Home » » Kenapa Saya Dokong Kepimpinan Sdr Suhaizan Kaiat

Kenapa Saya Dokong Kepimpinan Sdr Suhaizan Kaiat

Oleh Hasbie Muda

1. Sebelum PRU13, saya tidak begitu mengenali sosok ini. Saya lebih kenal tokoh-tokoh Pemuda yang lain khususnya yang handal dalam berpidato.

2. Kali pertama saya bertemu dengan beliau adalah sewaktu membentangkan buku Kemenangan Yang Tertangguh (KYT) di Gelang Patah pada Julai 2013. Sdr Suhaizan menjadi pengulas (commentator) di hujung program. Apa yang membuatkan saya teruja adalah ulasan beliau yang bernas dan terkedepan dalam membuat unjuran politik pasca PRU13. Dalam fikiran saya, orang ini ada idea untuk membawa parti ke depan.

3. Selepas itu beliau bertanding jawatan Ketua Pemuda PAS dan saya jangkakan beliau akan tewas kerana salah seorang calon yang bersaing lebih popular. Tetapi telahan saya meleset.

4. Kemudian saya difahamkan beliau menghadapi masalah dalam membentuk kabinet Pemuda kerana kurang mendapat sokongan exco yang menang. Beberapa kali mesyuarat dijalankan tetapi masih buntu dalam soal perlantikan beberapa jawatan lantikan dalam Pemuda. Saya menjangkakan beliau akan beralah atau give-up tetapi sekali lagi telahan saya meleset. Ternyata anak Jawa ini teguh dan pantang mengalah.

5. Seawal kepemimpinan beliau, saya beberapa kali dipelawa untuk memegang jawatan dalam barisan exco Pemuda termasuk JK Harian tetapi saya konsisten menolak atas beberapa alasan yang kukuh. Saya tahu keupayaan saya setakat mana. Saya juga optimis bahawa exco lain yang awalnya tidak sebulu akan bersifat rasional dan menyokong beliau. Malangnya telahan saya juga meleset. Ada lajnah/jabatan yang langsung tidak berfungsi dan tiada laporan aktiviti dalam buku laporan Muktamar.

6. Muktamar Pemuda PAS tahun lepas menjadi bukti bahawa usaha untuk memperlekehkan kepemimpinan beliau rupanya tidak pernah terhenti. Sdr Suhaizan dimalukan dengan dakwaan isu 5 kawasan haram dalam Muktamar sedangkan isu sebegitu perlu dilaporkan seawal sesi bukannya perlu tunggu Muktamar. Dakwaan yang kemudiannya terbukti palsu dan dinafikan oleh SUA Dato' Mustafa Ali malangnya telah berjaya menjadi modal untuk memalukan beliau dalam Muktamar.

Ditambah dengan walk-out sewaktu Timbalan Presiden PAS berucap, ia menjadi penghinaan yang lengkap untuk beliau. Rata-rata veteran parti yang saya temui mengakui bahawa insiden dalam Muktamar Pemuda pada tahun lepas adalah jauh lebih buruk daripada insiden sewaktu Muktamar tahun 1982 yang menyaksikan Dato' Asri Muda meletakkan jawatan.

7. Tidak cukup dengan itu, kecaman dan penghinaan terhadap beliau berlangsung saban hari di media sosial termasuk oleh ahli-ahli Pemuda sendiri. Lebih memilukan, nama ayah beliau sendiri dipermainkan. Di beberapa buah negeri, beliau diboikot daripada dipanggil dalam apa jua program parti, suatu yang Presiden sendiri tidak hadapi.

8. Apabila beliau membuat rombakan kecil kabinet Pemuda dan meminta saya membantunya untuk mempergiatkan usaha pendidikan politik dalam Pemuda, saya keberatan untuk menolak lagi. Walaupun tempoh hanya berbaki beberapa bulan, saya kuatkan diri juga untuk bantu sekadar yang termampu.
9. Serangan paling ketara kepada beliau adalah kononnya beliau tidak mempertahankan Presiden dari dicerca dan dikecam. Beliau dilabel lembik, balaci DAP, Anwarinas dan pelbagai lagi cacian yang kesat.
10. Ramai rakan-rakan Pemuda kawasan yang minta saya sampaikan kepada beliau agar lebih teguh mempertahan Presiden. Tetapi jawapan beliau menarik.

