Home » » Perlantikan Jawatankuasa PAS Negeri Melaka Tak Sah

Perlantikan Jawatankuasa PAS Negeri Melaka Tak Sah

Oleh Sofi Wahab 

Saya sebagai Yang Dipertua PAS Kawasan Bukit Katil ingin menegaskan bahawa perlantikan AJK Badan Perhubungan Negeri Melaka yang disiarkan dalam media beberapa hari lepas adalah tidak sah dan bertentangan dengan perlembagaan PAS sendiri. 

1. Di dalam perlembagaan PAS dengan jelas dinyatakan iaitu Fasal 40 ceraian (5) iaitu :
"Pesuruhjaya PAS Negeri di dalam dan dengan persetujuan mesyuarat Perhubungan PAS Negeri hendaklah melantik Timbalan-timbalannya, Setiausaha, Penolong-penolong Setiausaha, Bendahari, Ketua Penerangan, Pengarah Pilihan Raya dan tujuh orang Ahli Perhubungan PAS Negeri menurut Ceraian (3)(b), (c), (d), (e), (f), (g) dan (m) dalam Fasal ini daripada ahli-ahli PAS dalam negeri itu.".
Untuk makluman sehingga saya sebagai Yang Dipertua PAS Kawasan Bukit Katil dan Setiausaha PAS Kawasan Bukit Katil tidak pernah menghadiri mana-mana mesyuarat Perhubungan Negeri sebelum ini.

Sepatutnya Pesuruhjaya PAS Negeri mesti memanggil mesyuarat pertama perhubungan dengan kehadiran semua Yang Dipertua dan Setiausaha PAS Kawasan-kawasan serta Ketua dan Setiausaha Dewan-Dewan bagi membincang perlantikan AJK seperti dalam Fasal 40 ceraian 5 tersebut.
Setelah dibincang dan dipersetujui oleh semua Ahli Badan Perhubungan Negeri barulah perlantikan itu sah dan boleh diumumkan.

Apa yang menghairankan bagaimana Pesuruhjaya PAS Negeri boleh membelakangkan Yang Dipertua PAS Kawasan, Ketua-Ketua Dewan dan Setiausaha masing-masing dalam hal perlantikan ini.
Malah sehingga hari ini saya dan Setiausaha PAS Kawasan Bukit Katil tidak pernah dijemput secara rasmi untuk menghadiri mesyuarat perhubungan sedangkan di dalam perlembagaan PAS Fasal 40 ceraian 3 dengan jelas dinyatakan bahawa Yang Dipertua PAS Kawasan dan Setiausaha PAS Kawasan adalah ahli badan perhubungan negeri.

Saya telah menghubungi beliau beberapa hari lalu dengan menyatakan isu ini tetapi sehingga hari ini beliau tidak membuat sebarang tindakan untuk menyelesaikannya.

Oleh itu saya mencadangkan kepada Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka supaya menarik balik kenyataan akhbar tentang perlantikan tersebut serta memohon maaf kepada semua Yang Dipertua PAS dan Setiausaha PAS Kawasan serta Ketua dan Setiausaha Dewan-dewan yang dibelakangkan.
Di harapkan kenyataan saya ini akan menyelesaikan masalah perlantikan ahli badan perhubungan PAS Negeri yang diragui keabsahannya.

Mohd Sofi Abdul Wahab
Yang Dipertua PAS Kawasan Bukit Katil

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

.