Home » » Bagaimana chai tentukan pemimpin dalam PAS

Bagaimana chai tentukan pemimpin dalam PAS

Oleh Mohamad Ridhuan

Tiada apa yang paling hangat dalam Muktamar PAS 2015 melainkan kekalahan teruk geng profesional kepada geng ulama. Faktor utama kekalahan geng profesional ini adalah disebabkan wujudnya 'chai' yang membutakan akal budi para perwakilan.

Analisa daripada undi yang dipaparkan JK Pemilihan Muktamar menunjukkan ulama yang tidak mendapat tempat di dalam 'chai' akan kalah manakala calon yang tidak pernah dikenali sebelum ini akan menang dengan undi yang besar jika nama mereka dimasukkan di dalam 'chai'.

Sebagai contohnya, dalam pengundian Dewan Pemuda, calon Muhtar Suhaili dipilih sebagai Exco Pemuda PAS dan memperolehi undi sebanyak 362 undi tetapi dalam pengundian PAS Pusat beliau hanya mendapat 49 undi kerana namanya tidak berada dalam 'chai'.

Nuridah Salleh, memperolehi undi sebanyak 359 undi dalam pemilihan Ketua Dewan Muslimat sehingga berjaya mengalahkan penyandangnya, YB Siti Zailah Mohd Yusoff tetapi hanya mampu mendapat 119 undi bagi pemilihan PAS Pusat.  Jika dibandingkan dengan YB Siti Mariah Mahmud, ternyata undi yang diperolehi YB Siti Mariah sebanyak 376 undi bagi pemilihan PAS Pusat, jauh meninggalkan jumlah undi yang diperolehi Nuridah Salleh. Manakala, Dr Rosni Adam mendapat 414 undi berbanding YB Siti Mariah Mahmud yang mendapat 274 undi di dalam pemilihan Timbalan Ketua Dewan Muslimat, tetapi dalam pemilihan PAS Pusat memperolehi 590 undi berbanding Ketuanya, Nuridah Salleh yang hanya mendapat 119 undi. Secara logiknya, tiidak mungkin seorang timbalan lebih popular daripada seorang ketua. Beberapa orang calon lain yang boleh dipanggil 'ustaz' seperti Abd Ghani Samsudin (297 undi), YB Ahmad Marzuk Shaary (96 undi), Azman Shafawi (192 undi), Wan Azhar Wan Ahmad (65 undi) dan Zulkifli Ismail (54 undi) kalah dalam pemilihan PAS Pusat dengan jumlah undi yang diperolehi amat sedikit. Manakala, calon yang tidak dikenali seperti Dr Ali Akbar Gulasan mendapat 596 undi semata-mata kerana namanya dimasukkan bersama-sama rakan-rakan 'chai'nya yang lain.

Statistik undi di atas menunjukkan kuasa 'chai' itu amat mempengaruhi para perwakilan. Ini juga menunjukkan hampir 80% perwakilan berjaya dipengaruhi dengan sekeping kertas bernama 'chai'. Ke mana hilangnya akal budi para perwakilan?

Pemilihan dalam parti adalah wadah demokrasi yang ditetapkan dalam Perlembagaan PAS yang mana kuasa tersebut diberikan kepada perwakilan yang mewakili kawasan dan dewan-dewan. Pemilihan seseorang calon sebelum ini banyak bergantung kepada populariti serta 'track record' kerja yang dibuat olehnya. Namun, kali ini peranan 'chai' nampaknya mengambil alih faktor populariti dan 'track record'.

Beberapa hari sebelum pemilihan berlangsung, Dewan Ulama menerusi akaun fb menaikkan senarai nama 'chai' ini. Sudah tiada lagi perasaan segan silu Dewan Ulama dalam menaikkan nama-nama tersebut dan status fb Dewan Ulama itu juga dikongsi pimpinan yang lain.

Para perwakilan seolah-olah sudah 'dibomohkan' dengan 'mantera chai' untuk mengundi calon yang disenaraikan itu. Malah, ada yang sempat mengambil gambar pimpinan yang sedang memangkah undi berdasarkan 'chai' tersebut. Para perwakilan langsung tidak menggunakan akal budi mereka untuk menimbangkan kebolehan dan 'track record' calon-calon yang bertanding.

Satu persoalan yang masih belum terjawab adalah samada 'chai' itu sendiri sebenarnya adalah konspirasi peringkat tertinggi dalam parti yang melibatkan ahli-ahli Majlis Syura itu sendiri. Namun, daripada pelbagai petanda yang zahir nampaknya menjuruskan kepada penglibatan Majlis Syura itu sendiri samada secara langsung atau tidak langsung. Sebab itu, para perwakilan tanpa segan silu dan tanpa rasa berdosa, wala' dengan 'mantera chai' tersebut.

Jika budaya ini berlaku lagi dalam pemilihan akan datang maka tunggulah kehancuran parti seperti mana yang dinyatakan di dalam Al-Quran kehancuran di muka bumi ini akan berlaku akibat tangan manusia itu sendiri. Ingatlah 'chai' ini mengganggu proses alami yang menjadi sunnatullah iaitu persoalan memilih pemimpin hendaklah dibuat perwakilan selepas berfikir secara rasional dan menimbangkan faktor-faktor kebolehan dan ketrampilan seseorang calon.

Justeru, apabila proses sunnatullah ini diganggu ianya akan mengubah ketetapan Allah swt dan perubahan yang tidak alami ini akan memusnahkan parti suatu masa kelak.

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

.