanjang berada di lingkaran kepimpinan pusat sejak 2003 hingga 2013 (dalam Dewan Pemuda PAS Pusat dan Jawatankuasa PAS Pusat).

Ada juga komen minta saya menyalahkan DAP. Saya belum sampai ke situ. Tunggulah dalam penulisan yang lain.

Sebelum saya pergi lebih lanjut, saya perhatikan ramai di kalangan ahli PAS yang cukup fobia dan melenting apabila bercakap soal kerjasama politik bersama UMNO/BN – seolah-olah menimbangkan kerjasama politik bersama UMNO/BN adalah satu dosa yang mutlak dalam apa jua keadaan. Pada saya ini adalah pandangan politik yang cetek.

PAS bebas menimbangkan apa jua strategi dan pendekatan dalam politik selagi mana ianya boleh membantu PAS mencapai matlamatnya dan ianya tidak bercanggah dengan shari’ah – termasuk dalam soal membina hubungan dengan UMNO. Maka mempertimbangkannya tidak menjadi satu dosa. Apa yang penting ia perlu melalui proses membuat keputusan mengikut sistem yang sedia ada di dalam parti, untuk melihat dari sudut keuntungan politik dan juga samada ianya bertentangan dengan shari’ah.

Proses ini berlaku selepas PAS memenangi kerusi dan berpeluang menubuhkan beberapa kerajaan negeri selepas PRU-12. Penilaian rasmi parti telah dibuat, dan akhirnya PAS memutuskan untuk bersama PKR dan DAP dan menubuhkan Pakatan Rakyat.

Tapi untuk mereka yang terlibat dalam operasi dan kepimpinan politik, mereka tidak boleh mengelak dari terus membuat penilaian demi penilaian. Malah pimpinan mesti membuat penilaian. Ya, kerana ijtihad politik boleh berubah dari masa ke masa.

Dan tentunya, walau berapa kalipun Presiden PAS pertegas bahawa PAS memilih Pakatan Rakyat dan komited dengan Pakatan Rakyat, tetap ada yang menilai dan mempunyai pandangan peribadi yang berbeza – terutama sekali setelah melalui isu-isu sukar dalam pentadbiran negeri bersama PKR dan DAP terutamanya di Selangor dan apabila berpolemik melibatkan prinsip agama seperti hudud, kalimah Allah dan sebagainya.

Pada saya tidak ada salahnya kalau mana-mana pimpinan berpandangan model politik UMNO/BN lebih selamat untuk Islam dan Melayu, selagi mana ianya pandangan peribadi dan mereka masih patuh pada keputusan parti. Apa yang salah apabila tindakan dan sikap politik yang diambil bertentangan dengan keputusan rasmi parti pada waktu tersebut.

Ya, ada pemimpin PAS yang memegang pandangan model kolisi politik UMNO/BN lebih baik untuk Islam dan Melayu berbanding model Pakatan Rakyat. Dan tidak kurang juga kalangan pimpinan PAS yang berpandangan Pakatan Rakyat tidak lagi sesuai untuk PAS tapi tidak pula menerima model kolisi politik UMNO/BN. Kedua-dua kecenderungan ini mempengaruhi tindakan politik yang tidak mesra Pakatan Rakyat.

Anda tanya, mana buktinya ada kumpulan pimpinan yang berpandangan begitu?

Oleh kerana saya berada bersama kepimpinan pusat, bukti-bukti itu berlegar di keliling saya, dari 2008 hingga sekarang. Sebahagiannya saya kutip dari pergaulan dengan rakan-rakan pimpinan (saya mengenali dekat semua pimpinan PAS Pusat – melainkan seorang dua yang baru menduduki JK PAS Pusat untuk kali pertama tahun ini), sebahagiannya saya kutip melalui perbahasan dalam mesyuarat dan sebahagian lagi melalui pengalaman sendiri dalam peristiwa-peristiwa signifikan sejak 2008.
Sudah banyak yang terdedah dan didedahkan. Anda sendiri mampu mencarinya.

Saya tidak berminat untuk bercakap tentang individu dan peristiwa, saya hanya ingin bercakap tentang idea.

Cukup jelas dan meyakinkan saya, tapi saya tak perlu memaksa tuan-tuan mempercayainya. Tuan-tuan boleh terus dengan apa yang tuan-tuan percaya, dan saya teruskan dengan apa yang saya tahu.

