Oleh Dr Dzulkefly Ahmad
“PAS mengundang kegagalannya sekali lagi?”, penulis berkongsi pengamatannya dengan judul
"Siapakah akan selamatkan PAS?”
Sebagai sebuah gerakan Islam yang memilih jalan “Muwajahah Silmiyah”
atau “persaingan aman” secara demokrasi, PAS sangat berhajatkan
kemenangan.
Benar seperti ada yang cuba mendakwa “kemenangan bukan segala-galanya”.
Namun, tidak siapa pun dapat menyangkal “segala-galanya menantikan
kemenangan untuk PAS mampu melaksana cita-cita murni perjuangannya”.
Justeru, PAS sentiasa menghitung sokongan dan prestasinya dalam setiap
pilihan raya. Keputusan dalam pilihan raya ditanggapi sebagai kayu ukur
menilai penerimaan dakwahnya dan tawaran dasar-dasar siasah atau
politiknya. Kemenangan mengizinkan PAS menggapai visi pembangunannya
untuk rakyat dan negara.
Ruang amal bukan sahaja terhad kepada mereka yang bergelar Yang
Berhormat, exco atau menteri besar bahkan kepada semua pimpinan
akar-umbi dalam pengelolaan PBT, JKKK, masjid dan surau.
Begitulah “habuan” kemenangan buat mereka yang benar-benar menghayati
perjuangan ini serta sentiasa berlumba-lumba mencari reda Allah.
Dalam penulisan lalu, ditegaskan, andainya kepimpinan gagal memastikan
PAS terus dikemudikan dengan baik dan bijak, maka PAS bakal kembali ke
tahap prestasi lamanya, pada paras atau “baseline” Pilihan Raya Umum
(PRU) ke-11 (2004). Ia tidak perlu diulang kembali.
Sayugia diakui dinamik luaran dan dalaman parti kini sangat berbeza dan
lebih kompleks. Ia tidak semudah untuk diurus dan ditangani. Kini wujud
pola-pola permasalahan yang mencabar kesinambungan pencapaian parti.
Kepimpinan parti yang tidak punyai kebijaksanaan dan keterampilan
pengurusan strategik bakal mengundang pelbagai polemik dan konflik sama
ada dalaman partinya sendiri mahupun bersama rakan koalisinya.
Kepimpinan akar umbi yang tidak mengikuti kemajuan dan peredaran parti juga akan menyukarkan kepimpinan tertinggi.
Maka, apakah yang sedang mengancam PAS dan bakal menghampakan cita-cita
yang disasarkan dalam perjuangannya dalam jangka waktu terdekat ini?
Penulis mengenal pasti 5 cabaran sekali gus ancaman utama buat PAS.
PAS mesti diselamatkan dan menyelamatkan partinya dari terjebak dalam kancah kemusnahan dan keberantakan ini.
Pertama: Selamatkan PAS daripada penularan fitnah dan
perseteruan sehingga ia menjadi konflik dalam saf di semua peringkat
kepimpinan sehingga tempiasnya terpercik ke ahli akar umbi. Ingat
pesanan Rasulullah SAW., ”Akan menimpa ke atas kamu penyakit yang
memusnahkan kaum terdahulu kamu..hasad dan perseteruan”. Lisan Nabi
jangan mudah-mudah disangkal bahkan seharusnya diambil waspada dan
ingatan.
Kedua: Selamatkan PAS daripada menjadikan institusi
kepimpinan ulama sebagai sumber permasalahan parti dan polemik tidak
berkesudahan sehingga ia dilihat menjadi liabiliti kepada PAS. Umum
bersedia menyanjung kepimpinan ulama PAS apabila terserlah kebolehan
Ilmu, kebijaksanaan dan penghujahan mereka.
Umat mahukan golongan Ulama memimpin dan membimbing dengan Syariat
Islam yang mendamaikan dan menyejahterakan rakyat dan negara. Tegasnya,
institusi kepimpinan ulama PAS mesti segera dikembalikan peranan dan
autoriti sebenarnya, seperti termaktub dalam peruntukan perlembagaan
parti.
Ketiga: Selamatkan PAS dari mengalami fenomena
penghakisan sokongan undi baru ‘non-tradisi’ dari kalangan orang
Melayu-Islam di bandar-bandar dan pinggir Bandar, serta bukan-Melayu
(Cina dan India khususnya) di seluruh pelosok negara, khasnya Pantai
Barat apabila PAS ditanggapi gagal dan berdolak-dalik memperjuangkan
komitmen “Keadilan Untuk Semua” dan “PAS Untuk Semua”.
