Home » » Golongan progresif dalam PAS akan kalah teruk

Golongan progresif dalam PAS akan kalah teruk

Oleh Wong Chin Huat 

Golongan progresif Islam akan gagal teruk dalam pemilihan parti PAS jika mereka tidak berani
menegakkan alternatif kepada ideologi nasionalisme “Pan-Muslim Hadi Awang”.

Ramai pengkritik Datuk Seri Abdul Hadi Awang terutamanya mereka di luar parti dan golongan bukan Muslim melihat presiden PAS itu sebagai seorang pemimpin yang tidak matang, angkuh, destruktif, gilakan kuasa dan sebagainya, kerana PAS akan dibawa ke jalan buntu dengan gagasan “unity government” yang semakin nyata.

Saya tidak menolak analisa tentang bencana yang kemungkinan besar akan terjadi kepada PAS selepas Jun tetapi saya menolak penilaian kepimpinan Hadi semata-mata daripada strategi.

Selagi pengkritik dan pencabar Hadi tidak menyedari atau tidak bersedia untuk menghadapi hakikat ini, maka tipisnya peluang Hadi akan kalah atau berundur. Strategi vs ideologi

Sememangnya Hadi bukan pengatur strategi agung. Tetapi, itu memangpun bukan peranan dan fungsi Hadi kepada PAS. Peranan atau fungsi Hadi dalam PAS ialah sebagai seorang pengatur ideologi atau ideolog (ideologue).

Strategi mementingkan perihal “bagaimana” manakala ideologi menjawab soalan “mengapa”.  Ahli strategi merancang untuk kejayaan atau survival dalam kerangka pragmatisme manakala ideolog berfikir tentang makna kejayaan atau survival dalam kerangka purisme atau ketulenan.

Sebuah parti atau gerakan politik perlukan kedua-dua ahli strategi dan ideolog tetapi kepentingan ahli strategi dan ideolog berubah mengikut konteks.

Apabila sesebuah parti sedang mengembang, penuh keyakinan dan sedang membuka sempadan baru (new frontier) seperti ditugaskan untuk membangunkan ekonomi kerana sudah berkuasa atau beria-ia ingin berkuasa, maka ia akan lebih mementingkan pragmatisme dan mengikut ahli strategi.

Sebaliknya, apabila sesebuah parti itu menjadi teragak-agak tentang masa depannya (tidak pasti dengan kejayaan dan juga tidak pasti dengan kegagalan), rasa jati dirinya menjadi persoalan atau rasa terkepung, maka ia cenderung untuk lebih mementingkan purism dan mengikut ideolog.

Dalam pragmatisme, parti mencari jalan keluar. Dalam purisme (ketulenan), parti ingin kembali ke pangkal jalan.

Daripada apa yang saya perhatikan sebagai seorang luar yang sudah tentu kekurangan pengetahuan mendalam dan dengan hati yang rendah sedia diperbetulkan, lebih daripada pertembungan personaliti, pemilihan parti PAS yang akan datang ini adalah pertembungan antara purisme dan pragmatisme.

Pertembungan ini hampir pasti akan berakhir dengan kemenangan mutlak kepada purisme kerana kepedulian akar-umbi PAS lebih kepada “makna” perjuangan parti (soalan “mengapa”) daripada “prospek”nya (soalan “bagaimana”).

Semakin kuat suara golongan progresif membincangkan bahayanya kalau PAS keluar daripada Pakatan Rakyat (PR), maka semakin kuatlah sokongan hujah golongan konservatif PAS tidak boleh menggadaikan perjuangannya kerana semata-mata ingin kekal dalam PR.

Dalam kerangka purisme, tidak perlu fikir lagi kalau pilihan adalah di antara “pilihan raya akan datang” dan “akhirat”. Dan segala bencana yang menimpa kerana mementingkan akhirat menjadi dugaan dan ujian kepada ketekadan dan ketakwaan.

“Dunia dikejar, akhirat akan lari. Akhirat dikejar, dunia akan mari.”

Golongan progresif tidak ada peluang untuk menang kecuali perjuangan mereka untuk kekalkan kerjasama dalam PR itu boleh diungkapkan dalam bukan saja bahasa pragmatisme (demi pilihan raya akan datang) tetapi juga bahasa purisme (demi akhirat).

