Home » » Pakatan sudah mati, kata PKR

Pakatan sudah mati, kata PKR

PKR hari ini mengesahkan Pakatan Rakyat (PR) secara rasmi tidak lagi wujud berikutan keputusan PAS untuk memutuskan hubungan dengan DAP, dan parti demokratik itu sendiri mengisytiharkan berakhirnya gabungan yang berusia 7 tahun itu.

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata parti utama dalam pakatan pembangkang itu kesal dengan tindakan kedua-dua parti sama ada PAS dan DAP yang menyatakan PR tidak boleh berfungsi lagi.

“Ekoran dari itu, gabungan politik PR tidak lagi berfungsi secara formal," kata Dr Wan Azizah, yang juga Ketua Pembangkang dalam satu kenyataan petang ini.

“PKR menyatakan rasa kesal atas usul yang diterima tanpa bahas di Muktamar PAS ke-61 dan berikutnya Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP mengumumkan penamatan riwayat PR yang kami anggap tindakan tergesa-gesa,” kata Dr Wan Azizah sambil menambah pendirian parti itu diluluskan pada mesyuarat biro politik parti itu malam tadi.

Beliau merujuk kepada usul yang diterima tanpa bahas pada muktamar PAS awal bulan ini untuk memutuskan hubungan dengan DAP.

Usul itu dicadangkan Dewan Ulama parti Islam itu, dan dipersetujui sehingga mendatangkan kemarahan beberapa perwakilan akar umbi.

Pemimpin PAS bagaimanapun berkata, usul itu tidak mewakili keputusan muktamad, kerana perkara itu masih perlu diputuskan oleh Majlis Syura Ulama parti itu.

Namun, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng kemudiannya mengatakan bersedia menerima peletakan jawatan wakil PAS dalam kerajaan negeri Pulau Pinang.

Sekurang-kurangnya 5 ahli sudah berbuat demikian, termasuk dari kumpulan progresif PAS Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dan bekas timbalan presiden Mohamad Sabu.
DAP kemudian mengisytiharkan PR sudah berakhir dan keputusan itu dibuat pada mesyuarat jawatankuasa eksekutif pusat pada malam Isnin.

Kenyataan Dr Wan Azizah itu sekali gus melenyapkan teka-teki berhubung pendirian PKR sama ada mahu terus bekerjasama dengan DAP atau tidak.

Sebelum ini, Pengerusi DAP Selangor Tony Pua mendesak PKR supaya "memilih" untuk bekerjasama sama ada dengan DAP atau PAS dalam mentadbir negeri terkaya Malaysia yang juga permata PR sebagai model kerajaan bagi mengambil alih kuasa kerajaan persekutuan satu hari nanti.
PKR mengetuai kerajaan negeri Selangor dan mempunyai 3 Exco PAS.
Daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri Selangor (DUN), PKR mempunyai 13 kerusi, DAP dan PAS masing-masing 15 kerusi. Barisan Nasional (BN) mempunyai 12, manakala satu kerusi lagi wakilBebas.

Bagaimanapun, presiden PKR itu hari ini berkata, parti itu berterima kasih terhadap "semangat dan kerjasama" PR di Selangor di bawah pentadbiran Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali, yang juga menteri besar, manakala Lim Guan Eng sebagai ketua menteri di Pulau Pinang.
“Dalam semangat yang sama, dan tertakluk kepada Dasar Bersama PR, PKR akan terus memberikan sokongan kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob," katanya merujuk kepada kerajaan PAS di negeri pantai timur itu
Beliau berkata PKR masih akan berusaha untuk membina satu gabungan, tidak terhad kepada mana-mana parti politik untuk mengalahkan parti pemerintah BN. –

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

.