Home » » Di ambang muktamar, PAS wajar didukungi semua

Di ambang muktamar, PAS wajar didukungi semua

Oleh DR DZULKEFLY AHMAD

Perselisihan pendapat dalam keluarga besar PAS, khasnya dalam kalangan pimpinan tertinggi parti, tentang pendekatan terbaik yang perlu diambil demi kelangsungan perjuangan PAS telah menarik perhatian semua pihak.

Kemelut dan krisis seumpama ini pernah berlaku dalam sejarah jatuh bangun parti Islam ini. Tidak dinafikan mutakhir ini, suhunya sangat tinggi, tambahan berdepan Muktamar Tahunan Ke-61 yang menyaksikan pemilihan yang sengit.

PAS amat sedar akan kegusaran yang telah dicetuskan akibat semua ini. Sementara kepimpinan dan ahli PAS mengiktiraf dan menyanjungi keprihatinan semua pihak, khasnya rakan-rakan Pakatan Rakyat dan penyokong pengundi baru dan lama, PAS sedar, terkadang kala kenyataan yang meskipun berniat baik dan ikhlas, diputarbelitkan oleh media jahat seteru politik kita.

Justeru, PAS memohon supaya semua pihak, khasnya rakan-rakan Pakatan Rakyat, supaya tidak lagi membuat sebarang kenyataan kritikan atau melafazkan serangan terhadap sesiapapun dalam kalangan pimpinan kami, khususnya Presiden PAS, bagi membantu menjernihkan serta mendamaikan suasana dalam parti sekaligus membendung keberantakan dalam muafakat politik Pakatan Rakyat.

Kepimpinan PAS amat peka akan makar jahat lawan dan seteru tradisi kami, untuk terus memporakperandakan parti kami, dalam keadaan parti mereka sendiri sedang tenat dilanda krisis kepimpinan dan defisit keyakinan yang parah.

Agenda untuk menyingkir mana-mana pihak atau golongan, seperti terpapar dalam media mereka, adalah bertujuan bagi merungkaikan kekuatan gandingan kepimpinan Ulama-Profesional-Aktivis, yang telah menjadi teras kekuatan parti Islam ini, untuk sekian lamanya.

PAS mengambil faham cita-cita semua pihak, khasnya rakan-rakan parti Pakatan Rakyat dan penyokong pencinta perjuangan Islam ini, untuk menyaksikan PAS akan keluar dari Muktamar Tahunan Ke-61 akan datang, dengan lebih mantap dan bersepadu lagi.

Kepimpinan PAS mahu meyakinkan semua pihak akan peri-penting muktamar dijadikan medan membuat mahasabah bagi mendepani permasalahan parti, sekaligus melakar agenda besar untuk mempersiapkan parti berdepan Pilihan raya Umum ke-14 bagi menumbangkan kerajaan korup dan angkuh Umno Barisan Nasional.

Penulis ialah AJK PAS Pusat.

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

.