Cadangan saya tetap sama - PAS perlu segera nyatakan halatuju politiknya, yang logikal dan praktikal.

Jumpa lagi di hari Sabtu, minggu depan. InshaAllah.

Petikan dari FB Ahmad Sabki Yusof
26 Julai 2015

PRU14 mungkin lebih awal, sangat penting duduk semeja

Oleh SALAHUDDIN HJ AYUB

1. Gerakan Harapan Baru (HB) bersedia untuk   mengadakan perbincangan  dengan semua pihak dalam usaha mendepani isu-isu kepentingan rakyat dan negara.

2. Situasi politik, ekonomi dan sosial negara sekarang ini sangat kritikal dan memerlukan komitmen semua pihak untuk menyelamatkan rakyat yang semakin terkesan kehidupan seharian mereka.

3. HB telah dan akan terus menemui NGOs, parti-parti politik serta individu-individu berpengaruh serta institusi-institusi penting dalam masyarakat bagi memperkukuhkan lagi iltizam bersama memperjuangkan isu-isu rakyat.

4. Berdasarkan senario terkini politik tanah air, HB tidak menolak kemungkinan akan berlakunya ketidakpastian politik, sekaligus membawa kepada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lebih awal.

5. Adalah sangat penting bagi semua pihak bersedia untuk duduk semeja pada saat yang cukup kritikal ini.

6. HB sentiasa bersedia memberikan apa saja sumbangan yang terbaik untuk memastikan hasrat dan cita-cita perjuangan rakyat dapat dilaksanakan dengan seutuhnya.

SALAHUDDIN HJ AYUB
Timbalan Pengerusi
Harapan Baru (HB)

Perlu Jujur Jika Ingin Berbicara tentang Baiah.

OLEH MOHAMED HANIPA MAIDIN


Bagi menjamin para wakil rakyatnya terus taat setia kepada Pas, Pas menyediakan satu akujanji taat setia kepada perjuangan parti untuk diikrarkan oleh mana mana calon yang bertanding pilihanraya . Ia bertujuan memastikan mana mana wakik rakyat yang dipilih atas tiket Pas akan terus bersama Pas selepas mereka memenangi pilihanraya.

Sudah tentu baiah untuk terus bersama sama Pas dibuat atas premis segala tindakan yang dibuat oleh Pas selari dengan ajaran dan prinsip Islam. Jika tidak , sudah tentu ia termasuk dalam baiah yang boleh dipertikaikan kesahihannya.

Dari segi moral politik, baiah atau akujanji taat setia itu suatu yang baik bagi memastikan mana mana wakil rakyat yang dipilih tidak mengkhiananti amanah yang diberikan oleh rakyat dalam pilihanraya tersebut.

Sebagai parti yang menjadikan Islam sebagai dasar perjuangannya sudah tentu Pas bukan sahaja megharapkan mana mana wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat atas tiket Pas akan terus menjalankan amanah yang diberikan oleh rakyat melalui undi mereka kepada calon calon Pas tersebut malahan wakil rakyat Pas juga bertanggungjawab memastikan Pas juga dalam masa yang sama tidak sama sekali mengkhianati sokongan rakyat yang diberikan kepada Pas.

Sudah tentu , menurut hemat saya,bila kita berbicara mengenai akujanji taat setia kepada perjuangan Islam yang dibawa oleh Pas itu , ia merangkumi aspek tidak mengkhianati sokongan rakyat yang diberikan kepada calon calon Pas tersebut. Dengan lain perkataan ,wakil rakyat Pas bukan sahaja perlu bersama dengan perjuangan Islam tapi wakil rakyat Pas juga perlu memastikan Pas juga , dalam apa apa keputusan dan tindakan yang dilakukan oleh parti tersebut, tidak dalam apa keadaan meremehkan jauh sekali mengkhianati sokongan rakyat yang diberikan kepada Pas melalui calon Pas tersebut.

Sudah tentu misalnya apabila rakyat memilih calon Pas sebagai Ahli Parlimen mereka mengharapkan Ahli Parlimen itu bukan sahaja turun ke kawasan Parlimen yang beliau tandingi tersebut dan mengambil tahu dan cuba menyelesaikan masalah rakyat malahan rakyat juga mahukan Ahli Parlimen tersebut juga turut hadir dalam mana mana persidangan Parlimen dan turut sama mengambik bahagian dalam perbahasan di Parlimen. Jika itu tidak dilakukan sudah tentu ia boleh ditafsirkan sebagai meremehkan sokongan rakyat dan dikhuatiri ia juga boleh tergolong kepada pengkhianatan sokongan rakyat kepada calon Pas tersebut.
Oleh itu jika kita berbicara tentang baiah ia harus dilihat secara holistik dan tidak seharusnya disempitkan kepada aspek tertentu sahaja.

