Home » » Mat Sabu : Bila PAS dipimpin majoroti Pantai Timur

Mat Sabu : Bila PAS dipimpin majoroti Pantai Timur

OLEH LOOI SUE-CHERN

 Mohamad Sabu adalah antara pemimpin paling popular PAS di luar parti dan di kalangan orang bukan Islam. Beliau dipinggirkan partinya selepas gagal mempertahankan jawatan timbalan presiden pada pemilihan baru-baru ini. Dalam bahagian pertama temubual bersamanya, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu bimbang kehilangan kepercayaan sokongan pengundi bukan Islam yang selama ini menyokong parti Islam itu.

Biarpun beliau diundi semula ke dalam kepimpinan parti, PAS tidak akan mendapat kembali sokongan orang bukan Islam, kata bekas timbalan presidennya, Mohamad Sabu.

Lebih dikenali sebagai Mat Sabu dan popular di kalangan bukan Islam, beliau memberitahu betapa sukarnya beliau berusaha memujuk ahli akar umbi PAS keluar dan berhimpun dengan bukan Islam dalam demonstrasi anjuran kumpulan reformasi pilihan raya Bersih.


Bagi Mat Sabu, masa depan adalah suram bagi parti itu, yang memegang ideologi agama yang menyumbang kepada kejatuhan Pakatan Rakyat (PR).

Beliau berkata, buat masa ini tiada lagi jalan penyelesaian bagi PAS mendapatkan semula sokongan orang bukan Islam.

"Orang bukan Islam yang kecewa dan patah hati terhadap semua keadaan ini.

"Tambahan pula, PAS kini dipimpin oleh tokoh dari Pantai Timur, yang jarang bersemuka dengan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama," katanya kepada The Malaysian Insider.

Mat Sabu berkata, pemimpin Pantai Timur dari Kelantan dan Terengganu mungkin berfikir mereka tidak memerlukan sokongan bukan Islam kerana mereka hanya berinteraksi dengan orang Melayu setiap hari.

"Mereka tidak akan merasa seperti apa yang kita lakukan di sini di Pulau Pinang dan Selangor. Pemimpin Kelantan juga berkata adalah bagus melakukannya tanpa PR kerana mereka membuat penilaian berdasarkan lokasi mereka sendiri.

"Mereka boleh menang di kawasan mereka tetapi bagaimana pula Selangor, Melaka dan Johor? Di Kedah, terdapat juga kawasan Parlimen di mana undi bukan Islam membentuk kira-kira 40%," katanya.

Mat Sabu berkata pemimpin PAS tidak realistik jika mereka fikir parti boleh bergerak sendirian pilihan raya umum.

"Dalam pilihan raya, anda mesti mempunyai gabungan, melainkan jika anda hanya mahu menjadi parti serantau di Kelantan dan Terengganu.

"Ini semua sudah terkebelakang," katanya.

Katanya, ketika perhimpunan Bersih pertama kali dirancang pada 2007, beliau mengambil masa hampir setahun mengajak ahli PAS mengambil bahagian dan menyertai kaum lain dalam demonstrasi itu.
Mohamad Sabu gagal mempertahankan semula kedudukannya pada muktamar PAS awal bulan ini, yang menyaksikan golongan pro-Hadi menyapu bersih jawatan parti. – Gambar fail The Malaysian Insider, 19 Jun, 2015.Mohamad Sabu gagal mempertahankan semula kedudukannya pada muktamar PAS awal bulan ini, yang menyaksikan golongan pro-Hadi menyapu bersih jawatan parti. – Gambar fail The Malaysian Insider, 19 Jun, 2015.
Kejayaan perhimpunan tersebut, katanya, menyumbang kepada kemenangan pembangkang di 5 buah negeri - Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor dan Kelantan - dalam pilihan raya umum 2008.

"Sekarang ini, imej berbilang kaum yang kami bina sudah hilang. Saya berasa sedih. Biarkan kepimpian PAS yang ada sekarang cuba mengumpulkan orang ramai daripada pelbagai kaum sekarang.


"Ulama dalam PAS mula menganjurkan perhimpunan anti-GST (cukai barangan dan perkhidmatan) tetapi himpunan itu hanya dihadiri oleh orang mereka sendiri. GST memberi kesan kepada semua rakyat Malaysia. Anda perlu melibatkan semua orang.

"Ini adalah apa yang kita lihat. Jika PAS kembali kepada suatu parti serantau, ia akan menjadi lebih kuat. Tetapi apabila pilihan raya datang, ia menjadi perkara yang lain," katanya.

Mat Sabu berkata, walaupun ketika ini PR sudah mati, Barisan Nasional (BN) masih boleh tumbang tidak kira jika ada PAS atau tidak.

Ini kerana, rakyat terutama generasi muda, menolak parti pemerintah.

Beliau berkata PAS perlu berhati-hati cubaan untuk bersama dengan Umno kerana ini hanya akan menghancurkan parti.

"Jika PAS mahu bekerjasama dengan Umno, ia juga akan mengundang perkara yang sama. Orang ramai cuma tidak mahukan BN atau Umno.

"Lihatlah pilihan raya kecil Permatang Pauh bulan lepas. Di semua saluran, peratusan undi untuk PKR dalam kalangan belia meningkat. Ini bukan kerana mereka adalah ahli PKR. Mereka hanya tidak menyokong Umno."

PR "secara rasmi berkubur" selepas PKR bersetuju dengan DAP yang pakatan itu tidak lagi wujud.
Ia berakhir berikutan kepimpinan PAS yang kini dikuasai golongan konservatif, diketuai presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang, menerima usul tanpa bahas memutuskan hubungan dengan DAP.

Hubungan DAP-PAS mula rapuh tahun lepas sejak kemelut menteri besar Selangor dan bertambah buruk selepas PAS membentang dan meluluskan rang undang-undang hudud di Dewan Undangan Negeri Kelantan untuk melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah di negeri itu.

Kemelut itu akhirnya sampai ke kemuncaknya apabila PAS menetapkan pendiriannya melalui usul tanpa bahas dalam muktamar parti itu baru-baru ini bagi memutuskan hubungan dengan DAP.

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

Follow by Email

.