Home » » Pegawai eksekutif PAS semua geng ‘Ad Din’

Pegawai eksekutif PAS semua geng ‘Ad Din’

Oleh Mohd Sayuti Omar

Mesyuarat pertama ahli jawatankuasa PAS baru-baru ini tidak mengumumkan nama yang mengisi jawatan pegawai eksekutif parti seperti setiausaha agung, bendahari, ketua penerangan dan juga pengarah pilihan raya.

Katanya pengumuman lantikan itu akan dibuat pada 21 Jun depan. Serentak itu juga akan dibuat 6 pelantikan sebagai AJK tambahan daripada kalangan mereka yang tewas dalam perebutan jawatan pada muktamar lalu.

Bagaimana pun dari apa yang difahamkan, nama-nama untuk mengisi jawatan eksekutif berkenaan pun dibuat ataupun dikenal pasti. Untuk jawatan setiausaha agung seperti mana yang dispekulasikan, Ahli Parlimen Kota Baru Datuk Takiyuddin Hassan dilantik untuk mengisi jawatan berkenaan.

Penyandang jawatan itu sebelum ini Datuk Mustafa Ali yang dianggap sudah lapuk dan tidak relevan lagi tidak dibiarkan begitu sahaja. Beliau yang menjadi mentor politik kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang masih lagi diperlukan. Mustafa dilantik menjadi pengarah pilihan raya PAS. Pelantikan Mustafa sebagai mengganti Dr Mohd Hatta Ramli itu dilihat bagi membolehkan Mustafa berada dalam Dewan Eksekutif PAS, Dewan Harian yang terlibat dengan membuat dasar dan polisi baharu serta meletakkan PAS pada hala tujuan semasa. Mustafa dilihat akan menjadi penasihat eksekutif politik kepada Hadi dan dewan eksekutif itu sekali.

Untuk jawatan bendahari, katanya Exco Kelantan Che Abdullah Che Nawi diangkat untuk memegang jawatan berkenaan. Pelantikan Abdulah itu yang satu kawasan dengan Timbalan Mursyidul Am Datuk Datuk Ahmad Yaakob dilihat sebagai membantu menteri besar Kelantan itu.

Kehadirannya lebih kepada untuk menongkat Ahmad terutama untuk membayangi pengaruh politik Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah di Kelantan yang juga menjadi ahli Dewan Harian.

Bagi jawatan ketua penerangan pula, Nasarudin Hassan diberi kepercayaan untuk mengetuai Jabatan Penerangan PAS. Pelantikan itu mungkin pimpinan baru PAS teruja dengan ucapan dan kesediaan ahli Parlimen Temerloh itu untuk menggunakan siku dan lutut dalam berhadapan dengan ancaman dan serangan daripada DAP.

Pengisian jawatan berkenaan yang semuanya terdiri daripada geng “Ad Din”, menunjukkan pimpinan baru sudah berkerat arang dan berpatah arang dengan golongan prolib. Walaupun kemungkinan daripada 6 AJK yang akan dilantik terdiri daripada geng prolib tetapi peranan mereka sangat terhad.

Situasi ini menjelaskan pimpinan baru tidak mengambil kira kebolehan dan juga track record bekas-bekas penjawat jawatan eksekutif sebelum ini termasuk dua orang Naib Presiden Salahudin Ayub dan Datuk Husam Musa.

Dipercayai walaupun Husam atau Salahuddin akan dilantik mengisi sebagai AJK tambahan besar kemungkinan mereka akan menolak atas alasan untuk memberi peluang kepada pimpinan baharu menunjukkan kemampuan mereka dan juga menyenangkan pimpinan baru mentadbir tanpa ada gangguan atau pun pandangan-pandangan berbeza (profesional) daripada mereka.

Dalam pada itu beberapa Pesuruhjaya negeri juga turut sama dibentuk. Ketua Dewan Ulama Mahfodz Mohamad dilantik memegang jawatan pesuruhjaya PAS Johor menggantikan Amiru Huda yang dikaitkan sebagai pro prolib.

Manakala Amiruddin Hamzah pula diberi tanggungjawab untuk memegang jawatan pesuruhjaya PAS Kedah mengganti tempat Mahfuz Omar. Kedudukan pesuruhjaya di lain-lain negeri dijangka tidak berubah. – msomelayu.blogspot.com

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

.