Oleh Ibrahim Adham
Mutakhir ini kita menyaksikan PAS berantakan
dengan isu dalaman. Parti Islam ini tidak jelas ke mana hala layarnya
hendak dibawa. Tindakan nakhoda yang mengawal kemudi bertentangan
dengan pengumuman kepada anak kapal.
Serangan dan kritikan DAP
pula dijadikan kayu ukur siapa yang paling hebat dalam membuat
kenyataan demi kenyataan balas. Manakala ahli pula diajar dan diseru
untuk memilih pemimpin yang paling berani melawan DAP. Lebih kasar
kenyataan lebih gah ia dianggap sebagai pejuang Islam.
Apakah natijah yang hendak dicapainya?
Rakyat terbeban dengan salah guna pemimpin negara, rasuah,
jenayah, dan seribu satu masalah rakyat. Pemimpin parti Islam pula
mengasah parang, keris siapa lebih hebat menghentam musuh. Malah yang
tidak menghentam pula dilabelkan sebagai tunduk kepada DAP.
Dalam
pola pemikiran ketuanan Melayu Umno, kuasa Melayu mesti dipertahankan.
Mereka mesti dilihat kuat semangat Kemelayuannya, dan berani berkasar
dengan bangsa bukan Melayu.
Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri
Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan sebutlah nama-nama
pemimpin Umno. Anak muda PAS yang biasanya kurang membaca tentu lupa
dengan peristiwa perasmian konvensyen PPP Melaka pada 2007.
Datuk Seri Ali Rustam dalam ucapan perasmian itu, mencabar ahli PPP
untuk keluar daripada Barisan Nasional (BN). Pada masyarakat India yang
diwakili PPP, itu adalah penghinaan. Pada ahli Umno, Ali adalah hero
mereka. Ini semua sandiwara biasa.
PAS konsisten memperjuangkan
Islam sejak awal penubuhannya. Bukan baru hari ini PAS bercakap
tentang negara Islam. Bukan hari ini juga baru orang Melayu mendengar
hasrat PAS. Tetapi majoriti orang Melayu tidak yakin dengan PAS.
PAS perlu menerima realiti sebenar, bukan berdasarkan firasat pemimpin
semata-mata. Umno Terengganu tumbang kerana mata lebam Datuk Seri
Anwar Ibrahim pada 1999. Permuafakatan Pakatan Rakyat, politik
sederhana PAS, gagasan negara berkebajikan semuanya membuka peluang
pada PAS menerjah sempadan baru dalam menyampaikan suara mereka,
terutamanya di pantai barat Semenanjung dan Malaysia Timur.
Generasi muda Malaysia tidak lagi meminati politik kekerasan Umno.
Perkembangan Internet, teknologi maklumat akan menjadikan Umno pupus.
Tidak sedikit anak muda, artis dan selebriti terkenal negara tertarik
dengan PAS dengan dasar keterbukaan dan politik sederhananya.
Walaupun kadar peningkatan perlahan, pemerhati politik dan think-tank
Umno melihat ancaman yang amat besar kepada masa depan Umno. “Slowly but
surely PAS is gaining momentum”.
Perkembangan terkini PAS
menunjukkan parti ini sudah jauh meninggalkan kaedah politik
sederhananya. Kegagalan pengurusan dalam PAS dilihat sebagai punca
utama parti ini seperti hilang punca. Adunan pemimpinnya daripada
pelbagai aliran dan latar belakang yang menjadi tunggak kekuatan
menggerunkan Umno kini seolah menjadi punca masalah dalam PAS.
Rang undang-undang yang dihantar oleh presidennya dengan mengharapkan
ihsan speaker dan Umno untuk dibentangkan seolah-olah menjadikan PAS
seperti lupa segala tipu helah dan tekanan Umno kepada PAS.
Bahasa pemimpinnya juga yang semakin kasar, tidak menggambarkan
“statesman level” seorang pemimpin berjiwa besar. Pemimpin-pemimpin PAS
seperti gagal menyerap serangan tekanan politik seteru politik dalam
dan luar pakatannya. Parti Islam yang suatu masa dahulu dilihat nafas
baru untuk menggantikan hegemoni Umno sukar mengurus masalah dalamannya
apatah lagi memberi persepsi positif pada masyarakat umum.
Fenomena terkini pemimpin PAS yang bersaing berkasar dengan DAP sebagai
lambang kekuatan pemimpin adalah model acuan pemikiran Umno yang
bersaing membelasah MCA dan MIC apabila tiba masa pemilihan mesyuarat
agung Umno. Tiada lagi gagasan dan cadangan-cadangan polisi, tidak
kedengaran suara-suara positif PAS yang dilihat menyejukkan hati rakyat
Malaysia.
Penulis lama dan masak dengan rencam politik Umno
melihat politik sederhana PAS suatu masa dahulu sebagai ancaman
terbesar pada Umno. Mungkin atas faktor umur, mungkin atas hilangnya
idealisme Melayu Umno, mungkin atas faktor jangka panjang melihat nasib
masa depan anak cucu, suatu masa dahulu penulis melihat masa depan
yang cerah pada Malaysia dengan pembawaan politik sederhana PAS.
Tetapi harapan itu hanya tinggal sejarah. Apa jaminan PAS mampu
mengurus negara apabila politik dalamannya juga gagal diuruskan? Apa
jaminan rakyat Malaysia yang tidak sebulu dengannya tidak dibuang negara
jika ahlinya yang berbeza pendapat pun di tolol dan dihalau keluar?
PAS, ahli dan pemimpinnya perlu membuat “self reflection” yang jujur.
Pemilihan dalam PAS didominasi dengan isu remeh-temeh, dan bukan
penyelesaian kepada masalah-masalah rakyat yang tertekan. Pas memberi
gambaran buruk pada Islam dengan bahasa pemimpinnya yang kesat dan
kasar. Pemimpin PAS yang cukup rajin memberi kuliah perlu berfikir Ibrah
kisah Taif dan besarnya jiwa Rasulullah dalam doa kepada penduduk
Taif.
Buat masa ini, cara PAS dan pemimpinnya dalam mentadbir
adalah menghampakan. Bak kata Abraham Lincoln, "Most people can bear
adversity. But if you wish to know what a man really is, give him
power.”
Buat ahli PAS, selamat bermuktamar!
Gojek: Inikah janji 1 juta peluang pekerjaan?
-
*KEBELAKANGAN* ini, timbul isu hangat berkenaan gojek selepas cadangan yang
dikemukakan oleh Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq untuk
memperkenalkannya ...
5 years ago
0 comments:
Post a Comment