Oleh Abd Shukur Harun
Ekstremisme,
atau golongan berfaham melampau wujud dalam mana-mana organisasi
masyarakat, khususnya parti politik di mana-mana pun. Ia sudah lama
wujud sepanjang sejarah manusia.
Ekstremis ini sangat fanatik kepada kumpulan mereka, tidak kira
memiliki kebenaran atau tidak. Golongan ini juga mengesampingkan aspek
moral dan etika, malah nilai kemanusiaan.
Sebab itu tindakan golongan fanatik ini semata-mata didorong atas
kepentingan golongan mereka saja, bukan berdasarkan hak dan kebenaran.
Malah mereka bersikap “tujuan menghalalkan cara”, iaitu doktrin politik
Machiavelli, ahli teori politik Itali yang berkata: “Politik tidak ada hubungan dengan moral.”
Malah Machiavelli juga pernah menyebut: “Men rise from one ambition to
another: First, they seek to secure themselves against attack, and then
they attack others.”
(Manusia berkembang daripada satu cita-cita yang kepada cita-cita yang
lain: Pertama, mereka meminta untuk menjamin diri mereka daripada
serangan dan kemudian mereka menyerang orang lain).
Demikianlah sifat atau watak golongan pelampau di mana kehadirannya
dalam masyarakat menimbulkan pelbagai masalah, malah menimbulkan krisis
berat.
Di sini saya teringat mengenai kebimbangan ahli Jawatankuasa PAS Pusat,
Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa yang menyelar golongan ustaz muda yang
tidak hormat kepada pemimpin kanan dalam parti dan bersikap melampau.
Katanya, golongan berkenaan dengan mudah menuduh golongan dalam PAS
sendiri sebagai liberal dan anti ulama, sedangkan mereka masih tidak
memahami landskap perjuangan parti.
“Yang baru masuk PAS 2,3 hari, bercakap macam masuk PAS sudah 20 tahun.
Tidak hormat orang tua, orang lama. Macamlah mereka sudah kenal PAS
lebih awal daripada kita,” katanya.
Menurut beliau, dakwat mereka yang menandatangani borang ahli PAS pun
belum kering lagi, sudah mencabar orang itu tak betul, orang ini tidak
betul. Ini ustaz muda ini yang baru balik dari Mesir. Tidak hormat
langsung para ulama yang sudah ada di sini.
Mujahid menyatakan ini dalam suatu forum di Kuala Lumpur minggu lalu.
Golongan ini yang disifatkannya sudah melampau, mudah saja mengata dekat
orang lain liberal, anti ulama, Islam sekular dan sebagai.
“Mereka baru balik 2,3 hari. Belajarlah dulu. Kami belajar dari bawah,
bertatih daripada cawangan naik kepada kawasan dan negeri,” katanya yang
menjadi ahli panel dalam forum berkenaan bersama Faiz Fadzil, anak
belas presiden PAS, Allahyarham Datuk Fadzil Mohd Noor.
Senada dengan Mujahid, Faiz berkata apa yang dibimbangkan adalah
golongan ustaz muda yang akan membawa PAS ke jalan yang terpesong.
Seperti juga kecaman pelbagai pihak sebelum ini mengenai insiden
demonstrasi di depan Pejabat Agung PAS tidak lama dulu, Faiz berkata
insiden melampau itu memberikan imej buruk kepada parti, sekali gus
memberi mesej yang salah terhadap agenda perjuangan parti.
“Yang kita bimbang ustaz muda bawa parti ke jalan terpesong, menjadi ekstrem dan ini budaya samseng,” katanya.
Malangnya, hingga kini tiada sebarang tindakan disiplin diambil oleh
PAS terhadap mereka yang berdemonstrasi itu pada hal perbuatan itu
sangat memalukan.
Pada pendapat saya, inilah fenomena ekstremisme di dalam PAS yang
sangat dibimbangi oleh pelbagai pihak ketika PAS sudah berumur 61 tahun.