Dalam pilihanraya umum yang lepas ada beberapa realiti politik yang perlu diambil kira jika kita serius ingin bercakap tentang isu baiah.

Saya perhatikan, dalam perbincangan mengenai isu baiah setakat ini , mereka yang lantang menuduh para Ahli Parlimen dan Adun Pas yang menyokong Harapan Baru telah melanggar baiah, nampaknya, atas alasan yang hanya mereka sahaja tahu, telah gagal sama sekali mengambil kira realiti tersebut sekaligus amat mudah dan cepat mereka menjatuhkan hukuman ke atas ahli ahli Parlimen dan adun adun tersebut.

Antara realiti politik yang wujud dalam pilihanraya umum yang lalu adalah seperti berikut.

Pertamanya Pas telah mengadakan tahaluf politik dengan Dap dan Pkr atas nama Pakatan Rakyat ( PR ) dan Pas menyertai pilihanraya tersebut atas nama Pakatan Rakyat meskipun ketiga tiga parti tersebut menggunakan lambang atau simbul masing masing.

Keduanya, kerana wujudnnya PR itu, boleh dikatakan hampir seluruh kerusi Parlimen dan Dun yang ditandingi oleh calon calon Pas tidak menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Pas dengan sama ada calon calon Dap atau Pkr kecuali dibeberapa tempat sahaja antaranya Dun Kota Damansara. Dalam isu Kota Damnasara wujudnya "penyeludupan" baiah melalui cara yang saya berani katakan amat tidak bertanggungjawab oleh pihak tertentu kepada calon Pas di Dun tersebut. Kesannya calon PR ( Pas dan Pkr ) kalah dan calon BN yang menang !!!

Ketiganya, calon calon Pas yang bertanding atas platform PR menghadapi musuh bersama iaitu Barisan Nasional ( BN ) dan apabila rakyat menyokong calon calon Pas mereka mengambil kira faktor tersebut.
Keempatnya , dengan wujudnya PR calon calon Pas mendapat manfaat yang amat besar sehingga beberapa kerusi yang ditandingi tersebut menyaksikan calon calon Pas menang ( termasuk ada yang menang dengan majoriti yang amat besar ) kerana mendapat sokongan pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama. Kerusi kerusi yang menang itu bukanlah kerusi tradisi Pas.

Kelimanya, sokongan rakyat ke atan calon calon Pas bukan hanya datang daripada ahli ahli Pas sahaja sebaliknya ia melangkaui ahli ahli Pas. Malahan di kawasan yang tinggi peratusan pengundi bukan Islam calon Pas berjaya menang. Sebagai contoh di Dun Putri Wangsa, Negeri Johor, YB Abdullah Hussien yang pada masa itu memegang Ketua Dewan Ulama Pas Johor berjaya menang bila peratus pengundi bukan Islam di situ sebanyak 47 peratus.

Keenamnya, hasil sokongan pelbagai kaum , bangsa dan agama atas calon Pas , Pkr dan Dap maka kita berjaya memerintah Selangor atas nama PR maka bagaimanakah sokongan rakyat yang membawa Pas turut sama dalam Kerajaan PR tiba tiba Pas tidak rasa apa apa bila tindakannya mengkhianati sokongah rakyat tersebut.

Sebagai contoh , semua orang tahu bagaimana Pas, dalam isu MB Selangor , telah memberikan kepada pihak Istana tiga nama calon MB Selangor yang kesemuanya daripada Pas tanpa perbincangan dengan Dap, Pkr malahan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat sendiri. Tidakkah ini satu tindakan pengkhianatan ? Saya tidak pasti Islam yang mana membenarkan pengkhianatan seperti ini ?

Isunya adakah dalam kita berbicara mengenai isu baiah, realiti realiti politik di atas wajar diremehkan begitu sahaja dan kita menghadkan isu baiah itu kepada satu sudut perbincangan sahaja dan melupakan sama sekali aspek aspek lain yang wajar diambil kira.

