Oleh Mohd Sayuti Omar
Ibarat dalam sebuah negeri apabila orang menjadi raja sudah tidak
boleh diharap mentadbir dan menguruskan tanah jajahan dengan baik, sama
ada kerana sakit atau "lus skru", maka harus ada satu puak ataupun
seseorang dalam kalangan mereka yang cerdik dan bijak akal untuk menjadi
penasihat bagi menyelamatkan keadaan negeri.
Mereka harus ditampilkan sebagai pemangku bagi mentadbirkan negeri.
Seperti mana dikisahkan dalam riwayat Singapura di langgar todak, ketika
itu wujud seorang budak bernama Hang Nadim yang bijak akal mengatasi
masalah todak yang mengganas. Raja atau sultan sendiri ketika itu sudah
tidak tahu apa hendak dilakukan lagi, biul kerana ramai penduduk negeri
itu mati kerana ditikam todak.
Saat raja sudah hilang akal dan ilmu itulah Hang
Nadim muncul menyelamatkan keadaan. Menjadi super hero. Dengan kelebihan
akalnya dengan mudah serangan todak itu dipatahkan apabila beliau
mengarahkan penduduk menjadikan batang pisang sebagai perisai.
Malangnya kehadiran Hang Nadim itu tidak dihargai oleh sultan. Sebaik
Hang Nadim berjaya menewaskan todak dia dihukum bunuh. Alasan sultan
ialah bimbang budak yang cerdik itu akan menguasai negeri dan mengambil
alih tempatnya. Pemikiran demikian tidak patut diwarisi kerana ia
merugikan.
Malang dan sedihnya tidak ada siapa yang mempersoalkan tindakan sultan
pada masa itu melainkan setelah ianya terkambus dek sejarah. Mungkin
rakyat Singapura semuanya taksub dan wala' bengung kepada raja itu
sehinggakan semuanya terminum air kencing pandir.
Begitu juga dalam riwayat dan sejarah Melaka, tindakan raja yang tanpa
usul periksa dan dibuat atas pendapat yang naif akhirnya menyesalkan
dirinya. Sultan Melaka telah mengarah bendahara membunuh Hang Tuah
kerana panglima itu difitnah melakukan kesalahan. Tetapi kerana
kebijaksanaan bendahara, Hang Tuan tidak dibunuh sebaliknya
disembunyikan di hulu Melaka.
Hinggalah sultan menyesal perbuatannya lalu, beliau teringat kepada Hang
Tuah tatkala Hang Jebat mengamuk menuntut bela atas pembunuhan
saudaranya yang tidak berdosa itu. Saat inilah bendahara yang bijaksana
dan kasyaf itu membawa balik Hang Tuah untuk berdepan dengan Hang Jebat.
Bayangkan apa jadi kalau tidak ada bendahara yang bijaksana itu, tentu
Melaka jadi huru hara dan sultan itu sendiri hilang riwayat. Demikian
juga dengan kecerdikan Hang Nadim yang melawan todak itu. Kalau bukan
kerana kecerdikannya itu mungkin sultan juga disodong todak.
Cukup mengambil dua sejarah separuh dodengan itu untuk dipadankan dengan
apa yang berlaku dalam negeri bernama Pas waktu ini. Keadaan Pas hari
ini kucar kacir dan mulai hilang rasa hormat dan sanjungan orang ramai.
Semuanya ialah seperti apa berlaku di Singapura dan Melaka tadi kerana
keadaan raja atau sultan yang tidak bijaksana dan sombong, degil dan
enggan mendengar kata.
Ada orang mengatakan keributan dalam Pas kini disebabkan agenda musuh.
Saya kurang bersetuju kerana sudah menjadi harapan musuh untuk
memecahkan Pas dengan apa cara sekali pun termasuk memberi cenuai dan
wang kepada orang Pas sendiri.
Kalau kita sudah tahu dengan kerja musuh untuk merusakkan Pas, kenapa
kita tidak bertindak membendung kejadian itu. Apabila sudah tahu dan
ahli tidak dapat dikawal maka kesalahan itu bukan lagi kepada musuh
tetapi kepada diri sendiri. Kenapa hendak disalahkan kepada ibu yang
mengandung?
Maka itu Pas kini memerlukan budak cerdik atau orang seperti Hang Nadim
ataupun bendahara Melaka itu untuk menyelamatkan Pas. Mereka harus
muncul dengan segera tidak kira datang dari gunung atau pun lembah.
Sekiranya keadaan dalam Pas kini dibiarkan nescaya Pas akan menjadi caca
merba dan sebuah parti yang tidak disanjung hormat lagi. Negeri Pas
juga akan jadi padang jarak pandang terkukur.
