Oleh Mohamad Bin Sabu
1. Perkembangan mutakhir negara sangat meresahkan. Kenaikan harga barang akibat cukai GST serta kejatuhan nilai ringgit terus menekan dan menghimpit kehidupan rakyat.
Pada
masa yang sama kedudukan ekonomi dunia yang tidak menentu, ketepuan
daya-saing negara serta ramalan harga minyak mentah yang terus menjunam
bakal mengancam penarafan negara sekaligus menjadikan Malaysia tidak
berdaya-saing sebagai destinasi pelaburan.
Skandal
penyelewengan urusniaga serta hutang 1-MDB dan terkini pembabitan
Perdana Menteri dengan 'embezzlement' atau 'salahguna dana awam'
berbilion ringgit meletakkan Malaysia menghampiri kedudukan liga
"Negara Gagal" atau 'A Failed State'.
2. UMNO dan Barisan
Nasional sudah tidak lagi berupaya memimpin dan menjamin kesejahteraan
rakyat dalam negara ini. Gelombang kebangkitan rakyat menuntut
perubahan semakin memuncak.
Tuntutan perubahan ini merentasi
semua kaum, jantina, bandar dan luar bandar, golongan miskin dan
sederhana, muda dan tua, yang berkerja mahu pun mahasiswa. Anak-anak
muda semakin lantang dan menonjol lantas bangkit mewakili suara
hati-nurani rakyat. Negara sangat mendambakan perubahan untuk
mempastikan masa depan rakyat yang lebih terjamin, makmur, sejahtera
dan aman.
3. Kehadiran Pakatan Rakyat sejak dua penggal parlimen yang lalu telah merubah suasana politik tanahair.
Pakatan Rakyat telah menampilkan suasana perimbangan kuasa dan prinsip
semak-imbang yang berkesan dalam tata-order politik negara. Sekaligus
saingan Pakatan Rakyat telah menamatkan monopoli kuasa hegemoni Umno-BN
serta mengembalikan keadilan dan membela rakyat.
Ini menyelamatkan negara dari segala kerosakan, kebobrokan dan penyelewengan amanah penguasa politik Barisan Nasional.
4. Kini Pakatan Rakyat tidak lagi dapat berfungsi seperti dahulu.
Sangat malang bahawa dalam susunan kini, hanya kerjasama longgar dalam
pentadbiran negeri Selangor dan Pulau Pinang dapat dilakukan. Kedudukan
ini telah menjejaskan agenda memimpin gerakan kebangkitan rakyat untuk
terus melakarkan perubahan besar dalam negara.
5. Hari ini,
kami ingin mengumumkan penubuhan satu entiti dan wadah yang kami
namakan sebagai Gerakan Harapan Baru atau singkatannya HARAPAN BARU
yang bertujuan untuk menggerakkan semula kerjasama parti-parti politik,
NGO dan rakyat. HARAPAN BARU akan mengasaskan satu penubuhan parti
politik baru yang berteraskan Islam bagi mencapai matlamat tersebut.
6. HARAPAN BARU akan mendukungi Islam yang syumul dengan pendekatan
yang Inklusif, progresif dan peduli kepada rakyat. Kami komited untuk
membawa tawaran Islam yang sebenar-benarnya "Rahmat untuk Semua" dalam
memberi pembelaan dan keadilan kepada seluruh rakyat Malaysia. Kami
mendokong nilai-nilai demokratik (musyawwarah-rundingan) dalam sebuah
negara demokrasi yang subur dan berfungsi serta menghormati kedudukan
semua kaum, agama dan budaya, dalam sebuah politik yang mengiktiraf
kewujudan kemajmukan dan kepelbagaian (Politik Li Ta'arafu) dalam
kerangka Perlembagaan Persekutuan.
7. Politik Islam yang
kami bawa akan memberi penekanan dalam soal akhlak, moraliti dan amanah
dalam tadbir-urus pemerintahan serta interaksi dengan semua pihak.
Disamping menekankan pegangan akidah yang teguh, kami juga mendukungi
keluasan syariat Islam dan Maqasid Syariah(Tujuan-Matlamat Syariat
Islam). Islam yang diperjuangkan bukannya di dalam bentuk slogan, emosi
dan sentimen tetapi sebagai satu tawaran "Rahmat dan Keadilan" yang
memberi kesejahteraan untuk rakyat dan menjamin kemakmuran negara.
8. HARAPAN BARU akan tampil bertemu rakyat dari Perlis hingga ke Sabah
bermula pada akhir bulan Julai hingga akhir Ogos untuk berinteraksi
dengan rakyat dan menjelaskan tawaran yang disediakan. Kami mengajak
seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama dengan gerakan ini bagi
pembentukan semula kerjasama dan muafakat politik sebagai penerusan
legasi perjuangan pemimpin terdahulu seperti Al-Marhum Tuan Guru Yusof
Rawa, Al-Marhum Ust Fadhil Mohd Noor dan Al-Marhum Tok Guru Nik Abdul
Aziz Nik Mat untuk menjayakan usaha penubuhan Pakatan Rakyat 2.0.
Sekian. Wassalam.
Mohamad Bin Sabu
Pengerusi
GERAKAN HARAPAN BARU
Gojek: Inikah janji 1 juta peluang pekerjaan?
-
*KEBELAKANGAN* ini, timbul isu hangat berkenaan gojek selepas cadangan yang
dikemukakan oleh Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq untuk
memperkenalkannya ...
5 years ago
0 comments:
Post a Comment