Ahli Ahli Parlimen dan Adun-Adun Pas , khususnya yang kalah dalam pemilihan AJK Pusat yang lalu, adalah mereka yang istiqamah memastikan Pas terus bersama sama PR dan atas dasar itu mereka telah menerima pelbagai gelaran dan ejekan. Mereka istiqamah mahukan Pas tidak mengkhianati sokongan rakyat kepada Pas melalui PR. Mereka yakin tindakan Pas yang bertentangan dengan permuafakatan bersama PR sekaligus meranapkan PR adalah satu pengkhianatan kepada sokongan rakyat dan ia tidak selari dengan ajaran dan prinsip Islam. Harapan Baru wujud antara lain atas kesedaran hal tersebut.

Oleh itu jika kita ingin berbicara isu baiah , permintaan kecil saya, paling kurang biarlah kita jujur dalam perbicaraan itu. Janganlah berbicara baiah yang terpilih.
Wallahu 'alam.

GHB Sarawak bersikap lunak dengan PAS

Oleh Andri Zulkarnaen Hamden 


GHB Sarawak akan melantik Jawatankuasa dalam masa terdekat. Setakat ini kami telah mengenalpastikan figura-figura yang berpotensi dan berpengalaman bagi menerajui GHB Sarawak.

Kami yakin GHB akan diterima oleh rakyat Sarawak berdasarkan kepada maklum balas yang kami terima setakat ini. Rakyat Sarawak akan menerima kehadiran GHB kerana kami mengamalkan prinsip terbuka, inklusif, progressif dan tidak jumud dan tertutup kepada  semangat perkauman, melampau dan sempit.

Seperti yang diumumkan oleh GHB pusat bahawa setakat ini GHB bergerak atas kapasiti sebuah NGO dan bukannya sebuah parti politik sehinggalah sebuah parti politik yang sah ditubuhkan. Ianya dijangka akan ditubuhkan secara rasmi pada 16 September 2015.

GHB Sarawak akan menumpukan gerakerja memperkemaskan jawatankuasa, mendaftarkan ahli di kalangan rakyat Sarawak tidak kira ianya berparti atau belum berparti. Kami mengamalkan sikap terbuka di mana sesiapa sahaja boleh menganggotai GHB tanpa mengira kaum dan agama.

GHB Sarawak seperti juga GHB Pusat tetap bersikap lunak dengan PAS kerana musuh sebenar kami bukannya PAS tetapi BN yang terus meneruskan mengamalkan pemerintahan yang korup dan menindas rakyat. Kami sedia bekerjasama dengan sesiapa sahaja dalam usaha menubuhkan kerajaan baru di Sarawak dan Malaysia.

Kami yakin DAP dan PKR Sarawak bersedia untuk bekerjasama dengan kami sebagaimana pendirian DAP dan PKR di peringkat pusat yang secara terbuka telah menyatakan sokongan padu kepada penubuhan GHB dan parti politik baru nanti. Kami sedia bertemu dan berbincang dengan DAP dan PKR Sarawak pada bila-bila masa.

GHB Sarawak juga bersedia untuk meletakkan calon pada Pilihanraya Negeri Sarawak akan datang ini. Samada kami bertanding atas tiket parti baru, parti lain atau bebas ianya belum diputuskan lagi.
GHB Sarawak bersedia untuk mendengar pandangan dan kritikan dari sesiapa sahaja bagi memantapkan GHB Sarawak bagi melengkapkan diri kami untuk berkhidmat kepada rakyat Sarawak dan Malaysia amnya.

Sekian

Andri Zulkarnaen Hamden @hud abusiraj
Jurucakap GHB Sarawak

Isu Baia'h : Satu Penjelasan

MUQADDIMAH

Kertas ini merujuk kepada tulisan asal Dr Zaharudin Abdul Rahman dari Murshid yang bersusah payah menyediakan pencerahan bagi isu Baiah dan yang bersangkutan dengannya. Kertas bertajuk Kefahaman Erti Jamaah
dari Hadis & Isu Bai'ah cuba dirungkaikan permasalhannya dalam konteks lafaz taat setia semua calon pilihanraya dan khusunya yang menjadi MP dan Adun dari PAS.

Saya merakamkan ucapan terimakasih kepada Al Fadhil Dr Zaharudin Abdul Rahman dan telah meringkaskan dengan sedikit penambahan untuk tujuan pembenatangan kepada MP dan Adun PAS yang inginkan penjelasan.