Pimpinan juga diingatkan supaya cermat, tabah serta bijak mengurus
penerangan dan pencerahan isu-isu kompleks seperti enakmen hudud secara
khusus dan Syariat secara menyeluruh, kepada pelbagai pihak. Pemimpin
wajar dan wajib menghitung kesan dan impak baik-buruk
(maslahah-mafsadah)kepada segala kata-kata dan polisi-perbuatan mereka
supaya tidak memudaratkan perjuangan (Ma’alat Al-‘Af’al pecahan dari
Maqasid Syari’ah…akan dihuraikan dalam penulisan akan datang).
Keempat: Selamatkan PAS dari segala tipu-daya dan
pelbagai makar jahat Umno-BN untuk memecahkan keutuhan dalaman PAS dan
memporak-perandakan serta melaga-lagakan komponen parti-parti Pakatan
Rakyat.
Seteru tradisinya mahukan PAS bertindak keras dan ‘ekstreme’ yang
akhirnya akan menjadikan PAS tersudut kembali di negeri-negeri
‘Malay-Belt’ di Utara dan Pantai Timur.
Kelima: Selamatkan PAS daripada terhindar mendapatkan
maslahah dan manfaat pendekatan "At-Tahaaluf As-Siayasi" sebagai satu
pendekatan siasah yang bijak diamalkan oleh Rasulullah SAW dengan tidak
pula perlu PAS mengorbankan prinsip-prinsip perjuangannya. Meskipun ada
pemimpin yang bersedia untuk PAS berjuang bersendirian, pengikut gusar
akan akibat melakukan sedemikian.
Demografi serta kependudukan negara ini memerlukan PAS bertahaaluf dan
bijak meneruskan politik koalisi Pakatan Rakyat, bagi meningkatkan
pencapaian visi perjuangan politik dan dakwahnya.
Umum sedang menyaksikan PAS terperangkap dalam suasana "ghairah"
perebutan kuasa dan jawatan dalam parti oleh dua kelompok, sehingga
membelakangkan perhitungan besar kemaslahatan kesinambungan perjuangan
parti, lantas menempah dan mengundang kemusnahan parti ini sendiri.
Tidak ada petanda konflik dan sengketa ini akan reda.
Malang dan anehnya, yang ketara adalah kurangnya perbahasan di segi;
Apa yang mahu diperjuangkan setiap calon-kelompok yang bersaing dan
mengapa kelompok mereka wajar disokong dan dimandatkan perwakilan?
Bagaimanakah mereka mampu memajukan parti seterusnya ?
Dengan ketiadaan wacana dan perbahasan itu, maka pertandingan ini
semakin menyerlahkan corak “zero-sum game”nya, yang sangat memusnah
atau”destruktive”. Jangan salah umum andainya mereka mempersepsi perang
besar ini sebagai dipacu faktor-faktor yang lebih bersifat “parochial,
historical and emotional”.
Sudah sampai waktunya supaya kedua-dua pihak mengalih pertembungan ini
secara lebih konstruktif dan positif serta lebih matang dan Islamik
lagi. PAS sememang diakui adalah antara contoh model politik Islam yang
diiktiraf gerakan Islam seantero dunia Islam sehingga kini.
Justeru, adalah cantik kiranya pendekatan yang lebih bercirikan
“constructive engagement” ditampilkan PAS dalam pemilihan parti Islam
ini.
Umum dan khususnya perwakilan kini mahukan mereka membentangkan tawaran
manifesto dan unjuran “road-map” calon-kelompok masing-masingnya bagi
meyakinkan relevansi dan kepentingan peranan mereka. Sekali gus komitmen
penyelesaian mereka untuk mengangkat citra serta prestasi perjuangan
ini, yang diakui "tercalar" di ambang Muktamar ke-61 ini .
Mampukah PAS selamatkan dan kekalkan kedudukan “centre-stage” peranan “political Islam” ini di persada politik nasional?
Gojek: Inikah janji 1 juta peluang pekerjaan?
-
*KEBELAKANGAN* ini, timbul isu hangat berkenaan gojek selepas cadangan yang
dikemukakan oleh Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq untuk
memperkenalkannya ...
5 years ago
0 comments:
Post a Comment