Home » » PAS tetap dalam Pakatan dan tak timbul isu isu kerajaan perpaduan

PAS tetap dalam Pakatan dan tak timbul isu isu kerajaan perpaduan

Oleh Zulaikha Zulkifli
 
Bekas pesuruhjaya PAS Perak Ahmad Awang menafikan bahawa idea kerajaan perpaduan (UG)
pernah dipersetujui selepas krisis politik yang menyumbang kejatuhan kerajaan Pakatan Rakyat di negeri itu.

Menurutnya, perkara itu hanya dimaklumkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan tiada sebarang keputusan yang dibuat memandangkan Mursyidul Amnya ketika itu Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.

"Sebenarnya makna UG ialah semua parti bergabung dan menjadi kerajaan. Tapi idea itu hanya dilontarkan begitu sahaja dan tak ada satu keputusan," kata Ahmad ketika diwawancara Malaysiakini.

"(Bagaimanapun), akhirnya timbul bahawa (UG) itu di definisikan kepada rundingan antara PAS dan Umno dan ia ditentang keras oleh Nik Aziz. Jadi UG tak jadi dilaksana," katanya yang menjadi pesuruhjaya negeri itu pada ketika itu.

Ahmad yang akan mencabar Hadi bagi jawatan presiden pada pemilihan parti bulan depan berkata, idea kerajaan perpaduan tersebut juga tidak mendapat sambutan daripada mana-mana parti.

Malah pada masa yang sama, Ahmad itu berkata Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim turut melobi beberapa ahli parlimen Sabah supaya menyertai Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun, rancangan untuk menggulingkan kerajaan BN pada 16 September 2008 itu juga tidak berjaya, kata Ahmad yang juga bekas naib presiden PAS .

"Benda itu semua gagal," katanya lagi.

Ditolak ahli

Ditanya sama ada Muktamar PAS kali ke-61 menjadi penentu pembentukkan kerajaan perpaduan, tokoh agama dari Gunung Semanggol, Perak itu berkata perkara itu tidak akan menjadi kenyataan kerana ia ditolak oleh ahli parti.

"Setakat saya melihat, Pakatan Rakyat yang menjadi keputusan parti sejak muktamar sebelum ini.

"Belum ada mana-mana pihak pun khasnya Majlis Syura mengeluarkan pendapat atau berbincang supaya mengkaji agar PAS meninggalkan Pakatan. Tak pernah timbul.

"Jadi status quonya ialah PAS tetap dalam Pakatan dan tak timbul isu kerajaan perpaduan. Itu pastinya bercanggah dengan pendirian majoriti ahli PAS," kata Ahmad.

Bercakap dalam program 'Bicara Harakah' pada Selasa, Hadi berkata idea kerajaan perpaduan itu ketengahkan selepas krisis di Perak dan mendakwa dipersetujui Anwar dan Nik Aziz.

Presiden PAS itu berkata pada masa itu, BN cuba nak pancing wakil rakyat PAS dan menegaskan parti itu tidak akan mengulangi sejarah untuk menyertai BN.

"Biasanya sejarah dahulu tidak berulang benda yang sama. Jadi kita kemukakan idea kerajaan perpaduan. Ini dipersetujui bersama pertemuan antara saya, Anwar dan Nik Aziz. Dan kita bersetuju ketengahkan perkara ini.

"DAP pun bersetuju. Tapi malangnya perkara itu terbantut kerana BN tidak dapat menerimanya. Itu ceritanya. Benda tu dah hilang. Dah luput daripada sejarahnya." kata Hadi.

Bagaimanapun, kenyataan Hadi itu dinafi sekeras-kerasnya oleh PKR apabila parti itu berkata, Anwar atau mana-mana pemimpinnya tidak pernah bersetuju dengan idea untuk bergabung dengan Umno untuk membentuk sebuah kerajaan perpaduan.-Mkini
 

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

.