Home » » Hanya Presiden PAS Boleh Menasihati Ketua Dewan Pas Pulau Pinang

Hanya Presiden PAS Boleh Menasihati Ketua Dewan Pas Pulau Pinang


Saya percaya ramai ahli Pas yang kecewa dengan sikap dan keputusan Ketua Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang yang memboikot kempen pilihanraya kecil Permatang Pauh sekaligus memboikot calon Pakatan Rakyat, Yb Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Adalah jelas tindakan "kebudakan kebudakan"dan tidak matang beliau tersebut bertentangan sama sekali dengan keputusan sebulat suara Pas Pusat yang memutuskan menyokong penuh dan akan berkerja bersungguh sunguh membantu Yb Dr Wan Azizah bagi memenangkan calon PR tersebut.

Dewan Pemuda Pas Negeri Pulau Pinang ( DPPNPP ), yang biasa dengan istilah wala', sepatutnya tidak mempunyai masalah untuk memahami bahawa keputusan Pas Pusat adalah mengikat DPPNPP, maka Ketua DPPNPP sewajarnya mengarahkan semua jentera Pemuda Pas Pulau Pinang memberi sokongan padu dan tidak berbelah bagi kepada Yb Dr Wan Azizah. Selagi mana Pas bersama PR maka Yb Dr Wan Azizah hakikatnya calon Pas mengambil kira ruh dan semangat permuafakatan PR.

Amat malang Ketua DPPNPP memilih untuk tidak melayan jauh sekali menghormati segala kenyataan dan arahan sama ada daripada Timbalan Presiden Pas, Tuan Haji Mohamad Sabu, Naib Presiden Pas Dato Tuan Ibrahim Tuan Man dan juga arahan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Suhaizan Kayat. 

Ketua DPPNPP sebaliknya secara terbuka menyatakan beliau hanya akan akur dan mengikut arahan Presiden Pas sahaja.Berkemungkinan Ketua DPPNPP telah silap memahami kenyataan Presiden Pas yang menyatakan perlunya Pas mengambil kira suara "grass root " Pas yang bagi DPPNPP seolah olah memberi mereka satu lesen besar untuk memboikot kempen pilihanraya kecil tersebut.

Memandangkan Ketua DPPNPP telah dengan secara tidak wajar mengheret nama dan imej Presiden Pas bagi menjustifikasi sikap, pendirian dan keputusan beliau tersebut maka elok juga jika Presiden Pas dapat turun ke Pulau Pinang dan menasihati DPPNPP supaya menarik balik tindakan memboikot tersebut yang secara jelas memburukkan imej Pas.

Jika sekalipun Presiden Pas, dengan kesibukan beliau selaku Timbalan Pengerusi Persatuan Ulama Dunia dan perlu memberi komitmen yang amat amat tinggi menangani masalah ummah di peringkat global dan mungkin tidak berkesempatan turut sama berkempen di Permatang Pauh, maka saya percaya kenyataan rasmi Presiden Pas meminta DPPNPP untuk menarik balik keputusan boikot tersebut dan turut sama membantu calon PKR dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh akan menyelesaikan segera kemelut yang tidak sepatutnya timbul ini.

MOHAMED HANIPA MAIDIN
AHLI JAWATANKUASA PAS PUSAT
AHLI PARLIMEN SEPANG

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

.