11. Dalam isu pil kuda misalnya, ada yang berpendapat bahawa dengan mengerah ribuan penyokong ke mahkamah akan menyelamatkan Presiden daripada saman fitnah tersebut tetapi hakikatnya cukup dengan menghantar peguam yang handal maka saman tersebut boleh dipatahkan dengan mudah. Adakah terlalu hebat seorang lelaki muda PKR sehingga memaksa parti kita mengerah semaksimum mungkin kekuatan untuk menghadapinya seorang?

12. Sdr Suhaizan condong pandangan kedua walaupun beliau juga turut hadir dalam pembicaraan bagi menyatakan sokongan kepada Presiden. Dan sebagaimana dijangka beliau tetap dikecam walaupun hadir. Peguam Asmuni Awi yang menyelamatkan maruah Presiden langsung tidak dihargai malahan digelar jebon dan bermacam-macam cacian.

13. Dalam isu mempertahankan Presiden dari kecaman yang berterusan, boleh sahaja beliau membuat kenyataan keras menyanggah setiap hari tetapi adakah dengan cara itu kecaman akan terhenti?

Menghentikan kecaman adalah dengan memastikan Presiden membuat keputusan yang betul. Tokoh hebat seperti Presiden sedikit pun tidak terjejas dengan kecaman tetapi imejnya akan terguris jika beliau dibiarkan membuat keputusan yang salah kerana mendapat nasihat yang salah oleh orang sekelilingnya yang cuba mempengaruhi. Cukuplah sekali-sekala menyanggah kerana masih banyak kerja-kerja kepemudaan yang perlu dilaksanakan.

14. Kekuatan Sdr Suhaizan adalah beliau teguh dan tidak mudah berputus asa. Saya sendiri kadang-kala tergelincir dalam memperjuangkan politik budiman tetapi beliau konsisten untuk memperbaiki masalah dalam parti dengan memilih untuk menjadi pendamai. Beberapa kali saya ditegur untuk tidak menyerang sesama ahli parti walaupun apa yang dilakukan sangat mencolok mata. Sebagai penulis, menahan diri daripada menulis apa yang terbuku di hati adalah suatu yang sangat sukar. Menjadi salah seorang pimpinan Pemuda memang banyak mengekang saya untuk menulis secara telus dan terbuka (mudah-mudahan belenggu ini terlerai dalam pemilihan Muktamar yang akan datang).

15. Kekuatan Sdr Suhaizan yang kedua adalah beliau fokus pada apa yang ingin dicapai. Gagas politik budiman pun kena kutuk. Ruhama' pun dibelasah lunyai. Terbaru Al-Helmy pun menjadi sasaran kecaman dan sindiran. Serba tak kena apa beliau lakukan. Tetapi beliau tetap fokus untuk menyelamatkan Pemuda dan Pakatan Rakyat daripada berpecah.

16. Saya tahu bahawa beliau menghadapi jalan sukar dalam pemilihan akan datang. Trend pengundian di kebanyakan negeri yang berdasarkan blok dan sentimen memberikan isyarat jelas bahawa beliau akan tewas. Kami yang dilihat pro kepada beliau juga kemungkinan akan tewas. Tetapi biarlah tewas dalam gelanggang dan kalah bersama-sama.

17. Membakar api sentimen memang sangat mudah sebagaimana mudahnya kerja jahat Ashin Wirathu di Myammar. Tetapi membina semula suatu yang runtuh akan mengambil masa yang sangat lama.

18. Untuk para perwakilan Pemuda yang akan memilih, buatlah keputusan dengan akal yang rasional. Kerana setiap keputusan yang salah ada harganya.

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

.