Oleh Khalid Samad
Muktamar
PAS ke-61 telah berakhir pada hari Sabtu 6 Jun 2015. Saff pimpinan baru
yang dipilih menjanjikan satu perubahan dan perbezaan berbanding yang
sebelumnya. Ada yang menamakan perubahan saff kepimpinan sebagai
kejayaan mengembalikan PAS kepada “landasan yang betul”; kononnya
berubah kembali seperti asalnya. Kata-kata ini seolah-olah menuduh
pimpinan sebelum ini telah menyimpang dari landasan asal PAS.
Maka ahli menunggu-nunggu supaya pembaharuan dan perbezaan ini
dizahirkan. Pada masa sama, mereka menunggu juga penjelasan berhubung
penyimpangan yang telah dilakukan pimpinan lama. Mereka ingin tahu
samada pendekatan Almarhum TGYR, UFN dan TGNA turut dianggap sebagai
suatu penyimpangan dari landasan asal PAS.
Namun walau apa pun, yang menjadi bahan perbahasan dewasa ini, setelah
lebih seminggu pimpinan baru memegang tampuk kepimpinan adalah 3
persoalan besar berhubung dengan muktamar Ke-61, iaitu:
1. Usul Dewan Ulama PAS Pusat yang menuntut dan mendesak AJK PAS Pusat
dan Majlis Syura Ulama memutuskan hubungan dan kerjasama dengan DAP
sambil mengukuhkan PR bersama PKR,
2. Keperluan untuk kumpulan pegawai yang dilantik oleh kerajaan Pulau Pinang meletak jawatan atau sebaliknya dan
3. Perletakan jawatan Saudara Mazlan Aliman dan penolakan jawatan oleh beberapa bekas pimpinan apabila ditawarkan jawatan.
USUL DEWAN ULAMA PAS PUSAT
Persoalan usul DUPP ini terus dipolemikkan oleh saff pimpinan baru.
Seolah-olah ingin lari dari kenyataan. Ianya merupakan persoalan yang
akan menentukan hidup mati PR tetapi malangnya satu kata putus masih
tidak mampu diberikan oleh saff pimpinan baru.
Ketua Pemuda pula mula mengejek DAP dengan jolokan seolah-olah DAP
adalah perempuan yang tak boleh melafazkan Talaq dan hanya mampu
menunggu dicerai. Tetapi mungkin dia lupa bahawa PAS sekarang ini yang
dilihat ‘terencat tindakan’ kerana dibuatnya usul tetapi tidak berani
melaksanakannya. Oleh itu, dikhuatiri jolokan yang sama lebih tepat
diguna-pakai terhadap PAS sendiri!
Lebih-lebih lagi apabila Talaq seolah-olah disebut tetapi dianggap tidak
tersabit. Maka siapa lelaki dan siapa perempuan? Akhirnya DAP menyebut
cerai maka adakah ianya mengesahkan bahawa PAS adalah sebagai isteri
dalam hubungan PR ini?
Jolokan dan ejekan merupakan kegembiraan manusia berpemikiran
kebudak-budakan. Yang berfikiran matang inginkan penyelesaian terhadap
masalah, bukan jolokan dan ejekan. Yang kebuntuan juga biasanya gemar
dengan kata-kata ejekan dan jolokan ini. Samada mereka tidak tahu jalan
penyelesaian atau sememangnya tidak inginkan suatu penyelesaian!
Bagi saya, usul DUPP telah muktamad. Ianya diluluskan oleh muktamar.
Muktamar meliputi semua. Hadir di dalamnya sebagai perwakilan adalah
anggota MSU, AJK PAS Pusat, kesemua Dewan dan pimpinan dari setiap
kawasan. Maka apa perlunya usul itu dibawa balik ke MSU dan AJK PAS
Pusat? Sedangkan MSU dan AJK PAS Pusat hadir bersama dan telah
meluluskannya bersama! Adakah mereka meluluskan dalam muktamar tetapi
menolaknya bila di luar? Atau masih ada yang tidak memahami istilah
“lulus tanpa bahas”? Tanpa disedari, mereka juga telah turut
meluluskannya?
