“Solat, puasa, semua tak ada makna, kalau tidak bersama jamaah!” ada amilin menambah rencah.
Memetik hadith-hadith dalam lingkungan topik hak Jamā’ah al-Muslimīn di kalangan amilin gerakan Islam, adalah perkara yang pernah menjadi kebiasaan. Ia bukanlah sesuatu yang sihat, malah disedari akan tidak kenanya pemahaman sedemikian rupa, yang membenih sikap melampau. Tetapi di satu ketika, saya bersama rakan-rakan rasa, ia hanya masalah sesetengah ahli jemaah semasa menuntut di Jordan sekitar awal 1990’an yang lalu.
Dek fasih memetik nas, hadith keutamaan saf awal pun hendak ditakwil kepada keutamaan jemaah terawal. Sedangkan kelebihan-kelebihan yang ada pada kumpulan kita itu pun sudah cukup untuk menjadi sandaran kekuatan mengajak orang bersama dengan perjuangan. Tidak perlulah sampai memuktamadkan nas-nas itu seumpama Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam bercakap kepada para sahabat tentang jemaah kita.
Jemaah yang lain itu salah. Tidak Syar’i!
Justeru pada akhir tahun 1994, Ustaz Asri (kini Mufti Perlis) bersama rakan-rakan di dalam Institut Pengajian Ilmu-ilmu Islam (INPIS) mengundang Sheikh Solāh ‘Abd al-Fattāh al-Khālidī ke sebuah majlis khusus untuk pelajar Malaysia di Jordan, bagi mengupas maksud istilah Jamā’ah al-Muslimīn di dalam hadith-hadith Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam. INPIS itu asalnya adalah sebuah study circle yang dibuat untuk memberi peluang kepada pelajar Malaysia mengaji di bawah bimbingan tokoh-tokoh yang pengkhususannya adalah di dalam bidang yang diwakili setiap lajnah di dalam INPIS.
Jika lajnah Tafsir, pembimbingnya Sheikh Solāh sendiri.
Jika Hadith, pembimbingnya adalah Dr. Hammam Sa’īd.
Manakala lajnah Siasah Syar’iyyah, pembimbingnya adalah Dr. Muhammad Abd al-Qadir Abu Faris.
Kami pekakkan sahaja telinga apabila rakan-rakan mentohmah INPIS sebagai ‘jemaah baru’. Ia tabiat membuang masa yang wujud di dalam budaya pelajar Malaysia. Asalnya bergosip-gosip, lama-lama berubah menjadi persepsi yang diterima sebagai kebenaran. INPIS jemaah baru!
Dan menubuhkan jemaah baru itu memang besar jenayahnya dalam lingkungan jemaah Islam.
Sheikh Solāh ‘Abd al-Fattāh al-Khālidī mengambil masa lebih dua jam mengupas istilah Jamā’ah al-Muslimīn itu dan ia berakhir dengan kesimpulan bahawa gerakan-gerakan Islam seperti Ikhwan, PAS dan yang seumpama dengannya, semua itu setiap satunya adalah Jamā’ah min al-Muslimīn dan bukannya Jamā’ah al-Muslimīn sebagaimana yang dinyatakan oleh Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam. Maka menggunakan peruntukan di dalam nas berkaitan dengan Jamā’ah min al-Muslimīn untuk aplikasi di dalam sebuah gerakan Islam adalah ghuluw (melampau) lagi berbahaya.
Sesiapa yang berseorangan dan tidak menyertai jemaah kita, maka dia akan berseorangan di Neraka? Berapa ramaikah umat Islam yang di pandangan kita mereka itu bakal berseorangan di Neraka? Implikasinya kepada sikap di dalam dakwah, serta sikap terhadap psikologi diri sendiri amat besar. Di atas premis yang salah, kita membina sifat grandiose yang merosakkan.
Bagi kami yang hadir di dalam majlis ilmu bersama Sheikh Solāh ‘Abd al-Fattāh al-Khālidī itu, penerangannya jelas. Kami yakin, dengan mengemaskini kefahaman kita terhadap nas dan hubung kaitnya dengan jemaah, ia adalah langkah yang sihat untuk jemaah. Ia tidak akan menjejaskan jemaah kerana berjuang secara berjemaah itu memang banyak kebaikannya. Tanpa perlu dinas-naskan di luar konteks. Tetapi untuk menjadikan mereka yang tidak bersama jemaah kita itu sebagai salah, sesat, ia mesti dibanteras. Ia adalah barah.
Malangnya…
Jawapan sebahagian ahli jemaah mendukacitakan.
