Itulah kata-kata Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din ketika mengulas usaha Pas melaksanakan hukum hudud yang setakat ini bukan sahaja mendapat tentangan sekutunya, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP tetapi juga daripada segelintir pemimpin Pas sendiri.

Bagaimanapun sama ada parti itu akan "terus terluka" atau "dilukai", ia hanya akan ditentukan dalam Muktamar Pas Kali Ke-66 pada 4 Jun hingga 6 Jun ini di Stadium Tertutup Kuala Selangor.

Menjelang muktamar tersebut pelbagai isu menarik berlaku dalam parti itu sama ada dari segi perebutan jawatan utama mahupun hubungan Pas dengan sekutunya Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP. Berikut penulis paparkan beberapa isu yang dijangka menjadi perhatian perwakilan dan ahli Pas dalam muktamar berkenaan.

Perebutan jawatan Presiden, Timbalan Presiden

Keputusan bekas Naib Presiden Pas, Ahmad Awang untuk bertanding jawatan Presiden yang disandang oleh Abdul Hadi sejak 13 tahun lalu tanpa dicabar menjadikan pemilihan parti itu amat menarik.

Walaupun ia dianggap satu sejarah memandangkan inilah kali pertama Abdul Hadi yang mengambil alih jawatan itu daripada Allahyarham Datuk Fadzil Noor pada 2002 namun perjalanan politik Pas menunjukkan jawatan nombor satu parti tersebut pernah menyaksikan pertarungan sebelum ini iaitu sekitar tahun 1960-an.

Penyandang jawatan Yang Dipertua Pas, Dr. Burhanuddin Al Helmy pernah dicabar oleh Prof. Zulkiflee Muhammad pada Muktamar Agung Kelima parti itu. Dr. Burhanuddin yang dikatakan seorang "nasionalis radikal dan pemikir Islam" terpaksa bertarung dengan Prof. Zulkiflee yang dianggap tokoh muda berkarisma. Namun walaupun dikatakan mendapat pencalonan lebih rendah berbanding Prof. Zulkiflee, Dr. Burhanuddin berjaya mengekalkan jawatannya.

Kini sejarah berulang, jawatan paling utama dalam Pas ditandingi. Bagaimanapun senario agak berbeza kerana Abdul Hadi mendapat pencalonan jauh lebih banyak daripada Ahmad. Tetapi ia sama sekali tidak akan mampu mengalih perhatian ramai terhadap pertarungan "dua anak Awang" ini. Ia memandangkan kemenangan Abdul Hadi dikatakan mengukuhkan cengkaman golongan ulama dalam Pas dan pada yang sama mampu menggerakkan usaha memartabatkan kembali maruah Pas yang selama ini dilihat hanya "pak turut" dalam pakatan pembangkang.

Walaupun sejak kebelakangan ini dianggap tegas malah disifatkan sudah tidak sehaluan lagi dengan pemimpin-pemimpin PKR dan DAP namun hakikat sebenarnya, Abdul Hadi tetap mahu Pas bekerjasama dengan kedua-dua parti itu. Cuma apa yang beliau tidak mahu bak kata orang Kedah, Pas dilayan "macam sekupang (10 sen) pun tak laku" dalam pakatan.

Ahmad pula dianggap ulama yang mendapat sokongan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pas iaitu Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) dan pernah dicadangkan menjadi Mursyidul Am NGO tersebut.

Lapan pencalonan yang diterima oleh Ahmad berbanding Abdul Hadi yang mendapat lebih 90 pencalonan dari kawasan-kawasan tidak dianggap satu halangan, sebaliknya mereka membandingkan bagaimana Nasharuddin Mat Isa pernah menewaskan Hassan Shukri bagi jawatan Timbalan Presiden Pas walaupun ketika itu Nasharuddin hanya mendapat dua pencalonan.

Walaupun peluang beliau dilihat tipis namun ada pihak menganggap penyertaan Ahmad sekadar untuk menjejaskan imej Abdul Hadi. Jika Ahmad berjaya memperolehi undi yang besar biarpun tewas ia sudah cukup dijadikan "peluru" oleh pihak tertentu bagi mendakwa pengaruh Abdul Hadi semakin terjejas dalam Pas.