Saya harap pimpinan segera melaksanakan usul yang telah diluluskan itu.
Jangan sampai dikatakan mengenai PAS, “peraturan dan kehendak ahli parti
sendiri pun tidak difahami dan dihormati, adakah mungkin dihormati
peraturan dan ahli parti lain?”
Jangan berdolak dalih lagi. DAP kononnya menghina Islam, PAS dan
Presiden PAS. Itu yang didakwa dan itu juga yang dipersetujui muktamar.
Tidakkah PAS akan dituduh tiada maruah kalau terus ingin bersama dengan
parti sedemikian rupa?
Sebelum saya meninggalkan tajuk muktamar ke 61, ada satu soalan yang
ditanya saya yang saya tidak mampu menjawabnya. Soalannya ialah;
“Sepanjang muktamar PAS ke-61 perwakilan zahirkan kemarahan kerana
Presiden kononnya dihina oleh parti DAP. Tetapi tidakkah PAS sedar
bahawa PAS juga pernah menghina Presiden parti PKR?”
Saya berdiam diri dan tidak mampu menjawab. Sudah pasti akan dituduh tidak membela Presiden.
PERLETAKAN JAWATAN OLEH PEGAWAI KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG
Ada yang turut mempertikaikan keperluan meletak jawatan di Pulau Pinang.
Mereka turut menuduh Mat Sabu gelojoh dan tidak mendengar arahan
pimpinan. Mereka berhujjah “kami dilantik atas ‘kemenangan PR’ maka
tidak wajar kami dipaksa letak jawatan kecuali DUN Pulau Pinang
dibubar”.
Saya sebenarnya turut merasa kesian kepada golongan seperti mereka ini.
Siang malam mengutuk DAP dan dengan itu secara tidak langsung PR, tetapi
berselindung di sebalik PR demi mengekalkan jawatan mereka! Tidakkah
mereka sedar betapa janggalnya tindakan mereka itu? Sedangkan ini
merupakan persoalan kerajaan Negeri dan bukan berhubung parti politik
atau gabungan parti politik seperti PR!
Adalah perlu bezakan struktur organisasi PR dan kerajaan Negeri. Dalam
struktur kerajaan Negeri, Ketua Menteri adalah ketuanya. Apabila Ketua
Menteri menasihati semua ahli PAS untuk meletak jawatan dari kerajaan
Negeri, kerana telah memutuskan hubungan dan kerjasama dengan DAP, ianya
perlu diterima sebagai arahan ketua kerajaan Negeri.
Ianya sama sahaja dengan tindakan TSKI memecat exco PKR dan DAP semasa
krisis Menteri Besar dulu atas alasan mereka tidak lagi menyokongnya.
Sepertimana tindakan TSKI diterima sebagai sesuatu yang dilakukan
mengikut bidang kuasanya, maka begitu juga dengan tindakan Ketua Menteri
Pulau Pinang. Beliau boleh memecat semua kalau diinginkannya tetapi
memberi peluang untuk yang terlibat meletak jawatan. Itu adalah lebih
bermaruah.
Oleh itu, tindakan Mat Sabu dan Dr. Mujahid adalah tepat dan bermaruah.
Saya harap semua ahli PAS yang terlibat akan mengikuti contoh mereka dan
dengan itu menjaga nama baik dan maruah PAS.
PERLETAKAN DAN PENOLAKAN JAWATAN OLEH MAZLAN DAN MANTAN PIMPINAN PAS
Ada yang terkejut dengan tindakan Mazlan Aliman dan mantan pimpinan yang
menolak jawatan apabila ianya ditawarkan. Sememangnya ini merupakan
suatu tindakan yang tidak pernah dilakukan sebelum ini. Tetapi suasana
sekarang berbeza dengan sebelum ini. Maka tidak hairan sekiranya
tindakan susulan juga berbeza.
