Home » » Husam, Ahmad Awang layak cabar Hadi sebagai presiden PAS

Husam, Ahmad Awang layak cabar Hadi sebagai presiden PAS

OLEH DIYANA IBRAHIM 

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS Pusat Asmuni Awi mengumumkan Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa dan bekas ahli majlis syura ulama Ahmad Awang layak bertanding mencabar Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi jawatan presiden.

Asmuni berkata, bagi jawatan presiden untuk Muktamar Tahunan PAS pada Jun depan, walaupun 4 pencalonan diterima, hanya Hadi, Husam dan Ahmad layak untuk bertanding.

Katanya, Husam turut layak untuk bertanding jawatan timbalan presiden dan naib presiden.


"Tarikh semua calon yang layak untuk mengesahkan sama ada mereka menerima pencalonan atau tidak ialah pada 19 Mei dan akan diumumkan pada 20 Mei," kata Asmuni pada sidang media di Ibu Pejabat PAS di Kuala Lumpur hari ini. Selain Husam, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu juga layak mengekalkan kedudukannya selain menerima pencalonan baharu bagi jawatan naib presiden.

"Bagi jawatan timbalan presiden, 5 pencalonan yang diserahkan dan 4 yang layak iaitu, selain Mat Sabu dan Husam, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Mohd Amar Abdullah,” kata Asmuni.

Manakala, bagi jawatan naib presiden, Asmuni berkata, daripada 17 pencalonan, 12 yang layak termasuk penyandang sedia ada - Husam, Salahuddin Ayub dan Tuan Ibrahim.

"Yang layak bertanding sebagai calon selain penyandang ialah Amar, Mat Sabu, Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Mahfuz Omar dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Idris Ahmad, Nasrudin Hassan, Dr Dzulkefly Ahmad dan Datuk Dr Mujahid Yusof.

"Selain itu ialah Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad dan Pesuruhjaya PAS Wilayah Mohammad Noor Mohamad," katanya.

Jawatan ketua pemuda menyaksikan 5 pencalonan. Selain penyandang Suhaizan Kaiat, calon lain ialah Timbalan Ketua Pemuda Mohd Khalil Abdul Hadi, yang juga anak presiden PAS dan Ahli Parlimen Pasir Mas Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz, anak bekas mursyidul am PAS.

Turut dicalonkan ialah Ketua Pemuda PAS Perak Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaakob dan Ketua Pemuda PAS Kelantan Ahmad Fadli Shaari.

Sementara itu, ditanya mengenai cadangan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Mohammed Hanipa Maidin untuk mengadakan debat terbuka bagi jawatan presiden dan timbalan, Asmuni berkata, jawatankuasa pemilihan tiada halangan mengenainya.

Katanya, debat tersebut tidak menyalahi peraturan dan boleh dibuat bukan sahaja untuk jawatan presiden dan timbalan, bahkan semua jawatan yang dipertandingkan.

Bagaimanapun, beliau memberitahu The Malaysian Insider, jawatankuasa itu sendiri tidak akan menganjurkannya.

"Tidak ada halangan untuk debat apa sahaja jawatan, presiden, timbalan, bahkan bagi pemeriksa kira-kira pun boleh diadakan debat.

"Tapi, kita tidak sesekali menganjurkan debat itu. Pendirian kita, biar pihak lain, namun bukan kita."
Hanifa berkata sebelum ini, melalui debat, perwakilan yang mengundi boleh menilai keupayaan setiap calon termasuk kemampuan mereka menguasai dengan baik isu negara dan antarabangsa serta keupayaan mereka meyakinkan rakyat pelbagai agama dan kaum di negara ini untuk menerima parti Islam itu bersama Pakatan Rakyat.

-.themalaysianinsider.com/

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

.