Ada beberapa nama yang saya lihat berpotensi untuk menjadi Hang Nadim
atau bertindak sebagai bendahara Melaka dalam Pas. Tiga nama ini sangat
sesuai apabila integriti mereka masih boleh dipercayai. Ianya dinilai
dari sudut sikap dan cara mereka berpolitik yang cukup sedarhana dan
tawaduk. Mereka ialah ketiga-tiga naib presiden Pas yang kalau dalam
hierarki di Istana mereka adalah panglima; Tuan Ibrahim Tuan Man, Salahudin Ayub dan Husam Musa. Inilah tiga budak cerdik dalam Pas pada waktu ini.
Cuba perhatikan mengenai sikap mereka dalam Pas, tenang dan sangat
berjimat cermat dalam membuat kenyataan. Mereka tidak gelojoh, jauh
sekali menunjuk hebatnya. Tuan Ibrahim dari kenyataanya menggambarkan
dia seorang pendamai. Dia tidak suka kepada cara sesetengah ahli Pas
yang bergasak sama sendiri yang merugikan Pas. Dalam penilaian saya dua
atau tiga kali dia menyeru agar berbaik dan tidak membuka pintu kepada
musuh.
Demikian juga dengan Salahudin Ayub. Dia lebih mengambil sikap
mendiamkan diri dari bercakap. Salahudin mengelakkan diri terlibat atau
pun terperosok dalam mana-mana kumpulan yang nampak agresif sehingga
nampak kebundakannya. Salahudin juga menyesali apa yang berlaku tetapi
tidak ada upaya untuk mengatasinya. Beliau seakan kecewa mengenang nasib
Pas kini dan membimbangi masa depan.
Begitu juga dengan Husam Musa. Selepas diasingkan dari mainstream
politik Pas Kelantan, Husam banyak bersendirian mengerjakan amal
kebajikan. Dia seakan tidak pedulikan kepada apa yang berlaku dalam
parti kerana menyedari power yang ada. Walaupun beliau diharap mencabar
Abdul Hadi Awnag tetapi saya tidak fikir Husam akan tergamak berbuat
demikian. Husam juga sama seperti Salaudin dan Tuan Ibrahim bimbang
dengan apa yang berlaku kini. Beliau akan meletakkan keselamatan parti
lebih dari segala-galanya.
Bila saya menyebut tiga orang naib presiden ini, bukan bermakna mereka
yang lain tidak cerdik. Cerdik atau menjadi sebutan saya kerana dengan
kedudukan mereka sebagai pemimpin takah ketiga itu dapat mengawal diri.
Mereka tidak excited untuk melonjak naik sebaliknya mengintai peluang dengan baik.
Sikap seperti inilah yang kita mahu dan dicontohi kerana mempunyai nilai
kepimpinan. Mereka meletakan masalah kemaslahatan parti lebih penting
daripada maslahat puak dan kumpulan. Mereka juga tidak membentuk apa-apa
kumpulan untuk dilihat bagaikan kumpula rebana tertentu untuk berlawan
dengan kumpulan rebana yang lain. Mereka sedar bertanding rebana tidak
banyak laba kecuali dapat mendengar talun dan badan berpeluh balik rumah
kalau kalah isteri marah.
Sehubungan itu saya yakin kalau mereka bertiga ini berkongsi idea dan
tenaga mereka boleh muncul menjadi Hang Nadim dan bendahara Melaka dalam
Pas menyelamatkan parti itu dari karam. Mungkin untuk bersendirian
sukar, tetapi kalau menggunakan kedudukan mereka selaku naib presiden ia
ada kekuatan dan suara mereka didengar.
Apa yang perlu mereka lakukan ialah menyeru agar ahli Pas di semua
peringkat tidak ghairah untuk berlawan. Selain itu mereka bertiga juga
harus "merantau" mencari penawar untuk mengubati tuan presiden yang
kelihatan sakit sehinggakan tidak dapat berkhidmat dengan mampan lagi
kini. Dan sebaik-baik tindakan mereka yang boleh mendatangkan keisanfan
kepada orang lain mereka bertiga jangan bertanding apa-apa jawatan dalam
muktamar Jun hadapan sebagai komrpromi dan memberi laluan kepada yang
lain yang berhajat.
Kalau mereka mengambil sikap demikian, sudah pasti orang yang ghairah
untuk bertanding dengan apa jua alasan akan turut tergencat dan
mudah-mudahan mereka akan ikut sama tidak bertanding dan dengan itu
kemelut berebut jawatan dalam Pas kini boleh diatasi. Apakah mereka
berani dan menerima pandangan ini sebagai bijaksana?
Gojek: Inikah janji 1 juta peluang pekerjaan?
-
*KEBELAKANGAN* ini, timbul isu hangat berkenaan gojek selepas cadangan yang
dikemukakan oleh Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq untuk
memperkenalkannya ...
5 years ago
0 comments:
Post a Comment