Oleh A Shukur Harun
Ramai yang berkongsi
kerunsingan dan menyertai kebimbangan bekas pemimpin PAS, Ustaz Haji
Ahmad Awang apabila beliau berkata, “ramai yang sedih melihat gelagat
beberapa pimpinan PAS yang menunjukkan sikap tidak menghargai dan
bersyukur atas kewujudan Pakatan Rakyat."
"Sama ada
mereka mempunyai wawasan masa depan politik yang begitu terbantut atau
agenda tersendiri yang masih belum didedahkan hanya Allah yang
mengentahui.”
Menurut Ahmad Awang, kata-kata seperti “PAS mampu
bersendirian”, “Putrajaya bukan matlamat kami”, “Sokongan bukan Islam
tidak penting” dan sebagainya adalah sangat bercanggah dengan wawasan
pimpinan terdahulu.
Ungkapan seperti ini bermunculan ketika
tercetusnya krisis berat dalam PAS sendiri sekarang ini, lebih-lebih
lagi menjelang Muktamar Tahunan PAS bulan Jun depan.
Menurut
pendapat saya, pandangan PAS mampu bersendirian sementara sokongan bukan
Melayu tidak penting adalah kata-kata yang menggambarkan betapa naifnya
bacaan politik mereka ini, yang sama sekali tidak berasaskan realiti
politik yang ada.
Bahkan pandangan begini membahayakan kelansungan
masa depan PAS lebih-lebih lagi apabila golongan ini berkata,
“Putrajaya bukan matlamat kami”.
Pandangan seperti ini bukan saja aneh, tetapi juga membayangkan pemikiran paranoid, kecelaruan, bahkan kedangkalan politik.
Belum
pernah dalam sepanjang sejarah politik moden seperti PAS yang berjuang
untuk kemenangan politik dan kuasa, tiba-tiba merasakan Putrajaya (pusat
kuasa) tidak penting.
Kalau begitu adakah PAS mahu berhenti
sebagai parti politik dan hanya mahu menjadi badan dakwah? Pendapat
begini bertentangan dengan wawasan pemimpin masa lalu. Perlu diingat,
pelaksanaan hudud itu sendiri, umpamanya memerlukan kuasa politik. Oleh
itu sangat aneh dan dangkal pemimpin politik yang berkata, “Putrajaya
bukan matlamat kami.”
Sepanjang sejarahnya, selama ini pemimpin
PAS berjuang dalam politik diiringi dengan niat untuk mencapai keredhaan
Allah. Ini bermakna kemenangan politik dan redha Allah itu tidak pernah
terpisah. Oleh itu, janganlah ada pemikiran dangkal memisahkannya.
Sementara
itu, jika ada pemikiran PAS perlu menumpukan perhatian kepada pengundi
kawasan majoriti Islam saja untuk menang, maka pemikiran politik seperti
itu sangat naif dan ketinggalan zaman.
Ia hanya merugikan PAS
sendiri dan tidak menolong usaha memperkukuh Pakatan Rakyat yang
dipersetujui bersama dalam empat kali muktamar tahunan PAS sebelum ini.
Keadaan
ini berasaskan realiti demografi pengundi di negara ini yang taburannya
pelbagai, di mana negeri di Pantai Timur – Terengganu dan Kelantan –
jumlah pengundi Melayunya besar. Tetapi di Pantai Barat, jumlah pengundi
Melayu sekitar 60% atau kurang dari itu, sementara jumlah pengundi
bukan Melayu ialah sekitar 40%.
Adalah sangat naif jika berfikir
cukupkah kalau PAS dapat menang di negeri yang majoriti Melayunya besar,
seperti di Pantai Timur.
Sikap seperti itu hanya mahu menarik PAS
undur ke belakang 20 atau 30 tahun. Tidak munasabah jika PAS yang sudah
berumur 63 tahun hendak ditarik ke belakang semakin jauh.
