Home » » Menjawab kenyataan Wan Rohimi Mohon Penjelasan MSU dan Jawatankuasa Pusat

Menjawab kenyataan Wan Rohimi Mohon Penjelasan MSU dan Jawatankuasa Pusat


Oleh: Mohd Fitri Bin Asmuni

"
MAKA Muktamar Dewan Ulamak PAS kali ke-54 mencadangkan kepada Majlis Syura Ulamak dan Jawatankuasa PAS Pusat supaya hubungan kerjasama politik dengan DAP dibatalkan dan PAS terus kekal dalam Pakatan Rakyat" - Matan asal Usul Tergempar Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat kali ke-54.

Fakta:

1. Bahawa Usul Tergempar Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat ini adalah usul yang datang daripada Jawatankuasa Dewan Ulamak PAS Pusat (JK DUPP) sendiri yang dibentangkan oleh Ustaz Mokhtar Senik, bukannya daripada perwakilan ulamak kawasan;

2. Bahawa matan asal usul tergempar tersebut bukanlah meminta agar MSU dan JKPP membincangkan hubungan kerjasama politik PAS dgn DAP sebaliknya mencadangkan (baca mengusulkan) agar MSU dan JKPP membatalkan kerjasama politik dengan DAP;

3. Bahawa 8 daripada kesemua JK DUPP itu merupakan Ahli Majlis Syura Ulamak (MSU) yang mana Mursyidul Am adalah salah seorang daripadanya;

4. Bahawa ketika usul tersebut datang daripada JK DUPP sendiri, sudah tentu ia mendapat persetujuan daripada seluruh JK DUPP termasuk Mursyidul Am sendiri;

5. Bahawa usul tergempar tersebut telah diterima tanpa bahas;

6. Bahawa usul tersebut setelah dibawa ke Jawatankuasa Usul dan atas arahan Presiden PAS, usul tersebut (dengan pindaan) telah diputuskan untuk diterima tanpa bahas di dalam Muktamar PAS Pusat walaupun dibantah oleh perwakilan daripada Rembau dan Kota Raja.

7. Akhirnya ia menjadi Usul yang diterima tanpa bahas di dalam Muktamar PAS Pusat kali ke-61;

Sebagaimana yang dilaporkan oleh akhbar Sinar Harian bertarikh 9 Jun 2015, Asmuni Awi yang merupakan bekas Bendahari PAS Pusat menegaskan bahawa usul tersebut tidak boleh ditarik balik pada bila-bila masa dan perlu dilaksanakan serta-merta. Beliau bagaimanapun menjelaskan bahawa PAS perlu mengadakan Muktamar semula jika mahu menolak usul tersebut.

Walaubagaimanapun semalam, Wan Rohimi Wan Daud sementara menyatakan bahawa PAS adalah sebuah parti yang unik, turut menegaskan bahawa persoalan hubungan Tahaluf Siyasi PAS dengan DAP adalah melibatkan soal hukum. Justeru katanya persoalan tersebut hendaklah diputuskan oleh MSU selaku pakar yang faqeh dalam soal-soal hukum yang berkaitan.

Di dalam artikelnya itu (http://www.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/35870-usul-tahaluf-fahami-organisasi-perlembagaan-pas), sungguhpun Wan Rohimi pada mulanya bersetuju bahawa lenggok bahasa usul yang digunakan oleh DUPP dan yang dipinda oleh Muktamar Pusat itu telah menggesa, mendesak dan/atau menuntut JKPP dan MSU supaya memutuskan kerjasama politik dengan DAP, beliau bagaimanapun menegaskan bahawa usul berkenaan pada hakikatnya mendesak agar JKPP dan MSU supaya menyemak semula dan/atau menilai kembali kerjasama politik dengan DAP. 

