Home » » Hadi & konflik dalaman PAS

Hadi & konflik dalaman PAS

Oleh Hasbie Muda

 1. Saya lahir dan membesar di negeri yang subur dengan tarbiyah hasil air tangan seorang sosok
bernama Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang (Hadi).

2. Kecintaan rakyat negeri ini kepada Hadi bukanlah cinta yang dibuat-buat atau ketaksuban membuta tuli. Ia berasas.

3. Bukan mudah untuk mengubah negeri Terengganu menjadi sebuah negeri yang benar-benar 'Darul Iman'. Pada suatu masa, negeri ini lebih meriah dengan pesta pantai, laga ayam dan bermacam program maksiat dan melalaikan. Tetapi hari ini, Terengganu subur dengan majlis ilmu dan masjid surau yang diimarahkan. Anak muda sentiasa terpana dengan sosok ulama' jauh melebihi artis dan penghibur. Pondok-pondok pengajian agama tumbuh melata di setiap mukim dan generasi muda berjubah putih dan berserban terikat rapi bukan lagi suatu yang janggal.


4. Pada suatu masa, negeri ini terkenal sebagai sarang penagih dadah tegar sehingga selebriti yang lahir dari negeri ini juga ramai yang terpalit. Mungkin kerana ramainya anak muda yang turun ke laut dan mereka menjadikan najis itu sebagai hiburan sepanjang belayar di lautan. Pada hari ini, generasi tersebut kian dimamah usia dalam budaya kotor itu tidak lagi diwarisi generasi muda. Kalau pun ada, ia hanyalah kes terpencil yang tidak ketara.

 5. Pada suatu masa, suhu 'perkauman' sentiasa panas antara penduduk daerah Besut dengan masyarakat Terengganu di 6 daerah lain. Wujud sentimen kurang enak mungkin kerana latar sejarah yang bertitik noda serta dielek bahasa yang berbeza. Pada hari ini, hasil tarbiyah yang tidak membezakan latar geografi dan etnik menjadikan kami bagai satu keluarga. Tiada prasangka. Tiada lagi adu domba tak ketahuan. Walaupun kadangkala ada yang menggelarkan mereka sebagai 'Republic of Besut' tetapi ia lebih kepada jenaka sekadar untuk mengundang hilai tawa.

6. Banyak lagi perubahan besar yang dekat di hati kami orang Terengganu. Saya sendiri merasai perubahan dalam keluarga apabila ada ahli keluarga yang terlibat aktif dengan PAS seawal kampus membawa pulang nilai-nilai tarbiyah untuk dikongsi dengan yang lain. Kesedaran agama adalah nikmat yang sangat besar bagi kami sekeluarga.

7. 'Fenomena Haji Hadi' bukan hanya berkisar di Terengganu malah turut tersebar ke negeri-negeri lain. Ketegasan beliau dalam soal batasan iman dan kufur benar-benar merentap kejahilan yang sekian lama bersarang. Ketegasan suara beliau berpidato seolah-olah ubat mujarab yang sekian lama ditunggu untuk mengubati kusta kejahilan yang semakin menghakis jati diri anak bangsa. Tidak pelik jika era 1980-an ada yang sanggup berbasikal dari selatan Pahang untuk mendengar ceramah beliau. Ucapan beliau menjadi bahan berita saban minggu.

8. Ya, pencapaian Hadi sebagai ahli politik mungkin tidak secemerlang Anwar Ibrahim dari sudut majoriti undi yang dipungut setiap kali pilihan raya. Beliau mungkin belum mampu memintas pencapaian 27 kerusi parlimen era Ustaz Fadzil Noor. Juga mungkin belum setanding dengan Tan Sri Wan Mokhtar yang berjaya mentadbir Terengganu sehingga 6 penggal. Tetapi dari sudut membangunkan jiwa-jiwa masyarakat dengan sentuhan agama, Hadi melakukan suatu yang jauh di hadapan.

