Di antara strategi taktikal umno bagi memastikan survival kuasanya selama ini sejak negara mencapai kemerdekaan ialah penggunaan "Instill fear strategy", yakni strategi menanamkan rasa takut di kalangan orang atau pihak tertentu terhadap sesuatu.
Dalam PRU13 dengan gelombang "Ini Kalilah" yang tercetus di Sabah, di samping pengundi Sabah yang biasa memilih Pembangkang sebagai kerajaan; maka digerakkan secara bersepadu strategi "instill fear" ini kepada kalangan rakyat Sabah iaitu..
1) Kononnya berlaku usaha membawa keluar Sabah dari Malaysia, yang kemudiannya cuba pula dikaitkan dengan beberapa tokoh dan aktivis PR.
2) Kononnya Sabah terdedah kepada ancaman keselamatan luar dan memerlukan kerajaan negeri yang kuat yang sama dengan kerajaan BN di Putrajaya, sehingga dibentuklah ESCOM yang wujud sehingga hari ini.
Secara sedar, sejak PRU12 (2008), secara terbuka kita sudah mula menyebut penggunaan strategi umno ini bagi memastikan rakyat sedar, dibangunkan minda dan keberanian untuk mendobrak serta menolak modus operandi licik pihak musuh ini.
Alhamdulillah, dengan pendidikan politik terbuka kepada rakyat seluruh negara akhirnya taktik umno memanipulasi isu 3R iaitu Race, Religion dan Royal kurang kesampaian. PR kekal menjadi pilihan pengundi khususnya di Semenanjung Malaysia dengan meraih lebih kurang 56% daripada keseluruhan undi popular dalam PRU13, 2013.
Walau bagaimana pun, suatu yang amat malang bilamana strategi "Instill fear" ini kemudiannya menular pula ke dalam jamaah kita yakni Parti Islam SeMalaysia (PAS). Khususnya menjelang pemilihan parti pada Jun 2015 nanti.
Antara taktik "Instill fear" yang boleh kita kesan secara meluas dan menyeluruh ialah:
1) Kononnya ada pihak berkomplot hendak menjatuhkan Presiden. Sedangkan istilah "komplot dan jatuhkan" ini sepatutnya tidak ada dalam kamus seorang pejuang.
2) Kononnya ada pihak dalam PAS mahu menhapuskan konsep dan Kepimpinan Ulamak.
3) Kononnya ramai di kalangan pemimpin pusat PAS bersikap ghairah mahu menang bersama PR tetapi sangkut syariat di luar pagar Putrajaya.
Dan tiga perkara inilah yang berterusan diratib oleh sebahagian pihak bagi memastikan kelompok tertentu menang, tanpa mengambil kisah kesan kehancuran jangka panjangnya terhadap PAS.
Rupa-rupanya, penangan takut hilang jawatan dan mendambakan sesuatu jawatan ini adalah penyakit yang boleh menghinggap semua manusia, tidak kiralah apa latar belakang mereka, dan berapa harga yang mesti dibayar untuknya ; sekalipun dengan kehancuran dan perpecahan ukhuwwah dalam sebuah gerakan Islam yang menjadi harapan dan sandaran rakyat Malaysia!
Semoga sahabat-sahabat khususnya Perwakilan adalah bijaksana dan upaya menilai sebaik-baiknya.
Semoga juga sahabat-sahabat Perwakilan tidak seperti pengundi-pengundi tipikal Melayu yang kekal mengundi umno hanya kerana termakan dengan strategi "instill fear" mereka.
0 comments:
Post a Comment