Oleh Fathi Aris Omar
Abdul Hadi Awang kekal sebagai presiden bersama timbalannya yang baru, Tuan Ibrahim Tuan Man. Keputusan ini tidak mengejutkan dan tidak pula menunjukkan perubahan mendalam PAS.
Perubahan besar ini tidak akan difahami jika kita hanya meneliti sikap PAS setakat krisis Selangor tahun lalu atau pergeseran apa yang dinamakan kumpulan "profesional" berdepan geng "ulama".
Krisis yang pada asalnya kabur ini bermula daripada beberapa persoalan: (a) wajarkah PAS bekerjasama dengan parti lain, (b) jika bekerjasama, wajarkah PAS meleburkan idealismenya dan menjadi rakan kongsi yang sama rata atau dominan, dan (c) kerjasama yang bagaimana dapat meningkatkan idealisme Islam ala PAS.
Untuk menyimpulkan PAS menolak kerjasama, saya kira hujah ini dangkal. Di sepanjang sejarahnya, PAS atau aliran-aliran utama dalam parti itu (termasuk semangat Hizbul Muslimin di Semanggol, Perak) selalu percaya pada kerjasama.
Tetapi ada satu masalah pokok dalam rumusan kerjasama PAS. Iaa yakin hanya parti itu layak mengetuai atau mendominasi kerjasama atas keyakinan mereka bahawa idealisme Islam itu menuntut kerjasama seumpama itu.
Yakni, Islam mesti memimpin atau menguasai, maka parti Islam yang "sebenar-benarnya" mestilah dalam posisi menguasai rakan-rakan kongsinya.
Beginilah cara berfikir golongan ulama dalam PAS dan mereka yang bersetuju dengan aliran ini. Lihat cara Dewan Ulama merumuskan usul memutuskan kerjasama dengan DAP tetapi mahu kekal dalam Pakatan Rakyat (yakni dengan PKR sahaja).
Dan, mereka yang percaya pada aliran inilah yang menguasai barisan kepemimpinan baru PAS dalam pemilihan parti minggu lalu.
Terpaksa menurut kata
Tetapi realpolitik pula tidak meletakkan PAS dalam kedudukan itu, yakni posisi seperti Umno menguasai, dan sekali gus "independen", dalam kerjasama itu.
PAS tidak berada dalam posisi dominan dan mendominasi yang membolehkannya berbuat sesuka hati, malah selalu harus menurut kata rakan-rakannya seperti BN, Parti Melayu Semangat 46, DAP atau PKR.
Lihat tokoh nasional yang memimpin gabungan itu. Dulu Abdul Razak Hussein, kemudian Tengku Razaleigh Hamzah dan kini Anwar Ibrahim; bukannya presiden-presiden PAS.
Malah situasi politik yang mendorong kerjasama itu pula bukanlah akibat pengaruh besar atau kehebatan PAS tetapi faktor lain di luar parti itu.
Di mata pengundi pula, karisma atau idealisme pemimpin PAS sering dibayangi oleh Abdul Razak, Tengku Razaleigh dan Anwar yang mengetuai – secara zahir atau simbolik – gabungan-gabungan tersebut.
Jadi, orang ramai tidak nampak apa perlunya presiden PAS memimpin sesuatu gabungan atau hanya idealisme Islam ala PAS layak menguasai gabungan.
Maka, atas senario politik itu dan tanggapan umum ini, PAS awal-awal lagi kehilangan tapak moral atau keabsahan politik yang membolehkannya dictate sesuatu gabungan.
Tetapi ia tetap memaksa-maksa diri untuk berbuat demikian, seolah-olahnya tidak sedar diri statusnya yang tidak cukup memikat bagi melayakkan berada di posisi itu.
Penguasaan melalui agenda umum
Namun, golongan pemimpin yang tewas ini sedar posisi lemah, atau secondary role, PAS dan mahukan "tempoh peralihan" melalui kerjasama tersebut.
Sebagai Islamis fundamentalis, golongan yang digelar "profesional" ini juga mahu PAS dalam posisi menguasai gabungan dan mereka juga sedar Islam sebagai idealisme yang menguasai (dictate) manusia dan negara.
Tetapi berbeza dengan aliran proulama yang melihat persoalan penegakan hukum dengan segera (hudud, misalnya), aliran profesional percaya pada tempoh transisi ini melalui agenda umum seperti negara berkebajikan, "PAS for all", pemulihan demokrasi, tadbir urus yang baik dan pembanterasan rasuah.
Aliran ulama percaya semua ini – negara berkebajikan, "PAS for all", pemulihan demokrasi, tadbir urus yang baik dan pembanterasan rasuah – boleh dicapai melalui penegakan syariah Islam, termasuk hudud dan Islamisasi meluas.
Aliran ulama percaya penegakan hukum perlu disegerakan kerana Islam sudah sempurna dan idea ini sudah lama tertangguh. Tiada lagi kompromi atau akomodasi.
Sementara golongan profesional melihat sebaliknya. Mereka percaya agenda-agenda ini – negara berkebajikan, "PAS for all", pemulihan demokrasi, tadbir urus yang baik dan pembanterasan rasuah – perlu diutamakan kerana ia sebahagian proses akomodasi atau kompromi dalam gabungan.
Tiada keabsahan politik
Pakatan Rakyat tidak melihat hudud sebagai keutamaan, maka demi meraikan gabungan, penegakan hukum itu wajar ditangguhkan.
Penangguhan itu berpunca daripada kesedaran aliran profesional pada hakikat bahawa PAS awal-awal lagi tiada tapak moral atau keabsahan politik untuk membolehkannya menguasai gabungan.
Aliran profesional melihat PAS belum berada dalam "primary role" gabungan, ia tidak berada dalam posisi dominan dan mendominasi yang membolehkannya menentukan arus utama gabungan.
Jika dilihat pada sirah Nabi, satu sumber ideologi gerakan politik Islam, posisi PAS bukan di peringkat memerintah seperti era Madinah tetapi masih di peringkat mencari-cari gabungan sesuai antara period Mekah dan Madinah.
Dalam sirah, proses ini tidak begitu jelas kerana ia berlaku di dua lokasi berbeza. Tetapi dalam konteks demokrasi hari ini, konsep hijrah Mekah-Madinah ini berlaku di tempat yang sama, yakni Malaysia!
Atas kekeliruan tafsir ideologi yang kabur inilah, maka kita temui dua aliran besar dalam PAS: Satu kita namakan aliran proulama dan satu lagi aliran bukan ulama yang mahu teruskan kesatuan dengan Pakatan Rakyat.
Ke manakah arah dua aliran tersebut selepas ini?
FATHI ARIS OMAR aktivis media bebas dan penulis buku Agong Tanpa Tengkolok
0 comments:
Post a Comment