Home » » PAS tidak akan mengubah dasarnya biar siapa pun yang menerajuinya

PAS tidak akan mengubah dasarnya biar siapa pun yang menerajuinya

Oleh Timmy Say

PAS tidak akan mengubah dasarnya biar siapa pun yang menerajuinya selepas muktamar
nanti.Kelantan juga akan meneruskan hasratnya untuk melaksanakan Enakmen Jenayah Syariah. Itu hak kerajaan Kelantan dan juga janjinya kepada orang Kelantan.

Apa yang cuba dilaksanakan Kelantan boleh terus diperdebatkan daripada segi cara dan perlaksanaannya. Namun, dari sudut kewajipan orang Islam, pada hemat penulis, tidak ramai orang Islam yang akan mempertikaikannya.

Kalau ada pihak yang berharap keputusan pemilihan di muktamar PAS kali ini akan mengubah dasar parti, usahlah terus berilusi.

Ramai yang cuba menyelamatkan Pakatan Rakyat (PR) daripada musnah. PAS, PKR dan DAP sama-sama melakukan usaha ini.

Namun, ‘usaha’ kadangkala bukan bermakna mereka perlu melakukan sesuatu. Pada waktu ini, lebih mustahak ketiga-tiga parti tidak melakukan apa-apa selain meningkatkan usaha untuk mendiamkan diri.

Jika tiada perkara baik untuk dikatakan mengenai rakan tahaluf, lebih baik diam. Tumpukan perhatian pada Umno dalam isu 1MDB dan juga GST. Halakan senapang kepada musuh.

Serangan mutakhir DAP terhadap PAS kembali menjadi hangat apabila Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mencadangkan semula agar diwujudkan Kabinet bayangan PR.

Dalam cubaan menolak niat baik Wan Azizah, DAP mengambil kesempatan dengan sengaja menyerang presiden PAS meskipun situasi di PR mulai reda kerana semua saling menumpukan pada isu 1MDB dan survival politik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Jika PAS yang melakukan perkara ini, sudah tentu PAS akan dicemuh habis-habisan. Apabila DAP memberi nyawa kepada Umno dengan menghalakan peluru kepada PAS, tiada yang bersuara.
Cuma persoalannya ialah mengapa DAP masih mahu menyerang presiden PAS? Bukankah DAP sendiri yang sudah memutuskan sebarang kerjasama dengan presiden PAS? Yang melucukan ialah reaksi DAP apabila presiden PAS membuat jawapan balas terhadap Kabinet bayangan DAP. DAP pula dilihat lebih melenting daripada PAS.

Susulan itu, Penasihat DAP Lim Kit Siang pula memberikan bayangan PR akan berakhir 2 minggu lagi, iaitu selepas berakhirnya Muktamar PAS ke-61.

Sebenarnya, apa yang sedang ditunggu DAP? Apakah DAP sedang menunggu keputusan muktamar PAS sebelum membuat keputusan lanjut atau DAP cuba menghantar mesej tertentu kepada perwakilan PAS?

Atau DAP sedang menunggu keputusan muktamar PAS terhadap kerjasama bersamanya sebelum mengambil tindakan selanjutnya? Kemungkinan ini sangat rendah kerana ini bukan sikap DAP yang sebenar.

Meskipun menghadapi masalah, tapi PAS dan PKR belum pernah lagi membuat sebarang keputusan terhadap kerjasamanya dengan mana-mana rakan tahaluf di PR. Cuma DAP yang melakukannya, terhadap presiden PAS.

PR sebenarnya sudah tiba di penghujung jalan apabila DAP membuat keputusan untuk memutuskan hubungan dengan presiden PAS. Kalau bukan kerana adanya kerajaan negeri Selangor, percayalah kerjasama dengan PAS sudah ditamatkan Mac lalu.

Apakah pada Jun nanti, DAP akan mencadangkan kerajaan Selangor dibubarkan kerana tamatnya hubungan PAS-DAP? Penulis rasa tidak. Oleh itu, DAP tidak perlulah menunggu 2 minggu lagi untuk membuat keputusan mengenai kerjasamanya bersama PAS kerana PAS tidak akan berubah dan DAP juga tidak akan berubah selepas Jun ini.

Melainkan DAP ada harapan lain yang dihajati daripada keputusan muktamar PAS yang belum ditentukan lagi.- themalaysianinsider.com

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

.