Islamisme sejagat v nasionalisme Pan-Muslim

Ini sebenarnya soalan besar tentang “asas kewujudan” (raison d’etre) PAS.
Pesaing agung PAS, Umno, memerintah atas nama kepentingan orang Melayu.

Mengikut logik ini, Umno mesti memonopoli sokongan orang Melayu kerana kewujudan pelbagai parti bermaksud perpecahan politik orang Melayu yang akan diambil kesempatan oleh orang bukan Melayu. (Ini adalah asas ideologi untuk segala gagasan “unity government” yang menyatupadukan orang Melayu.)

Dalam kata lain, kewujudan mana-mana parti pembangkang yang berasaskan undi Melayu itu adalah merugikan orang Melayu.

PAS mencabar politik monopoli Umno itu dengan ideologi yang lain dalam era yang lain. Pada zaman Dr Burhanuddin Al-Helmy, PAS menolak Umno kerana ia pro-kapitalis dan pro-imperialis.
Pada masa zaman Asri Muda (ketika tidak dalam Barisan Nasional), PAS menolak Umno kerana ia tidak cukup etno-nasionalis dalam membantu orang Melayu.

Kebangkitan kepimpinan ulama dalam PAS pada 1982 membawa asas ideologi baru untuk menolak politik monopoli Umno: Islamisme.

Umno ditolak kerana ia mengamalkan fikiran assabiyah (perkauman). Tetapi apa yang bermaksud dengan “tidak assabiyah”?

Satu tafsiran ialah Islam untuk semua termasuk yang golongan bukan Muslim.

Apabila Islam diangkat, maka segala penganiayaan dan ketidakadilan akan dihapuskan. Dalam kata lain, dalam erti hak dan kebajikan, rakyat tidak harus didiskriminasikan, bukan saja tidak harus mengikut kaum, juga tidak harus mengikut agama.

Ini membawa kepada negara yang “tidak memihak” (impartial) dan kewarganegaraan yang sama rata, seperti di negara-negara liberal demokratik di Barat, Asia Timur dan Latin Amerika. Islam menyediakan asas untuk kesejagatan.

Tafsiran kedua ialah orang Islam harus meninggalkan ketaksuban kepada identiti etnis masing-masing dan angkat saja identiti Islam. Ini membawa kesamarataan antara semua orang Islam tetapi tidak kesamarataan di antara orang Islam dan orang bukan Islam.

Orang bukan Islam mungkin dilayan baik tetapi tidak boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan orang Islam. Kedudukan mereka mungkin adalah seperti “golongan dhimmi” iaitu golongan bukan Muslim yang bernaung di bawah atau menerima pemerintahan Islam selepas ditakluki.

Negara bersifat “memihak” (partial) dan warganegara tidak sama rata mengikut status agama.
Dilihat secara kritis, tafsiran kedua ini sebenarnya tidak menghapuskan fahaman “assabiyah” sepenuhnya tetapi cuma menggantikan asas assabiyahnya daripada “Melayu” kepada “Muslim”.

Untuk memudahkan perbincangan kita, kedua-dua jenis tafsiran ini mungkin boleh dilabelkan sebagai “Islamisme sejagat” dan “Nasionalisme Pan-Muslim”.

Amanat Hadi dan konsistensi politik Hadi

“Nasionalisme Pan-Muslim” ini cukup kuat tarikannya kepada orang Islam di Malaysia dalam dua konteks sejarah yang melihat Kuasa Islam ditewaskan.

Di peringkat dunia, ramai orang Islam masih rasa “trauma” kejatuhan Empayar Ottoman, kerajaan Khalifah terakhir dalam Perang Dunia Pertama yang bakal digantikan dengan negara-negara bangsa (nation-states) di bekas wilayahnya apabila penjajahan British, Perancis dan Itali berakhir.

Turki baru di bawah Kemal Ataturk menghampakan ramai orang Islam kerana ia bukan saja menghapuskan institusi Khalifah itu secara rasminya dihapuskan pada 1924 dan menafikan umat Islam sedunia simbol perpaduan politik mereka, tetapi juga mengamalkan sekularisme “keras” yang menekan amalan beragama.

Apa yang lebih menghampakan umat Islam ialah negara-negara bangsa yang menggantikan Empayar Ottoman dari Turki, Mesir, Jordan, Syria, Iraq sampai ke Saudi Arabia, sama ada yang sekular atau Islamis, tiada yang berjaya menandingi kekuatan empayar-empayar Islam pada zaman silam.
Penaklukan bumi Palestin oleh Israel adalah pengingatan yang pahit dan sentiasa membara api nasionalisme Pan-Muslim.

