Oleh Abdul Shukur Harun
Demikian ramai pendukung PAS melihat dengan
penuh kekecewaan akan wajah PAS masa kini. Ada
yang sangat bimbang,
malah marah.Wajah parti Islam yang sudah berumur 61 tahun itu
kelihatannya, tidak ceria, kusut masai, murung bagaikan pesakit kronik
yang sukar sembuh dan penuh masalah yang tidak terselesaikan.
Sepatutnya parti itu dilihat teguh, meyakinkan kerana sudah begitu
berpengalaman serta menempuh pelbagai cabaran yang hebat sepanjang
sejarahnya.
Pendukung PAS berhak merasakan bimbang, kecewa,
malah marah atas apa yang berlaku di dalam PAS yang akan bermuktamar
ke-61 awal tahun depan. Mereka selama ini menggantungkan harapan tinggi
kepada PAS sebagai sebuah parti politik Islam yang boleh membela ummah.
Malah golongan bukan Islam banyak memberi sokongan sejak Pilihan Raya
Umum ke-12 dan 13 kerana konsep “PAS For All” yang didukung oleh PAS.
Tetapi kini, semua harapan mereka terhempas, justeru PAS dilanda krisis
berat yang hingga kini belum ada sebarang usaha untuk memulihkannya.
Konsep “PAS For All’ entah ke mana.
Dari jurang krisis itu
tercetuslah label melabel, kata-kata seperti barua, Islam sekular,
munafik haraki, malah syaitan serta umpat keji dan kata-kata kesat yang
dahsyat
Ada pula tuduhan kononnya wujud golongan di dalam PAS
yang berusaha untuk menyelewengkan dasar Islam, lari dari perjuangan
asal PAS, konon hendak menjadikan PAS sebagai parti sekular dan pelbagai
lagi tuduhan, malah fitnah yang tidak pernah kita fikirkan boleh
tercetus di dalam jemaah PAS di mana pendukungnya melalui tarbiah –
usrah, tamrin, mukhayyam, pelbagai kuliah mengenai pembentukan akhlak
sejak puluhan tahun.
Ramai yang bertanya di mana menghilangnya
nilai ukhuwah, persaudaraan Islam yang dibina sekian lama di dalam
jemaah PAS yang selama ini menjadi nilai paling mulia di dalam warga
PAS. Kini semuanya musnah. Ada ahli yang jujur menitiskan air mata
mengenangkan hal ini.
Ada pihak yang mengumpamakan krisis di
dalam PAS ini seperti kapal raksasa “Titanic British”, yang musnah di
lautan Atlantik kerana terlanggar batu salji yang sangat besar ketika
belayar di lautan itu.
Pembuat kapal itu dengan angkuhnya
memberitahu, kononnya tidak ada satu pun makhluk di bumi ini yang boleh
memusnahkan kapal hebat itu kerana ia dibina sedemikian rupa.
Kapten kapal itu pula, ketika dalam pelayaran, dengan angkuh tidak mahu
mendengar nasihat beberapa pakar lautan di dalam kapal Titanic itu
sendiri yang menasihatinya supaya mengubah laluan disebabkan laluan yang
hendak ditempuh banyak batu besar salji yang sangat merbahaya, yang
boleh memusnahkan kapal itu jika melanggarnya.
Akhirnya Titanic
itu melanggar batu besar itu dan tenggelam, semuanya tidak dapat
diselamatkan, termasuk ahli orkestra yang menghiburkan penumpang kapal
itu.
Kini kapal Titanic yang hebat itu hanya menjadi sejarah.
Tenggelam bersama keangkuhan manusia, kaptennya tidak mendengar nasihat
dan menentang kehendak alam.
Jika krisis di dalam PAS ini tidak
ditangani segera maka parti itu akan kehilangan haibah dan izzahnya
sebagai parti Islam tersohor.
Perlulah dikenal pasti segera akan
masalah yang ada di dalam PAS, Iaitu perpecahan yang dicetuskan oleh
perbuatan label melabel, kata-kata seperti barua, Islam sekular, munafik
haraki, malah syaitan serta umpat keji dan kata-kata nista yang sangat
buruk, ditambah sikap berpuak-puak yang merebak hingga di peringkat
cawangan dan kawasan.
