Home » » Solidaritilah Demi Mazlan Aliman

Solidaritilah Demi Mazlan Aliman

Oleh Shahbudin Hussin 

Tiga sekawan daripada kumpulan progresif Pas iaitu Salahuddin Ayub, Mahfuz Omar dan Mohd
Taufek Abdul Ghani telah ditawarkan menganggotai Ahli Jawatankuasa Pas Pusat setelah berlaku "pembersihan etnik" dalam pemilihan parti itu baru-baru ini.

Bagaimanapun ketiga-tiganya masih menimbang sama ada mahu menerima atau menolak tawaran tersebut dan adalah dijangka keputusan mengenainya akan dibuat selepas Aidilfitri nanti.
Dalam pemilihan itu, semua kumpulan progresif dibersihkan daripada memenangi jawatan di peringkat Pas Pusat, kecuali pejuang peneroka Felda, Mazlan Aliman yang "terselit" menang sebagai Ahli Jawatankuasa.

Beliau bagaimanapun meletakkan jawatan beberapa hari kemudian dengan alasan mahu menumpukan perhatian kepada NGO Anak yang diasaskannya.

Salahuddin dan Mahfuz tewas bagi jawatan Naib Presiden manakala Mohd Taufek pula kecundang bagi kerusi Ahli Jawatankuasa Pas.

Beberapa tokoh penting Pas yang selama ini mewarnai politik negara, dikenali ramai dan memberi banyak sumbangan kepada parti itu seperti Mohamad Sabu, Husam Musa, Dr Mujahid, Khalid Samad, Hanifa Maidin, Nizar Jamaluddin dan ramai yang lain yang dicop sebagai kumpulan progresif atau profesional dalam Pas, semuanya kecundang di tangan kumpulan pro ulama.

Bagaimana proses mengenepikan kumpulan progresif ini berjalan kelihatannya sangat tersusun memandangkan dalam UMNO sendiri pun proses pembersihan sebegitu rupa tidak pernah terjadi di mana-mana pertandingan yang pernah diadakannya meskipun beberapa kali berlaku perebutan di peringkat pucuk pimpinannya.

Lantaran itu, ramai yang kecewa melihat bagaimana kumpulan progresif ini diketepikan, tambahan pula sebahagian yang memenangi jawatan baru-baru ini tidak begitu dikenali ramai dan masih hijau lagi. Mereka menang hanya semata-mata diletakkan dalam "cai" pro ulama.

Tidaklah menghairankan apabila Mohamad Sabu sendiri melihat bagaimana kumpulan progresif ini diketepikan tidak ubah umpama proses "pembersihan etnik" yang biasa dilakukan di negara-negara bekas kesatuan Soviet Union sebelum ini.
Persoalannya, apakah keputusan yang wajar bagi ketiga-tiga sekawan itu? Menolak atau menerima perlantikan yang ditawarkan?
Melihat bagaimana kumpulan progresif ini difitnah dan diaibkan sepanjang pemilihan lalu dengan gambaran antaranya mereka adalah tajaan DAP dan digelar Jebon, adalah wajar tiga sekawan ini menolak tawaran tersebut.

Kumpulan progresif harus memberi peluang sepenuhnya dan seratus peratus kepada kumpulan ulama mentadbir Pas dalam tempoh dua tahun akan datang ini kerana itulah yang dikehendaki oleh para perwakilan sebenarnya.

Biarlah pimpinan baru ini menentukan hala tuju Pas dan mencatur perancangannya tanpa campurtangan daripada kumpulan progresif ini. Berkembang atau menguncup dalam dua tahun sehingga pemilihan akan datang, Pas pro ulama inilah yang harus memikul bebannya.

Lagi pula, satu-satu Ahli Jawatankuasa Pas yang menang, Mazlan Aliman telah menunjukkan semangat setiakawan dan solidariti dengan tindakan terpujinya meletakkan jawatan kerana ingin "serentak seirama" bersama rakan-rakannya yang kecundang.

Dan kini adalah masanya pula bagi rakan-rakan yang tewas tidak menerima sebarang tawaran daripada Pas untuk menduduki apa-apa jawatan sekali pun. Bersolidaritilah pula kepada Mazlan Aliman.

Jika salah satu atau ketiga-tiga sekawan ini menerima tawaran itu, bermakna mereka tidak menghargai sama sekali pengorbanan yang telah dilakukan oleh Mazlan Aliman itu.

Salahuddin, Mahfuz dan Mohd Taufek tidak perlu risau mengenai masa depan mereka jika menolak tawaran sebagai Ahli Jawatankuasa itu kerana mereka akan lebih dihormati jika tidak menerimanya berbanding sebaliknya.

Lebih dari itu, Mahfuz yang kalah Naib Presiden juga sudah pun digugurkan sebagai Pesuruhjaya Pas Kedah baru-baru ini dan dengan itu tawaran sebagai Ahli Jawatankuasa tidak memberi banyak makna kepada nilai dirinya yang sudah ditolak dua kali sebenarnya.

Tindakan Pas tidak menawarkan sebarang jawatan kepada Mohamad Sabu yang kalah bagi jawatan Timbalan Presiden Pas juga menimbulkan tanda tanya seolah-olah beliau tidak diperlukan lagi dalam perjuangan masa depan parti itu.

Sebaliknya kepada Mohamad Sabu sebagaimana yang diucapkan oleh Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Presiden Pas yang baru, beliau sekadar dirayu agar terus bersama-sama Pas dan tidak mencari wadah baru untuk meneruskan perjuangannya.

Tidakkah tindakan menawarkan jawatan kepada Salahuddin, Mahfuz dan Mohd Taufek ini seolah-olah ingin memecahkan kumpulan progresif yang ketika ini nampaknya sedang bersatu?

Setelah keseluruhan kumpulan progresif dilabel dengan pelbagai gelaran dan disingkirkan melalui "cai", kini mereka cuba dipecahkan pula dengan tawaran jawatan kepada tiga sekawan ini.
Rupa-rupanya benarlah dalam serban dan jubah pro ulama ini, siku dan lutut lebih banyak peranannya.

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

.