RINGKASAN TAJUK -TAJUK

Asas perbincangan isu Bai'ah ialah untuk menjawab beberapa persoalan

1. Pengertian Baia'h dan aplikasinya pada Jamaah PAS

2. Lafaz Baia'h dan Bersumpah dalam PAS

3. Pelanggaran sumpah dan cara menebusnya

BAIA'H

Perkataan bai'ah adalah dari bahasa Arab ب ا ع  بيعة yang bermakna menghulurkan tangan untuk menerima sesuatu janji kerana orang Arab akan membuat sesuatu janji dengan menghulur tangan masing-masing sebagai tanda setia kepada janji yang dibuat.

Dari sudut istilah ia adalah persetujuan antara umat dan pemerintahan Islam yang mempunyai implikasi timbal balik antara keduanya dari sudut hak. Baia'h ada berbagai bentuk antaranya

1. Baiah masuk Islam
جاء الناس الكبار و الصغار و الرجال و النساء فبايعهم على الاسلام والشهادة
 (riwayat Al Baghawi dan Hakim)

keluarnya dari baiah  shahadah ini bermakna murtad

2. Baia'h kepimpinan utama Khalifah Islam berpandukan hadis
من مات و ليس في عنقه بيعة مات ميتة جاهلية (رواه مسلم)

Baia'h ini hari ini dirujuk kepada kepimpinan negara Islam yang ada kuasa legaslatif dan eksekutif serta bertungsi sebagai kerajaan yang sah mengikut undang-undang di negara masing-masing. Kesetiaan kepada kepimpinan terikat dengan perlembagaan negara dengan hak untuk menegur
kerajaan malah boleh ditukar kerajaan yang lebih baik dengan cara yang sah.

3. Baia'h untuk kerja Islam dalam suasana tiadanya Khalifah dan umat Islam berpecah kepada negara bangsa di mana wujudnya Jamaah-jamaah Islam samada politik mahupun kebajikan ataupun dakwah. Bezanya baiah ini ialah pelanggarannya tidak membawa kepada kekufuran, murtad mahupun mati jahiliyah. Jamaah ini tidak boleh mendakwa Imamah sehingga semua orang menerimanya sedangkan ia hanyalah satu Jamaah dari berbagai Jamaah Muslimin yang beroperasi di negaranya mahupun yang berselerak di seluruh dunia.

ابو عبد الله (الامام احمد) سئل عن حديث النبي :من مات و ليس له امام
الخ...ما معناه؟ قال تدري ما الامام؟ الامام الذي يجمع المسلمون عليه
كلهم يقول هذا امام( نقل من fatwa Islamweb.net 111159)

RUMUSAN BAIA'H

Jelaslah bahawa Baia'ah dengan Pas termasuk dalam kategori ke 3, iaitu
untuk kerja Islam dalam bidang Siyasah dan Dakwah dan pelanggarannya atas apa juga sebab tidak membawa kepada pembatalan syahadah atau mati Jahiliyah sebagaimana terpakai kepada Baia'h Syahadah atau Baia'h
Khalifah.

LAFAZ BAI'AH BERSUMPAH

Baia'ah pada asalnya ialah persetujuan taat setia dengan memenuhi hak
dari yang memberi dan yang menerima Baia'ah. Ia timbal balik antara keduanya dan bukanlah satu cek kosong. Lafaz Baia'h bagi calon Pas yang bertanding dalam pilihanraya mewajibkan bersumpah bahawa ia tidak
mengkhianati Parti. Jika berlaku pengkhianatan ancaman laknat akan
terkena pada yang mengangkat sumpah.

Mengkhususkan laknat Allah malaikah dan pelaknat memerlukan dalil khusus. Hanya Allah yang berhak melaknati seseorang atas perbuatan
tertentu dan bukan lafaz umum dalam sumpah taat setia. Yang khusus hanyalah untuk

1. Orang kafir Al Baqarah 161
2. Menyembunyikan kebenaran Al Baqarah 159
3. Penipu dalam Mubahalah Ali Imaran 61 dll (rujuk kertas Kefahaman
Erti Jamaah dari Hadis dan Isu Baiah oleh Dr Zaharudin Abdul Rahman)

PERSOALANNYA

Apakah makna mengkhianati? Bagaimana kalau ahli dikhianati dengan
fitnah dan pelabelan untuk menjatuhkan mereka apakah reaksi kepada ini
semua dianggap khianat?