Kata mereka, “Sheikh Solāh tidak faham waqi’ (realiti) Malaysia!”
Apa kena mengenanya realiti Malaysia, dengan maksud hadith berkenaan? Jika Sheikh memahami realiti kita di Malaysia, saya fikir mungkin Sheikh akan membuat kesimpulan yang lebih keras.
Mungkin… mungkin Sheikh Solah akan bertegas mengharamkan perkaitan nas Jamā’ah al-Muslimīn dengan PAS.
Ia sungguh mengingatkan saya kepada peringatan Sheikh al-Islam Ibn Taimiyyah:
فأصل خراب الدين والدنيا، إنما هو من التأويل الذي لم يرده الله ورسوله بكلامه
“Asal usul kepada binasanya agama dan dunia ialah hasil daripada takwil yang tidak dimaksudkan oleh Allah dan Rasul-Nya di dalam kata-kata pentakwil itu…” [Petikan Ibn Qayyim al-Jawziyyah di dalam dorar.net]
Pelbagai fitnah timbul sama ada yang besar mahu pun yang kecil, kesan daripada mentakwil nas dengan makna-makna yang sedemikian rupa. Sikap yang menjadi punca utama lahirnya kelompok-kelompok melampau di dalam sejarah Islam.Semasa masih aktif di dalam perkaderan jemaah, hal ini kami usahakan agar ia diperbaiki. Jangan ajak orang kepada jemaah dengan penyalahgunaan nas. Jangan posisikan orang yang tidak memilih jemaah kita sebagai musuh. Cukuplah sekadar kita terangkan kelebihan-kelebihan yang kita ada, untuk mengajak orang bersama. Selama beberapa tahun di sekitar 2005 hingga 2008, paradigma yang lebih positif, inklusif dan mendekati maksud asal ‘jamaah’ sebagai tempat berhimpunnya manusia ini diterima secara baik dan meluas. Namun lama kelamaan, sikap-sikap lama yang sudah dibanteras dengan pelbagai cara itu dihidupkan kembali. Dan kini ia kembali mendominasi.
Sepatutnya kisah 1990’an di Jordan itu terkubur sebagai cacatan kerenah pelajar-pelajar di zaman kebudak-budakan dahulu. Namun dek penyakit yang tidak dirawat sepenuhnya, dan membiarkan ia hilang dibawa angin, angin lama itu akhirnya mendaratkan penyakit tersebut ke pesada semasa.
Menggunakan nas-nas al-Quran, al-Hadith, Sirah untuk menjustifikasikan hujah-hujah yang tidak masuk akal, mencipta istilah-istilah yang Allah haramkan di dalam surah al-Hujurat (menggelar sesama Muslim dan Mukmin dengan gelaran-gelaran buruk, selepas iman), menjadi permainan agamawan pada masa ini. Demi secebis political mileage yang mahu dicapai dalam agenda kecil, fitnah berleluasa merosakkan agama dan umat Islam.
Apa sahaja kecelaan lisan, sejelek mana pun ia di telinga orang ‘awam’, ada sahaja dalilnya, ketika pengungkapnya memakai gelaran ustaz, agamawan malah tuan-tuan guru.
Ketika kebejatan begitu berleluasa, saya tidak nampak bagaimana menukar pemimpin boleh mengubah nasib jemaah, ketika jemaah sudah kenyang menjamah kesalahan-kesalahan yang bersifat self destructive. Masalah kini bukan lagi berpaksikan isu, atau individu. Ia adalah budaya, pola pemikiran, yang mendarah daging dalam budaya impulsif media sosial.
Hakikatnya…
Kita tidak pernah putus asa dengan Islam.
Islam sentiasa segar, penuh solusi, relevan dan signifikan, kerana ia adalah apa yang Pencipta kita berikan kepada kita sebagai sistem hidup kita. Berfikir tentang Islam sentiasa menjadikan kita optimis. Yang bermasalah sentiasa sebab ia jauh dari Islam. Yang berpotensi sentiasa sebab ia dekat dengan Islam. Berbeza halnya dengan kumpulan Islam, jemaah Islam atau parti Islam. Kecewa dengan parti Islam bukan kecewa dengan Islam. Kecewa dengan parti Islam ialah apabila ia jauh daripada Islam. Sesungguhnya Allah berjanji memelihara Islam. Tetapi manusia Islam, parti Islam… ia bergantung kepada sejauh mana iltizamnya dengan Islam yang sebenar.
Islam maksum. Ada pun Muslim… tepuk dada, tanyalah sungguh-sungguh iman di dada.
Kasihan masyarakat.
SAIFULISLAM.COM
0 comments:
Post a Comment