Home » » 'Pemilihan PAS boleh beri kesan pada Umno'

'Pemilihan PAS boleh beri kesan pada Umno'

Oleh Zikri Kamarulzaman

Seorang bekas ahli Majlis Tertinggi Umno mengingatkan tentang kemungkinan bahawa keputusan p
emilihan pucuk pimpinan PAS bulan depan - jika dikuasai kelompok aliran keras - akan memberi kesan kurang baik terhadap cabang politik Umno.

Datuk Saifuddin Abdullah mengingatkan bahawa Umno boleh menjadi lebih berhaluan kanan jika kelompok tersebut menguasai keputusan pemilihan di muktamar PAS Jun ini.

"(Jika kelompok itu menang) mungkin boleh mendorong Umno, secara tidak langsung, turut cenderung ke kanan," kata Saifuddin dalam wawasancara dengan Malaysiakini Khamis lalu.

Beberapa pemimpin aliran sederhana PAS yang pro-Pakatan, termasuk bekas menteri besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, sudahpun ditewaskan calon ulama dalam pemilihan di peringkat kawasan.

Para penganalisis memberitahu Malaysiakini bahawa kelompok pro-Pakatan itu mungkin terus menerima tamparan hebat dalam muktamar itu nanti.

Sementara itu, Umno pula semakin menjurus ke haluan kanan selepas BN kekurangan majoriti selepas pilihan raya umum ke-13.

Parti itu berjaya mendesak presidennya yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak untuk membuat pusingan-U berkaitan janjinya untuk memansuhkan Akta Hasutan - yang kemudiannya telah dipinda di Parlimen, menjadikannya lebih ketat.

Manakala Umno Kelantan pula mengundi menyokong rang undang-undang hudud PAS, dan yang terbaru, beberapa ahlinya dari Petaling Jaya membantah sebuah gereja meletakkan salib di premisnya.

Selain menjurus ke arah politik berhaluan kanan, Saifuddin berkata, kemenangan kelompok aliran keras dalam PAS, atau malah dalam Umno atau PKR, juga menjadikannya lebih sukar bagi suara Muslim sederhana untuk didengar di peringkat antarabangsa.

"(Masyarakat antarabangsa) akan berkata, 'Baiklah, ya anda (golongan sederhana) OK untuk menyuarakan isu-isu, tetapi anda seolah-olah bersendirian dan tidak diterima oleh parti anda sendiri dan itu tidak membantu," kata Saifuddin .

Oleh itu, bekas timbalan menteri pengajian tinggi itu berkata, adalah lebih baik jika PAS dapat mengimbangi penguasaan antara kelompok aliran keras dan sederhana dalam parti itu.

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

.