Apakah khianat itu lari dari perjuangan Islam ataukah hanya pandangan berbeza yang diizinkan dalam Islam?

Pengkhianatan tidak boleh dipermudahkan untuk mewajarkan ancaman sumpah yang dibuat apatah lagi sumpah laknat.

Imam Abdul Qahir Ibn Tahir Al Asfarainiy (mngal 429 H) menyebut dalam kitab Al Farqu Baina Al Firaq dalam komentarnya tentang hadis berpecahnya umat Islam Muhammad kepada 73 golongan bahawa:

فصح تاءويل الحديث المروى في افتراق الامة ...الى هذا النوع من الاختلاف،
دون الانواع التي اختلفت فيها اءئمته الفقه من فروع الاحكام في ابواب
الحلال و الحرام و ليس فيما بينهم تكفير ولا تضليل فيما اختلفو فيه من
احكام الفروع
( ms 13, darul taufiqiyah lil turath 2010)

"Maka tepatlah hadith yg diriwayatkan dalam hal berpecahnya umat...bermaksud bentuk sebegini (keluar dari Islam) dan bukan jenis yang para pemuka fuqaha berbeza pandangan dalam soal furu' hukum hakam
dalam bab halal dan haram dan tidak ada dalam perbezaan ini hak untuk
mentakfirkan atau menyesatkan mereka dalam hukum hakam furu'"

Bagaimana pula sesetengah negeri bersumpah lafaz talak 3 isteri jika 'khianati' parti dan perjuangan parti?

1. sekali lagi istilah 'khianat' terlalu umum untuk dijadikan alasan kepada terkena sumpah yang dibuat.

2. Apakah hukum lafaz menceraikan isteri talak 3 jika mengkhianati?

Lafaz cerai talak 3 dalam sumpah yang diangkat dengan sebab 'khianat'
yang kurang jelas melanggar satu rukun penting kehidupan iaitu
berumahtangga. Allah menjadikan ianya sebagai tanda kebesaran Allah dalam surah al Rum. Ruang untuk cerai juga dilakukan dengan begitu berhati-hati supaya kerukunan rumah tangga terpelihara.

Memenuhi sesuatu yang melanggar perintah Allah adalah perbuatan sia-sia walaupun dengan tujuan yang baik. Di qiyaskan dengan hukum bernazar Nabi s.a.w bersabda dari Aisyah bahawa:

من نذر ان يطع الله فليطعه ومن نذر ان يعصيه فلا يعصيه (روا ه بخاري و غيره)

Seolah ianya perbuatan sia-sia sedangkan hukum lafaz baiah itu sudah cukup dengan mengatakan janji setia dengan kitabullah dan sunnah Nabinya tanpa perlu menambah lafaz ta'liq sumpah dalam baiah itu.


PELANGGARAN SUMPAH

Dalam Al Maidah 89 ada menyebut tentang Yamin atau Aiman yang diberi
ruang untuk menebusnya jika berlaku pelanggaran. Hukumnya ialah

1. Berikan makan untuk 10 miskin dari apa yang kita makan

2. Bebaskan hamba (tiada hari ini)

3. Puasa 3 hari

Dari sudut janji yang kita buat ia tetap dianggap satu dosa kerana melanggar janji dan kerana itu Kaffarah adalah untuk denda dan
selebihnya bertaubat dan istighfar atas pelanggaran janji. Namun Nabi bersabda ;

فقد روى الإمام مسلم في صحيحه من حديث أبي هريرة رضي الله عنه أن رسول
الله صلى الله عليه وسلم قال: " من حلف على يمين فرأى غيرها خيراً منها
فليأت الذي هو خير وليكفر عن يمينه"

'Barang siapa yang berjanji bersumpah sesuatu lalu ia melihat ada yang lebih baik dari janjinya yang diangkat maka datangilah yang lebih baik itu dan hendaklah ia membayar denda kaffarah'

PENUTUP

Diharapkan kertas ringkas ini boleh dijadikan bahan untuk perbincangan dalam menggarap persoalan baiah yang menghantui MP dan Adun PAS kerana telah berbuat janji dengan parti yang diwakilinya.

MUJAHID YUSOF RAWA

GHB Bukan Parti Serpihan PAS - Asmuni

Gerakan Harapan Baru (GHB) adalah satu parti baru dan bukan parti serpihan PAS yang ditubuhkan individu kecewa dengan kekalahan pemilihan parti PAS.

