Home » » Cukup melukakan, Presiden PAS hilang prestij

Cukup melukakan, Presiden PAS hilang prestij

Oleh The Malaysia Insider 


Kedudukan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang kini tampak lebih kukuh berbanding sebelum ini, dan walaupun berdepan krisis dalaman parti, beliau terus menerima pencalonan bagi bertanding untuk mempertahankan kerusinya pada pemilihan akan datang.

Menjelang tarikh akhir mesyuarat agung PAS peringkat kawasan di seluruh negara 21 April ini, Hadi mendapat pencalonan terbanyak untuk jawatan presiden walaupun buat pertama kali dalam sejarah, dua pencabar jawatan itu layak bertanding dalam muktamar PAS ke-61 Jun ini.

Mereka ialah Naib Presiden Datuk Husam Musa dan bekas Naib Presiden Ahmad Awang yang masing-masing mendapat sekurang-kurangnya 8 dan 3 pencalonan setakat ini.

Pada masa sama, seorang lagi naib presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, yang masih belum mendapat pencalonan kedua untuk melayakkan beliau turut bertanding jawatan presiden, menerima pencalonan bertanding kerusi timbalan presiden, mencabar penyandangnya Mohamad Sabu.

Tuan Ibrahim mendapat pencalonan dari Kota Bharu untuk kerusi presiden, di awal musim mesyuarat agung kawasan kali ini.

Sesuatu yang mengejutkan apabila beliau mendapat pencalonan lebih banyak untuk jawatan timbalan presiden berbanding Mohamad, juga dikenali sebagai Mat Sabu.

Berdasarkan trend pencalonan presiden ketika ini, kumpulan ulama dalam PAS mendahului pemilihan kali ini untuk jawatan presiden, dan Hadi dijangka berjaya mengekalkan jawatan ini.

"Tuan guru presiden masih kuat dan beliau akan menang dalam pemilihan kali ini," kata veteran politik PAS Datuk Wan Abdul Rahim Abdullah mengulas trend tersebut.

Dua tokoh kumpulan profesional dalam PAS, bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin, kalah di Kampar, manakala Pesuruhjaya PAS Melaka Adly Zahari, tewas di Alor Gajah untuk jawatan yang dipertua PAS kawasan.

Menantu presiden PAS, Zaharudin Mohamad pula berjaya mengalahkan penyandang Yang Dipertua PAS kawasan Subang Mesni Dahlan.

Mesyuarat Agung PAS peringkat kawasan bermula 1 Mac lalu dengan PAS Kota Baru mengadakan mesyuarat yang pertama pada 11 Mac.

Wan Rahim berkata tindakan akar umbi PAS yang turut mencalonkan nama lain untuk jawatan presiden perlu diberikan perhatian oleh pucuk pimpinan parti agar prihatin dengan tindak tanduk masing-masing.

"Ia memberi mesej kepada pihak tertentu supaya prihatin dengan politik dalaman dan dalam Pakatan Rakyat (PR), sepertimana diputuskan sebulat suara melalui Muktamar PAS 2008 di Ipoh yang mahu PAS kukuhkan PR," kata yang dipertua PAS Kota Baru itu.

Kepada yang dipertua PAS kawasan yang kalah, Wan Rahim menasihatkan semua penyandang jawatan mengambil iktibar dengan menjaga kawasan mereka dengan baik, bukan mengharapkan menang tanpa bertanding sebagaimana sebelum ini.

Penganalisis politik, Ibrahim Sufian dari Merdeka Centre berkata jumlah pencalonan tidak menentukan kemenangan dalam pemilihan ini sebagaimana berlaku dalam pemilihan PAS sebelum ini.

"Pernah sebelum ini, mereka yang hanya mendapat lebih sedikit pencalonan untuk jawatan timbalan presiden berjaya mengalahkan penyandang jawatan itu yang mendapat pencalonan lebih besar," kata Ibrahim merujuk kepada peristiwa Hassan Shukri yang dikalahkan untuk jawatan timbalan presiden PAS oleh Nasharudin Mat Isa sebelum ini.

"Kalau pertandingan berlaku, ia akan cukup untuk melukakan dan menghilangkan prestij presiden PAS itu dan menimbulkan perpecahan dalam PAS.

"Jentera PAS di peringkat bawahan juga boleh lumpuh dengannya," kata Ibrahim kepada The Malaysian Insider.

PAS kawasan Shah Alam dan Kuala Kedah adalah antara contoh senario yang dinyatakan Ibrahim.
Walaupun kawasan itu memberikan pencalonan kepada Hadi, hampir kesemua undi atau majoriti daripada perwakilan kawasan itu, mungkin akan mengundi pencabar Hadi jika berlaku pertandingan dalam muktamar nanti.

"Misalnya, jika 45% tidak menyokong Hadi dalam pemilihan ini, sudah tentu ia akan memberikan luka yang dalam kepada beliau. Dan ini tidak wajar berlaku kepada PAS," katanya.

Ibrahim berpendapat bagi menangani masalah tersebut, pihak dalam PAS perlu berbuat sesuatu demi kepentingan parti.

"Memandang perbezaan pendapat yang sudah sangat ketara ini, yang sudah sampai ke akar umbi, pihak terlibat kena mula fikirkan untuk membuat rundingan bagi mencari jalan tengah menyelesaikan kemelut ini.

"Ini kerana, jika pertandingan berlaku, ia akan merugikan PAS," kata Ibrahim kepada The Malaysian Insider.

PAS akan mengadakan muktamar ke-61 di Kuala Selangor mulai 5 hingga 7 Jun. Muktamar Dewan Pemuda, Ulama dan Muslimat pula akan diadakan sebelum itu pada 3 hingga 4 Jun.

Muktamar kali ini akan menyaksikan pemilihan untuk semua jawatan dalam PAS, daripada presiden hingga ahli jawatankuasa PAS Pusat serta jawatan dalam sayap parti, yang disifatkan paling sengit dalam sejarah parti selepas muktamar 1982 yang membawa kepada pengunduran presidennya Tan Sri Asri Muda - themalaysianinsider.com

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

.