9. Sebagai sebuah pemimpin sebuah gerakan Islam, peranan Haji Hadi tidak boleh dipandang kecil. Terbaru perlantikan sebagai Timbalan Ketua Kesatuan Ulama' Sedunia membuktikan beliau bukan sekadar jagoan kampung. Malangnya imej beliau sebagai pemimpin sebuah parti politik yang bergulat dengan demokrasi di negara ini mulai terguris pasca PRU 2008.

10. Kemenangan besar pakatan pembangkang bukan hanya mengejutkan pemimpin BN tetapi juga pemimpin PAS sendiri. Wujud rasa kurang selesa apabila DAP yang jelas menolak Hukum Hudud mendapat sejumlah kerusi yang agak besar. Jumlah ahli parlimen bukan Islam dalam Pakatan Rakyat meningkat secara drastik (2004:12, 2008:28, 2013:50). Hal ini menjadi modal Umno/BN untuk menyerang PAS. Kononnya orang Melayu terancam dengan kemenangan Pakatan Rakyat. Hakikatnya jumlah ahli parlimen Melayu/Islam meningkat dalam dua PRU terakhir (2004:123, 2008: 130, 2013:136). Hakikatnya juga, DAP bertanding di kerusi yang ditandingi MCA atau Gerakan. Kedua-duanya bukan Islam malahan dalam beberapa kes pemimpin MCA jauh lebih biadab dalam mengkritik Islam.

11. Kebimbangan kepada peningkatan dominasi DAP menyebabkan wujud usaha untuk bergabung dengan Umno. Walaupun cadangan Kerajaan Perpaduan atau UG yang digagaskan Hadi jelas melibatkan penyertaan semua parti termasuk PKR dan DAP, tetapi kerana usaha bergabung dengan Umno memang dimulakan segelintir kecil pemimpin parti (yang kemudiannya dipecat dan dipinggirkan dari parti), maka dengan mudah Umno memanipulasi UG sebagai usaha untuk bergabung dengan Umno.

12. Dalam keadaan kelemasan akibat ditekan Tun Mahathir, sempat lagi Pak Lah menarik tangan Hadi dengan memanipulasi UG. Fitnah bergabung dengan Umno bukan sekadar mengejutkan ahli PAS di peringkat bawah, tetapi juga Mursyidul Am PAS sendiri sehingga teguran keras diberikan kepada pimpinan termasuk Hadi. Ahli PAS terkedu. Liciknya permainan Umno menyebabkan kemanisan ukhuwwah yang terbina sekian lama berkocak dalam waktu yang singkat.

13. Segelintir ahli yang gagal mengawal diri menggunakan media sosial sebagai ruang untuk mengkritik dan menghentam Hadi secara terbuka. Sekali lagi ahli PAS terkedu. Ia budaya baru dalam jemaah. Tindakan segelintir ahli itu kemudiannya dibalas sebahagian ahli yang menyokong Hadi dengan bahasa yang lebih kesat. Hasilnya bertembunglah secara terbuka ahli-ahli PAS di media sosial sehingga seluruh rakyat boleh melihatnya tanpa sebarang tabir lagi. Akaun-akaun hantu tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Budaya fitnah mekar dan ahli sesama sendiri bercakap kasar tanpa rasa malu yang membalut tubuh.

14. Menariknya, pemilihan parti pada tahun 2009, 2011 dan 2013 tetap menunjukkan para perwakilan kekal memilih status quo dan tidak terpengaruh dengan fitnah di media sosial. Malangnya, pertembungan tetap jua berlaku. Yang menyerang terus menyerang dan yang membela Hadi terus membela. Kedua-duanya tanpa segan silu bergelumang dengan kata-kata kesat yang tidak layak diucapkan abnaul harakah.
15. Krisis yang tidak menunjukkan jalan keluar ini sedikit sebanyak menjejaskan imej Hadi di mata ahli dan masyarakat. Rakan sekutu yang sebelum ini 'malu muka' untuk berkata hodoh tentang Hadi mula lancang dan biadab. Ahli parti yang sebelum ini tak sesekali berani untuk mengkritik beliau secara terbuka mula berani berbuat demikian. Kerusi presiden yang belum pernah dicabar sebelum ini mulai ada pencabar.

