Oleh
Arafat Hambali
Pilihan
Raya Umum ke-13 (PRU13) adalah pilihanraya yang pertama saya mula
membuang undi.
Masih segar di ingatan bagaimana saya terlibat secara
dekat dan turut serta berkempen semasa sebelum PRU13 lalu.
Saya juga masih ingat ketika itu lebih kurang jam 11 malam bas yang
dinaiki saya tiba di Terminal Bas Kangar lalu dijemput kawan dan terus
pulang.
Sewaktu melintasi jalan raya perang poster hebat sekali, tidak kurang
juga di kampung saya. Masih kekal juga dalam ingatan saya, setibanya di
muka pintu rumah selepas bersalaman dengan ayah, tanpa menukar baju,
mandi atau menjamah sebarang makanan hanya menukar selipar, saya terus
bergegas ke markas PAS yang terletak di hadapan jalan kampung.
Setibanya di markas PAS, saya dan beberapa orang rakan diketuai seorang
calon PKR kawasan saya mula mengatur program. Malam tersebut kami
berkonvoi dari kampung ke kampung untuk berkempen.
Dari kampung yang dihuni penduduk Siam sehinggalah perumahan warga
Felda. Ketika itu PKR meletakan calon mereka bagi mewakili Dewan
Undangan Negeri (DUN) kawasan saya dan PAS meletakkan calonnya bagi
mewakili Parlimen kawasan saya.
Begitu juga malam-malam seterusnya semasa ambang PRU13, kami memeriahkan markas PAS dengan pelbagai aktiviti.
Wakil PAS dan PKR duduk di bawah khemah yang sama. Pernah satu
malam, rakan saya dihantar ke wad kecemasan pada malam ambang PRU13
kerana jarinya luka terkena buluh semasa menggantung bendera PAS. Tanpa
sebarang kos yang ditaja kami bergegas ke hospital.
Masih segar juga di ingatan saya, sewaktu saya masih menetap di Shah
Alam sebelum saya pulang ke kampung, beberapa bulan sebelum PRU13, saya
turut bersama di dalam satu program di sebuah Felda di Selangor.
Program yang menghimpunkan seniman. Menggunakan seni sebagai paksi
perlawanan dan menyedarkan masyarakat Felda tentang ketidaktelusan
siasah pada masa itu.
Ketika itu saya masih menuntut di sebuah Institut Pengajian Tinggi Awam
di Shah Alam. Saya juga masih ingat di suatu program, saya berdiri dan
melantunkan beberapa puisi di atas pentas PAS bersama beberapa orang
tokoh parti itu seperti Anbakri Haron, Muhaimin Sulam dan beberapa rakan
aktivis daripada Puisi Jadi Senjata.
Dengan slogan “PAS For All” pada ketika itu, saya begitu senang dan
berharap PAS dapat merubah sesuatu untuk perkembangan politik negara
ditambah pula apabila mereka begitu berlapang dada menerima beberapa
tokoh daripada DAP menggunakan tiket PAS untuk bertanding apabila
desas-desus kencang mengatakan DAP bakal diharamkan.
Hari ini, pergolakan dalaman PAS begitu menakutkan saya, saya tidak
kisah jika MIC yang bergolak kerana parti itu secara terang-terangan
tidak memiliki Majlis Syura dan Ulama.
Namun, pergolakan tersebut terjadi di dalam jemaah yang bergelar parti
Islam dan ia semakin meruncingkan. Apakah mereka melupakan apa yang
diperjuangkan tokoh terdahulu? Allahyarham Dr Burhanuddin al Helmy?
Bukankah beliau mewakili semua?
Allahyarham juga senang dikenali sebagai profesional, boleh juga
berstatus ustaz. Allahyarham Datuk Fadzil Mohd Noor, bukankah beliau
pernah memperkenalkan konsep memprofesionalkan ulama dan mengulamakan
profesional?.
Tetapi ke mana perginya semangat penyatuan yang diasaskan dahulu?
Apakah juga semangat mengkritik itu juga sudah menjadi suatu kesalahan
untuk kebaikan?
Jika ya, apakah bezanya antara PAS dan BN jika tiada
semangat keterbukaan dalam merintis kemajuan untuk kelangsungan parti?
Tidak perlulah saya menulis di sini tentang pelbagai rentetan yang
berlaku dahulu. Cuma kadang-kadang saya tertanya, bagaimanakah jika PAS
dapat menawan Putrajaya bersama Pakatan Rakyat (PR) lalu membentuk
kerajaan.
Apakah kita akan dikunci rapat terus mulut dan pena pula akan dikerat
daripada untuk mengkritik jika sekarang belum pun berjaya menawan
Putrajaya sudah melabelkan sesama jemaahnya dengan pelbagai gelaran?
Sehingga kini, saya masih belum menjadi mana-mana ahli untuk mana-mana
parti politik, tetapi sebagai anak muda, saya berasa begitu terkilan
apabila melihat hala tuju politik PR terutamanya PAS.
Saya bukanlah mahu mengungkit apa yang saya lakukan kerana apa yang
dilakukan tersebut tidaklah sebesar mana pun pengorbanan saya.
Cuma apabila sebuah konsep penyatuan yang digagaskan tetapi tiada istiqamah dan dengan mudah ia hampir terburai begitu sahaja.
Saya berasa sedih lebih-lebih lagi untuk generasi muda yang kurang
terkesan dengan perkembangan semasa. Bayangkanlah bagaimana tanggapan
mereka dan bagaimana legasi ini akan diperjuangkan.
Soal pemansuhan Perbadanan Tabung Pinjaman Tinggi Negara (PTPTN) sudah
tiada lagi kedengaran, soal cukai barang dan perkhidmatan (GST) hanya
beberapa badan bukan kerajaan sahaja yang masih memperjuangkannya dan
banyak lagi isu penindasan yang semakin lesu diperjuangkan.
Kembalilah kepada penyatuan yang telah digagaskan dahulu, berfikirlah
secara rasional apakah hanya kuasa dan pangkat semata-mata atau mereka
ini golongan yang benar-benar mahu membela rakyat jangan suatu masa ke
depan.
Anak cucu kami akan mempersoalkan kenapa sebuah jemaah yang atas
namanya Islam sanggup membelakangkan konsep Islam itu sendiri.
-
http://www.themalaysianinsider.com
Gojek: Inikah janji 1 juta peluang pekerjaan?
-
*KEBELAKANGAN* ini, timbul isu hangat berkenaan gojek selepas cadangan yang
dikemukakan oleh Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq untuk
memperkenalkannya ...
5 years ago
0 comments:
Post a Comment