Saya menyambut baik teguran Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini melalui FBnya
terhadap tulisan saya; tanpa disebut nama. Beliau mempersoalkan sebab mengapa saya “membuat dakwaan rambang terhadap masa depan PAS berdasarkan apa yang berlaku di PRK Permatang Pauh”
yang bersifat negatif pada pandangan beliau. Pada masa yang sama,
beliau menegur sikap yang melukakan imej parti oleh mereka yang
“melanggar keputusan yang dibuat oleh PAS Pusat secara terbuka”.
Sebagai salah seorang Naib Presiden, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
sememangnya wajar menegur saya dan saya menerimanya dengan baik.
Sememangnya hujjah Dato' Tuan berhubung contoh baik di Rompin adalah
tepat. Begitu juga hujjah berhubung kesediaan PAS mengagihkan
kekuatannya di antara Rompin dan Permatang Pauh sebagai bukti keutuhan
PR adalah juga benar. Namun masalahnya adalah, di Rompin, PAS yang
bertanding dan PKR serta DAP memberikan sokongan yang padu, tetapi ianya
tidak sebegitu di Permatang Pauh. Begitu juga kesediaan PAS Pusat
mengagihkan kekuatan PAS sebahagian ke Rompin, membantu calon PAS dan
sebahagian ke Permatang Pauh, membantu calon PKR adalah tidak selari
dengan sikap PAS Permatang Pauh dan khususnya DPP Pulau Pinang.
Kewujudan sikap berbeza seperti yang dizahirkan DPP Pulau Pinang, yang
saya gelar sebagai sikap ‘PAS Ekstrim’, adalah satu kenyataan yang tidak
boleh dinafikan mana-mana pihak, termasuk Dato' Tuan di atas sebarang
alasan sekalipun. Saya hanya ingin memberikan amaran bahawa sekiranya
perwakilan PAS tidak berhati-hati dalam pemilihan yang akan datang, maka
sikap ‘PAS Ekstrim’ akan menguasai kepimpinan PAS. Maka selepas itu
contoh baik seperti yang ditunjukkan di Rompin serta oleh PAS Pusat
dewasa ini yang mengagihkan kekuatan untuk membantu rakan PRnya di
Permatang Pauh mungkin tidak akan lagi kelihatan.
Sikap ‘PAS Ekstrim’ adalah sikap yang ditunjukkan DPP Pulau Pinang dan
PAS Permatang Pauh. Mereka bagaikan ‘tukang fatwa dan tukang hukum
syadid atau ekstrim’. Sekiranya sikap seperti ini diberikan mandat di
peringkat PAS Pusat, maka mungkin akan difatwakan bahawa “PAS haram
bersama PR kerana PR tolak hudud” sepertimana difatwakan “haram mengundi
orang yang tolak hudud”. Sedangkan fatwa dan hukuman mereka bahawa
seseorang itu “menolak hudud” dilakukan secara sewenang-wenangnya tanpa
ingin mendengar hujjah dan penjelasan dan tanpa mengakui adanya khilaf.
Khilaf bukan berhubung hukum wajibnya hudud, tetapi berhubung kaedah dan
keutamaan atau awlawiyyat berhubung perlaksanaannya.
Melalui fatwa ekstrim sebegini, maka PAS tidak boleh bertahaluf siyaasi
dengan yang bukan Islam dan berbeza pandangan dengan PAS. Segala
tindakan dan amalan PAS selama ini sejak 2008, malahan dari lebih awal
lagi, akan dianggap salah dan tidak syarii!
Tetapi yang lebih aneh, ‘PAS Ekstrim’ sentiasa bersedia memperakui
keikhlasan pihak UMNO/BN sehingga dikatakan tidak wajar keikhlasan UMNO
dipersoalkan! Pada masa sama mereka sentiasa bersedia mempersoalkan
keikhlasan PKR dan ‘alasan’ yang diberi PKR. Hakikatnya apa jua alasan
yang diberi harus diterima sebagai bukti tidak menolak hudud
walaupun tidak bersetuju dengan alasan tersebut. Penolakan terhadap
‘hudud’ hanya wajar diterima sebagai penolakan yang mutlak sekiranya
tidak boleh dita’wilkan sebaliknya.
Bermula dengan ‘fatwa’ tersebut, maka PAS akan dibawa keluar dari PR dan
akan dimulakan gerak langkah menjauhkan PAS dari PR sedikit demi
sedikit. Maka sedikit demi sedikit akan mereka dekatkan PAS dengan UMNO.
Dan mendekatkan PAS kepada UMNO adalah ‘syarii’ menurut mereka lagi,
kerana UMNO kononnya “sokong hudud”. Sedangkan semua maklum, sejauh mana
“kebenaran” kata-kata UMNO itu. Oleh yang demikian adalah wajar
dipersoalkan kerana adalah sungguh tidak layak dipatuk dari lubang yang
sama buat kali keduanya!
Jika ianya benar, maka mengapa persoalan ‘hudud’ tidak dibenarkan untuk
dibahas di DUN Terengganu tempoh hari? Mengapa tidak usul ini dibawa
UMNO di Kedah, Perlis, Johor dan negeri-negeri lain di bawah BN? Memang
benar perlu menghukum berdasarkan yang zahir semata, tetapi sepatutnya kesemua yang zahir
dari parti yang sama. Bukannya sekadar kata-kata pilihan untuk
menyokong kecenderungan dan kesukaan individu atau kelompok tertentu.
Oleh itu, saya ingin ulangi nasihat ikhlas saya. Waspada terhadap
kewujudan sikap ‘PAS Ekstrim’ dengan pendekatan memaksa dan mengugutnya
dan ketidak-mampuannya untuk berkawan dengan yang berbeza dengan mereka,
walaupun sejemaah, apatah lagi dari jemaah lain. Sikap ini yang
menyebabkan PAS berpecah dan akan kecundang kerana pendekatannya
‘ekstrim’ tanpa hikmah mahupun kebijaksanaan. Sikap ini bakal menjadikan
PAS terpencil, dibenci dan dipinggirkan oleh rakyat jelata.
Saya akhiri dengan mengucapkan tahniah kepada Dato Tuan yang telah
secara terbuka menegur mereka di Permatang Pauh yang menzahirkan sikap
ekstrim ini. Mereka menjatuh dan melukakan imej PAS. Dan benar, ianya
asap dan apinya perlu dipadamkan. Apinya bagi saya adalah sikap ekstrim,
sikap tidak patuh pada arahan, tidak jujur dalam persepakatan dan tidak
endahkan kerosakan yang terhasil terhadap imej Islam melalui tindakan
mereka.
WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD
Gojek: Inikah janji 1 juta peluang pekerjaan?
-
*KEBELAKANGAN* ini, timbul isu hangat berkenaan gojek selepas cadangan yang
dikemukakan oleh Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq untuk
memperkenalkannya ...
5 years ago
0 comments:
Post a Comment