Kita belum lupa akan gejala melampau yang tercetus dalam muktamar PAS
di Johor tahun lalu di mana segolongan Pemuda PAS berjaket hitam di
belakangnya bertulis “Kami menyokong Presiden “, keluar Muktamar Pemuda
kerana memboikot ucapan Mohamad Sabu.
Selain itu pelbagai kekecohan berlaku dalam muktamar penuh PAS di Batu Pahat yang sangat memalukan.
Inilah fenomena ekstremisme di dalam PAS yang kini semakin terserlah. Gejala ini sangat membimbangkan.
Tidak ada jaminan perkara ini tidak berulang lagi dalam muktamar awal
Jun ini, lebih-lebih ada pemilihan pucuk pimpinan yang begitu sengit
iaitu antara golongan pro-Pakatan Rakyat dengan golongan yang kritikal
terhadap Pakatan. Golongan sederhana dengan golongan yang melampau.
Kini ternyata golongan pelampau ini semakin berani dan garang,
seolah-olah mahu mendominasi PAS itu sendiri. Mereka mahukan kemenangan,
walau dengan apa cara pun.
Baru-baru ini, Ahmad Awang, salah seorang calon presiden di muktamar
PAS awal Jun depan mendakwa ada pihak tertentu “melarang” ahli PAS dari
mendengar ceramah beliau sejak akhir-akhir ini.
Hinggakan, katanya, ada ahli PAS secara sembunyi-sembunyi datang juga
untuk mendengar ceramahnya. Demikianlah begitu dahsyat sekali
perkembangan yang berlaku.
Sungguh malang, PAS yang sudah berumur 61 tahun dan mempunyai sejarah
panjang perjuangan politik dan dakwahnya dengan ukhuwah serta kasih
sayang yang dibina sekian lama kini tiba-tiba terbentur dengan situasi
yang sedemikian rupa.
Seperti yang pernah saya katakan dulu bahawa masa depan PAS bergantung
kepada golongan sederhana, bukan golongan ekstrem, yang sanggup
melemparkan pelbagai tuduhan, malah fitnah sesama ahli.
Masa depan PAS tidak bergantung kepada jenis pendukung PAS yang
berdemonstrasi di depan Pejabat Agung PAS, yang sanggup menerbitkan buku
dan risalah yang penuh dengan tuduhan dan kecaman terhadap golongan
yang dibencinya.
Masa depan PAS tidak juga bergantung kepada jenis pendukung yang
memperbanyak musuh, memutuskan ukhuwah sesama jemaah, wala hanya kepada
sesetengah pemimpin tetapi tidak wala, malah membenci kepada sesetengah
pemimpin yang lain
Masa depan PAS bergantung kepada golongan sederhana, rasional, bercakap
dengan ilmu dan fakta, bukan emosi dan prejudis. Bukan kepada golongan
ekstremis atau pelampau. Kerana pelampau hanya mengundang permusuhan dan
kemusnahan.
Parti politik seperti PAS bergantung kepada sokongan pelbagai pihak,
termasuk kepada bukan Islam, untuk mencapai kemenangan politik.
Seperti kata Mujahid, PAS perlu terus bersama Pakatan Rakyat untuk
mencapai kemenangan politik hingga ke Putrajaya. Dari perjuangan itulah
semoga mendapat reda Allah dalam usaha menegakkan hukum dan
membangunkan ummah. Macam mana hendak tegakkan Islam di negara ini jika
kita tidak menang?
Di sini Mujahid bertanya, kenapa kemenangan selalu dikaitkan dengan
negatif? Melainkan ini agenda musuh. Al-Quran sendiri, katanya, tidak
pernah menjelaskan akan sesuatu kemenangan itu yang tidak mendapat
keredaan Allah.
Semuanya ini perlulah difikirkan, kerana kita semua sayangkan parti.-themalaysianinsider.com
Gojek: Inikah janji 1 juta peluang pekerjaan?
-
*KEBELAKANGAN* ini, timbul isu hangat berkenaan gojek selepas cadangan yang
dikemukakan oleh Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq untuk
memperkenalkannya ...
5 years ago
0 comments:
Post a Comment