Penyelaras Sementara, GHB Perak, Asmuni Awi menegaskan GHB adalah satu parti politik baru yang diwujudkan untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan PAS dalam Pakatan Pembangkang dengan tujuan meneruskan agenda Pakatan sebelum ini.

Menurut beliau GHB mempunyai visi yang berlainan dan bertujuan untuk mewujudkan sebuah pakatan pembangkang yang baharu selepas PAS menamatkan hubungannya dengan DAP.

“Kita mempunyai visi kita tersendiri, di mana atas kegagalan Pakatan Rakyat (PR) ekoran kemelut DAP dan PAS, kita melihat perlunya parti politik Islam baharu untuk memenuhi salah satu kekosongan di dalam PR.

“Kalau nak cakap GHB merupakan ahli PAS yang kecewa itu tidak benar, saya merupakan pengerusi pemilihan PAS tetapi memilih untuk meninggalkan PAS. Saya ambil keputusan memilih GHB, ada juga beberapa ahli PAS berjawatan memilih GHB,” katanya ketika ditemui Peraknews pada Jumaat di Ipoh.

Tambah beliau, penubuhan GHB turut mengambil pandangan beberapa pihak termasuk parti politik lain yang bersependapat perlunya diwujdukan parti politik Islam baharu bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan PAS bagi meneruskan agenda Pakatan Rakyat sebelum ini.

Justeru itu, kata beliau dakwaan GHB hanya akan menjadi kuda tunggangan terbaru DAP dalam pentas politik negara adalah tidak berasas.

“Visi GHB adalah untuk ke pangkal perjuangan PAS iaitu menjadi sebuah parti insklusif dan parti yang boleh diterima masyrakat bukan Islam supaya kita dapat kembangkan dakwah Islamiah dan bukan berjauhan dengan mereka.

“Buat masa ini parti yang saya (PAS) sertai lebih 20 tahun lalu sudah jauh tersasar daripada perjuangan asal. Apa sekalipun tomahan yang dilemparkan kita tak kisah, kita hanya akan menfokuskan kepada visi yang ditetapkan,” ujarnya.

Asmuni yang juga merupakan bekas Bendahari PAS Pusat turut mempersoalkan tindakan beberapa kepimpinan PAS baru-baru ini yang tidak jemu menghentam parti GHB.

“Itu yang kita kesalkan sepatutnya selepas mereka berjaya menyingkirkan orang-orang yang mereka tidak kehendaki, sepatutnya mereka bergembira.

“Dahulu diistilahkan sebagai “Babi Hutan”, “Semak Samun” dan “Sekular” sudah tidak ada lagi di dalam PAS jadi apa yang mereka hendak bimbangkan? Biarkan kami teruskan agenda kami dan mereka boleh teruskan agenda mereka,” tegasnya.

Lakukan Sesuatu Jika Tidak PAS Bakal Kehilangan Sokongan Pengundi Melayu dan Cina Pada PRU 14.

1. Saya bukan lah nujum politik yang mampu membuat telahan tentang masa depan politik sesebuah parti apatah lagi membabitkan parti yang saya dukung iaitu parti PAS. Saya yakin sesuatu yang berkaitan masa depan ianya dalam Ilmu Allah. Cuma dalam politik pilihan raya kita boleh membuat analisa dan unjuran melalui "survey" dan cula undi. Inilah yang telah sebati dalam jentera gerakerja pilihan raya PAS sejak 13 kali menghadapi Pilihan Raya Umum dan berpuluh kali menghadapi Pilihan Raya Kecil.

2. Sejak berlarutan krisis dalam PR hingga kini boleh dikatakan banyak pihak menyatakan PAS akan menerima kesan kemerosotan pengundi bukan Islam dan bukan Melayu pada PRU 14 akan datang. Tidak perlu saya membariskan insiden-insiden yang telah berlaku membabitkan PAS dan rakan rakan PR yang mendorong menjadi penyumbang kepada kemerosotan undi tersebut.

3. Apa yang penting untuk dipersoalkan  ialah apakah langkah-langkah yang dilakukan oleh pimpinan PAS untuk memperbaiki keadaan dalam membendung kemerosotan undi bukan melayu khususnya pengundi cina pada PRU 14 akan datang. Sehingga sekarang saya masih belum nampak sesuatu telah dilakukan.  Malah apa yang saya lihat ialah beberapa tindakan dan kenyataan yang dibuat oleh Pimpinan PAS bakal mengundang kemerosotan sokongan pengundi Islam Melayu itu sendiri.

