Home » » Lakukan Sesuatu Jika Tidak PAS Bakal Kehilangan Sokongan Pengundi Melayu dan Cina Pada PRU 14.

Lakukan Sesuatu Jika Tidak PAS Bakal Kehilangan Sokongan Pengundi Melayu dan Cina Pada PRU 14.

1. Saya bukan lah nujum politik yang mampu membuat telahan tentang masa depan politik sesebuah parti apatah lagi membabitkan parti yang saya dukung iaitu parti PAS. Saya yakin sesuatu yang berkaitan masa depan ianya dalam Ilmu Allah. Cuma dalam politik pilihan raya kita boleh membuat analisa dan unjuran melalui "survey" dan cula undi. Inilah yang telah sebati dalam jentera gerakerja pilihan raya PAS sejak 13 kali menghadapi Pilihan Raya Umum dan berpuluh kali menghadapi Pilihan Raya Kecil.

2. Sejak berlarutan krisis dalam PR hingga kini boleh dikatakan banyak pihak menyatakan PAS akan menerima kesan kemerosotan pengundi bukan Islam dan bukan Melayu pada PRU 14 akan datang. Tidak perlu saya membariskan insiden-insiden yang telah berlaku membabitkan PAS dan rakan rakan PR yang mendorong menjadi penyumbang kepada kemerosotan undi tersebut.

3. Apa yang penting untuk dipersoalkan  ialah apakah langkah-langkah yang dilakukan oleh pimpinan PAS untuk memperbaiki keadaan dalam membendung kemerosotan undi bukan melayu khususnya pengundi cina pada PRU 14 akan datang. Sehingga sekarang saya masih belum nampak sesuatu telah dilakukan.  Malah apa yang saya lihat ialah beberapa tindakan dan kenyataan yang dibuat oleh Pimpinan PAS bakal mengundang kemerosotan sokongan pengundi Islam Melayu itu sendiri.

4. Respon PAS terhadap Gerakan Harapan Baru (HB) memperlihatkan kerisauan, kebimbangan dan ketakutan PAS terhadap kemunculan Gerakan tersebut. Kenyataan-kenyataan PAS yang mengecam Harapan Baru dan pimpinan Harapan Baru akan membuka ruang untuk ahli PAS memberikan respon yang baik terhadap Harapan Baru.  Ini akan menyebab berlakunya kemerosotan sokongan pengundi Melayu Islam khususnya dari kalangan pimpinan dan ahli PAS daripada pelbagai peringkat.

5. Kenyataan demi kenyataan dari kalangan pimpinan PAS yang disiarkan akhbar rasmi PAS iaitu Harakah yang menimbulkan isu kononnya ancaman yang merosakan PAS dari dalam adalah dari kalangan mereka yang pernah terlibat dengan IRC, JIM dan kini IKRAM akan menambahkan lagi kemerosotan sokongan undi Melayu Islam pada PAS. Kenyataan-kenyataan tersebut seperti mempersoalkan keikhlasan dari kalangan ahli-ahli PAS sendiri yang berlatar belakangkan fikrah IRC, JIM dan kini dinamakan IKRAM. Semua harus mengakui sedikit sebanyak kekuatan yang ada pada IKRAM yang mempunyai rangkaian di pelbagai peringkat akan menjejaskan kedudukan kekuatan PAS dari sudut politik pilihan raya. Mungkin dari sudut kekuatan PAS sebagai Gerakan Islam, PAS boleh rasa syok sendiri kerana tiada siapa lagi yang dianggap sebagai musuh dalam selimut PAS. Namun, dari sudut pilihan raya, PAS memerlukan sokongan dan undi daripada semua orang sama ada Islam atau pun bukan Islam.

6. Tindakan dan kenyataan sebegini sudah pasti akan mengguris dan melukakan pihak ahli-ahli IKRAM yang menyertai PAS mahupun yang mengundi PAS dalam setiap pilihan raya, kerana mereka telah digambarkan oleh PAS sebagai pengkhianat kepada Jemaah Islam PAS. Sikap yang ditunjukkan oleh PAS ini sudah pasti mengundang penarikan sokongan dan undi dari ahli-ahli dan pendokong IKRAM. Bukan saja IKRAM tetapi dia akan membabitkan padangan dari pihak kumpulan Islam yang lain juga akan merasai yang PAS tidak boleh menerima kelainan fikrah dari Jemaah yang bukan terhasil dari tarbiah PAS untuk bersama PAS.

7. Bayangkan, daripada senario yang saya berikan sepatutnya PAS perlu menumpu dan mengawal  pengundi terasnya iaitu Melayu Islam agar tidak kehilangan dan merosot sokongan pada PRU 14 nanti. Di samping berusaha memulihkan kepercayaan pengundi bukan Melayu Islam khususnya pengundi Cina. Tetapi apa yang berlaku kesan di sebalik setiap perkataan yang dihamburkan ialah ia seumpama cirit birit mulut yang perlu dicari ubat bagi segera menghentikannya.

8. Saya hanya melontarkan persoalan untuk direnungi oleh pimpinan dan ahli ahli PAS yang terlibat secara langsung dengan gerakerja pilihan raya. Jangan sekadar hanya menyatakan yang penting bukan hanya kemenangan tetapi keredhaan Allah yang dicari. Kalau begitu, tidak perlulah PAS menyertai pilihan raya yang hanya menghabiskan wang. Cukup sekadar dengan program dakwah dan tarbiah membangun ummah. Sedangkan, hakikatnya yang kita mahukan ialah politik kuasa yang redhai Allah.

9. Terserahlah pada pimpinan yang bijaksana untuk menerima atau menolak pandangan dan komentar saya ini. Sekadar pandangan 10 sen daripada saya yang tidak sebijak pimpinan yang ada kini.

Mohon maaf sejujurnya daripada saya untuk semua atas pandangan dan komentar ini.

Selamat Hari Raya 'Edilfitri.

DATO MAHFUZ OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena
25 Julai 2015

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

.