Home » » Najib dan Hadi kini memerlukan di antara satu sama lain ?

Najib dan Hadi kini memerlukan di antara satu sama lain ?

Oleh Amin Iskandar 

Ketika Malaysia berdepan dengan pelbagai krisis dan pergolakan, 2 presiden parti Melayu terbesar
Malaysia, Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dicabar parti masing-masing yang akan menentukan kelangsungan politik mereka.

Selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan, Najib kini terpaksa berperang dengan orang yang bertanggungjawab menjadikannya perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sementara Hadi pula diganggu “bahaya dari Gunung Semanggol” selepas bekas naib presiden PAS, Ahmad Awang mengesahkan untuk mencabarnya dalam pemilihan parti pada Jun.

Kedua-dua parti Umno dan PAS, masing-masing pernah berdepan dengan krisis besar pada tahun 1980-an dan terbukti masih bertahan sehingga hari ini. Cuma yang belum pasti apakah Najib dan Hadi akan terus kekal memimpin parti masing-masing pada pilihan raya umum ke 14 (PRU14) akan datang walaupun di atas kertas pada ketika ini, kedua-duanya dijangka akan terus berbuat demikian.

Hadi sudah pun memberikan “talian hayat” kepada Najib apabila mengeluarkan kenyataan terbuka menggesa presiden Umno itu tidak tunduk kepada tekanan mendesaknya meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.

"Sesuatu yang memalukan apabila mendesak beliau supaya meletakkan jawatan kerana kita sepatutnya mengamalkan sistem demokrasi yang sihat,” kata Hadi di Kuala Terengganu minggu ini.

Sementara Najib pula membantu Hadi “secara tidak langsung” untuk kekal sebagai presiden PAS apabila memberikan liputan meluas dalam media milik Umno seperti Utusan Malaysia dan TV3 menjelang pemilihan pada Jun.

Najib juga merestui Umno Kelantan untuk seratus-peratus menyokong pindaan Hudud di Dewan Undangan Negeri (DUN), mengukuhkan lagi kedudukan Hadi dan kumpulannya untuk menang dalam pemilihan bagi mengalahkan kumpulan profesional.

Survival Najib, Hadi

Penulis difahamkan, walaupun perang terbuka di antara Najib dan Dr Mahathir kelihatan seperti tidak akan selesai selagi salah seorang belum “terpelanting dari gelanggang”, masih terdapat usaha untuk mendamaikan mereka.
Bagaimanapun, usaha pendamaian itu akan berdepan dengan kesukaran kerana kedua-dua Najib dan Dr Mahathir kini sudah pun menggunakan isu peribadi dalam perang terbuka mereka.

Perlawanan di antara Najib dan Dr Mahathir juga kini sudah seperti di antara seorang pemimpin kerajaan dan pemimpin pembangkang walaupun kedua-duanya daripada parti sama.

Sementara Hadi pula dicabar buat pertama kali selepas menang tanpa bertanding dalam setiap pemilihan PAS selepas mengambil alih jawatan tersebut daripada arwah Datuk Fadzil Mohd Noor.

Walaupun dijangka akan menang besar, Hadi masih belum dapat tidur lena kerana tiada jaminan “seratus peratus” beliau akan kekal memimpin PAS selepas Jun kerana masih lagi terpaksa berdepan dengan pertandingan.

Begitu juga Najib, walaupun sudah mendapat jaminan sokongan daripada majlis tertinggi Umno, masih belum pasti apa lagi yang bakal dikeluarkan untuk menyerang pentadbirannya selepas isu pembelian tanah Tun Razak Exchange (TRX) oleh Tabung Hadi daripada syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hampir sejuk.

Najib dan Hadi kini memerlukan di antara satu sama lain untuk terus kekal memimpin Umno dan PAS.

Melihat kepada tindakan berani Najib memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebelum ini, tidak mustahil beliau akan melakukan perkara sama dalam isu hudud Kelantan.

Tidak mustahil Najib boleh mengarahkan Umno untuk menyokong pindaan hudud PAS apabila dibentang di Dewan Rakyat tidak lama lagi.

Dan sekiranya ini berlaku, kedudukan Hadi sebagai presiden PAS pasti selamat dan kumpulannya akan menang besar dalam pemilihan pada Jun.

Apa pula yang boleh dilakukan Hadi untuk menyelamatkan Najib untuk terus berkuasa?

Hadi boleh memastikan majoriti ahli-ahli Parlimen PAS untuk tidak menyokong sekiranya usul undi tidak percaya kepada perdana menteri diadakan di Dewan Rakyat.

Tanpa perlu menubuhkan kerajaan perpaduan di antara Umno dan PAS, Najib dan Hadi sudah membuktikan dua parti Melayu itu mampu bekerjasama.

3 comments:

  1. bersatu lah demi bangsa dan negara

    ReplyDelete
  2. saya rasa dah tiba masanya pas dan bertaut semula lupakan kisah lama,yang lalu biarlah berlalu,uamat islam khususnya amat beruntung.

    ReplyDelete
  3. saya gembira sangat tengok datuk sri najib dan datuk tuan guru mesra begitu, hanya orang yang tak tahu menilai saja yang tak suka umno dan pas berkerjasama.biar lah orang2 ini hanyut dengan labunya.

    ReplyDelete

My Blog List

Blog Archive

.