4. Respon PAS terhadap Gerakan Harapan Baru (HB) memperlihatkan kerisauan, kebimbangan dan ketakutan PAS terhadap kemunculan Gerakan tersebut. Kenyataan-kenyataan PAS yang mengecam Harapan Baru dan pimpinan Harapan Baru akan membuka ruang untuk ahli PAS memberikan respon yang baik terhadap Harapan Baru.  Ini akan menyebab berlakunya kemerosotan sokongan pengundi Melayu Islam khususnya dari kalangan pimpinan dan ahli PAS daripada pelbagai peringkat.

5. Kenyataan demi kenyataan dari kalangan pimpinan PAS yang disiarkan akhbar rasmi PAS iaitu Harakah yang menimbulkan isu kononnya ancaman yang merosakan PAS dari dalam adalah dari kalangan mereka yang pernah terlibat dengan IRC, JIM dan kini IKRAM akan menambahkan lagi kemerosotan sokongan undi Melayu Islam pada PAS. Kenyataan-kenyataan tersebut seperti mempersoalkan keikhlasan dari kalangan ahli-ahli PAS sendiri yang berlatar belakangkan fikrah IRC, JIM dan kini dinamakan IKRAM. Semua harus mengakui sedikit sebanyak kekuatan yang ada pada IKRAM yang mempunyai rangkaian di pelbagai peringkat akan menjejaskan kedudukan kekuatan PAS dari sudut politik pilihan raya. Mungkin dari sudut kekuatan PAS sebagai Gerakan Islam, PAS boleh rasa syok sendiri kerana tiada siapa lagi yang dianggap sebagai musuh dalam selimut PAS. Namun, dari sudut pilihan raya, PAS memerlukan sokongan dan undi daripada semua orang sama ada Islam atau pun bukan Islam.

6. Tindakan dan kenyataan sebegini sudah pasti akan mengguris dan melukakan pihak ahli-ahli IKRAM yang menyertai PAS mahupun yang mengundi PAS dalam setiap pilihan raya, kerana mereka telah digambarkan oleh PAS sebagai pengkhianat kepada Jemaah Islam PAS. Sikap yang ditunjukkan oleh PAS ini sudah pasti mengundang penarikan sokongan dan undi dari ahli-ahli dan pendokong IKRAM. Bukan saja IKRAM tetapi dia akan membabitkan padangan dari pihak kumpulan Islam yang lain juga akan merasai yang PAS tidak boleh menerima kelainan fikrah dari Jemaah yang bukan terhasil dari tarbiah PAS untuk bersama PAS.

7. Bayangkan, daripada senario yang saya berikan sepatutnya PAS perlu menumpu dan mengawal  pengundi terasnya iaitu Melayu Islam agar tidak kehilangan dan merosot sokongan pada PRU 14 nanti. Di samping berusaha memulihkan kepercayaan pengundi bukan Melayu Islam khususnya pengundi Cina. Tetapi apa yang berlaku kesan di sebalik setiap perkataan yang dihamburkan ialah ia seumpama cirit birit mulut yang perlu dicari ubat bagi segera menghentikannya.

8. Saya hanya melontarkan persoalan untuk direnungi oleh pimpinan dan ahli ahli PAS yang terlibat secara langsung dengan gerakerja pilihan raya. Jangan sekadar hanya menyatakan yang penting bukan hanya kemenangan tetapi keredhaan Allah yang dicari. Kalau begitu, tidak perlulah PAS menyertai pilihan raya yang hanya menghabiskan wang. Cukup sekadar dengan program dakwah dan tarbiah membangun ummah. Sedangkan, hakikatnya yang kita mahukan ialah politik kuasa yang redhai Allah.

9. Terserahlah pada pimpinan yang bijaksana untuk menerima atau menolak pandangan dan komentar saya ini. Sekadar pandangan 10 sen daripada saya yang tidak sebijak pimpinan yang ada kini.

Mohon maaf sejujurnya daripada saya untuk semua atas pandangan dan komentar ini.

Selamat Hari Raya 'Edilfitri.

DATO MAHFUZ OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena
25 Julai 2015

My Blog List

Blog Archive

Follow by Email

.