Home » » WALA KEPADA TANZIM (ORGANISASI) TIDAK SAMA DENGAN WALA KEPADA AMIRUL MUKMININ, DEDAH SYEIKH SAID HAWWA DLM KITABNYA JUNDULLAH THAQAFATAN -

WALA KEPADA TANZIM (ORGANISASI) TIDAK SAMA DENGAN WALA KEPADA AMIRUL MUKMININ, DEDAH SYEIKH SAID HAWWA DLM KITABNYA JUNDULLAH THAQAFATAN -


Oleh Dr Maza

Ramai yang bertanya saya; benarkah sesiapa yang masuk ke dalam organisasi tertentu maka dia wajib taat kepada kepimpinannya sama seperti taat kepada Ulul Amri? Apakah dia sentiasa wajib memberi wala ketaatan yang tiada berbelah bahagi kepada pimpinannya seperti seorang khalifah? Apakah mereka tidak boleh melanggar sumpah setia mereka?

Di sini saya suka menukilkan teks dari tokoh gerakan Islam yang ternama iaitu al-Syeikh Said Hawwa r.h dalam bukunya JundulLah Takhtitan.

Saya nukilkan teks Said Hawwa sebab beliau sangat terkenal di peringkat awal memperjuang kesetiaan kepada jamaah. Dalam konteks beliau ialah al-Ikhwan al-Muslimun. Hal ini dapat kita lihat dalam buku awalnya JundulLah Thaqafatan wa akhlaqan.

Namun apabila pengalaman dan ilmu meningkat, dalam tulisan beliau yang lebih kemudian termasuk JundulLah Takhtitan ini beliau memberikan ulasan yang lebih ilmiah dan matang.

Berikut teks beliau yang saya terjemahkan:

“Sebahagian golongan Islamist telah dikuasai oleh kefahaman-kefahaman jahiliyah, di mana mereka telah memberikan kemaksuman kepada tanzim (organisasi) sekalipun telah nyata kesalahan organisasi tersebut di sudut syarak, ataupun di sudut maslahah. Di kesempatan ini, semestinya dijelaskan pemikiran bahawa ketaatan kepada tanzim (organisasi) bukanlah seperti ketaatan kepada Amirul Mukminin (khalifah).

"Adapun amirul mukminin apabila memerintahkan sesuatu yang harus untuk sesuatu kemaslahatan maka ia menjadi wajib (ditaati). Pun begitu, para ulama telah mengecualikan jika beliau (khalifah) memerintahkan sesuatu yang berbeza dengan sunnah ataupun yang berbeza dengan mazhab seseorang tokoh fikah.

"Adapun ‘Ali bin Abi Talib –telah sabit daripadanya- bahawa dia telah berbeza dengan perintah (Khalifah) Uthman (bin ‘Affan) apabila dia melihat ‘Uthman berbeza dengan sunnah. Al-Alusi dalam tafsirnya (Ruh al-Ma’ani) telah menulis bahawa harus (dibolehkan) untuk seseorang insan mengelak dari mentaati ulul amri jika berbeza dengan mazhab fekah (yang diyakini) oleh seseorang. Justeru itu, ketaatan kepada tanzim adalah bergantung kepada kaedah dan syarat yang disepakati oleh ahli tanzim. Demikian juga ia bergantung sejauh mana ia tidak menyanggahi keyakinan seseorang di sudut syarak.

"Aku telah berfatwa dan telah bersetuju denganku tentang hal ini orang yang aku percayai di sudut ilmunya dari kalangan ahli fatwa, yang mana aku dapati hal ini dalam kitab fekah; sesiapa yang memberikan janji kepada mana-mana badan islami maka janji itu antara harus dan wajib untuk ditaati berdasarkan kepada teks perjanjian.

"Sesiapa yang berjanji untuk taat maka dia wajib untuk menunaikannya dalam perkara yang tidak maksiat dan tiada mudarat. Namun, jika dia melihat berdasarkan pertimbangan syarak bahawa selain apa yang dia berjanji itu lebih baik daripada apa yang dia telah berjanji, maka hukum perjanjian dalam keadaan tersebut sama seperti hukum yamin (sumpah) di sisi Mazhab Hanafi, dia boleh rongkaikan dan membayar kifarah sumpah. Al-Baghawi telah memetik hal ini dalam Syarh al-Sunnah daripada Mazhab Hanafi. Difahami dari fuqaha Mazhab Syafii bahawa mereka tidak menganggap sesiapa yang menyebut (علي عهد الله) “ke atas aku janji Allah” sebagai sumpah.

"Berdasarkan Qawaid Fiqhiyyah bahawa sesiapa yang menyanggahi janjinya disebabkan penilaian di sudut syarak, ataupun di sudut maslahah dalam situasi semasa kita, maka pada mazhab Syafii (yang dikenakan kepadanya) hendaklah dia beristighfar.

"Sesungguhnya yang menyebabkan kami (penulis iaitu al-Syeikh Said Hawwa) terpanggil untuk mendetilkan hal ini kerana sebahagian pimpinan gerakan Islam mengandaikan bahawa mereka mempunyai hak untuk ditaati secara mutlak padahal mereka tidak memiliki kuasa pemerintahan seperti seorang khalifah rasyid, ataupun sultan yang rasyid lantas mereka tidak memperdulikan penegakan ihsan dalam kepimpinan sedangkan Allah berfirman kepada Yahudi إن أحسنتم أحسنتم لأنفسكم وإن أسأتم فلها (Jika kamu berbuat baik (bererti) kamu berbuat baik bagi dirimu sendiri dan jika kamu berbuat jahat, maka (kejahatan) itu menimpa diri kamu sendiri) (Surah al-Isra ayat 7)"

■ Oleh Dr Maza
■ Sila rujuk: Said Hawwa: JundulLah Takhtitan, ms 81. Beirut: Dar 'Ammar

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

.