Home » » Asal masih duduk berbincang, perselisihan boleh diselesaikan

Asal masih duduk berbincang, perselisihan boleh diselesaikan

Oleh Astro Awani

Tindakan ‘serang-menyerang’ termasuk kritikan yang dilontarkan daripada seorang pemimpin terhadap pemimpin yang lain adalah satu perkara biasa dalam Pakatan Rakyat (PR).

Menurut bekas Naib Presiden PAS Ahmad Awang, dalam PR perkara sebegini dianggap perkara biasa yang boleh dibawa berbincang secara bersama.

Namun tegasnya yang menjadi masalah berpanjangan apabila ada pimpinan yang tidak mahu duduk berbincang dan menyelesaikan masalah yang berbangkit.

“Bila ada masalah kita bincang. Soalannya sekarang bila ada pihak tidak mahu berbincang itu yang jadi gaduh.”

“Jadi dalam pakatan (PR) ini yang kita tahu ada pimpinan yang tidak mahu berbincang, tidak mahu hadir perbincangan, maka datanglah masalah itu.

“Kita ini sebuah parti politik yang bergerak bukan statik. Kita kena ada kebijaksanaan dalam kepimpinan itu tapi kalau seorang sahaja bijak yang lain tidak bijak, tidak guna juga.  Kalau tiga pimpinan, tiga-tiga pemimpin kena bijak. Benda ni timbul saya rasa kalau ada niat nak bersama Pakatan kekal semua boleh diatasi,” tambah Ahmad Awang.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas ceramah isu-isu semasa di sini malam tadi yang turut dihadiri oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamed Sabu.

Tambah beliau sepatutnya dalam pakatan sesuatu isu perlu dibawa berbincang dan pimpinan perlu menghadirkan diri untuk menyelesaikan isu yang berbangkit.

Katanya semasa awal penubuhan Pakatan di Perak dahulu, timbul pelbagai masalah termasuk perkara berbangkit mengenai jawatan Timbalan Menteri Besar Perak dan sebagainya yang dibangkitkan oleh DAP.

Namun bekas presiden Persatuan Ulama Malaysia (PUM) ini berkata kesemua perkara ini dapat diselesaikan dalam bentuk perbincangan.

Berhubung kedudukan PAS dalam PR beliau menjelaskan perkara tersebut akan ditentukan dalam Muktamar PAS.

Namun tegasnya muktamar yang terdahulu telah memutuskan PAS kekal dalam Pakatan dan keputusan itu kekal hingga saat ini.

Jika ada cadangan yang dilontarkan ianya mungkin bersifat cadangan peribadi dan bertentangan dengan keputusan muktamar sebelum ini jelas beliau.

Katanya jika PAS ingin maju dan berjaya, PAS perlu kekal dalam PR kerana PAS tidak berupaya membentuk kerajaan secara sendirian tanpa sokongan rakan dalam PR.

Ahmad Awang merupakan calon yang akan mencabar Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Pemilihan PAS Jun depan.

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

.