Malah ada lagi fitnah besar yang menuduh
konon ada golongan yang berpendapat bahawa ada pihak yang sanggup
menggadaikan Islam demi “rakus” mengutamakan kemenangan terlebih dulu.
Juga menuduh ada pihak yang berpendapat menang dulu, barulah kita fikir
macam mana Islam. Ini sebuah kenyataan yang sangat naif.
Sejak
bila golongan progresif di dalam PAS yang mereka musuhi ini hendak
menyelewengkan dasar perjuangan PAS dan mengetepikan reda Allah. Ini
tuduhan yang sangat dahsyat.
Apabila semua tuduhan ini hanya
berdasarkan andaian, persepsi melulu dan tidak dapat dibuktikan maka ia
menjadi fitnah dan inilah sumber utama yang menimbulkan krisis berat di
dalam PAS.
Sikap golongan konservatif inilah yang menyebabkan
tersingkirnya beberapa tokoh terbaik dalam PAS di mesyuarat PAS
peringkat kawasan dan mungkin juga penyingkiran ini akan berlanjutan
hingga ke pemilihan peringkat pusat di muktamar PAS awal Jun ini.
Kemungkinan ini tidak mustahil.
Jika tokoh terbaik itu yang
menunjukkan prestasi cemerlang mereka terhadap parti selama ini
ditewaskan oleh golongan konservatif ini dalam pemilihan di muktamar
nanti, maka apalah lagi yang tinggal di dalam PAS untuk melayari bahtera
perjuangannya pada masa depan.
Yang tinggal di dalam PAS ketika
itu hanya retorik, permusuhan, kebencian, mengumpul semakin ramai
musuh, membuang kawan dan memandang sebelah mata akan golongan yang
tidak sealiran dengan mereka dan mengucapkan selamat tinggal kepada
Pakatan Rakyat. Berlegarlah PAS di sekitar kawasan Melayu dan kampung
halamannya saja.
Kita ingin bertanya lagi sejak bila golongan
yang dibenci ini menyeleweng dan tidak istiqamah dengan dasar perjuangan
PAS. Pada hal terbukti dalam sejarahnya mereka yang dituduh inilah yang
menabur bakti, berjuang dalam PAS dengan penuh istiqamah sejak zaman
berzaman, pada ketika “ustaz muda” ini masih belajar di timur tengah.
Oleh itu, saya tertarik membaca buku “Melakar Agenda – Masa Depan
Politik Islam di Malaysia” oleh Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Datuk Dr
Mujahid Yusuf Rawa, yang menyebut mengenai simptom yang mencetuskan
krisis berat di dalam PAS sekarang.
Antara lain, beliau menyebut
bahawa kecelaruan sesetengah ahli PAS, khususnya yang baru mengenali
erti organisasi dan perjuangan PAS, menimbulkan pelbagai kekecohan.
Katanya, mereka mengangkat diri konon sebagai pejuang yang hendak
mempertahankan PAS dari “unsur yang melarikan PAS jauh dari asalnya”.
Namun, katanya, selepas meneliti tindak tanduk mereka ini, khususnya
yang pulang dari Mesir, serta menggelar diri mereka sebagai “ulama”,
lebih banyak menimbulkan kekecohan dan kekeliruan daripada kejelasan.
Tindak tanduk mereka yang berlagak lebih tahu daripada kehendak roh dan
semangat PAS itu sendiri, menyebabkan Dr Mujahid menulis buku tersebut
untuk menjelaskan semula hasrat dan cita-cita PAS serta cuba memahamkan
sikap dan kebijaksanaan parti terhadap pelbagai isu dalam kerangka
negara berpandukan kepada semangat perlembagaan parti.
Gojek: Inikah janji 1 juta peluang pekerjaan?
-
*KEBELAKANGAN* ini, timbul isu hangat berkenaan gojek selepas cadangan yang
dikemukakan oleh Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq untuk
memperkenalkannya ...
5 years ago
0 comments:
Post a Comment