Home » » Jangan lukakan imej PAS kalau sayang parti

Jangan lukakan imej PAS kalau sayang parti

Oleh TUAN IBRAHIM TUAN MAN 

MENJELANG muktamar ini, timbul golongan dan individu tertentu mendakwa kononnya segala
tindakan dan teguran terbuka mereka adalah untuk menyelamatkan parti termasuklah mereka yang menyamar di sebalik Facebook tidak dikenali siapa pemiliknya – akan tetapi, tindakan mereka sekadar untuk menaikkan nama sendiri dan golongan tertentu tanpa mempedulikan peluru hidup yang diberikan kepada musuh dan luka parah terhadap parti dan imejnya pada jangka panjang.

Kadang-kadang pemimpin atasan tidak memberi respon balas secara terbuka, bukan kerana tindakan itu tidak patut ditegur, tapi kerana yang terluka daripada semua balas-membalas kenyataan ini ialah parti. Luka sedemikian amat susah dipulihkan.

Contohnya, membuat dakwaan rambang terhadap masa depan PAS berdasarkan apa yang berlaku di PRK Permatang Pauh adalah tidak tepat. Jika begitu caranya, mengapa tidak membuat kesimpulan terhadap kerjasama yang baik di PRK Rompin terhadap masa depan PAS? Bukankah itu lebih positif?

Dalam keadaan PAS menghadapi PRK Rompin, PAS sanggup membahagi separuh jentera ke Permatang Pauh. Apakah ini juga dikira sebagai ekstrem?

Tindakan melanggar keputusan yang dibuat oleh PAS Pusat secara terbuka juga tidak kena. Ia melukakan imej PAS di kalangan rakyat, dan juga merosakkan konsep ‘wala (taat pada benda yang kita tidak setuju) yang menjadi teras di dalam parti.

PAS Pusat telah membuat keputusan memberi sokongan penuh untuk menyokong calon PKR di Permatang Pauh, dan itu menjadi keputusan yang wajib dipatuh, dan bukannya dengan mengeluarkan kenyataan yang bertentangan. Jangan buat apa yang kamu sendiri benci jika orang lain turut membuatnya.

Namun begitu, kita perlu jujur melihat punca reaksi yang diberikan PAS Kawasan Permatang Pauh dan Pemuda PAS Pulau Pinang secara keseluruhan dalam kontroversi di PRK Permatang Pauh. Kita harus ingat bahawa reaksi mereka itu ialah asap. Kita harus mencari apinya di mana? Di situlah kita harus simbah air.

Pada masa yang sama, kita juga harus bersikap adil terhadap parti sendiri sebagaimana kita ingin bersikap adil terhadap rakan-rakan pada Pakatan Rakyat.

Untuk meredakan suasana, semua pihak dalam Pakatan Rakyat mesti memelihara kenyataan dan saling menghormati dasar parti masing-masing. Dengan ini, barulah Pakatan Rakyat akan selamat.

Sebagai pemimpin, kita harus mencapai langkah pendamaian dan penyelesaian, dan bukan memburukkan suasana. Jangan halakan senapang pada rakan sendiri meskipun senapang itu tiada peluru!

Kalau sayang parti, jangan lukakan PAS dan imejnya. Sepatutnya, korbankan ego dan diri untuk parti dan bukan korbankan parti untuk diri sendiri.

 Jagalah akhlak Islam yang membawa orang rapat dengan PAS. Ambillah iktibar daripada insiden membantah tanda salib di satu gereja di Taman Medan. Yang terluka bukan pendemo tapi nama baik Islam dan penganutnya. -

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Naib Presiden PAS

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

.