16. Saya percaya Hadi akan kekal menang dalam pemilihan minggu depan. Persoalannya sama ada menang besar atau menang tipis. Undi yang besar kepada pencabar beliau sudah pasti akan mencalarkan imej Hadi sebagaimana Tun Hussein Onn yang dicabar Sulaiman Palestin suatu ketika dahulu.

17. Untuk menyalahkan pencabar beliau pula bukan suatu tindakan yang baik. Ustaz Ahmad Awang veteran parti yang bukan calang-calang tokoh. Ulama' yang juga bekas ahli Majlis Syura Ulama' dan Naib Presiden PAS itu sudah tentu mempunyai alasan yang kukuh untuk bertindak sedemikian.

Mustahil sosok itu mampu dibonekakan pihak tertentu apatah lagi parti yang bukan Islam.

18. Saya yakin Ustaz Ahmad Awang tahu yang beliau sukar untuk menang. Jumlah pencalonan memberikan isyarat yang jelas. Tetapi ia lebih didorong untuk mewakili kebimbangan sebahagian ahli yang takut Pakatan Rakyat berpecah. Walaupun kenyataan Hadi tegas untuk kekal dengan Pakatan, tetapi beberapa perkembangan mutakhir ini sangat mencemaskan. Ramai berpendapat tindak tanduk kita seolah-olah memang mahu berpisah.

Kalau BN pada tahun 1977 dulu hanya beralasankan tindakan MP kita yang tidak menyokong Rang Undang-Undang Darurat Kelantan untuk menendang kita keluar, maka DAP dan PKR hari ini memiliki alasan yang jauh lebih kukuh. Cuma mungkin kerana mereka belum cukup kuat, maka bersabar menjadi satu-satunya pilihan pada masa ini. Tetapi apabila kewarasan hilang, hubungan tetap akan terungkai jua.

19. Imej baik PAS apabila tidak ada seorang pun wakil rakyatnya (sesi 2008-2013) yang membelot terjejas teruk menjelang PRU 13. Isu Langkah Kajang yang sepatutnya menjadi bola tanggung untuk menempelak PKR dan DAP malangnya menjadi boomerang yang terhempas ke muka sendiri. Isu pertindihan calon di 6 kerusi menjadi peluru yang cukup berbisa untuk mencalarkan imej beliau. Cikgu Pa yang sekian lama menjadi panglima paling setia sendiri seolah-olah dibelakangkan dalam isu itu. Dalam satu dialog bersama beliau, Cikgu Pa sendiri tidak setuju untuk 'membuang masa bergaduh di kerusi yang kita sendiri susah nak menang'.

20. Ahli tertanya-tanya jika Cikgu Pa pun tidak setuju siapa sebenarnya yang mempengaruhi Hadi untuk bertindak sedemikan? Siapa tuan penasihat yang berselindung di sebalik jubah Hadi? Siapa tuan penasihat yang membiarkan langkah Hadi dilihat tersadung beberapa kali mutakhir ini?

21. Pemimpin yang hebat tidak akan terjejas dengan kecaman atau serangan yang bertali arus. Tetapi pemimpin yang hebat akan tumbang kerana mengikut nasihat yang salah. Amatlah menyedihkan jika pemimpin yang kita kasihi akan tercatat penghujung sejarahnya dengan lakaran yang sumbang gara-gara dipengaruhi penasihat yang salah. Masa ini kita masih boleh mengubah. Tapi apabila dia tercatat sebagai sejarah, tiada apa lagi yang mampu dilakukan.

22. Penyokong yang baik mestilah berani berkata benar walaupun pahit. Jutaan sepanduk dan poster yang melaungkan sokongan tidak akan membawa apa-apa makna jika sekadar menjadi sokongan membawa rebah.

23. Semoga Allah terus memelihara kesihatan Hadi.

24. Semoga Allah menjauhkan Hadi dan jemaah ini daripada fitnah yang berterusan.

25. Semoga Allah menjauhkan Hadi daripada penasihat yang salah

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

.