Oleh Abdul Rahim Sabri
Pelbagai persoalan dan teka-teki yang melanda PAS sepanjang kempen menjelang pemilihan parti itu minggu ini akan mula terjawab apabila pemilihan kepimpinan baru Pemuda PAS berlangsung lusa.Keputusan pemilihan itu akan menjawab persoalan sama ada para perwakilan mahu dewan itu terus dipimpin oleh golongan profesional yang diwakili oleh Suhaizan Kaiat.
Atau, ia bakal menyaksikan pertukaran kepimpinan ekoran keputusan ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Aziz - dari golongan pro-ulama - untuk menawarkan diri bertanding jawatan itu.
Dan keputusan pemilihan Pemuda PAS itu dilihat sebagai petanda kecenderungan sebenar perwakilan yang bakal membuat pemilihan pucuk pimpinan tertinggi parti, Khamis ini yang menyaksikan pertembungan antara dua golongan berkenaan.
Buat pertama kalinya - setelah sekian lamanya jawatan presiden PAS tidak pernah dicabar - kali ini ia bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara penyandangnya Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan bekas ahli Majlis Syura Ulama, Ahmad Awang.
Manakala bagi jawatan timbalan presiden itu juga menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara penyandangnya Mohamad Sabu yang berdepan calon ulama, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Muktamar Dewan Pemuda PAS akan bermula esok bertempat di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan SUK di Shah Alam. Dan tidak jauh dari itu, akan berlangsung muktamar Dewan Muslimat pada hari berikutnya.
Persidangan muktamar kedua-dua dewan tersebut akan dirasmikan oleh Mohamad Sabu.
Lebih 700 perwakilan
Pada hari berikutnya (Rabu), lebih 700 perwakilan akan memilih barisan kepimpinan baru Dewan Pemuda. Proses pemilihan dijadual berlangsung pada sebelah pagi hingga tengahari.
Malaysiakini difahamkan, keputusan pemilihan Dewan Pemuda dijangka diumumkan pada sebelah petangnya.
Pemilihan barisan kepimpinan Dewan Muslimat dan juga Dewan Ulama juga akan berlangsung pada hari yang sama.
Namun, tumpuan lebih kepada proses pemilihan Dewan Pemuda ekoran kehangatan kempen di kalangan calon yang bertanding.
Muktamar PAS kali ini menjadi tumpuan rakyat Malaysia khususnya, ekoran tercetus kemelut berhubung kedudukan berterusan PAS dalam Pakatan Rakyat.
Ia ekoran perang mulut yang hebat dan berlarutan ekoran keputusan PAS yang berkeras untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan.
Ia dipanaskan lagi dengan tindakan presiden PAS mengemukakan usul untuk membentangkan rang undang-undang persendirian di Parlimen bagi meminta Akta Mahkamah Syariah bagi membolehkan pelaksanaan hukum di Kelantan.
Pergeseran dalaman Pakatan menyaksikan DAP mengisytiharkan parti itu memutuskan hubungan dengan Hadi ekoran rentetan kemelut tersebut.
Kemelut itu turut mencetuskan krisis dalaman PAS yang menyaksikan pemimpin dari golongan profesional tampil mempertahankan hubungan dengan Pakatan.
Cenderung pro-ulama
Manakala golongan pro-ulama pula tampil mempertahankan Hadi dalam berdepan dengan perang mulut DAP, yang sejak dulu lagi lantang menentang hudud.
Sehingga ini, tiada kesimpulan yang konklusif mengenai pendirian ahli akar umbi PAS terhadap isu tersebut.
Dan jawapannya bakal ditentukan berdasarkan keputusan pemilihan parti itu di semua peringkat, khususnya di peringkat Pemuda dan kepimpinan pusat.
Pada keseluruhannya, para pemerhati politik berpendapat bahawa sejak kebelakangan ini, Dewan Pemuda dilihat lebih cenderung menyokong golongan pro-ulama.
Oleh itu, kata mereka, tidak mengejutkan sekiranya Nik Abduh terpilih untuk menerajui dewan itu.
Dan peluang regu Nik Abduh pula ialah anak lelaki Hadi - Muhammad Khalil - dilihat cerah untuk mempertahankan jawatan timbalan ketua Pemuda. Beliau berdepan cabaran bekas ketua Pemuda Perak, Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob selaku regu Suhaizan.
Begitu juga dengan jawatan naib ketua di mana penyandangnya, Khairil Nizam Khirudin - yang juga pro-ulama - dilihat tidak bermasalah untuk mempertahan jawatannya. Beliau berdepan dengan cabaran ketua Pemuda Negeri Sembilan, Nor Azman Mohamad.
Dan pertembungan itu juga dijangka berlanjutan bagi pemilihan senarai ahli jawatankuasa kerja Pemuda yang pada masa ini diwakili oleh kedua-dua kumpulan pada nisbah 50-50.
Namun kali ini, golongan pro-ulama dijangka menguasai lebih banyak kerusi, setidak-tidaknya pada nisbah 60-40.
Apa yang nyata, tidak sepertimana sebelum ini, pemilihan kali ini dianggap paling sengit dalam sejarah PAS di mana pertembungan golongan profesional dan pro-ulama dapat dilihat dengan begitu ketara sekali.
0 comments:
Post a Comment