Mereka yang tidak berada di dalam ‘chai’ DUPP pada hakikatnya tidak
diingini oleh ‘team’ yang telah menang. Ini hakikatnya. Mereka ‘satu
geng’ dan tidak boleh geng dengan yang lain. Apabila bukan ‘satu geng’,
maka berbagai perkara yang boleh dilakukan terhadap dirinya sekiranya
hadir bersama dalam AJK PAS Pusat.
Sebagai contoh, sekiranya maklumat mesyuarat dibocorkan, maka yang tidak
‘satu geng’ akan dituduh sebagai yang membocorkan walaupun tanpa bukti.
Beliau akan dibicara dan dijatuhkan hukuman di alam maya. Ini semua
dilakukan tanpa proses pengadilan yang telus dan adil. Tanpa diberi
peluang membela diri, beliau akan dipersalahkan. Pada ketika itu tiada
siapa akan membelanya walaupun semua tahu bahawa tuduhan tersebut tidak
dibuktikan. Ini adalah apa yang telah berlaku sebelum ini.
Kes Syed Azman berhubung Ijtima’ Antarabangsa di Rusila adalah contoh
yang jelas. Beliau difitnah di alam maya dengan tuduhan mensabotaj
Ijtima’ tersebut. Ini adalah kerana beberapa pimpinan gerakan Islam
telah kembali ke Kuala Lumpur sebelum Ijtima’ itu bermula. Dalam
mesyuarat AJK PAS Pusat isu ini dijelaskan dan semua memahami bahawa
pada hakikatnya Dr. Syed Azman telah banyak membantu menjayakan Ijtima’
tersebut. Ini termasuklah kesanggupan beliau menunda tarikh program asal
yang melibatkan pimpinan gerakan Islam ini kepada tarikh yang sesuai
untuk Ijtima’ diadakan. Dan juga untuk ianya diadakan di Rusila.
Permulangan awal beberapa pimpinan bukan salah Dr. Syed Azman tetapi
atas sebab kehendak pimpinan berkenaan atas sebab-sebab tertentu. Namun
pimpinan PAS tidak membela Dr. Syed dari terus dicemuh. Keenganan
membela Dr. Syed kemungkinan besar adalah atas sebab beliau bukan ‘satu
geng’. Maka oleh itu Dr. Syed terus dicemuh hingga ke hari ini.
Pada masa yang sama, tidak dinafikan, pendekatan dan kaedah saff
pimpinan baru agak berbeza. Ada yang mengelarkannya sebagai pendekatan
‘siku dan lutut’ serta ‘mencakar’. Oleh itu adalah dianggap lebih baik
mereka dibenarkan melaksanakan perancangan mereka tanpa diganggu
‘anggota geng lain’ yang tidak disenaraikan dalam chai tersebut.
KESIMPULAN
Akhirnya boleh disebut bahawa pencapaian paling cemerlang saff pimpinan
baru buat masa ini adalah berakhirnya PR. Kejayaan yang memakan masa
bertahun untuk dibina sememangnya boleh diruntuhkan dalam sekelip mata.
Sama seperti bangunan yang indah memakan masa bertahun untuk dibina
tetapi boleh dirobohkan dalam hanya sehari.
Bagi yang melihat PR sebagai sesuatu yang menghalang kemaraan PAS, sudah
pasti perkembangan mutakhir ini membanggakan. Bagi yang melihat PR
sebagai yang mampu membantu PAS terus mara di mata rakyat, ianya
perkembangan yang menyedihkan; dan saya turut bersedih bersama mereka.
WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD
Gojek: Inikah janji 1 juta peluang pekerjaan?
-
*KEBELAKANGAN* ini, timbul isu hangat berkenaan gojek selepas cadangan yang
dikemukakan oleh Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq untuk
memperkenalkannya ...
4 years ago
0 comments:
Post a Comment