Home » » Pilihan raya tergempar satu-satunya cara menstabilkan Selangor?

Pilihan raya tergempar satu-satunya cara menstabilkan Selangor?

Oleh Aziz Bari 


Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali telah serta-merta menolak kemungkinan membubarkan Dewan Undangan Negeri apabila bercakap kepada wartawan pada 12 Ju.n Ada yang menganggap pembubaran DUN – yang akan membuka jalan bagi pilihan raya negeri yang baru di negeri itu – sebagai cara untuk membawa kepastian dan kestabilan politik disebabkan pertelagahan yang berterusan di antara DAP dan PAS. PAS telah menamatkan muktamar tahunannya minggu lalu; yang menyaksikan kebangkitan kepimpinan baru yang mengambil pendirian yang menentang DAP.

Di atas kertas, tiada apa-apa yang memerlukan pembubaran DUN. Ini kerana Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PKR – yang mana Azmin adalah timbalan presidennya – DAP dan PAS masih mempunyai majoriti dalam DUN dengan 56 kerusi itu. Pada masa ini, PKR mempunyai 13 kerusi manakala DAP dan PAS mempunyai 15 kerusi masing-masing.

Namun begitu, politik adalah permainan apa yang mungkin dan pertelagahan di antara DAP dan PAS belum reda. Malah ia telah bertambah buruk. Dalam pada itu, retak mula muncul dalam PAS sendiri. Parti itu juga tidak dapat memuktamadkan barisan lengkapnya untuk tempoh dua tahun akan datang kerana kepimpinan barunya masih belum dapat meyakinkan calon yang kalah – yang digelar sebagai sayap progresif parti itu – untuk menyertainya.

Seorang pemimpin kem progresif yang telah memenangi kerusi pada pemilihan jawatankuasa pusat telah mempertimbangkan untuk meletakkan jawatan. Untuk menjadikan keadaan lebih buruk lagi, pada 12 Jun sekumpulan ahli dari satu cawangan PAS di Negeri Sembilan telah meninggalkan parti itu, memetik kehilangan kepercayaan terhadap barisan baru yang diketuai oleh Abdul Hadi Awang, yang mengetuai puak konservatif yang kini menguasai parti Islam itu. Kita juga perlu ingat bahawa bukan kesemua 15 ahli parlimen PAS di Dewan Undangan Selangor menyebelahi Hadi; sebenarnya Saari Sungib, ahli Hulu Kelang, dan Hasnul Baharudin di Morib bersikap agak kritikal terhadap Hadi dan golongannya.

Seperti Azmin, ahli-ahli PAS pentadbiran negeri itu – diketuai oleh ketua parti negeri itu Iskandar Abdul Samad – cuba menafikan krisis yang jelas itu dengan berkata yang semuanya baik-baik saja, dan mendakwa bahawa keadaan masih berjalan seperti biasa. Tetapi hakikatnya ialah Iskandar rapat dengan puak konservatif yang mahu memutuskan hubungan dengan DAP. Ini telah menyebabkan penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata bahawa Pakatan dengan itu telah mati dan apa yang tinggal hanyalah untuk menjalankan upacara ‘pengebumiannya’.

Kenyataan pemimpin tidak rasmi itu boleh dijangka, disebabkan sikap tidak peduli – terutamanya oleh puak konservatif PAS yang menguasai parti itu – yang ditunjukkan oleh PAS terhadap dasar bersama Pakatan. Parti itu sebaliknya telah menunjukkan tanda-tanda yang lebih rapat terhadap Umno. Sebenarnya ini yang telah terjadi secara serta-merta selepas pilihan raya umum 2008, yang membawa kepada kelahiran Pakatan Rakyat.

Seperti dalam kerajaan demokrasi Westminster lain, kerajaan semasa terikat dengan dasar yang sama dan ini dikuatkuasakan secara tegas melalui kabinet yang beroperasi berlandaskan prinsip tanggungjawab kolektif. Antara ahli-ahli biasa parlimen, ini adalah idea di sebalik kuasa whip parti yang menguatkuasakan dasar-dasar dan pendapat parti di kalangan penggubal undang-undang di parlimen, dan DUN.

Telah menjadi satu rahsia terbuka bahawa PAS telah beberapa kali melemahkan prinsip-prinsip ini. Oleh itu, agak ganjil bagi Iskandar untuk mendakwa bahawa tidak ada masalah dalam hal Selangor.

Telah dianggarkan bahawa kira-kira 5,000 ahli PAS berada dalam pentadbiran dalam pelbagai kapasiti termasuk dalam portfolio Exco Negeri, Kerajaan Tempatan, GLC negeri serta pentadbiran kampung-kampung. Atas sebab ini, dakwaan "berjalan seperti biasa" tidak masuk akal.

Bagaimanakah pentadbiran negeri boleh dijalankan apabila dasar yang sama sedang diabaikan dan diinjak-injak?

Dalam pada itu, naib presiden PAS yang baru, Nik Amar Abdullah – yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan – telah berikrar bahawa ahli-ahli PAS bersedia untuk melepaskan jawatan mereka.

Pelu dinyatakan yang di Kelantan dan Pulau Pinang, keadaannya amat berbeza dari Selangor kerana PAS dan DAP memegang majoriti. Sekiranya keadaan menjadi semakin buruk, mereka boleh memecat ahli-ahli yang degil. Tetapi di Selangor pula keadaannya tidak menentu dan mengelirukan. Satunya, menteri besarnya bukan dari parti majoriti. Malah Azmin bukannya pilihan PKR yang sebenarnya mahukan Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk menerajui kerajaan negeri itu.

Ini mungkin mewajarkan pembubaran DUN yang akan membolehkan warga negeri ini untuk menyuarakan pendapat melalui pilihan raya negeri. Seperti di Sarawak, negeri ini tidak perlu menjalankan pilihan raya negeri setelah ia menjalankan pilihan raya negeri berasingan daripada pilihan raya Parlimen.

Dr Abdul Aziz Bari adalah bekas profesor undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), yang kini mengajar di Universiti Selangor (Unisel).

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

.