Sebagai respon kepada artikel Wan Rohimi tersebut, di sini saya kemukakan beberapa persoalan untuk dijawab oleh beliau:

1. Di mana di dalam usul tersebut perkataan yang menunjukkan atau yang boleh ditafsirkan dan/atau disifatkan sebagai mendesak agar JKPP dan MSU menyemak semula dan/atau menilai kembali kerjasama politik PAS dgn DAP?;

2. Mengikut Wan Rohimi, Tahaluf Siyasi melibatkan soal hukum dan oleh itu mesti diputuskan oleh MSU. Soalan saya, adakah 9 alasan yang dikemukakan di dalam usul JK DUPP tersebut masih belum dianggap sebagai pertimbangan terhadap hukum?;

3. Dalam pengetahuan saya, terdapat sembilan orang ahli MSU dalam JK DUPP tersebut yang merupakan "hardcore" MSU iaitu Mursyidul Am, Timbalan Mursyidul Am, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man, Dato' Dr Mahfodz, Dato' Nik Zawawi, YB Ust Idris Ahmad, YB Ust Nasrudin Hassan dan Dato' Khairuddin Aman Razali. Adakah sembilan ahli MSU ini tidak mempertimbangkan keputusan membatalkan hubungan dengan DAP itu berdasarkan kepada hukum?

4. Mungkin Wan Rohimi akan mengatakan bahawa sembilan orang itu tidak mewakili MSU tetapi JK DUPP. Akan tetapi, apabila isu tersebut dibincangkan oleh MSU nanti, bukankah keputusan sembilan orang tersebut yang sebelum itu telah turut sama bersetuju dengan usul DUPP tersebut nanti akan menjadi keputusan majoriti MSU memandangkan keahlian MSU adalah tidak melebihi daripada tujuh belas orang?;

5. Wan Rohimi menegaskan bahawa keputusan berkaitan tahaluf siyasi terletak di bawah kuasa MSU dan JKPP. Soalan saya, setuju kalau saya katakan bahawa usul tersebut tidak sepatutnya dibangkitkan awal-awal lagi oleh DUPP kerana hak berkaitan perkara tersebut terletak di bawah kuasa MSU?;

6. Setuju dengan saya bahawa sembilan orang ahli MSU yang menjadi JK DUPP tersebut sepatutnya menolak usul tersebut diangkat menjadi usul DUPP untuk dibahaskan di Muktamar kerana DUPP atau perwakilan tiada kuasa untuk memutuskannya di dalam Muktamar?;

7. Kalau anda bersetuju dengan soalan di atas, setuju dengan saya bahawa kesilapan perlu diletakkan kepada sembilan orang ahli MSU yang menjadi JK DUPP tersebut kerana bersetuju dan membiarkan usul tersebut diterima?;

8. Atau, setuju dengan saya bahawa DUPP telah membuat kesilapan apabila mengusulkan sesuatu yang berada di bawah kuasa MSU untuk memutuskannya?;

9. Sewaktu usul tersebut diputuskan untuk diterima tanpa bahas di peringkat Pusat, setuju bahawa Presiden dan Mursyidul Am perlu mengarahkan agar usul tersebut ditolak dan tidak di bawa ke dalam Muktamar Pusat?;

10. Hakikatnya, usul tersebut telahpun diluluskan dan diisytiharkan oleh Muktamar sebagai USUL. Soalan saya, kalau ia ingin disemak dan/atau dinilai semula oleh MSU, apakah status usul yang telah direkodkan di dalam minit Muktamar DUPP dan Muktamar Pusat sebagai USUL tersebut? Ia bukan USUL atau USUL tersebut dibatalkan?;

11. Kalau ia bukan usul, habis apa?;

12. Kalau ia adalah usul tetapi dibatalkan, bolehkah usul dibatalkan begitu saja?;

13. Siapa yang berhak membatalkan usul setelah ia diluluskan di dalam Muktamar? MSU atau JKPP atau Muktamar?;

14. Di mana peruntukan di dalam Perlembagaan PAS yang memberi kuasa kepada badan yang berhak membatalkan sesuatu usul yang telah diluluskan oleh Muktamar?;

15. Kalau tiada siapa boleh membatalkan usul, setuju atau tidak bahawa usul tersebut berkuat kuasa serta merta dan perlu dilaksanakan?;

16. Atau sekiranya usul tersebut ingin dibatalkan dan/atau ditolak, setuju atau tidak bahawa Muktamar baru perlu diadakan bagi membatalkan usul tersebut?

Untuk mengelakkan kekeliruan, saya mohon penjelasan lanjut daripada saudara Wan Rohimi Wan Daud.


* Penulis adalah seorang Peguam dan bekas Timbalan Pengarah Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia Pemuda PAS Perak.

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

.