Bagi kerusi Timbalan Presiden pula, Pesuruhjaya Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sudah menyatakan kesediaan untuk mencabar penyandang jawatan itu, Mohamad Sabu atau Mat Sabu.

Ini merupakan kali kedua, Tuan Ibrahim akan mencabar Mat Sabu selepas berbuat demikian pada tahun 2011. Bagaimanapun ketika itu Tuan Ibrahim yang disandarkan harapan menewaskan Mat Sabu, tewas selepas berlaku perpecahan undi dalam kalangan penyokong golongan ulama. Ia berikutan perebutan tersebut turut disertai oleh Nasharudin Mat Isa yang mempertahankan jawatan.

Tuan Ibrahim mendapat 399 undi berbanding Mat Sabu yang memperolehi 420 undi manakala Nasharudin (224 undi).

Kali ini, peluang Tuan Ibrahim dilihat cerah kerana beliau dianggap bakal meneruskan kesinambungan kepemimpinan golongan ulama selepas Abdul Hadi. Isyarat itu jelas berdasarkan pencalonan terbanyak yang diterimanya.

Mengembalikan penguasaan ulama

Pemilihan kali ini dianggap pertarungan "hidup mati" antara golongan ulama dan profesional atau lebih popular dipanggil Anwarinas – satu panggilan kepada pemimpin-pemimpin Pas yang cenderung menyokong Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sebenarnya, sebelum kewujudan panggilan "Anwarinas" ini, kepemimpinan Pas sentiasa bersikap terbuka dengan memberi ruang kepada sesiapa sahaja untuk menjadi pemimpin dalam parti itu. Tidak kira ulama atau tidak, mereka digabungkan untuk sama-sama mengarak panji-panji perjuangan Pas.

Tetapi senario selepas 2003 berubah, apabila kecenderungan menyokong Anwar dalam kalangan pemimpin bukan ulama semakin ketara. Malah ada ketika mereka dilihat lebih mengutamakan Anwar berbanding pemimpin Pas sendiri.

Biarpun menyedari bahaya itu, pemimpin-pemimpin bertaraf ulama dalam Pas termasuk Abdul Hadi tetap mempertahankan kehadiran golongan profesional dalam saf kepemimpinan parti itu. Malah mereka juga menganggap dakwaan kononnya pengaruh Anwar sudah mencengkam kukuh dalam Pas hanyalah mainan musuh-musuh politik termasuklah media arus perdana.

Keadaan itu memungkinkan dari semasa ke semasa pemimpin-pemimpin yang dikategorikan Anwarinas ini semakin menyerlahkan pendirian politik sebenar mereka. Selepas berjaya menguasai jawatan dalam parti, golongan itu semakin lantang mengetengahkan agenda politik mereka terutamanya mempertahankan kerjasama dengan PKR dan DAP serta berdolak-dalih dalam soal perjuangan hukum hudud oleh Pas.

Tidak kira apa pun yang pemimpin PKR dan DAP lakukan ke atas Pas, pemimpin-pemimpin Anwarinas ini tetap mempertahankan kedua-dua parti itu, malah secara terbuka sudah berani menyatakan bahawa tidak semestinya Pas yang diasaskan oleh sekumpulan ulama di Gunung Semanggol, Perak pada tahun 1951 dipimpin oleh ulama.

Impian melaksanakan hukum hudud

Adalah sesuatu yang janggal apabila ada dalam kalangan pemimpin Pas menuduh UMNO menjadi penghalang kepada pelaksanaan hukum hudud, malah mempertahankan tindakan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang terus konsisten menolak pelaksanaan hukum itu. Justeru muktamar kali ini dianggap medan untuk melihat sejauh manakah Pas benar-benar akan mempertahankan perjuangan bagi melaksanakan hukum hudud tanpa mempedulikan apa juga pendirian PKR dan DAP.

Kesimpulannya, muktamar kali ini adalah medan terbaik bagi ahli-ahli Pas untuk membuat penentuan, sama ada mahu melihat parti itu mengubat luka, bertindak bagaikan "harimau luka" atau terus dilukai.-www.utusan.com.my