Dalam negara sendiri, ramai orang Melayu yang rasa hampa atau marah dengan kemunduran kaum sendiri dalam kedudukan sosio-ekonomi sungguhpun Dasar Ekonomi Baru bermula sejak 1971, menolak kewujudan masyarakat majmuk dan melihatnya sebagai peninggalan penjajahan Barat yang bermula pada 1511 dengan kejatuhan Kesultanan Melaka.

Daripada kaca nasionalisme ini, sekularisme seterusnya dilihat sebagai konsesi kepada golongan minoriti atau golongan ateis, dan bukan kepada perlindungan kebebasan agama yang akan memanfaatkan golongan majoriti.

Apabila pandangan dunia diwarnai oleh dua ketewasan kuasa Muslim ini, maka pengangkatan Islam mudah dimaksudkan dengan pengembalian kepada oder politik dan socio-ekonomi pra-penjajahan mengikut imaginasi masing-masing.

Ini sebabnya saya kira Hadi sebagai seorang ideolog agung untuk PAS.

Lihatlah “Amanat Hadi” yang dilahirkan pada 1981, kurang dibincangkan sekarang tetapi berpengaruh sekali dulunya:
“Kita menentang Umno, bukan kerana nama dia Umno. Kita menentang BN bukan kerana dia lama memerintah kerajaan.

Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka.

Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka.

Percayalah saudara-saudara sekalian,
Perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam. Kita tidak perlu masuk Buddha, Kita tidak perlu masuk Hindu, Kita tidak perlu masuk Kristian, Tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan 'politik suku, agama suku'.”

Amanat ini bukan saja membawa kepada pendalaman identifikasi parti ahli-ahli PAS sehingga berlakunya amalan “kafir-mengkafir” antara orang PAS dan orang Umno, tetapi lebih penting lagi, ia menggariskan arah perjuangan untuk “politik pemulihan” (politics of restoration) untuk PAS.

Perjuangan muktamad PAS digariskan sebagai menolak “perlembagaan penjajah, undang-undang kafir, peraturan jahiliah” demi memulihkan oder pra-penjajahan yang diertikan dengan keagungan kuasa Islam.

Ini membawa kepada penekanan kepada negara Islam sehingga ketewasan teruknya PRU 2004 dan sekarang gelombang ketiga untuk melaksanakan hukum jenayah Syariah di Kelantan.

Dari segi ini, politik Hadi sebenarnya agak konsisten. Kalau dulunya PAS menolak Umno dan BN kerana mereka mengekalkan perlembagaan penjajah dan undang-undang kafir, tidak patutkah PAS bekerjasama dengan Umno jika Umno sekarang sudi menggantikan undang-undang kafir dengan undang-undang syariah?

Di mana Rashid al-Ghannushi PAS?

Hadi tidak mungkin ditewaskan dengan pragmatise. Golongan progresif PAS cuma ada peluang untuk menerajui parti itu jika mereka dapat mengemukakan doktrin baru yang dapat “meluputkan” nasionalisme Pan-Muslim yang diungkapkan dalam “Amanat Hadi” itu.

Daripada analisa pilihan raya berapa kerusi PAS akan kekal jika keluar PR, golongan progresif PAS lebih memerlukan suatu wacana baru yang benar-benar menyatukan Islamisme dengan demokrasi, yang secara jujur menerima kewujudan negara bangsa yang majmuk dan memperjuangkan Islam dalam kerangka ini, dan secara beraninya menolak politik pemulihan dan ketaksuban imaginasi pra-penjajahan.

Dalam kata lain, PAS perlukan seorang atau sekumpulan pemikir yang berupaya berdiri tegak seperti Rashid al-Ghannushi, perdana menteri Islamis di Tunsia yang meluluskan perlembagaan sekular dan menjadikan Tunisia satu-satunya negara yang menjadi lebih maju dan stabil selepas Musim Bunga Arab.

Persoalannya, wujudkah tokoh seperti Rashid al-Ghannushi dalam PAS?

_________________________________________________________________________________
Wong Chin Huat earned his PhD from University of Essex with a thesis on electoral system and party system in the peninsula. A fellow at the Penang Institute, he and his colleagues try to answer "the 1946 question" of nation-building and multiculturalism: can we be different and equal? -

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

.