Home » » Tidak timbul isu pengganti sehingga tamat tempoh sesi Majlis Syura Ulamak 2011 - 2015.

Tidak timbul isu pengganti sehingga tamat tempoh sesi Majlis Syura Ulamak 2011 - 2015.

Oleh Zul Hazmi 

Saya ingin menyatakan di sini bahawa kenyataan tersebut adalah tidak tepat malah bertentangan
dengan Perlembagaan PAS. Saya hairan bagaimana seorang yang memegang jawatan Timbalan Mursyidul Am tidak faham atau keliru dengan kedudukan beliau serta Majlis Syura Ulamak di sisi Perlembagaan PAS.

Untuk makluman Dato' Dr Haron, ahli-ahli MSU dan seluruh ahli PAS, institusi Majlis Syura Ulamak tidak ada tempoh tamat atau penggal pentadbiran seperti Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (JKPP) mahupun Dewan-Dewan di dalam PAS.

Majlis Syura Ulamak PAS (MSU) yang ditubuhkan mengikut Fasal 8 Perlembagaan PAS tidak mempunyai jangka hayat tertentu. MSU adalah suatu institusi berpanjangan yang kekal selagi mana Perlembagaan PAS dan PAS itu sendiri wujud. Tidak ada suatu fasal di dalam Perlembagaan PAS mengatakan bahawa MSU mempunyai tempoh hayatnya.

Apa yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan hanyalah tempoh hayat seseorang ahli Majlis Syura atau pemegang jawatan di dalam Majlis Syura.

Fasal 8 (5) Perlembagaan PAS menyebutkan bahawa ahli-ahli Majlis Syura 'Ulamak itu hendaklah memegang jawatannya selama lima tahun. Walau bagaimanapun ahli-ahli majlis ini boleh berhenti sebelum cukup tempoh lima tahun dan boleh diberhentikan oleh Majlis Syura 'Ulamak yang mempunyai kuasa menentukan kelayakan seseorang ahli mengikut peruntukan Ceraian (3) Fasal ini dan sebab-sebab seseorang ahli itu patut diberhentikan.

Begitu juga peruntukkan Fasal 8 (6) dan Fasal 8 (7) yang menyatakan bahawa Mursyidul Am, Timbalan Mursyidul Am dan Setiausaha Majlis Syura Ulamak memegang jawatan untuk tempoh lima (5) tahun.

Mursyidul Am, Timbalan Mursyidul Am, Setiausaha dan ahli-ahli MSU hanya berhak memegang jawatan untuk tempoh lima (5) tahun melainkan mereka diperbaharui lantikan mereka oleh pihak yang melantik.

Untuk menjadi Ahli Majlis Syura Ulamak, seseorang itu hendaklah dilantik oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (JKPP), Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP), Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP), Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) dan oleh ahli-ahli Majlis Syura sendiri.

JKPP dan DUPP masing-masing berhak melantik empat (4) orang ahli MSU manakala DPPP dan DMPP masing-masing berhak melantik dua (2) orang yang membawa kepada jumlah dua belas (12) orang. Seterusnya dua belas (12) ahli yang telah dilantik tadi berhak melantik tidak lebih lima (5) ahli lain melalui mesyuarat mereka. Jumlah keseluruhan ahli MSU ialah tidak lebih tujuh belas (17) orang. Ini disebutkan di Fasal 8 (4) Perlembagaan PAS.

Kemudian seluruh ahli MSU akan bermesyuarat bagi melantik seorang ketua yang dinamakan Mursyidul Am dan seorang timbalan ketua yang dinamakan Timbalan Mursyidul Am.

Kesemua ahli MSU termasuk Mursyidul Am dan Timbalan Mursyidul Am serta Setiausaha MSU memegang jawatan untuk tempoh lima (5) tahun tetapi MSU itu sendiri tiada tamat tempoh kerana ahli-ahli MSU tidak dilantik secara serentak. Ada di kalangan ahli MSU baru sahaja dilantik tahun ini maka tempoh pegangan jawatan itu tamat dalam masa lima (5) tahun.

Atas sebab itu, MSU tidak ada penggal sesi seperti yang difahami oleh Dato’ Dr Haron. Timbalan Mursyidul Am pun gagal memahami Perlembagaan parti sendiri, sedihnya.

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

Follow by Email

.