Sementelah
lagi apakah teori memberi fokus lebih kepada kawasan Melayu itu saja,
konon kerana orang Melayu majoritinya “pasti” akan mengundi PAS dengan
andaian ia didukung orang Melayu/Islam. Sejarah pilihan raya yang lalu
menunjukkan keadaan seumpama ini jarang, malah tidak berlaku.
Menurut
suatu kajian lain pula, jumlah pengundi Melayu di luar bandar akan jauh
merosot di tahun-tahun akan datang di mana mungkin susut hingga tinggal
25% saja dari jumlah keseluruhan peratusan pengundi di Malaysia hingga
PRU akan datang.
Ini kerana jumlah pengundi di luar bandar banyak
berpindah, mengikut anak di bandar, meninggal dunia dan beberapa sebab
lagi ke bandar. Dengan itu jumlah pengundi Melayu seperti di Lembah
Kelang, sekitar bandar di Johor, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Pahang
dan lain-lain akan terus bertambah.
Oleh itu, tumpuan pengundian
pada asasnya kini ialah di dalam bandar, iaitu pengundi Melayu dan bukan
Melayu. Ini tentunya sangat signifikan dalam menentukan kemenangan
sesuatu parti yang bertanding dalam PRU akan datang.
Dalam PRU
yang lalu, banyak calon PAS menang di kawasan campuran iaitu di bandar
seperti di Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Perak. Tanpa sokongan
pengundi bukan Melayu, terbukti sukar bagi calon PAS untuk menang.
Inilah
hakikat yang sebenarnya dan terimalah realiti ini walaupun mungkin
sukar diterima. Parti politik yang matang menerima realiti yang wujud
dan berusaha berasaskan rialiti yang ada.
Bagaimanapun saya yakin,
pendukung PAS yang berfikiran jauh ke depan tidak akan berfikir untuk
bertanding secara bersendirian dalam PRU akan datang betapapun didorong
kemarahan atas apa yang berlaku dalam Pakatan sendiri. Emosi dan
pemikiran sempit tidak wajar diberi ruang dalam membuat keputusan
politik.
Pemikiran besar dan jauh ke depan perlu ada pada
pendukung PAS. Maka di sinilah saya masih ingat pesan Tuan Guru Datuk
Nik Abdul Nik Mat, beberapa tahun lalu:
“Kita (PAS) berada dalam
Pakatan Rakyat, banyak manfaatnya. Kita dapat berdakwah dengan luas
kepada semua kaum. Kita dapat menjalin hubungan dengan mudah dengan
bukan Islam.”
Memang diakui sejak krisis yang menimpa Pakatan
Rakyat lebih tujuh bulan lalu dan merecik menjadi krisis dalam PAS
sendiri, tetapi ini tidaklah boleh menyebabkan sesetengah pendukung PAS
terdorong mahu PAS bersendirian dalam perjuangan politik walau apa hujah
pun.
Seperti diketahui, sebanyak empat kali muktamar PAS bukan
saja menunjukkan komited dengan Pakatan Rakyat, bahkan berikrar
memperkukuh Pakatan Rakyat.
Jadi tidaklah wajar ada sesetengah
pihak di dalam PAS sendiri, walau dalam status apa pun, begitu mudah
mengeluarkan kenyataan bersifat mengugut, mendesak, mengancam,
menyindir, memberi kata dua dan sebagainya mengenai kedudukan PAS dalam
Pakatan Rakyat.
Yang perlu di sini ialah PAS bersama komponan Pakatan perlu kerap berunding untuk menyelesaikan segala masalah yang timbul.
Gojek: Inikah janji 1 juta peluang pekerjaan?
-
*KEBELAKANGAN* ini, timbul isu hangat berkenaan gojek selepas cadangan yang
dikemukakan oleh Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq untuk
memperkenalkannya ...
5 years ago
0 comments:
Post a Comment