Home » » Kita nak pilih panglima perang, kita pilih yang paling hebat

Kita nak pilih panglima perang, kita pilih yang paling hebat

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Khalid Samad berkata ketokohan dalam agama bukanlah satu
kemestian dalam aspek pemilihan calon bagi mengisi jawatan presiden parti Islam itu kerana yang lebih penting ialah, memiliki ciri kepimpinan.

Menurut laporan Berita Harian hari ini, ahli jawatankuasa PAS Pusat itu berkata walaupun Datuk Seri Abdul Hadi Awang mungkin calon terbaik mempertahankan jawatan itu, namun muktamar kali ini harus melihat peranan yang perlu dimainkan seseorang presiden.

“Ketokohan daripada segi keagamaan tidak menjadi satu kemestian untuk jawatan presiden. Jika ada, ia kelebihan dan jika tiada, (pilih) calon yang memiliki ciri kepemimpinan, tapi jangan jahil dalam agama.

“Ustaz Hadi mungkin yang terbaik, tapi muktamar perlu pilih pemimpin atas dasar peranan yang perlu dimainkan.

“Jangan pilih atas dasar siapa yang 'fakeh' (faham agama) kerana kelayakan itu ialah untuk pemilihan Majlis Syura Ulama,” katanya kepada akhbar itu hari ini.

Bekas naib presiden PAS Ahmad Awang mendapat cukup pencalonan untuk mencabar Hadi sebagai presiden selepas PAS Bukit Gelugor, Parit Sulong dan Jelebu menamakan beliau, yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Perak.

Yang dipertua PAS Bukit Gelugor Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, ketegasan Ahmad memulakan inisiatif kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di Perak pada 2008, walaupun pada masa itu Umno mengajak membentuk kerajaan perpaduan, menjadi punca beliau dicalonkan sebagai presiden.

Khalid berkata, muktamar kali ini, dijadualkan berlangsung pada Jun, perlu memilih pemimpin sebenar yang layak menerajui parti dalam usaha mencapai matlamat yang ditetapkan.

Katanya, Ahmad yang juga bekas presiden Persatuan Ulama Malaysia dan kedua-dua naib presiden PAS Datuk Husam Musa dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, juga mampu menjawat jawatan nombor satu parti itu.

“Dalam kita nak pilih panglima perang, kita pilih yang paling hebat. Kemungkinan bukan ulama yang paling hebat, kemungkinan juga ulama yang paling hebat. Biar pilihan itu atas dasar yang betul.

“Sebagai contoh, muktamar 2 tahun lalu memutuskan PAS memperkukuhkan kerjasama dengan PR, sekarang kita perlu nilai di bawah kepemimpinan yang ada, adakah matlamat itu tercapai?

“Kalau tak tercapai, sepatutnya muktamar kali ini, kita tukar (pemimpin), cuba orang lain pula,” katanya kepada Berita Harian.-TheMalaysiaInsider

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

.