Home » » Fadzil Noor ....... Presiden PAS tidak semestinya ulama.

Fadzil Noor ....... Presiden PAS tidak semestinya ulama.

Oleh Dinsman

Alkisahnya kemasukan golongan bukan ulama khususnya profesional ke dalam PAS berlaku secara agak besar di zaman Reformasi, iaitu zaman kebangkitan rakyat berikutan Anwar dizalimi oleh Tun Dr Mahathir Mohamad (1998), dan zaman yang menyaksikan kegemilangan pimpinan Datuk Fadzil Noor sebagai Presiden PAS.

Ustaz Fadzil waktu itu mengalu-alukan kemasukan para profesional dan intelektual menjadi ahli PAS. Bahkan sikapnya yang terbuka dan sanggup mengambil risiko membawa PAS berjuang menuntut keadilan buat Anwar itu adalah faktor utama mengapa ramai golongan profesional dan intelektual masuk PAS. Dan itulah juga faktornya yang mengubah pandangan negatif masyarakat bukan Islam terhadap PAS menjadi positif.

PAS sejak peristiwa Reformasi di zaman Ustaz Fadzil itu sudah mendapat wajahnya yang baru, tanpa mengubah dasar kepimpinan ulamanya. Saya sempat beberapa kali bersama dengan Ustaz Fadzil dalam pentas ceramah (saya baca puisi), majlis makan malam dan sesi wawancara untuk majalah Detik.

Masih ingat lagi dalam sesi wawancara itu saya bertanya apakah mungkin pada suatu hari nanti PAS akan dipimpin oleh presiden yang bukan ulama? Tanpa teragak-agak beliau menjawab: Ya, mungkin.

Lalu bagaimana dengan dasar kepimpinan ulama? Tanya saya. Dan jawapan Ustaz Fadzil kepada soalan inilah yang kembali bangkit dalam memori saya sebagai reaksi kepada kempen golongan ulama PAS hari ini yang cuba mengawal seboleh-bolehnya agar semua pimpinan PAS peringkat atasan terdiri daripada golongan ulama.

Apa jawapan Ustaz Fadzil itu? Jawabnya: Dasar kepimpinan ulama di dalam PAS bukan bermakna yang presiden PAS semestinya ulama, dan orang yang bukan ulama tidak boleh sama sekali menjadi Presiden PAS walaupun dia layak dan mendapat kepercayaan ahli-ahli.

Jelas Ustaz Fadzil lagi: PAS sudah menetapkan dasar-dasarnya dan PAS mempunyai Majlis Syura Ulama yang menjadi pengawal kepada dasar-dasar kepimpinan ulama di dalam PAS. Siapa sahaja yang menjadi presiden mesti patuhi dasar-dasar tersebut dan mesti tunaikan amanah ahli-ahli PAS kepadanya agar melaksanakan dasar-dasar Islam yang telah termaktub; manakala yang memerlukan ijtihad pula akan dilakukan oleh Majlis Syura.

Lebih kurang begitulah penjelasannya. Kita boleh dapatkan penjelasan tersebut secara verbatim kalau kita merujuk kepada majalah Detik yang berkenaan. Saya tidak ingat lagi tarikhnya dan saya pun tidak simpan naskah tersebut. Tetapi saya pasti dan positif, begitulah yang dimaksudkan.

Hal ini telah pun saya nyatakan kepada beberapa orang kawan apabila ditimbulkan perkara krisis atau konflik antara ulama dan profesional di dalam PAS sejak pemergian Ustaz Fadzil ke alam baqa, dan jawatan presiden itu disandang oleh Hadi.

Soalnya, kenapakah golongan ulama di dalam PAS selepas era Ustaz Fadzil menjadi tidak mesra dengan golongan yang bukan ulama sebagai pemimpin?

Kalau Ustaz Fadzil pernah menegaskan demikian mengenai dasar kepimpinan ulama itu, maka siapakah pula yang membuat tafsiran berbeza daripada itu selepas ketiadaan beliau? Dan kenapakah pula terjadi demikian?

Saya kira masalahnya ialah masalah keyakinan diri. Ustaz Fadzil begitu sekali percaya dan yakin kepada struktur dan sistem kepimpinan dalam organisasi PAS yang dipimpinnya, menyebabkan dia tidak sedikit pun bimbang kepada masa depan kepimpinan ulama di dalam PAS.

Dan tidak kurang pentingnya ialah keyakinan diri yang ada pada pada ulama dalam kepimpinan PAS waktu itu, khasnya mereka yang menduduki Majlis Syura Ulama. Keyakinan diri itu menyebabkan tidak timbul kebimbangan atau rasa terancam oleh kehadiran ramai golongan profesional.

Apabila golongan ulama melancarkan kempen (ala-ala Umno itu) untuk mengawal dan memastikan agar calon-calon dari kalangan mereka yang dilantik ke jawatan atasan dalam pimpinan, itu jelas menunjukkan bukan sahaja mereka kurang yakin dengan kelayakan mereka sendiri tetapi juga menunjukkan bahawa mereka mendahulukan kepentingkan politik lebih daripada kepentingan agama.

Maka di situlah bermulanya kecelaruan di dalam kepemimpinan PAS. Dan apabila itu berlaku di kalangan ahli-ahli Majlis Syura Ulama sendiri maka bayangkanlah. Ia umpama virus yang merosakkan. Tidak hairanlah hari ini imej ulama pada keseluruhannya begitu menyedihkan sekali. Masyarakat seperti sudah hilang kepercayaan kepada ulama.

Sesungguhnya ini suatu tragedi yang perlu segera disembuhkan. Kembalilah segera kepada kepentingan agama, dan kurangkanlah berpolitik di dalam parti.

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

.