Home » » PAS perlu keluar daripada ‘politik buluh kasap’,

PAS perlu keluar daripada ‘politik buluh kasap’,

Penulis veteran PAS, Subky Latif menyifatkan cadangan sesetengah pihak agar sesetengah ahli meninggalkan parti ekoran pertembungan dalaman sebagai tidak bijak dan merupakan “politik buluh kasap”.

Buluh kasap adalah merujuk kepada pepatah Melayu berbunyi "perniagaan buluh kasap, untung tiada modal lesap" yang membayangkan kerja sia-sia.

"Tidak bijak berusaha keras dapatkan ahli Umno jadi PAS tapi suruh pula ahli PAS keluar parti. Jangan jadi politik buluh kasap," tulis Subky dalam portal milik PAS Harakahdaily.


Subky dipercayai merujuk kepada kenyataan beberapa pimpinan PAS yang mencadangkan sesetengah ahli meninggalkan parti itu termasuk menubuhkan parti lain.

Cadangan terbaru datang daripada Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS Dr Zuhdi Marzuki yang mencadangkan agar sesetengah ahli menubuhkan parti baru dan meninggalkan parti Islam itu.

Sebelum ini Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga membuat cadangan sama ketika dalam ucapan penggulungan di Muktamar PAS ke-60 di Batu Pahat tahun lalu.

Dalam ucapan itu, Hadi berkata, mereka yang tidak bersetuju dengan kepimpinan PAS yang ada dan mahu menjadi pemimpin juga boleh "cari tanah lain, bina masjid sendiri dan jadi imam sendiri".

Menurut Subky, ketika beliau mula terlibat dalam PAS keahliannya sekitar 200,000 orang sahaja.

"Amat sakit untuk mencapai keahlian setengah juta semasa menyambut ulang tahunnya ke-40 tahun 1991. Sasaran itu hampir tercapai semasa sambutan jubli emas tahun 2001, tahun kematian Ustaz Fadzil," katanya merujuk kepada bekas Presiden PAS Datuk Fadzil Mohd Noor.

Tulisnya, bukan senang untuk dapat seorang dua menyertai PAS daripada satu ceramah.

"Dua hari Ustaz Fadzil meninggalkan rumah di Alor Setar untuk berceramah satu jam di Temerloh. Beribu orang hadir. Belum tentu lima orang menyertai PAS selepas ceramah. Ustaz Hadi jadi tumpuan ramai masa itu.

Daripada belasan ribu yang mendengarnya tak sampai 10 masuk PAS," tulisnya.

Menurut Subky, limpahan manusia mendengar ceramah Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan kemudian besar minat orang kepada ceramah Mohamad Sabu, belum tentu ramai pendengar mengisi borang PAS.

"Demikian payahnya untuk mendapat seorang dua daripada ceramah saya yang tidak ramai pendengar.

"Kami tiada kuasa untuk menjadikan orang ramai itu menyertai PAS. Kami boleh memberi penerangan. Allahlah yang menggerakkan hati mereka menyertai PAS," katanya.  

Menurut bekas wartawan itu, keahlian PAS kini sudah mencecah sejuta.

"Saya pun tidak tahu bagaimana parti Pak Lebai dulu kini jadi parti sejuta orang dan parti untuk semua orang. Bukan senang untuk dapat menjadi parti orang Melayu/Islam yang bersaing dengan Umno," katanya.

Menurut Subky, beliau sendiri tidak arif bagaimana keahlian jadi seramai itu. Tetapi PAS kini merupakan parti yang besar dan disegani oleh semua.

"Sewajarnya ahli-ahli PAS bersyukur kerana parti yang payah dapat seorang daripada setiap ceramah kini boleh jadi parti sejuta orang," tulisnya lagi.

Apabila parti itu sudah besar, tulis penulis veteran itu lagi, maka besar jugalah masalahnya.
Tetapi, katanya, dengan besarnya parti itulah yang melayakkannya menggantikan Umno. Itulah kempen PAS sekarang iaitu parti pilihan orang yang tidak mahu dan tidak suka lagi pada Umno, katanya.

"Tetapi kalau setengah yang berada dalam PAS disuruh keluar pula daripada PAS, maka tidak dapatlah kita menggantikan Umno.

"Saya tahu susahnya untuk dapat seorang dua ahli, tidaklah wajar setelah ada sejuta, disuruh pula setengahnya tinggalkan PAS.

"Ia bukan cara dan politik menyelesaikan masalah," tulis beliau.

Menurutnya, jika ada yang tidak mahu Hadi jadi pemimpin, biarkan mereka calonkan sesiapa.
"Tapi saya pun tidak percaya ada yang sedia jadi calon. Adakah dalam PAS ada Haji Sulaiman Palastine yang sanggup cabar Hussein Onn? Banyak juga undi diperolehnya, tetapi dia kalah," katanya.

Menurutnya, pencabar Hadi mencatat sejarah, tapi sejarah itu berakhir pada hari pemilihan.
"Yang mencabar itu mungkin ada silap dan betulnya. Tapi jika mereka silap pun, mereka adalah ahli PAS.

"Sebelum mereka disuruh keluar, PAS beri peluang ikut majoriti seperti Tunku tawarkan komunis menyerah diri. Kerana ramai yang tak menyerah diri, barulah Tunku perang mereka habis-habisan," tulisnya merujuk kepada perdana menteri pertama Tunku Abdul Rahman.- themalaysianinsider.com

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

.